Rabu, 2 September 2009

ISU POLARISASI KAUM DALAM KALANGAN PELAJAR IPT


SAYA rasa telah agak lama kita membicarakan isu polarisasi kaum di kalangan para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara kita. Sejak sekian lama kita membicarakan isu ini, saya tidak tahu sejauh manakah hal ini berkembang, menjadi bertambah serius? Atau telah ada usaha untuk membaikinya, tetapi sejauh manakah kejayaannya?

Saya kembali ke universiti semula setelah meninggalkan kerja di universiti kerana berkhidmat dalam bidang lain, di dalam dan di luar negara, lebih daripada 15 tahun yang lalu. Setiap hari saya ke universiti pada masa kini, melewati kumpulan para pelajar yang sedang berkumpul menanti giliran untuk masuk ke bilik kuliah, atau setelah berehat dan sedang duduk-duduk berbual sesama sendiri selepas kuliah, malah kumpulan pelajar yang sedang makan minum di kantin.

Saya dapat melihat pandangan yang agak mengganggu perasaan saya sebagai seorang Malaysia, iaitu ketika melihat para pelajar berkumpul, berbual, berjenaka dan makan minum, atau lainnya, bersama-sama kaum masing-masing.

Saya masih ingat bahawa keadaan ini tidak begitu ketara semasa saya berkhidmat di universiti lebih satu atau dua dekad yang lalu. Pada masa itu keadaan agak berbeza, iaitu kalau diandaikan peratusan polarisasi kaum pada masa itu di kalangan pelajar universiti mungkin hanya antara 40 dan 50 peratus.

Tetapi pada masa kini pada umumnya, di sesetengah IPT, mungkin nisbah itu meningkat kepada lebih 90 peratus. Ini bererti bahawa semakin lama kita melangkah ke hadapan dalam membina satu bangsa Malaysia yang bersatu, maka nampaknya keadaan di IPT menunjukkan hasil yang bertentangan dari matlamat yang disasarkan itu jika diterjemahkan dari sudut perpaduan kaum para pelajarnya.

Pelajar-pelajar daripada pelbagai kaum, mungkin hanya bersama-sama menghadiri kuliah dan mengambil kursus yang sama tanpa mengira kaum. Mendengar syarahan pensyarah yang sama. Mungkin dalam perjumpaan formal anjuran universiti, mereka turut serta sebagai pelajar universiti yang sama. Tetapi ketika bergaul secara tidak formal, atau berbincang dan berdiskusi tentang pelajaran mereka, maka mereka akan memilih kaum sendiri. Apatah lagi dalam banyak keadaan, mereka masing-masing menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri.

Mungkin bagi sesetengah orang, hal ini merupakan perkara biasa sahaja, iaitu ketika pelajar merasa lebah mudah dan selesa berbual atau berbincang dengan rakan kaumnya sendiri, apa lagi bagi sesetengah pelajar Melayu sendiri.

Mereka nampaknya lebih mesra berkumpul dengan rakan-rakan Melayu yang berasal dari negeri yang sama, seperti dari Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah dan lain-lain. Jadi apakah nak dihairankan sekiranya dalam masa yang sama, pelajar-pelajar lebih suka bergaul hanya dengan kaum mereka sahaja.

Memanglah pada pandangan sepintas lalu, polarisasi kaum di IPT ini bukanlah satu isu besar. Tetapi sekiranya dikaji secara yang lebih mendalam, kita mungkin sedar bahawa bibit-bibit perpecahan dan kadang-kadang bibit-bibit permusuhan boleh berlaku akibat daripada polarisasi ini.

Tanpa pergaulan mesra di antara para pelajar pelbagai kaum dalam program formal dan tidak formal, dalam perbincangan sesama sendiri tentang pelajaran dan lain-lainnya, mereka tidak akan dapat menyelami hati budi kaum lain, tidak dapat merasakan cara berfikir dan pendekatan kepelbagaian kaum dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Malah tidak akan dapat memahami tradisi, budaya dan prinsip agama masing-masing dalam pergaulan, pembicaraan dan penyelesaian konflik ketika berlaku konflik umpamanya.

Mereka akan hanya memahami budaya mereka masing-masing, tradisi dan nilai moral sendiri, tanpa memahami hal itu bagi kaum yang lain, sedangkan mereka merupakan bangsa Malaysia, yang akan keluar ke tengah-tengah masyarakat sebagai pemimpin, peniaga dan orang biasa yang berada di dalam sebuah negara dengan mempunyai cita-cita yang sama dalam membangunkan bangsa dan negara yang sama.

Sehingga ke masa kini, ramai pengkaji mengambil kesimpulan bahawa dakwaan yang mengatakan bahawa rakyat kita dari pelbagai kaum telah memahami budaya dan adat serta prinsip-prinsip agama kaum lain dengan kefahaman yang mendalam adalah satu teori sahaja, bukan sebenarnya merupakan kenyataan yang hakiki.

Teori ini lebih merupakan satu penonjolan palsu kepada masyarakat dunia, dan lebih merupakan satu kosmetik yang menjadi perhiasan luaran sahaja, sedangkan dalamannya adalah kosong.

Pada masa kini, hal ini menjadi agak tepat, kerana segala isu yang timbul di dalam negara kita mutakhir ini sering merupakan isu yang ditafsir secara sentimen melulu berasaskan kepada kaum, agama dan individu. Rasa perkauman kembali agak menebal dalam masyarakat kita, dan sentimen ini dibesar-besarkan dalam semua aspek pembangunan negara kita, sama ada dalam pembangunan ekonomi, perundangan, bahasa, budaya, agama, politik, pentadbiran awam, ketenteraan, polis dan sebagainya.

Oleh itu isu polarisasi kaum di kalangan para pelajar universiti haruslah dibendung dan disalurkan kepada perpaduan yang lebih bermakna sekiranya kita mahu melihat bangsa Malaysia benar-benar dapat disatukan bagi mengendali negara kita pada masa yang akan datang untuk menjadi negara maju dan bermoral menjelang tahun 2020, kerana merekalah yang akan berperanan menerajui negara kita pada masa hadapan.

Gagasan 1 Malaysia merupakan satu jam loceng yang mengejutkan kita untuk segera sedar dan bangun memperbaiki keadaan, juga untuk memahami di manakah kita berada selama ini dalam perjalanan kita untuk membina bangsa dan negara kita yang bersatu padu, aman makmur dan terhindar dari semua jenis keganasan dan kekacauan yang menghancur-leburkan pembangunan sesuatu bangsa itu.

Semangat 1 Malaysia, roh patriotik dan rasa bangga dengan kemerdekaan negara yang menjangkau usia 52 tahun, dan kemampuan kita membangun begitu banyak IPT awam dan swasta, seharusnya kita manfaatkan sebagai titik awal untuk meninjau kembali kekuatan dan kelemahan kita, dan meningkatkan kualiti pembangunan bangsa kita, juga memperbaiki segala kelemahan kita selama ini, termasuk isu polarisasi kaum para pelajar IPT kita.

Datuk Dr. Ismail Ibrahim ialah ahli pemegang amanah Yayasan Satu Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Malaysia Satu juara lagu 1Malaysia

PUTRAJAYA: Lagu "Malaysia Satu" ciptaan Audi Mok, lirik Nur Fatimah, nyanyian Faizal Tahir diumum juara Pertandingan Lagu 1Malaysia.

Mok memberitahu pemberita, lagu itu diilhamkan daripada konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Apabila kami mendapat tahu mengenai pertandingan ini, kami memutuskan untuk menjadikannya satu kenyataan. Iramanya lebih rancak dan kami mahu menjadikan lagu ini lebih moden dan boleh didendangkan di mana-mana saja, bukannya kedengaran seperti sebuah lagu patriotik tradisional," katanya.
Faizal juga kelihatan gembira semasa mendendangkan lagu itu di hadapan penonton termasuk Najib, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Nur Fatima berkata beliau mahu lagu itu menggambarkan sumbangannya kepada penduduk negara ini.

"Saya merasakan ia sebagai tugas saya dan sebagai seorang rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab saya untuk menulis sesuatu yang dapat mencerminkan masyarakat Malaysia, budaya kita, sumbangan kita dan sebagainya," katanya.

Najib yang mengumumkan pemenang pertandingan itu turut menyampaikan cek berjumlah RM25,000.

Ketika berucap, Perdana Menteri berharap lagu itu akan menjadi inspirasi untuk menghayati makna dan maksud 1Malaysia.

"Satu Malaysia bermatlamat menjurus ke arah perpaduan dan keharmonian untuk melonjakkan negara kita menjadi negara yang hebat dan berjaya di mana ia berasaskan Satu Impian, Satu Harapan, Satu Bangsa, Satu Negara, Satu Malaysia," katanya.

Najib berkata, lagu itu juga lebih mesra rakyat kerana proses memilih pemenangnya terletak di tangan orang ramai yang mengundi lagu pilihan mereka daripada kalangan 10 lagu yang berjaya ke peringkat akhir menerusi laman web rasmi 1Malaysia dan HOT FM.

"Cara kita pilih adalah satu cara baru dan bukan konvensional, maknanya kita nak lagu ini sesuai dengan tagline kita 1Malaysia. Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan supaya ia lahir dan terbit daripada hati nurani rakyat sendiri.

"Rakyat mencipta lagu itu, rakyat ilhamkan seni kata, rakyat dendangkan lagu itu dan media medium untuk penyiaran lagu itu dan akhir sekali rakyat yang tentukan lagu kegemaran mereka," katanya.

Pada sidang media kemudian, Najib berkata beliau menghormati pilihan rakyat yang memilih lagu yang berirama rancak dan bersemangat membuatkan iramanya sesuai dengan cita rasa golongan muda.

Beliau berkata, lagu itu juga sesuai untuk diperdengarkan di peringkat antarabangsa tetapi memerlukan sedikit pengubahsuaian kerana iramanya agak tinggi yang tidak semua orang mampu menyanyikannya.

"Lagu itu juga akan dinyanyikan bersama-sama lagu keluaran RTM untuk acara rasmi," katanya. - Bernama

Membudayakan Penggunaan Satu Bahasa

Iklan, program, lagu mesti gunakan bahasa kebangsaan

SUDAH menjadi kelaziman, iklan dan program TV atau radio bertemakan kemajmukan kaum, perpaduan dan keharmonian hidup di negara ini akan ke udara apabila tibanya sambutan ulang tahun kemerdekaan.

Persoalannya, sejauh mana penerbit rancangan dan syarikat pembuat iklan berkenaan faham akan hakikat perpaduan dan kemerdekaan dalam iklan yang di ketengahkan?

Misalnya, amat tidak kena apabila ada program TV bercorak dokumentari yang menceritakan kejayaan anak-anak Malaysia dalam pelbagai bidang tetapi disampaikan dalam bahasa Inggeris, bukan bahasa kebangsaan!

Turut mengecewakan apabila ada sebahagian pencipta lirik bagi lagu-lagu patriotik sempena bulan kemerdekaan ini yang berkonsepkan santai oleh radio menampilkan lagu berkonsepkan Satu Malaysia yang ‘rojak’ seni katanya iaitu bercampuk-aduk bahasanya!

Begitu juga dengan iklan. Setelah 52 tahun merdeka, rupa-rupanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih berfikir dalam kotak perkauman apabila ditampilkan watak-watak bercakap dalam pelbagai bahasa mengikut warna kulit!

Walhal, kita sudah diseru supaya mempraktikkan semangat Satu Malaysia yang terasnya sudah tentu satu bahasa kebangsaan. Malah, sudah ada pun gesaan agar pengenalan kaum melalui borang digugurkan hanya semata-mata mahu mengikis identiti kaum.

Persoalannya, bilakah lagi syarikat penaja iklan kemerdekaan mahu berfikir di luar kotak perkauman? Bilakah GLC termasuk syarikat pengiklan dan penerbit program TV sedar bahawa hanya penggunaan bahasa kebangsaan sahajalah kaedah kita merapatkan hubungan rakyat berbilang kaum di negara ini?

Mengapa di dalam iklan menggambarkan perpaduan, jika kaum Cina mesti bercakap Cina dan India mesti cakap bahasa Tamil manakala jika sudah berjaya dan berprestij mesti menggunakan bahasa Inggeris?

Sejak bila bahasa-bahasa asing itu sudah diangkat sebagai bahasa rasmi menggantikan kedudukan dan fungsi bahasa kebangsaan?

Membenarkan penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan atau ‘menghadirkan’ bahasa-bahasa lain di samping bahasa kebangsaan dalam iklan dan program TV, jelas satu tindakan kurang sopan dan membelakangkan peruntukan dalam Perlembagaan serta merendah-rendahkan kedudukan bahasa kebangsaan.

Malah, lebih memalukan telah memperlekehkan kemampuan rakyat berbilang kaum di negara ini dalam menguasai bahasa kebangsaan.

Budaya bercakap kita pada hari ini tidak sama dengan 52 tahun dahulu. Jika dahulu benar ramai golongan bukan Melayu tidak faham bahasa kebangsaan tetapi sekarang generasi muda bukan Melayu sudah fasih malah sebahagiannya lebih baik penguasaan bahasa Melayu mereka mengalahkan orang Melayu sendiri!

Hakikat ini mesti difahami oleh syarikat pengeluar iklan dan penerbit program TV yang umum tahu berorientasikan keuntungan selain daripada mesej khidmat masyarakat yang ditampilkan.

Adalah salah sama sekali jika ada syarikat pengeluar iklan masih menganggap usaha ‘memancing’ perhatian pengguna bukan Melayu mestilah dibuat dalam bahasa Cina dan bahasa Tamil!

Lebih mengecewakan jika ada iklan yang menonjolkan watak bukan Melayu bercakap sesama mereka dalam bahasa Inggeris!

Tidak keterlaluan dikatakan, pihak yang masih berbicara dalam kotak perkauman atau pun berkiblatkan Inggeris sebenarnya telah gagal menunaikan tanggungjawab sosial mereka.

Perlu ditegaskan, penerbit program TV, pencipta lagu serta syarikat yang mengeluarkan iklan lebih-lebih lagi GLC mesti sedar mereka memikul tanggungjawab sosial yang besar dalam merakyatkan penggunaan bahasa kebangsaan untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa membeza-bezakan warna kulit!

Jika benar kita mahu menghayati erti 52 tahun kemerdekaan negara dan semangat 1Malaysia, tidak kira sama ada warna kulitnya sawo matang, kuning langsat atau hitam si tampuk manggis mestilah bersama-sama membudayakan penggunaan satu bahasa iaitu bahasa kebangsaan dalam segenap urusan hidup seharian tidak terkecuali dalam bidang pengiklanan, penyiaran dan hiburan.


Tanah Merah, Kelantan

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Memugar patriotisme Satu Malaysia

ULANG tahun kemerdekaan ke-52 punya keunikan tersendiri kerana ia sambutan sulung untuk Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Seruan kemerdekaan kali ini ialah tentang perpaduan. Perpaduan asas pembinaan negara. Kerana itu, apabila Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah dan tiba di Madinah, agenda pertamanya ialah mewujudkan perpaduan. Ia antara sesama Islam dan juga penduduk Islam dengan bukan Islam. Gagasan Baginda digelar Sahifah Madinah.

Perdana Menteri mengikut sunah tersebut dan menjadikan perpaduan agenda pertamanya. Gagasan beliau digelar 1Malaysia.

Konsep 1Malaysia seharusnya mengingatkan kita akan kepentingan perpaduan. Penjajah menggunakan strategi "pecah dan perintah" untuk menguasai kita. Bagaimanapun perpaduan menjadi faktor utama yang membolehkan rakyat majmuk negara ini mencapai kemerdekaan.

Dalam tempoh 52 tahun ini, kita telah menempa banyak kejayaan. Pada masa sama, banyak juga cabaran terpaksa kita lalui, termasuk daripada segi perpaduan.

Oleh itu, untuk memastikan perpaduan kekal, malah ditingkatkan lagi, maka menjadi kewajipan kita untuk menghayati konsep 1Malaysia dengan sepenuh dan seutuhnya.

Pada saya, pendekatan utama untuk mencapai matlamat ini ialah pendidikan patriotisme. Memanglah ini bukan perkara baru. Tetapi, satu daripada masalah kita ialah adakalanya kita alpa terhadap perkara yang fundamental. Hanya apabila terhantuk, barulah kita tengadah.

Contohnya, apabila pada akhir 1990-an dahulu kita diasak oleh dua krisis besar, iaitu krisis politik selepas pemecatan Timbalan Perdana Menteri dan krisis ekonomi akibat keruntuhan nilai ringgit. Tidak pernah kita diterjah dua krisis besar sekali gus dengan sebegitu rupa. Maka, kita pun menyuarakan keperluan untuk "balik ke asal" sebagai penyelesaian terbaik dan berjangka panjang.

Balik ke asal seharusnya merupakan "langkah dalaman" iaitu yang memugar keperibadian dan kekuatan sebenar kita. Contohnya, kalau dalam bidang komunikasi ialah memupuk kemahuan untuk berinteraksi dengan orang lain. Tetapi, lazimnya, oleh kerana hendak cepat atau akibat sikap ambil mudah, maka kita mengambil "langkah luaran".

Contohnya ialah dengan mengajar cara-cara berinteraksi. Masalahnya, tidak kira sebanyak manapun dilatih dengan cara-cara berinteraksi, hakikatnya orang yang tidak mahu berinteraksi dengan orang lain tetap tidak mahu melakukannya.

Jika dipaksa juga, maka, ia akan kekok dan mencari jalan untuk memutuskan interaksi itu. Sebaliknya, jika dia berjaya diasuh dengan kemahuan untuk berinteraksi dengan orang lain, maka kalaupun tanpa diajar cara-cara berinteraksi, ia akan belajar sendiri cara-cara tersebut.

Begitu jugalah dengan "langkah luaran" dalam pembangunan negara. Kalaupun ia berkesan, lazimnya, ia hanyalah bersifat sementara. Tidak lama kemudian, masalah yang sama berulang, mungkin bentuk sahaja berbeza. Tetapi, sekiranya "langkah dalaman" diambil, ia akan meninggalkan dampak yang lebih berkekalan.

Contohnya, masalah ekonomi hari ini. Selagi "langkah dalaman" tidak diambil iaitu bagaimana menyelesaikan masalah tamak haloba maka sebanyak manapun "langkah luaran" membantu menyelesaikannya, masalah ini akan berulang kembali.

Oleh itu, sebagai jalan keluar daripada kegawatan pada akhir 1990-an, Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan langkah dalaman iaitu pendidikan patriotisme - Patriotisme Alaf Baru. Dari situlah bermulanya kerancakan semula perbincangan dan program patriotisme di kalangan masyarakat.

Kini, pelaksanaan program patriotisme amat menggalakkan, terutamanya untuk belia. Antaranya ialah kurikulum baru mata pelajaran sejarah di sekolah, nyanyian lagu dan deklamasi puisi patriotik di televisyen, nyanyian lagu patriotik di sekolah, Perhimpunan Patriotisme sebagai acara tahunan Kementerian Pelajaran dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Pada saya, 1Malaysia adalah langkah dalaman. Kerana itu, ia wajar dihayati dengan langkah dalaman juga iaitu pendidikan patriotisme. Di samping meneruskan program patriotisme sedia ada, kita perlu kepada pendidikan "Patriotisme 1Malaysia". Ia perlu terdiri daripada empat perkara utama iaitu jiwa, makna, fokus dan terjemahan.

Maksud jiwa di sini ialah jiwa merdeka - bukan jiwa hamba. Ia perlu berasaskan kepada ilmu tentang setiap perkara yang dihadapi dan dilalui. Orang yang memiliki jiwa merdeka akan berfikir, berkata-kata dan berbuat sesuatu dengan berasaskan ilmu. Bukannya dipengaruhi keraguan, mengampu atau dibelenggu cerita hantu.

Daripada segi maknanya, patriotisme tidak berubah, iaitu cinta yang kental dan kekal terhadap bangsa dan negara Malaysia. Tetapi, fokus patriotisme mungkin berubah mengikut masa dan keadaan. Bagi generasi yang melalui pengalaman yang berbeza, fokus patriotismenya mungkin juga berbeza. Walaupun pada hakikatnya ia tetap berpaksi pada makna yang sama.

Bagi generasi zaman penjajahan, fokus patriotisme ialah memperjuangkan kemerdekaan. Selepas itu, fokus patriotisme ialah mengisi kemerdekaan. Bagi yang melalui zaman konfrontasi, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan Malaysia yang baru dibentuk.

Bagi yang pernah melalui Tragedi 13 Mei, fokusnya ialah meningkatkan perpaduan rakyat. Bagi kegawatan ekonomi, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan ekonomi negara. Apakah pula fokus patriotisme kita hari ini? Jawabnya ialah menjayakan konsep 1Malaysia. Kita perlu menghayati tiga teras, empat nilai murni dan lapan nilai aspirasi yang digariskan.

Perkara keempat dalam Patriotisme 1Malaysia, ialah terjemahan yang tepat dalam kehidupan sebenar, supaya kita tidak mengambil pendekatan yang memudah-mudahkan atau tersasar daripada landasan sebenar.

Contohnya, 1Malaysia tidak bermakna menolak kewujudan dan pengakuan terhadap asal usul kaum yang sedia ada. 1Malaysia tidak akan menjadi lebih mantap hanya kerana kita tidak lagi menjadi Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya. Sebaliknya, tanpa kaum-kaum tersebut, 1Malaysia tidak wujud lagi.

Pendidikan patriotisme harus mempunyai dua objektif. Pertama, ialah meningkatkan jiwa merdeka dan makna patriotisme. Dan kedua, ialah menggalakkan rakyat menentukan fokus patriotismenya dan menterjemahkannya ke dalam bentuk sumbangan konkrit terhadap kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Pendidikan patriotisme perlu disampaikan dengan bijaksana, terutamanya di kalangan belia. Ini kerana mereka mungkin mempunyai persepsi berbeza terhadap patriotisme. Berbeza tidak menjadikan mereka kurang patriotik. Mereka cuma mahu menterjemahkan patriotisme dengan cara mereka. Patriotisme 1Malaysia perlu meraikan imaginasi mereka.

PENULIS ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Belasungkawa: Negara kehilangan tokoh kehakiman disegani


Abdul Hamid sumbang idea mantapkan perundangan negara sepanjang 39 tahun

TUN Abdul Hamid Omar yang meninggal dunia semalam akan dikenang sebagai tokoh kehakiman negara disegani semua pihak. Bekas Ketua Hakim Negara itu adalah individu penting yang menyaksikan dan terbabit secara langsung dalam perjalanan institusi kehakiman dan perundangan negara selama 39 tahun sebelum persaraannya pada 1995.

Beliau juga akan diingati sebagai individu yang mempengerusikan tribunal enam ahli yang bertanggungjawab memecat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas berikutan krisis kehakiman negara pada 1988. Usaha Allahyarham memperjuangkan penggunaan Bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah membolehkan beliau dianugerahkan Tokoh Dewan Masyarakat pada 1991.

Abdul Hamid, 80, meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, di ibu negara pada jam 10 pagi semalam akibat kegagalan ginjal. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Toh Puan Azian Aiyub Ghazali dan empat anak Azizuddin, Ainuddin, Hanizah dan Hanizan.


Abdul Hamid dilahirkan pada 25 Mac 1929 di Kuala Perlis dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kangar dan Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, sebelum mengikuti pengajian undang-undang di Lincoln's Inn, London pada 1955 dan dilantik peguam pada November tahun yang sama.

Sekembalinya dari luar negara, Allahyarham memulakan kerjaya sebagai Majistret dan kemudian menjadi Yang Dipertua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, Raub, Taiping dan Seremban dalam tempoh Mei 1956 hingga Disember 1959. Pada Januari 1960, beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya di Perak sebelum dilantik Penasihat Undang-Undang Negeri di Perak, Terengganu dan Pulau Pinang daripada Mac 1961 hingga Oktober 1967.

Pada 1 November 1967, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1968, Hakim Mahkamah Persekutuan (1980) dan Hakim Besar Malaya (1984). Allahyarham dilantik Hakim Mahkamah Agung sempena pembukaan Mahkamah Agung pada 1 Januari 1985.

Pada November 1988, Allahyarham dilantik Ketua Hakim Negara sebelum bersara pada 25 Mac 1995 dan dilantik semula ke jawatan itu bagi tempoh enam bulan. Allahyarham juga pernah menjadi penggubal undang-undang Parlimen di Jabatan Peguam Negara pada 1968.

Allahyarham juga menulis tiga buku mengenai perundangan dengan judul pertamanya The Judiciary in Malaysia diterbitkan pada 1994, buku kedua Off the Bench (1995) dan On the Bench mengenai corak kehakiman beliau di Mahkamah Tinggi (1996).

Selain menjadi individu penting dalam institusi kehakiman, Abdul Hamid juga seorang yang aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO). Beliau pernah memegang jawatan Penasihat dan Pengerusi Persatuan Bulan Sabit (PBSM) Malaysia, Presiden Persatuan Kusta Malaysia, Penaung Yayasan Cancerlink dan Presiden Kehormat Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Allahyarham juga adalah ahli seumur hidup PBSM.

Abdul Hamid juga membuktikan ketokohannya dalam pentadbiran sukan, dengan memegang jawatan Presiden Persatuan Golf Malaysia, Presiden Kelab Golf Diraja Selangor dan Naib Pengerusi Persatuan Golf Asia Pasifik. Antara jawatan lain yang pernah dipegang Allahyarham ialah Yang Dipertua Majlis Penyeliaan Bernama selama tiga tahun bermula Jun 1976, pengerusi Tribunal Perkhidmatan Awam (1977-1980), Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Malaysia (1978), Pro Canselor Universiti Utara Malaysia (1988) dan Profesor Kehormat Universiti Teknologi Malaysia (1993). - Bernama