Isnin, 25 April 2011

ISU PENDIDIKAN : Ulama, cendekiawan Islam kuat membaca, cinta ilmu pengetahuan


Oleh Mohd Shukri Hanapi


AHLI falsafah Inggeris, Lord Bacon, berkata membaca menjadikan seseorang itu berisi. Membaca ialah aktiviti yang boleh membangunkan intelektual, membentuk pemikiran kreatif dan dinamis serta melahirkan masyarakat progresif dan berdaya saing.

Dalam keinginan kita menjadi negara maju menjelang 2020, pemikiran bernas dan matang yang diperoleh hasil pembacaan penting ke arah pembangunan yang pesat. Masyarakat maju dapat menguasai pelbagai bidang ilmu terdiri daripada masyarakat yang suka membaca.

Contohnya, masyarakat Jepun walaupun sibuk dengan urusan harian, masih sempat membaca walaupun di mana mereka berada. Mereka terlalu cinta akan amalan membaca. Justeru, fikiran mereka turut dimatangkan melalui proses pembacaan.

Dalam penghayatan sejarah Islam, pernah dilaporkan sikap orang Arab ketika berbicara mengenai buku. Mereka menganggap amalan membaca seumpama sedang berbicara mengenai seorang yang amat setia dan jujur atau seorang pemimpin yang membimbingnya ke jalan kebenaran.

Selain itu, ada juga ulama menganggap membaca seumpama sedang bercakap-cakap dengan sekumpulan ulama dan orang pintar. Ulama Islam, al-Jahiz, yang mempunyai komitmen tinggi terhadap ilmu dan pembacaan, mati akibat tertindih oleh buku yang disimpan di sekelilingnya.

Berdasarkan kisah ulama zaman silam ini, mereka menjadikan buku sebagai teman. Jelaslah ulama dan cendekiawan Islam menunjukkan komitmen tinggi terhadap amalan membaca dan kecintaan kepada ilmu pengetahuan.

Masyarakat yang membaca dan berlumba-lumba menguasai ilmu adalah masyarakat yang dapat menyesuaikan dirinya dengan tujuan asal ia diciptakan Allah.


Sebenarnya, minat dan tabiat membaca boleh dipupuk dalam kalangan masyarakat. Namun, untuk mewujudkan sebuah negara yang rakyat nya menjadikan membaca sebagai amalan dalam hidup mereka bukanlah suatu perkara mudah.

Ia membabitkan kesedaran mendalam rakyat sendiri. Walau apa pun cara dilaksanakan, kerajaan mahu menyedarkan rakyat tentang kepentingan membaca tetapi jika rakyat tidak mengendahkannya, segala usaha kerajaan bagaikan mencurah air ke daun keladi.

Antara cara paling baik untuk memupuk budaya membaca ialah melalui usaha melatih dan membimbing kanak-kanak minat membaca. Golongan inilah yang bakal menerajui pemerintahan dan pentadbiran negara pada masa akan datang.

Melalui amalan suka membaca yang dimulakan sejak kanak-kanak lagi, tentulah banyak ilmu pengetahuan bakal diperoleh. Sehubungan itu, ibu bapa, guru, ulama, penulis, pustakawan dan media massa seharusnya memberi komitmen dan menggembleng tenaga dalam usaha ini.

Hanya komitmen yang bersungguh-sungguh dan padu dapat menyemarakkan budaya membaca dalam masyarakat.

Ayat pertama surah al-Alaq diwahyukan Allah kepada Nabi Muhammad SAW dimulai dengan perintah ‘membaca’. Dengan melaksanakan perintah ini membolehkan umat manusia mencapai kedudukan kemanusiaannya pada tahap yang sempurna.

Setiap Muslim seharusnya menyahut dan melaksanakan perintah ini. Umat Islam tidak mungkin dapat mencapai kemajuan di dunia dan di akhirat, jika mengabaikannya. Kita juga seharusnya melihat kembali zaman kegemilangan tamadun Islam yang diwarnai sikap cintakan ilmu pengetahuan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Malu Bertutur Jadikan B. Melayu Terpinggir

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sikap malu dan rendah diri masyarakat untuk bertutur menggunakan Bahasa Melayu menyebabkan bahasa itu seolah-olah terpinggir di bumi sendiri.

Timbalan Perdana Menteri berkata fenomena itu jauh berbeza jika dibanding dengan negara-negara besar dunia seperti China dan Jepun di mana rakyatnya begitu bangga dengan bahasa sendiri dan mendaulatkan penggunaannya di semua peringkat. "Perkara itu memang saya setuju kerana ada juga kebimbangan kita iaitu seolah-olah bahasa kebangsaan seperti dipinggirkan kerana masyarakat lebih mengalu-alukan bahasa Inggeris.

"Saya pergi ke China dan mereka di sana cakap semua dalam bahasa Cina, begitu juga di Jepun, bila majlis cakap bahasa mereka, cuma apabila hendak bercakap dengan kita secara personal, barulah mereka bertutur dalam bahasa Ingeris. "Jadi, saya rasa ini kerana sikap, mungkin agaknya kalau tak guna bahasa Inggeris tak berapa glamour, seolah-olah bahasa Melayu ini bahasa rendah," katanya menjawab soalan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah pada persidangan Dewan Negara di sini, Isnin.

Firdaus bertanya mengenai punca kemerosotan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat, syarikat-syarikat awam dan swasta dan sama ada keadaan itu berlaku disebabkan kaedah pengajaran bahasa itu.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, masyarakat sekarang seakan-akan sudah lupa tentang keagungan Bahasa Melayu yang pernah dan masih kekal sebagai bahasa yang unggul di dunia, di mana daripada segi jumlah penggunaannya di peringkat antarabangsa, ia jauh lebih besar daripada sesetengah bahasa lain.

Beliau berkata walaupun perkembangan terkini menunjukkan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan orang Melayu dan bukan Melayu bertambah baik, ia masih kurang mendapat tempat di syarikat-syarikat awam dan swasta termasuk di majlis-majlis rasmi kerajaan.

Katanya perubahan dan tuntutan semasa juga telah menyebabkan sesetengah pihak seakan-akan terpaksa memberi penghormatan kepada pihak luar dengan bertutur dalam bahasa asing walaupun jumlah orang luar pada ketika itu adalah sedikit.

"Bahkan dalam majlis kerajaan sekalipun, walaupun dalam majlis itu ada sedikit sahaja orang bangsa asing, dikatakan minta maaf, saya nak cakap dalam bahasa Inggeris, sedangkan hanya terdapat dua tiga orang mat salleh tetapi kita pula nak tukar percakapan semata-mata kerana hendak mengikut kerenah mereka.

"Adakah kerana bila kita menggunakan bahasa Malaysia (Bahasa Melayu), tidak ada orang hendak berlanggan dengan kita dan perniagaan kita tak boleh bawa keuntungan?" katanya.

Muhyiddin berkata, bagi memastikan keadaan itu tidak berlarutan, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang telah mengadakan mesyuaratnya yang pertama semata-mata untuk melihat bagaimana bahasa itu dapat dimartabatkan kepada kedudukan yang sepatutnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, aspek kedua yang menyebabkan Bahasa Melayu seakan-akan dianaktirikan ialah kurangnya tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap mereka yang melanggar kesalahan berkaitan bahasa kebangsaan.

Usaha kerajaan dalam mendaulatkan Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa Pustaka.

Muhyiddin berkata, walaupun undang-undang tersebut jelas, kerajaan masih berfikiran terbuka kerana jika dikuatkuasakan, ia bimbang perkara itu akan dijadikan isu kononnya kerajaan sengaja hendak mengenakan tindakan. "Nanti orang akan cakap seolah-olah kerajaan ini tidak bertimbang rasa. Jadi soal penting ialah bagaimana kita hendak jadikan ia sebagai budaya dan digunakan sepenuhnya sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata semua permasalahan itu hanya dapat diselesaikan bergantung kepada sejauh mana keyakinan setiap individu, masyarakat, pihak swasta dan kerajaan untuk menggunakan bahasa itu sama ada bagi aktiviti harian mahupun perniagaan.

"Sebab itu kita masih teruskan kempen, dan dalam pekeliling baru yang kita akan keluarkan di setiap jabatan, akan menekankan bahawa pentingnya untuk menggunakan bahasa kebangsaan tanpa mengira mana-mana peringkat," katanya. -BERNAMA

Pelaksanaan MBMMBI: 10,000 Guru B. Inggeris Dilatih Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyasarkan untuk melatih 10,000 guru bahasa Inggeris tahun ini bagi memastikan pengajaran bahasa itu di sekolah berjalan lancar.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penyediaan latihan berkenaan selaras dengan pelaksanaan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahun Satu yang bermula tahun depan.

"Walaupun Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, kementerian telah dan sedang melaksanakan pelbagai usaha dan strategi bagi meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam bahasa Inggeris.

"Sehingga kini, hampir 12,000 guru terlibat dalam program latihan khusus untuk mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris yang diadakan tahun lepas dan untuk tahun ini kementerian menyasarkan 10,000 guru bahasa Inggeris diberikan latihan sama," katanya ketika menjawab soalan Senator Ng Fook Heng pada persidangan Dewan Negara di sini, Isnin.

Ng ingin tahu apakah langkah-langkah kukuh yang diambil untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar peringkat rendah dan menengah memandangkan pemansuhan PPSMI untuk Tahun Satu dilaksanakan tahun depan.

MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan PPSMI yang akan dimansuhkan pada 2012 setelah mendapati dasar itu gagal mencapai matlamatnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan pada masa sama menjejaskan pencapaian pelajar, khususnya di luar bandar dalam kedua-dua subjek itu.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata selain menubuhkan Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Dasar MBMMBI yang dipengerusikan beliau sendiri, kementerian akan melakukan pengambilan semula guru bersara bahasa Inggeris dengan menawarkan kerja secara kontrak.

Mulai tahun ini sehingga 2013, kementerian menyasarkan 600 guru bersara bahasa Inggeris akan dilantik secara kontrak di seluruh negara, dan sehingga Mac lepas 168 guru telah menerima tawaran berkenaan, kata beliau.

Katanya kerajaan turut membawa masuk 375 penutur jati dari luar negara untuk melaksanakan program peningkatan profesionalisme pensyarah dan guru bahasa Inggeris dengan 360 daripada pakar bahasa Inggeris itu dilantik sebagai mentor kepada guru bahasa Inggeris bagi 1,800 sekolah rendah.

Kementerian juga meningkatkan kapasiti bilik komputer di sekolah sebagai makmal bahasa Inggeris, dengan 20 buah sekolah dipilih sebagai perintis makmal itu tahun lepas dan diperluaskan ke 700 buah sekolah lagi tahun ini.

Muhyiddin berkata kerajaan memperuntukkan RM6 juta bagi membekalkan bahan bacaan tambahan dalam bahasa Inggeris di pusat sumber sekolah rendah tahun ini.

Bagi meminimumkan kesan perubahan dasar ini, kementerian memperkenalkan pendekatan pilihan lebih mudah iaitu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik boleh dilaksanakan dalam dwibahasa mengikut keupayaan seseorang guru dan murid.

"Ini bermakna, kertas-kertas peperiksaan disediakan dalam dwibahasa dan terpulanglah kepada mereka untuk menjawab dalam bahasa yang mereka mudah fahami," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata bagi membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan peralihan itu, proses perubahan digerakkan secara berperingkat sehingga memasuki fasa MBMMBI sepenuhnya apabila kohort terakhir PPSMI tamat pada tahun 2015.

"Dengan penjelasan itu, saya amat berharap kekhuatiran dan keresahan sesetengah pihak terhadap isu ini akan terungkai," kata Muhyiddin. -BERNAMA