Jumaat, 19 April 2013

ISU BAHASA : Jaga Budi Bahasa Ketika Berpolitik


Dengan bahang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dirasai semakin hangat, kempen politik dalam saluran alam maya turut dilihat semakin rancak dan menyengat dengan ada yang melampaui batas norma masyarakat.

Selain media konvensional, laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram turut menjadi 'medan pertempuran' anggota dan penyokong parti-parti politik.

Kempen-kempen politik ini dilihat seolah-olah tidak mempunyai batasan. Malahan sejak kebelakangan ini masyarakat Malaysia dikejutkan dengan siri video seks membabitkan ahli politik manakala penulisan politik dalam Internet banyak yang berunsur memaki-hamun.

Tinjauan umum penulis terhadap komen di beberapa laman sesawang seperti laman Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat, menunjukkan penyokong masing-masing saling mencemuh dan mengulas mengikut emosi.

Perkara yang sama turut berlaku dalam komen di laman berita atas talian seperti Malaysiakini dan Harakahdaily.

BOSAN, SEMAK KEPALA

Tetapi perkembangan ini sesuatu yang tidak disenangi oleh masyarakat Malaysia yang selama ini berpegang kepada nilai-nilai murni dan budi pekerti yang baik. Tinjauan rambang penulis mendapati, kebanyakan anggota masyarakat bukan hanya tidak selesa bahkan kecewa dengan perkembangan ini.

"Nak politik, politiklah, tapi bila dah tak jaga adab dan bahasa saya memang tak suka. Buat bosan dan semak kepala sahaja," ujar Aini Dalila Jusoh, 28, yang berasal dari Johor.

Aini turut menyelar individu-individu yang beliau kenali bertindak menghantar mesej-mesej kempen pilihan raya yang tidak wajar ke akaun Facebook miliknya. Bagi Aini, tindakan itu hanya mengganggu privasinya. Rakan karib beliau, Suniza Hanim Abdullah bersetuju dengan hal ini.

"Jika ikutkan hati, mahu sahaja saya buang mereka daripada senarai rakan saya di laman sosial," katanya yang aktif di Facebook dan Instagram menggunakan telefon pintar.

HUJAH DENGAN FAKTA

Kakitangan kerajaan, Mohamad Sayuti Wan Chik, 30, pula berpendapat, dalam keghairahan mempertahankan pendirian dan ideologi politik masing-masing, cara berkomunikasi untuk meraih sokongan tidak patut diabaikan.

Beliau tidak bersetuju bila kata-kata kesat digunakan.

"Kita semua ada pendirian dan ideologi politik masing-masing... kalau nak berhujah, biarlah dengan fakta, bukan hanya emosi dan andaian," kata Sayuti.

Pendekatan yang harus diambil adalah dengan menggunakan bahasa yang sopan, mudah difahami, mengelakkan provokasi serta mengajak pembaca supaya berfikir tentang isu yang dibawa.

"Dalam berdakwah kita tidak berkasar, biar la kita cakap berkali-kali pun tidak apa asalkan dengan cara yang lembut," katanya. Tambahnya beliau lagi, komen-komen dalam bentuk tulisan di laman sosial juga amat mudah disalah tafsir oleh pembaca kerana ia tidak menggambarkan intonasi sebenar penulis.

IMPAK KEPADA GENERASI MUDA

Seorang guru, Nasaruddin Rahmat berkata, capaian kepada maklumat tanpa tapisan mengakibatkan para pelajar terdedah kepada bahan-bahan negatif di Internet, khususnya yang berkaitan dengan politik dan pilihan raya.

"Ada dua perkara yang merunsingkan para guru tentang murid-murid sekarang. Pertama adalah tentang penyebaran video seks ahli politik dan kedua adalah kata-kata maki-hamun dalam penulisan-penulisan politik di Internet.

"Video-video itu sendiri sudah membawa pengaruh buruk, kemudian bila kita baca komen-komen di bawahnya (ruangan komentar), lebih memburukkan keadaan, tak kiralah orang itu terpelajar atau tidak, semua nak lepas geram di situ," katanya yang telah berkhidmat selama 18 tahun.

Jelasnya, jika perkara ini dibiarkan, tidak mustahil negara ini akan dipenuhi dengan generasi muda yang rendah budi pekertinya. Peka dengan sebarang perkembangan baru di Internet, Nasaruddin juga kesal melihat sebahagian besar yang terlibat dalam gejala negatif ini terdiri daripada masyarakat Melayu.

"Bahasa melambangkan bangsa. Orang lihat kualiti diri kita dengan cara kita berbicara," katanya lagi.

Nasaruddin turut menyeru calon-calon pilihan raya supaya menumpukan pada isu sebenar yang memberi nilai tambah kepada rakyat.

"Kita ada masalah yang nyata hari ini. Contohnya, isu kenaikan harga minyak dan barang-barang runcit, orang susah, pendidikan dan banyak lagi.

"Sebaiknya para calon bentangkan kepada rakyat cadangan mereka untuk mengatasi masalah ini," katanya.

TERLALU BEREMOSI MEMBURUKKAN PARTI

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) Mohd Khair Ngadiron ketika dihubungi Bernama berkata, tindakan-tindakan sebegini berlaku kerana pihak yang melakukannya terlalu beremosi untuk mempertahankan ideologi masing-masing.

"Bila terlalu beremosi, emosi akan menguasai diri dan kematangan akan hilang," kata beliau.

Mohd Khair yang bersetuju bahawa keadaan ini berlaku dalam semua parti, juga melahirkan kebimbangannya kerana tindakan sebegini tidak memberi natijah atau sudut pandang yang baik terhadap parti, mahupun calon yang bertanding.

"Saya khuatir ia akan menjadi senjata memakan tuan. Niat nak serang pihak lawan tetapi tidak berlaku kerana orang akan bersimpati... ibarat orang yang dipukul kemudiannya dipijak-pijak, selepas itu orang ramai akan bersimpati kepadanya," jelas Mohd Khair.

TUNJUK CONTOH BAIK, LUAH RASA TIDAK SENANG

Untuk menghadapi situasi ini, Mohd Khair berkata, kepimpinan tertinggi semua parti perlu menunjukkan contoh yang baik kepada ahli masing-masing agar menjadi ikutan.

"Pemimpin tertinggi biasanya agak baik bahasanya, tapi bila peringkatnya semakin ke bawah, semakin bertambah-tambah penggunaan bahasa kasar... ibarat guru kencing berdiri, muridnya kencing berlari," tegas Mohd Khair.

Ketika ditanya mengenai tindakan yang perlu diambil oleh golongan majoriti senyap dalam menghadapi keadaan ini, beliau berkata, mereka perlu menyuarakan pendapat mereka dengan cara yang baik.

"Tegurlah mereka dengan cara yang baik, apabila golongan ini faham bahawa orang tidak suka apa yang mereka buat, harap-harap mereka akan berhenti. Janganlah hanya membantah dalam hati," tambah Mohd Khair lagi. -BERNAMA

ISU KESIHATAN : e-Rokok bukan pilihan untuk berhenti merokok


Oleh :  RAHMAWATI NURDIN

RAMAI perokok tegar mendakwa rokok elektronik atau e-rokok mampu menjadi pilihan untuk mengurangkan tabiat merokok dan sekali gus mampu membuang tabiat merokok mereka sejak bertahun-tahun lamanya.

Tetapi, tanpa disedari, sebenarnya rokok elektronik ini mengundang pelbagai penyakit kronik seperti penyakit jantung dan paru-paru kepada mereka yang menggunakannya.

Berdasarkan kajian terbaharu yang dibentangkan dalam Laporan Kongres Tahunan Persatuan Pernafasan Eropah (ERS) mendapati e-rokok ini mampu merosakkan paru-paru.

Alat itu didapati mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap oleh darah hingga mengakibatkan peningkatan segera dalam rintangan udara paru-paru.

Perkara ini juga disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengatakan bahawa "tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai bahan gantian kepada nikotin".

Oleh itu, pihak pengeluar harus melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok.

Malah, kenyataan ini juga disokong oleh Jabatan Kesihatan Kanada (2009) yang berpendapat penggunaan e-rokok tidak digalakkan kepada rakyatnya kerana mempunyai kesan negatif  atas penggunaannya.

Kesimpulannya, pengambilan rokok elektronik sememangnya mempunyai impaknya yang tersendiri terhadap kesihatan sama dengan rokok tembakau.

Terdapat pelbagai alternatif lain yang boleh membantu dalam usaha mengurangkan tabiat merokok. Namun, semuanya terpulang kepada diri anda sendiri, sejauh mana anda nekad untuk berhenti merokok?

Ingatlah kesihatan sangat berharga dan ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

UPM, SERDANG.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/