Selasa, 19 Jun 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Dr Ali Hamsa Dilantik Ketua Setiausaha Negara


Datuk Seri Dr Ali Hamsa

KUALA LUMPUR : Ketua Pengarah, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ali Hamsa, 57, pada Selasa diumumkan sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baru berkuat kuasa mulai 24 Jun 2012.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Selasa berkata beliau menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 23 Jun ini.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Ali, kata kenyataan itu.

Ali yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 29 Ogos 1955, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Ekonomi serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Environmental Science & Economics dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat.

Beliau mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 5 Januari 1981 sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Beliau mempunyai pengalaman kerja yang sangat luas di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dari 16 Disember 1997 hingga 21 April 2009.

Di jabatan itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Seksyen Pembahagian dan Timbalan Ketua Pengarah, Program National Transformation & Advancement sebelum menjawat tugas sebagai Ketua Pengarah, UKAS, JPM pada 22 April 2009.

"Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Sidek bin Hj. Hassan atas segala khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara khususnya dalam usaha-usaha mengukuhkan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara yang dirancang dilaksanakan dengan jayanya," kata kenyataan itu. - BERNAMA

ISU EKONOMI : Ke arah kualiti hidup yang lebih tinggi realisasikan Wawasan 2020



Oleh DR. MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD

LAPORAN Kualiti Hidup Malaysia 2011 telah dikeluarkan pada 11 Jun 2012 lepas. Laporan daripada Unit Perancang Ekonomi ini boleh dijadikan kayu ukur kepada pencapaian negara dalam merealisasikan Wawasan 2020.

Komponen kualiti hidup yang diambil kira mencakupi aspek pendidikan, pengangkutan dan komunikasi, perumahan, kebudayaan dan liburan, pendapatan dan agihan, keselamatan awam, kesihatan, penyertaan sosial, alam sekitar, kehidupan keluarga dan persekitaran kerja.

Berbanding dengan kualiti hidup pada tahun 2000 (tahun rujukan), kualiti hidup pada 2010 telah meningkat sebanyak 11.9 peratus berdasarkan indeks kualiti hidup. Rakyat Malaysia mengecapi peningkatan kualiti tertinggi dalam komponen pendidikan dengan peningkatan sub-indeks sebanyak 20.4 peratus.

Komponen pengangkutan dan komunikasi menunjukkan peningkatan kualiti kedua tertinggi dan diikuti oleh peningkatan kualiti perumahan.

Meskipun begitu, masih banyak penambahbaikan perlu kita lakukan bersama dalam menjadikan Malaysia tempat kediaman yang berkualiti tinggi.

Daripada laporan yang dikeluarkan, didapati kualiti persekitaran kerja dan kehidupan keluarga mencatatkan peningkatan terendah dari keseluruhan komponen yang disebutkan di atas.

Sub-indeks bagi komponen persekitaran kerja dan kehidupan keluarga mencatatkan nilai indeks yang sama iaitu pada 104.6 mata. Dalam kata lain, kualiti persekitaran kerja dan kehidupan keluarga di Malaysia hanya meningkat sebanyak 4.6 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Kedua-dua komponen ini sangat kritikal dalam menjamin mutu hidup seseorang. Ini kerana masa kita banyak diperuntukkan di tempat kerja dan setelah penat bekerja, kita pulang ke rumah untuk beristirehat.

Namun, jika kedua-dua komponen ini hanya menunjukkan peningkatan yang sedikit (terendah daripada kesemua komponen), setiap kita perlu berganding bahu bagi memastikan persekitaran kerja lebih kondusif dan suasana kekeluargaan di rumah lebih bermutu.

Peningkatan kualiti persekitaran kerja di Malaysia dinilai dari penurunan jumlah kemalangan perusahaan (95,006 kes pada tahun 2000 kepada 60,405 kes pada 2010), penurunan pertikaian perusahaan (436 kes kepada 344) dan penurunan jumlah kehilangan hari bekerja kerana tindakan perusahaan.

Namun, sub-indeks persekitaran kerja sedikit terjejas dengan peningkatan kadar pengangguran dari 3 peratus pada tahun 2000 kepada 3.4 peratus pada 2010. Bagi memperbaiki persekitaran kerja, isu keselamatan di tempat kerja perlu menjadi keutamaan di samping keperluan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan baru bagi mengurangkan kadar pengangguran.

Peningkatan sebanyak 4.6 peratus bagi sub-indeks kehidupan keluarga pula didorong oleh pengurangan jenayah juvana (0.12 peratus pada tahun 2000 kepada 0.06 peratus pada 2010) dan peningkatan pendapatan purata isi rumah di Malaysia (daripada RM2,640 pada tahun 2000 kepada RM4,206 pada 2010).

Bagaimanapun, peningkatan sub-indeks kehidupan keluarga menjadi sederhana oleh bertambahnya peratusan kes perceraian. Kadar perceraian mencatat peningkatan daripada 0.13 peratus pada tahun 2000 kepada 0.22 pada 2010.

Sub-indeks alam sekitar turut mencatatkan peningkatan sederhana iaitu sebanyak 6.6 peratus dalam tempoh sedekad. Kualiti alam sekitar di Malaysia adalah sederhana berikutan masalah jerebu yang serius. Di samping itu, isu pencemaran sungai turut perlu diambil perhatian dalam usaha meningkatkan kualiti alam sekitar negara.

Dapat dirumuskan di sini bahawa bagi ketiga-tiga komponen yang mencatatkan peningkatan terendah iaitu kualiti alam sekitar (6.6 peratus), persekitaran kerja (4.6 peratus) dan kehidupan keluarga (4.6 peratus), semuanya melibatkan sikap dan nilai sivik rakyat Malaysia.

Ia menggambarkan kadar progres transformasi mentaliti dan minda kita semua. Hanya dengan mengamalkan akhlak dan nilai sivik yang tinggi, ketiga-tiga komponen ini akan mendapat lonjakan yang besar.

Penulis ialah Pensyarah Unit Ekonomi Islam dan Kajian Polisi, Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia