Isnin, 31 Ogos 2009

Sambut merdeka dengan keinsafan

TAHUN ini sekali lagi kita menyambut kemerdekaan negara kali ke 52.

Satu tarikh yang bersejarah dimana negara dibebaskan daripada penjajah inggeris satu ketika dulu.

Kemerdekaan negara adalah satu nikmat yang amat disyukuri atas hasil usaha para pentadbir, pengurus, ulama, para ilmuwan dan para pahlawan yang berjuang demi masa depan bangsa dan tanahair.

Setiap titisan darah dan air mata perjuangan yang ditabur oleh mereka tidak harus kita lupakan kerana dengan perjuangan inilah memungkinkan kemerdekaan negara yang kita nikmati ini berjaya diperolehi.

Itulah sejarah yang tidak boleh dipadam daripada ingatan anak bangsa pada hari ini kerana perjuangan generasi terdahulu harus dijadikan iktibar bagi kita generasi hari ini untuk dipertahankan.

Jika aspirasi perjuangan orang-orang terdahulu tidak diambil peduli maka generasi hari tidak akan sekali merasai akan nikmat merdeka dengan sepenuhnya.

Inilah hakikat yang harus dibentuk semoga perjuangan bersejarah tidak akan padam dibenak hati generasi pada hari ini.

Ada ungkapan yang menyebut memerdekakan negara adalah satu perjuangan bermakna dan besar dalam konteks kehidupan.

Pun begitu juga dari sudut agama ianya adalah satu jihad yang besar dimana membebaskan insan daripada elemen penjajahan yang mana jika tidak dilakukan akan membantutkan perjuangan mengangkat maruah bangsa, agama dan tanahair untuk tempoh jangka panjang.

Namun daripada itu cabaran yang jauh lebih besar pada hari ini dalam konteks kemerdekaan adalah bagaimana untuk kita mengisi erti kemerdekaan dan mempertahankannya dengan sepenuh hati dan jiwa raga.

Inilah asas perjuangan yang mesti ditabur dan dibentuk dikalangan generasi hari ini bagaimana harus sama-sama berjuang untuk mengisi erti kemerdekaan dan perjuangan orang terdahulu selain mempertahankannya daripada anasir yang menganggu dan menggoyahkannya.

Perjuangan mengisi kemerdekaan memerlukan jatidiri yang sangat besar kerana perubahan zaman sedikit sebanyak memerlukan golongan yang bukan sahaja kental jasad dan mental namun memerlukan jiwa dan ruh yang padu demi mempertahankan maruah negara.

Mengisi erti kemerdekaan haruslah didahului dengan memahamkan generasi muda akan perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan.

Maknanya pembebasan ini membawa maksud bebas kebendaan, ertinya puak penjajah keluar daripada elemen menjajah negara dan dalam masa yang sama bebas daripada cengkaman idea dan pemahaman serta ideologi.

Cabaran kebebasan dalam ertikata merdeka daripada ideologi penjajah ini yang mesti dirungkai dan difahami secara tuntas agar generasi muda yang lahir selepas kemerdekaan dapat memahami dan mensyukuri kemerdekaan itu.

Yang menjadi momokan pada hari ini erti merdeka kita adalah bebas daripada inggeris, bebas untuk mentadbir negara dan sebagainya, namun apakah kita bebas daripada cengkaman ideologi penjajah, atau kita hanya bebas daripada jasadiah namun minda dan pemikiran masih ditakuk yang lama.

Inilah aspirasi mengisi kemerdekaan. Dalam pada itu juga bagi memastikan generasi muda memahami makna kemerdekaan mereka harus diberi maksud yang jelas apakah itu merdeka dalam diri.

Jika merdeka yang ingin ditanam sekadar menyemak sejarah tanpa diberi makna baru, maka generasi muda tidak akan mampu bersaing dengan kemajuan.

Sememangnya sejarah harus dibuka dan dipamer sebagai pengajaran untuk generasi akan datang namun tidak cukup dengan tatapan sejarah, persoalan penting bagaimana mengolah dan menjelaskan kebenaran sejarah kepada anak bangsa.

Jangan dimomok dengan peristiwa dan sejarah yang dangkal dan mengenepikan kebenaran hakikat kemerdekaan.

Hari ini kita lihat sejarah kemerdekaan hanya menampilkan kejayaan dan usaha-usaha dikalangan para pentadbir, ahli politik yang berjuang membebaskan negara dari penjajah.

Amat sedikit sekali kita melihat huraian sejarah bagaimana peranan ulama, sekolah pondok, kesedaran agama dikalangan masyarakat juga turut menjadi penyumbang kepada kesedaran rakyat tentang semangat kemerdekaan.

Hakikat merdeka juga tidak harus dipolitikkan. Bahawa merdeka yang kita perolehi ini adalah perjuangan pihak-pihak tertentu sahaja dan menafikan pihak-pihak yang lain.

Bagi memastikan generasi muda menghayati erti kemerdekaan , upaya memahami sumbangan mereka juga harus diketengahkan.

Konsep kemerdekaan tidak harus dijadikan faktor musiman. Bila datang musim dan bulan kemerdekaan sahaja kita membangkitkan soal perjuangan kemerdekaan.

Usaha meningkatkan upaya memahami tanggungjawab kepada bangsa dan negara juga harus diberi keutamaan.

Generasi muda harus diberi kefahaman secara menyeluruh melalui peringkat sekolah tentang apakah peranan mereka dalam mengisi dan mempertahankan kemerdekaan.

Umumnya memahami bahawa bila mana datang tarikh bersejarah 31 ogos maka semua rakyat akan diingatkan dengan tarikh keramat tersebut.

Namun bagaimana bentuk sambutan, pengisian yang dibentang kepada rakyat benar-benar boleh membentuk kesedaran terhadap ingatan kemerdekaan.

Bila mana sambutan merdeka dilakukan semata-mata dengan mengibar bendera jalur gemilang, menyanyi lagi merdeka sudah cukup bahawa generasi telah faham erti merdeka?

Apakah dengan program-program umum yang dianjurkan oleh pihak kerajaan mahu pun NGO tentang sambutan merdeka boleh melahirkan cinta dan kasih pada negara.

Inilah persoalan yang harus dilihat demi memastikan sambutan merdeka memberi makna yang amat mendalam dalam jiwa anak-anak muda generasi hari ini.

Seperkara lagi dalam membahaskan isu kemerdekaan ini, kita harus melihat dari sudut agama.

Agama juga memberi sumbangan besar dalam mewujudkan kesedaran bebas dari kongkongan dan batasan hidup.

Apakah merdeka nya kita daripada penjajah inggeris itu telah memberi satu dimensi baru bahawa kita benar-benar merdeka dari sudut agama khususnya orang-orang Islam.

Ini antara persoalan yang harus dikembangkan kerana generasi muda hari ini sentiasa akan mengaitkan persoalan kemerdekaan dengan agama dan kefahaman.

Sejauhmana menyambut kemerdekaan itu satu tuntutan yang selari dengan ajaran agama.

Apakah dengan mengibarkan bendera itu benar merupakan penjelmaan kasihnya kita kepada negara?

Kasih dan cinta kepada negara adalah separuh daripada iman.

Apakah golongan muda pasca merdeka benar-benar menghayati maksud hadis ini.

Apakah modul-modul yang dipakejkan bagi merangsang minda generasi muda dengan elemen jiwa merdeka dengan semangat cintakan negara?

Inilah cabaran kita dalam membentuk generasi pasca merdeka agar kesedaran ini tidak akan hanya jadi siulan, perayaan dan pesta semata-mata dalam pada itu generasi muda lupa akan falsafah dan dasar perjuangan kemerdekaan sebenar.

HASRI HARUN

Penulis adalah Presiden, Kumpulan Pengkajian Islam Malaysia ( Malaysian Islamic Study Group) Angkatan Belia Islam Malaysia UK-Eire

Sumber :http://mstar.com.my/

Sudahkah kita cukup patriotik dan nasionalis?

USIA 52 tahun bagi seorang kakitangan awam, adalah petunjuk bahawa usia persaraan kian hampir tiba. Namun bagi sebuah negara bangsa seperti Malaysia, 52 tahun usia merdeka, adalah petunjuk bahawa masih banyak usaha perlu dilestarikan.

Negara sebagai sebuah entiti berdaulat tidak boleh bersara daripada melaksanakan tiga fungsi asasinya. Pertama melindungi keselamatan wilayah dan rakyatnya.

Kedua, menjamin dan merealisasikan hak sivil warganya, dan ketiga, memberi identiti serta membina semangat kekitaan kepada penduduknya. Rakyat tanpa negara, ibarat warga Palestin, yang diusir ke sana ke mari. Negara tanpa rakyat, adalah satu ruang kosong yang tidak memberi apa-apa makna.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia kita cukup beruntung. Bertuah dalam erti kata, sudah banyak modenisasi, urbanisasi, dan kejayaan demi kejayaan yang kita kecapi.

Kita juga bertuah kerana kemerdekaan kali ke-52 tahun ini disambut dalam bulan Ramadan, bulan penuh barakhah yang dijanjikan Allah pelbagai ganjaran pahala bagi segala amal kebaikan, yang kita jayakan.

Tempoh 446 tahun usia negara dijajah, oleh pelbagai kuasa asing, hak rakyat dirampas, masyarakatnya dipecah perintah, landskap sosio-budaya diubah, ekonomi diperah, kita menjadi hamba di bumi sendiri.

Ini bahana akibat penjajahan. Ini kesan bila perpaduan tidak dipedulikan sebaliknya persengketaan jadi keutamaan. Ingatlah kembali sebab-musabab Perjanjian Pangkor pada Januari 1874 ditandatangani.

Ingatlah kembali bagaimana dengan tipu daya British dan atas nama kemanusiaan dan usaha mengamankan negeri, British mampu mentadbir negeri ini melalui peranan Residennya.

Hasil mahsul bumi diperah, kekayaan negara diratah, tidak cukup dengan itu, bagi memenuhi tembolok dan perut penjajah, dan kononnya atas dasar rakyat pribumi malas bekerja, maka ramai imigran dibawa masuk pada penghujung kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 untuk bekerja di ladang getah dan lombong bijih timah.

Bukan itu sahaja, sejarah negara ditulis semula, nama bandar, jalan, empayar Melayu diubah secara semborono, lalu dijustifikasikan kononnya pemodenan yang berlaku adalah hasil buah tangan penjajah dan kaum pendatang.

Walhal, kaum pribumi tidak diberi peluang yang wajar, jika dibina sekolah sekalipun, sekadar bertujuan ibarat melepaskan batu di tangga. Tidak lebih semata-mata mahu menjadikan anak-anak Melayu belajar menjadi petani, peladang atau nelayan yang lebih baik sedikit daripada keturunan mereka.

Semenjak merdeka, begitu banyak perubahan. Sebut apa sahaja, baik ekonomi, pembangunan politik, kesejahteraan sosial, dipacu oleh kerajaan yang dipilih rakyat. Pelbagai dasar dirangka, program dilaksana, semuanya bermatlamat untuk memenuhi keperluan rakyat.

Mengutamakan rakyat, supaya igauan penindasan secara halus, langsung mahupun tidak langsung yang dialami oleh generasi terdahulu tidak berulang menimpa generasi kini.

Lantaran itu, setiap warga Malaysia harus bertanya diri sendiri. Sudah cukup patriotikkah kita? Adakah kita faham akan susah payah, pengorbanan pimpinan, pejuang terdahulu memerdekakan negara?

Apakah pengertian dan makna Merdeka di sanubari kita? Apakah cuti Merdeka diingati sekadar satu cuti umum, melihat perarakan, berlibur ataupun tidak lebih daripada hari-hari biasa yang kita lalui.

Sama seperti Ramadan, yang ibadahnya kita jalani, adakah puasa hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, sedangkan mata, telinga, hati kita, nafsu kita, niat kita tidak berpuasa dalam erti kata sebenarnya.

Siang kita berpuasa, namun malam harinya kita asyik bercerita perihal keburukan orang. Siang kita berpuasa, namun dalam masa yang sama timbul niat tidak baik kepada saudara seagama kita.

Siang kita berpuasa, namun malamnya kita tidak mengimarahkan masjid atau surau, memperbanyakkan tadarus al-Quran, berqiamulail, beriktikaf dan berusaha menghubung silaturrahim, sebaliknya sibuk berpesta membeli belah, akibat gamitan promosi Hari Raya yang entah apa-apa.

Siang kita berpuasa, namun kita kikir untuk bersedekah, sebaliknya membazir ketika berbuka. Kita remehkan anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin.

Bantuan diberi kita alunkan dengan liputan media secara besar-besaran, walhal konsep sedekah dalam erti kata yang sebenarnya, 'tangan kanan yang memberi, tangan kiri pun tidak akan sedar perihal pemberian tersebut'.

Demikian juga darihal Merdeka, jika pengertian Ramadan hakiki mahu diserapkan dalam usaha menghayati Merdeka di bulan Puasa. Patriotik dan nasionaliskah kita, jika kita asyik menyatakan keburukan kerajaan yang selama ini menjaga keselamatan dan kebajikan kita?

Patriotik dan nasionaliskah kita jika kerajaan yang selama ini membantu menjayakan agenda pendidikan anak-anak kita dituduh dengan pelbagai tohmahan dan kata nista yang tiada kesudahannya?

Patriotik dan nasionaliskah kita, jika hanya kerana berebut kuasa politik, saudara seagama kita kafirkan, rakyat kita peralatkan, agama jadi mainan dan keamanan jadi taruhan.

Patriotik dan nasionaliskah kita, jika amanah yang diberi pada kita dijadikan laluan untuk berlaku rasuah dan salah guna kuasa? Patriotik dan nasionaliskah kita jika kekayaan yang kita perolehi berkat dinamisme dasar kerajaan, namun akhirnya dengan kekayaan yang kita ada digunakan pula untuk meruntuhkan tamadun yang sedia ada?

Patriotik dan nasionaliskah kita jika kita asyik merungut itu dan ini, mengharapkan kerajaan memberi itu dan ini, sedangkan kita sendiri sebagai warganegara tidak pernah ataupun masih kurang dalam mewakafkan diri kita dalam usaha berkorban untuk negara.

Jika kesemua persoalan ini mampu dijawab, difahami, dimuhasabahkan, dipraktik secara jujur dan ikhlas, barulah rahmat Merdeka di bulan Ramadan yang mulia ini mampu menyerlahkan barakahnya.

Biarlah seluruh rakyat Malaysia dapat hidup sebagai satu bangsa, satu suara, satu hasrat, Satu Malaysia dengan mengutamakan perpaduan, kemajuan, keharmonian dan kemajuan berterusan.

SOBRI SUDIN

Alor Setar, Kedah

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Jangan sekadar laung 'merdeka'

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

''Saya memantau banyak Facebook status sepanjang minggu ini dan apa yang saya dapati agak menakutkan. Sebahagian anak muda Melayu, bukan sekadar berbeza pendapat dengan pemimpin negara malah ada di antaranya yang menunjukkan kebencian kepada negara, Jalur Gemilang dan sambutan Hari Kemerdekaan itu sendiri. Saya fikir ini cukup berbahaya."

Demikianlah bunyi sebahagian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima oleh seorang menteri kanan menjelang detik 12 tengah malam, 31 Ogos iaitu ketika negara di ambang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 semalam.

SMS itu sudah menunjukkan dengan jelas betapa erti dan nilai kemerdekaan yang sebelum ini begitu disanjung oleh generasi-generasi sebelum merdeka semakin terhakis di kalangan generasi muda.

Bagi sebahagian golongan muda kemerdekaan bererti kebebasan dengan berkumpul di tempat-tempat di mana ambang kemerdekaan akan disambut hatta biarpun di bulan Ramadan.

Ia menjadi semakin meriah apabila ada VVIP yang hadir biarpun sepatutnya VVIP berkenaan berada di Masjid Negara bagi menghadiri majlis doa selamat.

Semua keadaan ini sebenarnya adalah satu ancaman yang semakin menular di kalangan rakyat Malaysia. Perasaan sayang kepada negara semakin terhakis di kalangan generasi muda dan mereka juga tidak akan sama sekali memahami betapa bernilainya sebuah kemerdekaan.

Oleh itu, kita tidak perlu membuang masa berhujah atau membuat seruan supaya menghargai dan mengingati jasa-jasa pejuang kemerdekaan, kerana sebahagian generasi muda tidak akan mempedulikan itu semua.

Pemikiran dan pandangan mereka tidak lagi serupa dengan generasi sebelum merdeka atau generasi yang mengenal sejarah. Kita kini berhadapan dengan generasi Facebook, Myspace dan entah-entah apa-apa lagi kelompok yang lebih mengenal sejarah hidup artis atau ahli sukan berbanding pahlawan-pahlawan bangsa.

Malah kita juga tidak perlu berasa terkejut kalau dalam kalangan generasi berkenaan untuk menyebut lima menteri Kabinet pun mereka tidak tahu, apatah lagi meminta mereka menghuraikan siapa itu Tok Janggut.

Inilah realitinya dan inilah juga generasi yang sering kita laung-laungkan sebagai pewaris masa depan negara. Persoalannya, apakah masa depan negara itu akan benar-benar wujud atau 52 tahun lagi, Malaysia sudah tiada identiti bangsanya?

Semua ini tidak mustahil akan berlaku jika generasi tersebut terus 'dijajah' akibat ledakan teknologi maklumat sekarang. Kehilangan identiti bangsa tersebut sekali gus akan meletakkan Malaysia dalam bahaya. Impian untuk melihat kita maju dengan acuan sendiri hanya akan menjadi satu mimpi indah yang mengasyikkan.

Persoalannya, sebelum terlambat apakah yang boleh kita lakukan, bagi mengembalikan sebahagian generasi muda ini untuk memahami betapa besarnya erti sebuah kemerdekaan dan betapa pentingnya mereka menghargai negara sendiri?

Setakat ini, kita harus akui tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan oleh mana-mana pihak untuk menanam semangat patriotik di kalangan generasi muda.

Kita hanya melaungkan seruan mengibarkan Jalur Gemilang atau menjerit 'merdeka' bersama-sama mereka di malam 31 Ogos, tetapi selepas itu apa kesannya?

Parti-parti politik pula lebih banyak bercakaran sesama sendiri demi merebut kuasa. Kalau ada sedikit sahaja isu berkaitan kaum yang boleh dieksploitasikan, mereka akan menggunakannya habis-habisan. Mereka tidak peduli kesannya kepada generasi muda.

Mereka tidak mahu memikirkan bahawa generasi muda melihat apa yang mereka lakukan dan ia kesudahannya akan menjadi contoh. Akhirnya yang akan menjadi mangsa ialah negara.

Justeru janganlah memandang ringan fenomena tidak sayangkan negara yang semakin menular di kalangan generasi muda tersebut. SMS yang dipaparkan pada awal rencana ini, sudah jelas membuktikan bahaya yang menanti kita.

Kita tidak pasti, apa yang akan dilakukan oleh kerajaan dan apa pula sumbangan parti-parti pembangkang dalam soal ini.

Selagi semangat meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya, maka selagi itu generasi muda akan terus hanyut dengan dunia mereka.

Tokoh-tokoh politik yang ada sekarang akan meninggalkan alam fana ini apabila tiba masanya, oleh itu kalau benar mereka sering melaung-laungkan untuk mewariskan sebuah negara yang aman, damai dan maju dengan identiti sendiri maka mereka perlu bertindak daripada sekarang untuk menyedarkan generasi muda daripada terus hanyut dengan dunia mereka.

Malaysia sudah 52 tahun mereka, Malaysia memerlukan pewaris bangsa yang mempunyai identitinya sendiri dan bukan 'kembali dijajah' dengan budaya luar.

Semua ini hanya akan mampu tercapai seandainya, daripada sekarang kita menerapkan kepada mereka untuk menghargai kemerdekaan dalam erti kata sebenar. Kita harus faham sama ada sesebuah negara itu mampu terus merdeka atau tidak, ia bergantung kepada pewaris pemerintahan negara.

Semoga pihak-pihak berkenaan tidak memandang ringan isu yang dibangkitkan dalam SMS yang diterima oleh menteri tersebut. Janganlah kita terlalu ghairah mengejar soal-soal mencapai kemajuan dari segi fizikal tetapi dari segi semangat cintakan negara ia semakin pudar.

Apalah gunanya segala kemajuan yang dinikmati kalau akhirnya rakyat Malaysia ibarat pelarian di negara sendiri. Tiada gunanya 52 tahun lagi kita hanya menjerit 'merdeka' sedangkan segala-galanya sudah menjadi milik asing tidak kira siapa pun mereka.

Sumber: http://www.utusan.com.my/