Ahad, 12 Disember 2010

ISU EKONOMI : Hadkan kenaikan harga barang daripada dimanipulasi peniaga

ANTARA perkara yang paling dekat dengan rakyat ialah mengenai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Memang benar, banyak faktor yang menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat dan ada antaranya di luar kawalan sesiapa sahaja.

Sebagai contoh, harga minyak mentah setong kini berada pada tahap tertinggi sejak dua tahun lepas, iaitu sebanyak AS$91.4. Kenaikan harga minyak ini menyebabkan, baru-baru ini, harga minyak tempatan diselaraskan.

Namun, setiap kali harga minyak diselaraskan, sering kali pihak-pihak berkenaan mengulang tayang hujah yang sama bahawa harga minyak di Malaysia lebih murah berbanding negara-negara lain. Hujah ini sebenarnya tidak memberi jawapan tepat kepada rakyat, yang sentiasa risau setiap kali harga minyak dan barangan keperluan dan perkhidmatan seperti gula dan elektrik dinaikkan.

Kerisauan rakyat kena pada tempatnya kerana kesan kenaikan harga minyak dan gula memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan yang lain. Kesan rantaian kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sepatutnya menjadi fokus kerajaan apabila memberi jawapan kepada rakyat.

Pertama, slogan pembeli sebagai raja jarang sekali terpakai di negara kita. Selalunya, peniaga adalah segala-galanya sehingga kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dilakukan secara sesuka hati. Secara tidak langsung membebankan rakyat.

Justeru, apabila kerajaan mengumumkan bahawa Majlis Penasihat Harga Barang bakal ditubuhkan apabila Akta Anti Pencatuan 2010 mula dikuatkuasakan pada April tahun depan, ia sedikit sebanyak boleh memberi kelegaan kepada rakyat. Sekurang-kurangnya, majlis ini boleh bertindak memantau peniaga yang "cekik darah".

Adalah lebih baik, jika majlis ini juga diberi kuasa memantau kenaikan harga perkhidmatan dan bukan sekadar memantau kenaikan harga barang. Paling penting, mekanisme bagaimanakah untuk mengehadkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan?

Pengalaman rakyat, setiap kali kenaikan harga minyak dan gula, harga barangan dan perkhidmatan yang lain akan naik melebihi kenaikan harga dua bahan itu. Sepatutnya, kenaikan harga tersebut tidak melebihi kenaikan harga minyak dan gula.

Ambil contoh, harga gula dinaikkan sebanyak dua puluh sen sekilogram, berkemungkinan harga susu pekat juga mengalami kenaikan (katakan dua puluh sen setin), maka, harga teh tarik (minuman kegemaran rakyat Malaysia) juga akan turut naik sebanyak sepuluh sen bagi setiap cawan. Harga ini bolehlah dikategorikan sebagai melampau kerana sepatutnya kenaikan harga teh tarik berdasarkan harga purata kenaikan susu pekat bagi menghasilkan bilangan cawan sebenar teh tarik (katakan 20 cawan teh tarik).

Ini bermakna, kenaikan tertinggi secawan teh tarik hanyalah sekadar satu sen sahaja. Bayangkan dengan harga asal teh tarik pun peniaga boleh mengaut keuntungan, inikan pula dengan kenaikan sepuluh sen secawan. Masalahnya di sini, syiling satu sen sudah tidak terpakai di Malaysia. Seolah-olah syiling satu sen sudah tidak laku digunakan.

Sebenarnya, kita sendiri yang memberi nilai ke atas wang tersebut, kalau kita katakan ia tidak bernilai, maka tidak bernilailah ia. Tidak salah, jika syiling satu sen digunakan kembali demi kebaikan rakyat.

Berbalik kepada contoh di atas, kalau di Kedah, harga sebenar teh tarik (selepas kenaikan harga gula sebanyak dua puluh sen) sepatutnya hanyalah sebanyak RM1.01 (harga asal RM1) dan bukannya RM1.10 secawan.

Ini baru bab teh tarik, belum lagi bab makanan yang lain seperti kuih muih. Selain berdasarkan pengiraan di atas (wajar juga digunakan ke atas pengeluar dan pemborang barang serta peniaga besar), harga kenaikan barangan dan perkhidmatan mestilah berpaksikan kadar kenaikan purata gaji rakyat Malaysia setahun terutamanya bagi yang bergaji rendah. Barulah, rakyat tidak begitu merasa bebannya.

Begitu juga, jika ada penurunan harga minyak, umpamanya, harga barangan dan perkhidmatan juga sewajarnya diturunkan. Sekali lagi, Majlis Penasihat Harga Barang diberi peranan untuk menentukan harga terkini barangan dan perkhidmatan selepas harga minyak diturunkan.

Selepas margin keuntungan ditentukan, harga terkini barang dan perkhidmatan diumumkan kepada rakyat melalui media massa dan laman sesawang. Satu jadual pengiraan keuntungan seharusnya dibangunkan.

Mungkin perkara ini memerlukan kerja yang banyak pada awalnya, namun, percayalah, ia bertepatan dengan gagasan mendahulukan rakyat. Dengan cara ini, rakyat akan lebih berpuas hati dan tidak menjadi mangsa manipulasi peniaga yang tamak lagi haloba. Perlu diingat, zaman kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu. Apa yang rakyat mahukan penjelasan yang jitu dan bukannya sekadar memberi jawapan yang sama setiap kali harga minyak dan gula dinaikkan.

Rohami Shafie

Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Masalah kutipan sampah tonjol kelemahan pengurusan sisa pepejal

Oleh : Syed Azwan Syed Ali

LEBIH 10 tahun lalu, rakyat di negara ini menghasilkan kira-kira 15,000 tan sampah sehari dan jumlah itu jika dikumpulkan selama 10 hari mampu menjadi satu lagi Menara Berkembar Petronas.

Menjelang 2020, jumlah sampah dijana, dijangka mencecah 30,000 tan sehari ekoran peningkatan jumlah penduduk yang kini melebihi 28 juta orang.

Perkembangan itu pastinya memendekkan jangka hayat 176 tapak pelupusan sampah beroperasi di negara ini dan keadaan diburukkan lagi jika tahap kitar semula di kalangan rakyat masih di takuk lama, sekitar lima peratus.

Kepesatan ekonomi menyebabkan persaingan guna tanah semakin sengit walhal lebih 90 peratus daripada tapak pelupusan sedia ada adalah kawasan pembuangan sampah terbuka dengan jangka hayat maksimum lima tahun.

Bermakna, menjelang 2015, pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal berdepan dengan masalah mencari tapak membina kawasan pelupusan baru untuk ‘menguruskan’ sampah yang semakin banyak dihasilkan dari tahun ke tahun.

Persoalannya, adakah kita akan terus berkompromi dengan sistem sedia ada yang bergantung kepada mekanisme tapak pelupusan dan memerlukan tanah luas atau mengguna pakai sistem pengurusan sampah bersepadu seperti diamalkan di negara maju?

Bagi pakar pengurusan sisa pepejal Universiti Malaya, Prof Dr P Agumuthu, kerajaan tidak mempunyai pilihan kecuali menguatkuasakan segera Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang tertangguh sejak tiga tahun lalu.

Katanya, fakta hanya kurang 10 peratus daripada 176 tapak pelupusan sampah adalah tapak pelupusan sanitari yang mesra alam dan selamat, membuktikan keadaan tapak pelupusan sampah negara sebenarnya serius dan tenat untuk jangka panjang.

“Kita perlu penyelesaian jangka panjang lebih efektif. Akta 672 perlu dikuat kuasa secepat mungkin,” katanya kepada Berita Harian.

Saintis alam sekitar itu berkata, penguatkuasaan akta akan membolehkan kerajaan persekutuan mengambil alih pengurusan sisa pepejal negara yang kurang berkesan di bawah selenggaraan PBT.

Katanya, negara juga memerlukan sistem pengurusan sisa pepejal bersepadu seperti diamalkan di negara maju seperti Jepun yang mempunyai lebih 2,000 insinerator dan tapak pelupusan untuk melupuskan sampah dihasilkan.

“Mungkin kita perlu menimbangkan menggunakan insinerator yang sesuai untuk membakar sampah, manakala tapak pelupusan hanya digunakan untuk melupuskan (sisa dibakar di insinerator) seperti di Jepun,” katanya.

Sebelum ini, beberapa insinerator berskala kecil dibina di beberapa pulau, tetapi gagal beroperasi dengan berkesan kerana gagal menampung jumlah sampah dijana selain tidak kos efektif.

Banyak pihak menyifatkan perkara itu berlaku ekoran kegagalan melakukan kajian terperinci mengenai komposisi sampah di negara ini yang mempunyai kandungan air tinggi (45 peratus sisa dihasilkan rakyat negara ini adalah sisa makanan) menyebabkan ia memerlukan tenaga tinggi untuk membakar sampah terbabit.

Sumber industri berkata, kelemahan pengurusan sisa pepejal negara ini dapat dilihat melalui masalah kutipan sampah dan isu pembuangan sampah haram yang sering dilaporkan media tempatan, sehinggakan ia menjadi masalah rutin di beberapa kawasan.

Masalah kutipan sampah, misalnya didakwa dikaitkan dengan kegagalan sebilangan PBT membayar kepada syarikat konsesi yang kemudiannya gagal membayar kepada kontraktor diupah mengikut jadual menyebabkan berlaku gangguan dalam rutin kutipan sampah di kawasan perumahan.

Ini menerangkan kenapa mutu perkhidmatan pengurusan sampah berbeza mengikut kawasan PBT kerana tidak diseragamkan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan hutang PBT kepada syarikat konsesi sejak 13 tahun lalu mencecah RM348.6 juta dan pihak terbabit diminta menjelaskan hutang tertunggak itu sebelum kerajaan pusat mengambil alih pengurusan sisa pepejal negara.

Tunggakan hutang itu bukan saja menjejaskan mutu perkhidmatan kepada pengguna malah menjejaskan usaha syarikat konsesi terbabit menaik taraf secara berperingkat tapak pelupusan sampah sedia ada bagi memanjangkan jangka hayatnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/