Selasa, 22 Januari 2013

ISU SOSIAL : Pindaan Akta SPRM 2009 perkukuh kuasa suruhanjaya


Oleh : Akhbar Satar
 
Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) mencadangkan agar Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 ditambah baik dan satu seksyen baru diperkenalkan bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap kesalahan rasuah.

Sudah tentu setiap undang-undang yang diperkenalkan ada sedikit sebanyak kelemahan dan  perlu dipinda untuk memperkemaskannya mengikut keadaan semasa. Lazimnya, perasuah   mempunyai fikiran kreatif untuk mendapatkan projek dan akan mencari jalan untuk mengatasi sebarang kelemahan undang-undang atau peraturan sedia ada.

Mengikut kajian Association of Certified Fraud Examiners, dalam masa kurang daripada 15 bulan sesuatu undang undang atau peraturan berjaya diatasi atau dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ada tiga cadangan yang sudah dikemukakan Pengerusi JKMR, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, iaitu menambah baik Seksyen 23 dan Seksyen 26, manakala satu seksyen ditambah bagi memperkemaskan  Akta SPRM 2009 yang sedia ada.

Bersabit dengan Seksyen 23 Akta SPRM yang memperuntukkan bahawa seorang penjawat awam tidak boleh menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya untuk mendapat suapan rasuah, seseorang pengerusi atau ahli dalam sesuatu mesyuarat yang mempunyai kepentingan tidak boleh terbabit dalam membuat keputusan. Pada praktiknya, mereka ini akan meninggalkan bilik mesyuarat supaya ahli lain yang tiada kaitan membuat keputusan tender atau kontrak tetapi kaedah ini tidak memberi kesan yang baik. Kebanyakan keputusan masih memihak kepada orang yang sama. Hal ini kemungkinan besar akan berlaku  kerana ahli mesyuarat bimbang akan masa depan jawatan mereka yang mereka sandang atau mereka membuat pakatan terlebih dulu.

Wujud jawatankuasa khas

Untuk mengatasi kelemahan peruntukan sedia ada disyorkan bahawa apabila situasi demikian berlaku, maka mesyuarat terbabit perlu ditangguhkan dan dirujuk kepada satu jawatankuasa khas yang bebas dan layak membuat keputusan.

Buat masa ini, penulis berpendapat mekanisme ini adalah cara terbaik bagi menangani isu terbabit. Jika sesiapa melakukan kesalahan ini dan disabitkan boleh dipenjara selama tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. Apa yang dirisaukan ialah perasuah akan menggunakan sekutu (proksi) secara berleluasa untuk mendapat kontrak. Penulis yakin kepakaran SPRM mampu mengatasi masalah ini atau jika modus operandi mereka berubah.

JKMR juga mengesyorkan supaya kerajaan meminda peruntukan dalam Seksyen 36 Akta SPRM bagi membolehkan SPRM jika mempunyai maklumat boleh terus menyiasat pemilikan harta seseorang dengan hanya notis pengisytiharan kepada yang disyaki terbabit dengan perlakuan rasuah. Dalam undang-undang sedia ada, SPRM tidak mempunyai kuasa untuk terus meminta seseorang yang disyaki membuat pengisytiharan tanpa terlebih dulu menjalankan siasatan ke atas kesalahan rasuah. SPRM perlu membuka fail dan menjalankan siasatan di bawah kesalahan kes rasuah barulah SPRM dapat mengeluarkan notis pengisytiharan kepada yang disyaki. Peraturan ini memerlukan yang disyaki menjawab notis itu, sekiranya gagal dia akan turut menerima hukuman.

Bagi seseorang yang dikehendaki mengisytiharkan harta, mereka terikat untuk mendedahkan segala maklumat yang benar dengan memberi kenyataan bersumpah, termasuk menjelaskan bagaimana mereka dapat memiliki harta itu kepada SPRM. Penulis percaya SPRM akan menggunakan penyiasat terbaik, digabungkan dengan pakar undang-undang dan akauntan forensik yang memahami selok-belok sistem dan penipuan kewangan seperti diamalkan Serious Fraud Office (SFO) di United Kingdom.

Diperluaskan kepada sektor swasta

Sehubungan dengan itu, jika seseorang disyaki sama ada gagal mematuhi arahan tidak menghantar notis kepada SPRM atau jika gagal memberi penjelasan yang memuaskan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai lebihan itu, jika lebihan itu dapat dinilai atau RM10,000 mengikut mana  yang lebih tinggi.

Selain itu, satu daripada kelemahan dalam undang-undang sedia ada ialah ketiadaan undang-undang khusus berhubung liabiliti korporat yang boleh menyebabkan syarikat terlepas daripada pendakwaan dan hukuman walaupun rasuah dilakukan kakitangan adalah demi manfaat syarikat.

Justeru, liabiliti korporat ini perlu diperluaskan kepada sektor swasta juga dan tidak terhad kepada penjawat awam. Tanpa liabiliti korporat, hanya individu tertentu dalam syarikat saja menanggung implikasi pendakwaan dan hukuman, sedangkan syarikat tidak terjejas.

Dengan adanya implikasi perundangan dicadangkan, syarikat perniagaan akan lebih peka terhadap keperluan untuk memastikan entiti perniagaan mereka tidak terdedah kepada risiko pendakwaan dan hukuman.

Bagi penulis ia mampu memberi impak besar dalam usaha membasmi rasuah dan penyelewengan jika SPRM mencadangkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) supaya syarikat terbabit dalam rasuah dibatal pendaftarannya.

Penulis berkhidmat di Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Titisan Cinta (Buat Sang Murabbi)


 Siraman tarbiah sang guru,
 Membajai hati-hati yang rosak,
 Meluluhkan hati-hati yang keras,
 Menyinari hati-hati yang malap,
 Menyuburkan hati-hati yang gersang,

Sehingga hati-hati ini bercambah
Kecintaan  kepada-Mu Ya Rabb,

Sehingga hati-hati ini subur
Kecintaan  kepada kekasih-Mu Solallahu ‘Alaihi Wasallam,

Sehingga hati-hati ini yang semalamnya
Semacam tiada harapan sembuh,

Lantas titisan kalam di bibirmu,
Membuat hati-hati ini luruh dalam kesayuan,
Membuat mutiara jernih mengalir di alis mata,

Moga, titisan air mata ini,
Menjadi saksi di hadapan-Mu nanti,
Ya Arhamar Rahimin,Ya Arhamar Rahimin, Ya Arhamar Rahimin…

Sumber : http://jomcintarasulullah.blogspot.com

Nota hujung :
Muarabbi - orang yang mendididik atau membimbing.

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Formula selesai isu gaji maksimum bulan depan


PUTRAJAYA - Kerajaan dijangka mengumumkan penetapan gaji dua hingga lima peratus bagi penjawat awam yang sudah mencapai tahap gaji maksimum atau ‘gaji mati’ pada Februari ini, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat kajian teliti bagi menangani masalah penjawat awam yang berprestasi baik dan cemerlang dengan markah 80 peratus ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) mereka tetapi sudah mencapai gaji maksimum dan tidak memperoleh kenaikan pangkat kerana tiada kekosongan.

"Saya tidak mahu melihat penjawat awam yang menjalankan tugas dengan cemerlang tetapi mendapat gaji statik. Ini yang saya mahu atasi.

“JPA sedang memuktamadkan senarai yang ada. Mereka sedang meneliti rekod perkhidmatan. Selalunya akan ada kenaikan biasa gaji, tetapi dalam kes ini kita mahu selesaikan kes mereka yang sudah mencapai tahap statik.

“Kami perlu berbincang dengan Perbendaharaan mengenai implikasi kewangan.

Kerajaan amat positif mengenainya. Mereka faham gaji statik bukannya jawapan kepada penjawat awam yang berprestasi cemerlang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum itu, Ali menyampaikan Amanat 2013 kepada kira-kira 4,000 penjawat awam pelbagai kementerian dan jabatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Majlis yang dilaksanakan menerusi ‘live-streaming’ itu turut boleh disaksikan penjawat awam di seluruh negara.

Dalam amanatnya, Ali menyarankan penjawat awam memainkan peranan dalam sektor luar negeri khususnya untuk memahat nama Malaysia di persada antarabangsa.

Beliau berkata sektor domestik dan luar negeri adalah sama penting untuk memacu agenda transformasi negara ke arah merealisasikan Wawasan 2020.

“Semua penjawat awam, baik di dalam mahupun di luar negara, perlu terus bekerjasama dan bergerak sebagai satu pasukan untuk memastikan kecekapan penyampaian, keberkesanan pengurusan dan amalan diplomasi yang proaktif demi mempertahan dan mempromosi kepentingan Malaysia.

“Kita juga perlu sentiasa mengintai atau mencari peluang-peluang baharu dalam mempromosi imej negara, selain juga menerokai pasaran atau pelaburan baharu untuk negara,” katanya.

Selain itu, Ali juga menyarankan penjawat awam agar lebih peka dan responsif dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan kerajaan.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 telah mengumumkan 111 perkara melalui penjanaan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama di semua peringkat, tidak mengira sama ada ketua jabatan, pegawai pengurusan mahupun kumpulan pelaksana, diharapkan dalam memastikan kelangsungan serta kelancaran pelaksanaan keputusan-keputusan tersebut agar matlamatnya tercapai dengan jayanya.

“Sebagai penjawat awam yang prihatin dengan wawasan kerajaan, hendaklah bertindak lebih proaktif untuk memudahkan dan bukan menyusahkan,” katanya.

Pada majlis yang sama, Ali melancarkan buku bertajuk 'Pengamalan Budaya Ketepatan Dalam Gagasan 1Malaysia:Transformasi Ke Arah Pembentukan Negara Maju' dan buku kecil "Gagasan 1Malaysia " dalam lima bahasa. - Bernama

ISU SOSIAL : SPRM Beri Pendedahan Kepada Bakal Guru Langkah Perangi Rasuah


Oleh :  KEMALIA OTHMAN

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia memberi pendedahan mengenai jenayah rasuah kepada bakal guru menerusi program Sekretariat Pencegahan Rasuah Institut Pendidikan Guru (IPG) sebagai langkah awal memerangi rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sri Abu Kassim Mohamed berkata, sekretariat ini merupakan model percubaan SPRM sebelum dikembangkan ke seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS).

"Ia merupakan langkah SPRM membendung amalan ini dari peringkat awal. Kerjasama dengan IPG akan menjadi perintis dalam usaha awal penubuhan sekretariat ini.

"Kita akan adakan program-program di setiap IPG di seluruh negara yang akan dikendalikan oleh SPRM peringkat negeri," katanya selepas Majlis Pelancaran Sekretariat Pencegahan Rasuah Institusi Pendidikan Guru, di sini, Selasa.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Puad Zarkhashi.

Tambah beliau, SPRM sudah merangka pelbagai program kesedaran untuk dilaksanakan oleh sekretariat tersebut dan bagi tujuan itu SPRM turut memperuntukkan sebanyak RM51,000 sebagai dana permulaan bagi mengerakkan sekretariat ini.

"Kita sudah merancang program-program bersama komuniti masyarakat setempat, penghayatan dan kesedaran tentang budaya rasuah sebagai satu jenayah yang harus diperangi di Malaysia.

"Sebagai dana awal untuk menggerakkan sekretariat ini, SPRM telah menyumbang sebanyak RM3,500 kepada 27 buah IPG di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Mohd Ghazali Abdul Rahman berkata, program ini merupakan latihan asas kepada semua bakal guru untuk disampaikan kepada pelajar mereka kelak.

"Kita mahu guru-guru terlebih dahulu diberi pendedahan tentang gejala rasuah ini. Ini kerana di sekolah kita tidak ada silibus atau mata pelajaran berkaitan rasuah, jadi adalah penting untuk semua bakal guru disiapkan dengan ilmu berkaitan bahaya rasuah agar mudah untuk diaplikasikan kepada anak murid nanti," katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Hargai hasil penyelidikan kita


Oleh : Ruhaiza Rusmin

PENULIS pernah ditanya, adakah penyelidik di negara kita sudah ketandusan idea hingga menjadikan sektor penyelidikan tempatan tampak lesu.

Berita atau laporan mengenai kejayaan penyelidikan tempatan juga kurang dipaparkan di akhbar dan media tempatan.

Malah, bilangan hasil kajian boleh dibilang dengan jari selain kesukaran mahu melihat kejayaan penyelidik tempatan yang mampu ‘menggegar’ dunia tambah memburukkan persepsi.

Lebih pahit untuk ditelan, ada beranggapan hasil penyelidikan tempatan tidak setanding berbanding luar negara malah dilakukan atas dasar melepaskan batuk di tangga selain tiada nilai komersial biarpun yang mengha­silkan berstatus bijak pandai.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Ir Dr Mohd Saleh Jaafar, berkata tidak benar penyelidik di negara ini ketandusan idea hingga menyebabkan hasil ciptaan mereka kurang menyerlah atau tidak mampu dikomersialkan.


Beliau berkata, kekurangan penghasilan ciptaan atau kajian itu disebabkan kekangan tertentu menyebabkan jumlah penghasilan tidak mencapai sasaran.

“Jika ada pihak cuba mempertikaikan kewibawaan penyelidik ini dengan mengatakan mereka tidak produktif, saya kurang bersetuju.

“Isunya bukan tiada idea, cuma kekangan tertentu, memberi kesan terhadap kuantiti penghasilan itu.

“Ini menjadikan masyarakat seperti tidak nampak apa yang dihasilkan barisan penyelidik tempatan,” katanya.

Potensi pengkomersialan hasil penyelidikan adalah besar memandangkan negara ini hanya mengkomersialkan 3.5 peratus hasil penyelidikan berbanding purata 10 peratus di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, menjadi tugas hakiki penyelidik mencambah idea baru sebagai satu sumbangan kepada masyarakat selain proses pengembangan ilmu sebagai pemangkin penyelidikan.

“Mereka tidak boleh lari daripada sentiasa berfikir bagaimana mahu menghasilkan kajian demi kajian. Idea serta kemahuan memang ada kerana mempunyai jiwa penyelidik.

“Setiap masa, mereka akan bertanya soalan demi soalan untuk mencari jawapan selain mahu menjadikan idea itu realiti.

“Tapi, mereka juga tidak dapat menolak faktor halangan bagi merealisasikan idea itu. Berapa ramai yang faham situasi ini biarpun potensi untuk pengkomersialan tetap wujud,” katanya.

Antara kekangan utama ialah penawaran bantuan kewangan yang terbatas, masa dan kurang mendapat sokongan industri secara menyeluruh.

“Penyelidikan adalah proses yang perlu dilakukan secara berterusan dan memerlukan dana kewangan banyak.

“Bagaimanapun, bantuan ditawarkan selalunya rendah daripada nilai diminta menjadikan penyelidikan bertambah terhad dan hanya menjurus pada bidang tertentu yang boleh memberi pulangan setimpal.

“Biarpun ramai penyelidik ingin berkongsi hasil idea atau kajian, mereka terpaksa mengorbankan keinginan itu kerana faktor halangan dan kesannya, kuantiti kajian juga jatuh,” katanya.

Mengakui setiap aspek ada cabaran tersendiri, beliau bagaimanapun kurang selesa apabila masyarakat terus mempertikai, mempersoal dan melemparkan tanggapan rendah terhadap penyelidik tempatan.

“Bidang penyelidikan besar kepentingannya dalam meninggikan taraf kehidupan manusia. Tapi, masyarakat juga perlu menerima hakikat bahawa penyelidikan adalah proses berasaskan gabungan semua aspek seperti dana, masa, ilmu, paten, kajian dan uji kaji.

“Banyak frasa kajian atau ujian yang kompleks perlu dilakukan sebelum hasil kajian itu diperkenalkan supaya ia menepati piawaian, memberi impak paling maksimum selain tidak memudaratkan.

“Aspek ini perlu difahami dan sangat meletihkan. Malangnya tidak semua mahu bersabar, terutama jika permintaan itu datangnya daripada industri yang terlalu mementingkan keuntungan.

“Hasil penyelidikan tidak tercipta dengan sekelip mata,” katanya menegaskan manipulasi fakta menyebabkan penyelidik terus berada dalam dilema.

Katanya, dilema pe­nyelidik juga sangat berbahaya. Bayangkan, jika mereka ‘mogok’ tidak mahu melakukan kajian lagi, apa akan jadi.

“Kita mungkin boleh mendabik dada untuk beralih pada kajian penyelidik luar tapi berapa lama? Adakah hasil kajian itu boleh membantu melonjakkan nilai produk tempatan.

“Semuanya perlu diambil kira. Kita jangan terlalu mengkritik atau pandang rendah pada hasil penyelidikan tempatan kerana sumbangannya tetap ada,” katanya.

Begitupun, golongan penyelidik di negara ini bernasib baik kerana masih mendapat sokongan padu industri secara keseluruhannya.

Malah, dengan skop pasaran tempatan yang agak terhad, industri masih menaruh kepercayaan terhadap kemampuan penyelidik tempatan terutama dalam mempertingkatkan hasil pe­nyelidikan dalam bidang pertanian, industri dan teknologi.

“Sokongan industri yang sangat memahami menjadi penawar kepada penyelidik biarpun nilai pasaran tidak besar.

“Tapi, kita juga tidak boleh terus bergantung pada pasaran ini dan perlu meneroka pengkomersialan di peringkat antarabangsa bagi meletak nilai penyelidik dan hasil kajian bertaraf global.

“Dengan ini ia menangkis tanggapan buruk masyarakat bahawa pe­nyelidik dan hasil pe­nyelidikan tempatan tidak mampu bersaing,” kata­nya.

Berdasarkan laporan kaji selidik beberapa agensi, bilangan penyelidik, saintis dan jurutera kita (termasuk daripada kalangan industri) sekitar 30 orang bagi setiap 10,000 tenaga kerja berbanding Jepun (131.5 orang), Kesatuan Eropah (99.6 orang), Korea Selatan (89.5 orang) dan Singapura (111.3 orang).

Indeks Keupayaan Inovasi dalam laporan dikeluarkan United Nations Conference on Trade and Development (Unctad) pada 2008 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-60 dan tergolong dalam kategori sederhana berbanding negara Asia lain seperti Jepun (ke-11), Korea Selatan (20), Singapura (30) dan Thailand (54).

Laporan daya saing global 2009 oleh Harvard dan Forum Ekonomi Dunia meletakkan Malaysia di tangga ke-23 di dunia.

Penyelidikan, kata­nya, bukan hanya terhad kepada kajian institusi pengajian tinggi saja malah agensi lain turut melakukan penyelidikan mengikut kepakaran bidang masing-masing.

“Dunia penyelidikan memerlukan sokongan pelbagai arah serta tidak boleh dilakukan secara individu,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar masyarakat menukar mentaliti dan tidak terlalu mengagungkan kejayaan penyelidik luar kerana boleh membantutkan usaha kerajaan melahirkan penyelidik berkelas dunia.

“Sesiapapun tidak menafikan, penyelidik luar lebih berkepakaran dan hasil kajian menjadi bahan rujukan seluruh dunia.

“Tapi tidak bermakna penyelidik kita tidak berkualiti malah banyak hasil kepakaran dan kajian kita mendapat pengiktirafan.

“Sesungguhnya, kita perlu berterima kasih pada kegigihan mereka. Tanpa sumbangan dunia penyelidikan tempatan, kita tidak mungkin boleh mengecapi kemakmuran seperti hari ini,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/