Jumaat, 4 April 2014

Isu Pendidikan : Pendidikan negara : Apa yang tak kena?

Dr Frederico Gil Sander

Oleh : DR NAZIL NUHAIRI B ISMAIL

TERSENTAP seketika membaca komen daripada pakar ekonomi Bank Dunia Dr Frederico Gil Sander di dalam satu majlis anjuran Pemandu di Damansara yang memberitahu mutu pendidikan di Malaysia jatuh merudum berdasarkan Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA) lebih membimbangkan daripada kejatuhan kewangan.

Tambah beliau, mutu pendidikan di Malaysia lebih teruk daripada Vietnam dengan menduduki tangga ke-52 daripada 65 negara yang terlibat.

Apa yang berlaku kepada pendidikan kita ni? Sehingga dikritik tajam dan pedas oleh masyarakat luar? Adakah ini satu persepsi buruk yang direka ataupun fakta yang nyata? Pelbagai persoalan menerjah kotak fikiran yang menunggu jawapan segera.

Memetik kata-kata Nelson Mandela “Education is the most powerful weapon which you can use to change the world”. Tamadun manusia masa hadapan ditentukan oleh pendidikan hari ini.  Generasi yang kita didik hari ini akan menentukan generasi masa depan.

Sebuah negara perlukan generasi mapan untuk meneruskan kecemerlangan pencapaian kemajuan. Masa depan negara terletak di tangan generasi kini dan acuan bentuk generasi kini ditentukan oleh warna pendidikan.

Dasar pendidikan di Malaysia bermula selepas tarikh kemerdekaan. Bermula dengan laporan Barnes yang mensasarkan pendidikan Malaysia menjadi alat perpaduan kaum dengan mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Selepas itu dasar pendidikan terus mengalami evolusi dan transformasi sejajar dengan kehendak semasa.

Pada tahun 1983, antara perubahan penting pendidikan negara dengan perlaksanaan KBSR bermatlamat perpaduan dan peningkatan penguasaan 3M (menulis, membaca dan mengira) dalam kalangan pelajar.

Dasar ini diikuti dengan dasar KBSM yang menggabungkan antara ilmu dan syahsiah diri pelajar. Di samping itu,  pendidikan kemahiran terus diperkasakan. Ini semua bertujuan memenuhi keperluan semasa perancangan kemajuan negara.

Namun beberapa permasalahan timbul melanda pendidikan negara. Pengenalan Dasar Penswastaan yang tidak terkawal mengakibatkan tumbuhnya kolej dan institusi pendidikan yang lebih bermatlamatkan keuntungan daripada pembinaan insan.

Sekolah dan universiti tumbuh begitu subur bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan sehinggakan graduan lepasan institusi  pengajian tinggi melebihi keperluan dan membuka masalah pengangguran dalam kalangan siswazah.

Fenomena ini menggambarkan seolah-olah pembinaan sekolah  dibuat tanpa kajian kehendak pasaran, sebaliknya dibina untuk mengaut kekayaan hasil daripada  yuran pengajian pelajar.

Bertambah derita lagi apabila  pelajar terpaksa "mendokong biawak" hutang selepas graduasi. Sudahlah tiada pekerjaan yang diharapkan, dikejar pula oleh pengutip hutang tanpa kasihan.

Betapa ramai graduan pelbagai  bidang  khususnya  bidang perguruan menjadi siswazah penganggur. Inilah akibat daripada ketamakan pihak pembuat dasar yang meletakkan keuntungan mengatasi kebajikan rakyat.

Pengenalan pembelajaran Sains dan Matematik  dalam bahasa  Inggeris merupakan satu lagi malapetaka kepada sistem pendidikan negara. Bahasa Malaysia yang diangkat menjadi instrumen penyatu rakyat negara Malaysia selama  ini seolah-olah  diketepikan.

Tanpa sebab yang konkrit, dasar ini ingin diteruskan walaupun mendapat tentangan daripada cendekiawan  bahasa, guru dan NGO yang melihat nasib bangsa Malaysia menjadi taruhan disebabkan oleh keras kepala pemerintah dan kedegilan mereka. Hal ini telah mengundang demonstrasi jalanan yang bersaiz mega menempelak pelaksaann dasar ini. Jutaan wang pembayar cukai dibazirkan untuk persediaan dasar pengajaran bahasa Inggeris ini.

Apa hasilnya sekarang? Generasi hari ini terpaksa mencuci  "kotoran"  yang ditinggalkan oleh orang terdahulu.

Kini heboh pula  program baharu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Sepintas lalu nampak matlamatnya murni, meningkatkan sistem pendidikan Malaysia setaraf dunia. Penilaian pencapaian murid berdasarkan pemerhatian guru kepada murid  tidak  lagi merujuk kepada markah peperiksaan sebaliknya lebih melihat kepada bakat dan penguasaan akademik pelajar.

Di peringkat perlaksanaan, PBS mendapat tentangan yang hebat daripada warga pendidik. Guru dikatakan dibebani oleh kerja-kerja "kepejabatan" sehingga mengabai kerja hakiki guru iaitu mendidik generasi muda. Sehingga kini, perdebatan perlaksanaan PBS ini panas diforumkan. Sang menteri mengatakan guru tidak terbeban, telah dibuat penambahbaikan sehingga 80 peratus kerja telah dikurangkan. Di kalangan guru, menyuarakan hanya guru sahaja yang memahami beban PBS ini.

Melihat konflik yang melanda pendidikan negara, kita amat  khuatir dan bimbang tentang generasi masa hadapan negara. Masa terus berlalu tanpa menunggu kita. Pencapaian pendidikan yang terus merosot amat merisaukan. Generasi bagaimanakah yang akan menggantikan kepimpinan negara  pada masa hadapan?

Kita amat mengharapkan golongan pemerintah dan cendekiawan pendidikan dapat berbincang dan duduk bersama-sama  untuk merangka pelan pendidikan terbaik Negara, bukannya menunjuk kuasa dan ego keras kepala.

Demi kebaikan negara dan anak cucu kita, sudah-sudahlah bercakaran . Ini bukan masa untuk berkata nista. Ini masa untuk bermuhasabah dan mengatur kerja demi negara tercinta.

Penulis ialah Pengerusi Persatuan Profesional Islam (PROMIS)

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/