Jumaat, 31 Disember 2010

GURINDAM TAHUN BAHARU


Apabila melangkah ke tahun baharu,
Perbaharuilah azam yang mana perlu.

Apabila menyambut tahun baharu,
Kejayaan yang lalu dikenang selalu.

Apabila bekerja pada tahun baharu,
Bina semangat terokalah hala tuju.

Apabila melakar takwim tahun baharu,
Utamakan pelaksanaan mengikut waktu.

- Mohamad Musip, 1.1.11

Sumber : Laman Facebook Munsyi Mohamad Musip

ISU BAHASA : PLM sokong denda jika perlekehkan bahasa Melayu

PERSATUAN Linguistik Malaysia (PLM) menyokong penguatkuasaan denda jika tidak menggunakan atau memperlekeh bahasa kebangsaan dengan mengabaikan bahasa Melayu bagi semua sektor awam dan swasta mulai tahun depan seperti dinyatakan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Ahmad Termuzi, baru-baru ini.

PLM berharap usaha memartabatkan bahasa kebangsaan benar-benar dilakukan dengan memastikan apa saja bahan cetakan sama ada papan iklan, gegantung, pengumuman, brosur, manual penggunaan barangan seperti mesin bukan saja ada versi bahasa Melayunya tetapi diletakkan pada bahagian atas sekali atau halaman pertama sebagai tanda keutamaan bahasa rasmi negara ini.

Semua barangan untuk eksport juga tidak patut dikecualikan di samping bahasa Inggeris atau bahasa negara sasaran yang sememangnya patut digunakan. Bagi barangan import, syarat yang sama perlu dikenakan dan hal ini tidak menjadi masalah bagi negara pengeksport dalam dunia berteknologi canggih sekarang.
Terjemahan hanya sekadar di hujung jari. Contohnya, komputer yang dieksport ke Thailand atau negara Timur Tengah lengkap tersedia dengan perisian berbahasa Thai atau Arab yang disediakan pengeluarnya di samping bahasa Inggeris.

Justeru, bukanlah suatu yang sukar bagi pengeluar untuk diminta berbuat perkara sama bagi barangan import ke negara ini. Justeru, industri terjemahan bahasa asing ke bahasa Melayu dan dari bahasa Melayu ke bahasa asing dapat digiatkan secara lebih agresif.

Secara langsung dan tidak langsung, bahasa Melayu dapat menjadi komoditi bagi tujuan eksport dan import serta dapat menerobos ke pelbagai negara di seluruh dunia.

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden,
Persatuan Linguistik Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 30 Disember 2010

Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 : Kemenangan Harimau Malaya wajar jadi pemangkin kekal prestasi

SYABAS dan sekalung tahniah kepada pasukan kebangsaan Malaysia ‘Harimau Malaya’ kerana berjaya mengharumkan nama negara selepas menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun. Kejayaan ini lebih manis selepas mengalahkan Indonesia di gelanggang mereka sendiri di Stadium Gelora Bung Karno, malam kelmarin dengan agregat 4-2. Di sebalik semua tekanan, provokasi dan cemuhan daripada segelintir penyokong Indonesia yang fanatik, kesebelasan pemain dapat mempersembahkan permainan yang mantap dan menarik. Kita bangga pasukan negara dibarisi pemain muda yang rata-rata berusia di bawah 23 tahun dapat menyerap tekanan dan serangan psikologi pihak lawan sepanjang tempoh 90 minit masa permainan. Sememangnya, bukan mudah untuk berhadapan lawan di gelanggang mereka sendiri, apatah lagi dengan sorakan kira-kira 95,000 penonton yang amat mengharapkan kemenangan pasukan mereka. Provokasi sebenarnya sudah bermula di luar padang, termasuk di hotel penginapan ketika pemain negara sedang menjalani latihan. Kemenangan itu membuktikan bahawa pasukan negara tidak hanya jaguh kampung atau hebat di gelanggang sendiri, malah tidak gentar atau gerun walaupun terpaksa berhadapan di gelanggang lawan. Kita bangga dengan kecekalan dan keberanian pemain berdepan dengan situasi sedemikian yang tidak mungkin dapat dicapai tanpa latihan fizikal dan mental yang terbaik. Tahniah juga kepada pengendali skuad kebangsaan, K Rajagobal selaku jurulatih yang dapat menyusun strategi dan merancang permainan dengan berkesan. Kerjasama berpasukan yang ditunjukkan pemain juga hebat dengan ketangkasan melancarkan serangan balas, walaupun diasak bertali arus oleh pasukan lawan. Tanpa bimbingan jurulatih dan kesanggupan pemain menerima arahan tidak mungkin sesebuah pasukan dapat bermain dengan baik dan mencapai kejayaan, seterusnya menjuarai piala itu.

Justeru, kemenangan pasukan Malaysia bukan setakat mengakhiri kemarau kejuaraan piala itu selama 14 tahun, tetapi melampaui segala-galanya, terutama bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negara yang dicapai pada era 60-an dan 70-an. Ketika itu, Malaysia antara pasukan digeruni di rantau Asia, malah setanding dengan pasukan Korea Selatan dan Jepun yang sudah beberapa kali beraksi di pentas Piala Dunia. Kita mahu pasukan kebangsaan setanding dengan pasukan negara berkenaan mahu pun menjadi lebih baik. Sesungguhnya kejayaan pasukan kebangsaan tidak akan bererti tanpa sokongan padu penyokong setia tempatan. Sudah terlalu lama kita tidak melihat sokongan rakyat kepada pasukan Malaysia seperti yang ditunjukkan sepanjang Piala Suzuki AFF 2010 berlangsung. Jika pasukan negara bermain dengan cemerlang dan menunjukkan daya juang yang tinggi serta tidak mengenal putus asa mencari gol kemenangan, tidak ada sebab peminat tidak kembali memberi sokongan padu dan memenuhi stadium. Apapun, kita berharap pemain pasukan negara tidak leka dibuai mimpi indah berikutan pelbagai pujian dan ganjaran yang dihamburkan. Kemenangan itu sewajarnya menjadi pemangkin kepada mereka untuk berusaha lebih keras mengekalkan prestasi. Mereka tidak sewajarnya lupa diri, sombong, angkuh atau terperangkap dalam dunia glamor yang memusnahkan fokus terhadap kerjaya mereka dalam sukan ini. Apapun, sekali lagi syabas dan tahniah kepada pasukan Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mampu membawa pasukan bola sepak negara ke tahap yang membanggakan ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 29 Disember 2010

ISU KEPENGGUNAAN : Bersatu lindungi hak pengguna

Oleh ARIF ATAN

SALAH satu perkara penting yang wajar diberi perhatian menjelang tahun baru 2011 adalah sejauhmana rakyat negara ini benar-benar memahami hak mereka sebagai anggota masyarakat dan pengguna bagi mengelak menjadi mangsa pihak yang rakus mengaut keuntungan.

Dalam isu hak rakyat memiliki kediaman yang selesa, bagaimana rakyat dapat menikmati kemudahan asas itu jika pemaju perumahan lebih cenderung membina rumah mewah dan sederhana mewah untuk orang asing?

Meneliti pemilikan hartanah orang asing di negara kita, ia dilihat sebagai berada pada tahap yang 'menakutkan' seperti mana kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam akhbar Utusan Malaysia pada 26 Disember lalu. Keadaan yang berlaku itu tidak seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand. Soalnya, apakah tidak ada mekanisme perancangan dan pembangunan sesebuah kawasan dan hartanah yang mendahulukan segenap lapisan rakyat sendiri, bukannya 'mesra kelas elit' dan orang asing semata-mata?

Selain hak untuk mendapat kediaman yang selesa pada kadar yang berpatutan, pengguna juga terdedah dengan ancaman peniaga yang cekik darah. Kos tinggi tidak berbaloi dengan kuantiti dan kualiti barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Pelbagai alasan dicari. Paling ketara kenaikan bahan api dijadikan sandaran alasan untuk mereka berbuat demikian. Setiap kali bahan api atau bahan asas seperti harga gula naik, begitulah dengan harga makanan atau minuman yang mereka sediakan. Kerap kali barangan atau perkhidmatan yang tiada kaitan langsung dengan kenaikan harga minyak pun akan naik harga juga!

Keadaan ini tentulah tidak adil terhadap rakyat daripada golongan berpendapatan rendah pada ketika Malaysia belum lagi mempunyai pelarasan gaji minimum. Rakyat juga berhak menikmati persekitaran hidup yang selesa dan selamat. Banyak kawasan perumahan dan perniagaan termasuk di simpang-simpang jalan hari ini dicemari dengan iklan ah long, ubat kuat lelaki dan urut yang mengundang banyak gejala sosial kepada masyarakat.

Tidak nampak ketegasan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya iklan yang ditampal atau disembur itu dihapuskan serta-merta sehingga menjadi pemandangan yang lazim tetapi memualkan. Malangnya, itulah yang menjadi santapan mata bermula dari usia kanak-kanak sehingga dewasa.

Dalam hubungan antara pengguna dan produk kesihatan pula, kerap kali kita mendengar rintihan pengguna yang tertipu dengan ubat kurus dan pelangsing badan. Bagi pengguna yang bijak, mereka membuat aduan kepada pihak berwajib. Bagi pengguna yang tidak tahu saluran untuk mengadu maka tinggallah mereka dengan seribu rasa kesal dan kecewa. Manakala syarikat yang menawarkan produk kesihatan palsu terus mengira laba.

Pelbagai kempen kesedaran pengguna diadakan termasuklah Bulan Pengguna Kebangsaan setiap tahun. Namun, apa yang paling penting masyarakat sendiri harus celik dan sentiasa berwaspada. Bangkitlah menuntut hak apabila kekhuatiran dan keluh kesah kita tidak mendapat maklum balas dan tindakan yang sewajarnya. Itulah sebabnya, pengguna mesti peka dan bersatu melawan taktik kotor peniaga, syarikat atau pemodal yang hanya tahu mengira untung tanpa peduli hak dan kualiti yang sepatutnya diberi kepada pengguna.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 28 Disember 2010

ISU ALAM SEKITAR : Manusia ubah tabii alam punca berlaku bencana

Oleh Ibrahim Komo

Pemanasan global isu dibangkit untuk nafi kesilapan sendiri


MALAYSIA pernah dikenali sebagai negara yang bebas daripada bencana alam. Kita bernasib baik kerana tergolong dalam negara yang tidak akan diganggu oleh letusan gunung berapi dan gegaran gempa bumi. Justeru, Malaysia tidak memiliki dasar dan agensi kerajaan yang khusus untuk menangani isu bencana alam tabii.

Masyarakat Malaysia sudah mengenali kejadian banjir sejak sekian lamanya tetapi mereka tidak menganggap banjir sebagai fenomena bencana alam! Bagi masyarakat tradisi di pantai Timur, banjir adalah peristiwa tahunan yang perlu diharungi sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup mereka. Setiap musim tengkujuh, air sungai akan naik melimpah tebingnya dan membanjiri halaman rumah dan kawasan pertanian mereka. Untuk menyesuaikan diri dengan kejadian ini, mereka mendirikan rumah di atas tiang-tiang yang cukup tinggi, apabila banjir berlaku tempat tinggal dan harta benda mereka dapat diselamatkan!
Pada 11 Disember 1994, Malaysia digemparkan dengan bencana runtuhan bangunan Highlands Tower yang mengorbankan 48 penghuninya. Bangunan itu musnah disebabkan kejadian tanah runtuh di cerun bukit di belakangnya yang mengakibatkan tapak bangunan itu musnah. Pada ketika itu, masyarakat Malaysia mula bertanya beberapa soalan asas seperti, apa itu tanah runtuh, bagaimana puncanya, apakah bencana ini boleh terjadi dan memusnahkan harta benda?

Tanah runtuh yang mengakibatkan keruntuhan Highlands Tower adalah titik permulaan perubahan minda masyarakat mengenai bencana, dan mulai menyedari bahawa Malaysia bukannya bebas sepenuhnya daripada bencana alam! Sejak itu masyarakat mulai peka terhadap ‘bencana tanah runtuh’, dan pelbagai dasar dan strategi, serta garis panduan pembinaan disediakan kerajaan untuk mengurangkan risiko bencana tanah runtuh.

Satu lagi sejarah penting bencana tabii yang melanda dunia, dan cebisannya dirasai oleh Malaysia ialah gempa bumi besar yang berpusat di Aceh pada 26 Disember 2004. Bencana ini di luar dugaan minda manusia, dan benar-benar menyedarkan komuniti dunia bahawa bencana geologi boleh bersifat global! Lanjutan daripada gempa bumi besar itu, air lautan teranjak dan bergerak menyamai ombak yang dikenali ‘tsunami’.

Apabila tsunami melanda pesisiran pantai barat Semenanjung, ia berupaya memusnah rumah dan harta benda, serta mengakibatkan 68 kematian. Kebanyakan yang terkorban disebabkan kejahilan mengenai bencana tsunami.
Bencana besar ini mengakibatkan hampir 250,000 penduduk dunia terkorban, kebanyakannya di Indonesia, Thailand dan Sri Lanka, dan jutaan lagi menanggung kesengsaraan.

Bencana tsunami ini sekali lagi mengubah minda masyarakat Malaysia bahawa kita juga tidak selamat daripada bencana gempa bumi dan tsunami! Malaysia tidak lagi dianggap bebas daripada bencana alam!

Baru-baru ini, Perlis dan Kedah dilanda banjir besar di luar jangkaan. Peristiwa banjir dengan keluasan kawasan yang besar ini dikatakan paling buruk pernah terjadi di bahagian barat daya Semenanjung. Curahan hujan yang menyebabkan banjir itu juga yang tertinggi pernah direkodkan di kawasan berkenaan. Apakah ini sebahagian daripada peristiwa banjir yang sering berulang melanda negara kita atau, apakah ini petanda perubahan iklim.

Bencana alam adalah peristiwa geologi seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, tanah runtuh dan banjir yang sering berlaku mengakibatkan kematian dan kerosakan harta benda. Peristiwa geologi ini ‘bukan bencana’ sekiranya ia tidak menyebabkan kematian, kecederaan dan kemusnahan harta benda.

Pakar sains bumi sudah lama mengenali kedudukan dan punca kejadian gempa bumi dan letusan gempa bumi. Kawasan berisiko bencana berjaya dipetakan dan pelbagai pendekatan untuk mengurangkan risiko bencana dirancang dan dilaksanakan.

Kita bernasib baik kerana zon risiko tinggi iaitu ‘lingkaran api’ menganjur sepanjang kepulauan Sumatera, Jawa dan Filipina sekadar mengelilingi Malaysia. Negara kita hanya menerima tempias daripada bencana ini, khususnya gegaran kecil terhadap bangunan tinggi yang terletak di pantai barat berdekatan Sumatera.

Tsunami yang kali pertama melanda Kedah dan Pulau Pinang, dihasilkan oleh gempa bumi ketiga terbesar pernah direkodkan manusia, adalah jauh tersangat kecil berbanding yang berlaku di Aceh.

Tanah runtuh berlaku di kawasan lereng bukit apabila cerun menjadi tidak stabil dan bergerak ke bawah. Di kawasan pergunungan ini, cerun yang sangat curam akan mengalami tanah runtuh dari semasa ke semasa.

Di Malaysia, terutama di kawasan bandar, cerun yang landai dipotong menjadi curam untuk membina kawasan perumahan. Apabila cerun ‘buatan manusia’ itu runtuh mengorbankan nyawa atau memusnahkan harta benda, apakah ia dikatakan bencana alam atau bencana buatan manusia!

Peningkatan impak bencana pada prinsipnya boleh dikaitkan kepada tiga faktor utama – penambahan penduduk, perbandaran dan perubahan iklim. Penambahan pendudukan menyebabkan keperluan penempatan bertambah.

Tempat yang dahulunya tidak sesuai dibangunkan, umpamanya di kawasan lereng bukit dan dataran banjir, kini dibangunkan untuk kawasan perumahan. Penempatan baru ini terdedah dengan risiko bencana yang tinggi.

Perbandaran pula menyebabkan kawasan baru dibangunkan. Perbukitan dipotong dan diratakan serta membentuk cerun buatan yang curam dan kurang stabil. Kawasan bekas lombong, pesisiran sungai dan lautan ditambak untuk penempatan baru. Semua kawasan ini terdedah dengan risiko banjir dan tsunami.

Perubahan iklim pula khususnya pemanasan global boleh mengakibatkan keadaan iklim menjadi tidak stabil, curahan hujan atau kemarau yang ekstrem dan di luar jangkaan. Paras laut beransur-ansur naik. Semua ini akan menyebabkan lebih luas kawasan yang terdedah dengan bencana dan impak bencana pula menjadi semakin tinggi!

Sejak akhir-akhir ini bencana tanah runtuh dan banjir semakin meningkat. Apakah peningkatan ini kerana negara kita mulai menerima kesan perubahan iklim global atau hanya kerana proses perbandaran yang tidak lestari?

Sekiranya ditinjau beberapa kejadian bencana besar yang melanda negara kita, umpamanya bencana tanah runtuh yang mengakibatkan runtuhnya Highlands Tower dan beberapa kejadian sama di kawasan Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, kita dapati semua kejadian bencana berpunca daripada kegagalan cerun potongan atau tambakan buatan manusia. Kelemahan kita membina dan menyelenggara ‘cerun buatan’ dengan baik sambil memberikan perhatian terhadap kestabilan cerun secara jangka panjang menjadi punca kegagalan yang mengundang bencana.

Banjir yang sering berlaku di pantai Timur dan baru-baru ini di Kedah dan Perlis, kebanyakannya melanda kawasan ‘dataran banjir’. Istilah ‘dataran banjir’ yang digunakan oleh ahli geografi untuk menjelaskan kawasan rendah di sepanjang sungai bererti kawasan ini terbentuk oleh peristiwa banjir berkala sejak ribuan tahun lampau.

Kebanyakan kejadian bencana di Malaysia membabitkan interaksi manusia dengan proses alam. Dalam kebanyakan kita sudah mengubah atau menggunakan alam tanpa memahami risiko bencana yang boleh berlaku dan lebih menyedihkan lagi, ada segolongan manusia yang mencabar proses alam, membuat pembinaan di kawasan berisiko bencana tinggi hanya untuk meraih kekayaan dan membiarkan masyarakat umum terdedah kepada risiko ini.

Di Malaysia, bencana alam, khususnya tanah runtuh dan banjir berlaku kerana kita memilih untuk membangun di kawasan berisiko bencana. Kita mengubah suai cerun tabii, lantaran mengundang tanah runtuh.

Kita membuat penempatan di kawasan dataran banjir tanpa mengetahui bahawa risiko banjir akan muncul secara berkala. Kita salahkan alam apabila kita ditimpa bencana. Malaysia umumnya negara yang bebas daripada bencana alam, jika bencana berlaku ia adalah buatan manusia!

Minat baru masyarakat global memperkatakan bencana alam terus meningkat kerana perubahan iklim. Walaupun pada umumnya, pemanasan global adalah isu paling serius sedang melanda warga dunia, tetapi apakah peristiwa bencana di Malaysia disebabkan oleh perubahan iklim atau sekadar kerakusan dan kejahilan kita mengenai risiko bencana alam!

Penulis ialah Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara dan Pengarah, Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, UKM

Sumber : htttp : www.bharian.com/

ISU SOSIAL : Pupuk budaya integriti


TAHNIAH buat calon-calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 yang mendapat keputusan cemerlang sebagaimana yang diumumkan pada Khamis minggu lalu.

Di samping kita meraikan para pelajar cemerlang, jangan sesekali melupakan pelajar yang kurang cemerlang. Peperiksaan PMR bukanlah segala-galanya dalam hidup. Gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya. Buktikan anda juga boleh berjaya kemudian hari. Kejayaan bukan datang bergolek, kejayaan datang dengan usaha dan ketabahan. Nescaya, setiap dugaan yang datang pasti ada hikmahnya. Jadikanlah kegagalan sebagai permulaan kejayaan yang lebih cemerlang.

Di sebalik keputusan yang semakin cemerlang pada setiap kali pengumuman peperiksaan awam di Malaysia, penulis ingin mengajak para pembaca, ibu bapa dan pemimpin merenung dan memikirkan satu topik yang cukup penting bagi generasi pelapis. Ia bukanlah perkara baru tetapi jarang sekali disentuh untuk generasi muda terutama remaja dan para pelajar iaitu isu integriti dan amanah.

Kita sentiasa tersenyum riang apabila anak-anak kita memperoleh keputusan cemerlang, seolah-olah itulah penanda aras segala-galanya dalam kehidupan ini. Tetapi pernahkah kita cuba fikirkan soal integriti dan amanah yang sewajarnya dipupuk sejak kecil lagi. Bukan apa, saban hari kita disajikan berita penyelewengan, rasuah, penipuan dan pecah amanah.

Saban hari juga kita membaca dan mendengar skandal korporat, rasuah orang awam, swasta dan kakitangan awam tidak kiralah sama ada berpangkat kecil, mahupun besar. Kita juga selalu mendengar kes-kes penipuan seperti skim cepat kaya serta gores dan menang. Tidakkah ini membimbangkan kita?

Malahan tidak keterlaluan, jika tidak dibendung atau diperangi secara bersungguh-sungguh, elemen integriti di kalangan rakyat Malaysia akan semakin lemah. Apa akan terjadi kepada masyarakat Malaysia pada tahun 2020 jika masyarakatnya tidak berintegriti dan amanah? Skandal-skandal penyelewengan, penipuan, rasuah dan pecah amanah ini bukan sahaja berlaku di kalangan golongan bawahan tetapi golongan terpelajar yang mempunyai kuasa di sektor awam mahupun swasta.

Mereka inilah pembuat keputusan bagi orang bawahan. Kerugian besar akan ditanggung oleh semua orang jika penyelewengan dan penipuan berlaku. Sektor swasta akan kerugian dengan pekerjanya sengsara. Manakala jika penyelewengan dan rasuah berlaku di sektor awam, rakyat jelata pula bakal menanggung kerugian.

Masyarakat kita sudah berubah. Tidak seperti dahulu, mudah ditegur dan keputusan banyak dibuat secara kolektif. Dahulu sering kali kerja gotong royong dilakukan sesama masyarakat setempat, tetapi kini kerja gotong royong semakin berkurangan. Natijahnya, masyarakat kini berubah ke arah lebih individualistik dan mementingkan kebendaan semata-mata, selain mengejar kekayaan sehingga melupakan tanggungjawab untuk membantu sesama masyarakat terutama jiran tetangga. Perkara ini boleh dilihat dengan ketara di bandar-bandar besar. Kesan urbanisasi dan permodenan, masyarakat semakin individualistik. Ini bertepatan dengan senario mana-mana negara maju di dunia. Adakah kita mahu mengikut jejak mereka menjelang tahun 2020?

Apabila masyarakat semakin individualistik, mereka tidak memikirkan orang lain kecuali diri sendiri. Sudah tentu, ia akan memberi kesan kepada sikap mementingkan kebendaan walau apa cara sekalipun. Akhirnya, sikap individualistik ini akan melahirkan masyarakat yang lemah integriti kerana apa cara sekalipun, tidak kiralah sama ada halal atau haram mereka akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan harta benda dan wang ringgit sebanyak yang mungkin.

Maka terjadilah kes-kes pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan penipuan. Matlamat menghalalkan cara. Itulah ciri-ciri masyarakat maju yang individualistik. Kita tidak mahu perkara ini menjadi barah suatu hari nanti. Lebih baik kita mempunyai pemimpin yang kurang hebat tetapi berintegriti mantap berbanding pemimpin yang hebat segala-galanya tetapi lemah integritinya.

Percayalah, negara akan hancur jika ditadbir oleh pemimpin begini. Oleh itu, elemen integriti wajar diajar sejak kecil lagi melalui sistem pendidikan negara. Perbanyakkan perbincangan mengenai elemen integriti dalam masyarakat seperti di majlis- majlis ilmu, media massa, drama dan filem.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 25 Disember 2010

PANAS SEJUK 2010

Oleh Hafizahril Hamid

TAHUN 2010 bakal melabuhkan tirainya beberapa hari saja lagi. Kejadian suka-duka sepanjang tahun ini mendapat tempat utama di akhbar-akhbar seluruh dunia sebagai catatan sejarah yang tidak mungkin dilupakan.

Kemelut kegawatan ekonomi masih menjadi isu utama 2010. Negara yang satu ketika dulu dianggap antara terkaya dan terbaik di dunia kini hampir muflis seperti Greece dan Ireland.

Selain itu rantau Asia dikejutkan dengan adegan perang antara dua negara berjiran Korea Selatan dan Korea Utara selain bencana seperti gempa bumi di Haiti yang kemudiannya melarat kepada wabak taun, serta gempa bumi di China dan Chile. Kejadian pelantar minyak Teluk Mexico meletup sehingga mendatangkan kesan teruk kepada alam sekitar dan haiwan satu lagi episod duka tahun ini.

Isu kemanusiaan menggemparkan dunia apabila flotila bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza diserang oleh tentera Israel sekaligus mendedahkan sikap talam dua muka rejim Zionis itu.

Berikut adalah beberapa peristiwa besar dunia sepanjang 2010 untuk imbasan sebelum tirai 2010 berlabuh:

JANUARI

Haiti dilanda gempa terburuk dalam sejarahnya pada 12 Januari. Gempa bumi sekuat 7 skala Richter melanda ibu negara Haiti meranapkan banyak bangunan dan mengorbankan beribu-ribu nyawa.

Gempa pada pukul 4.53 petang (pukul 5.53 pagi waktu Malaysia), berpusat 15 kilometer dari barat Port-au-Prince pada kedalaman lapan kilometer. Pihak berkuasa melaporkan 200,000 orang dianggarkan terkorban dan 1.5 juta lagi hilang tempat tinggal.

FEBRUARI

Gempa bumi terburuk berukuran 8.8 skala Richter melanda Chile pada 27 Februari menyebabkan sekurang-kurangnya 708 terkorban. Gempa terkuat dalam sejarah negara itu turut mencetuskan tsunami yang meredah Lautan Pasifik dan melanda Jepun sehari kemudian.

MAC

l Kira-kira 80,000 aktivis 'Baju Merah' yang menyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra tiba di Bangkok pada 16 Ma. Mereka mengibarkan bendera merah untuk memberi kata dua kepada kerajaan Thailand yang disokong oleh tentera, sama ada mengadakan pilihan raya atau berdepan dengan demonstrasi yang bakal melumpuhkan ibu negara.

APRIL

Wilayah barat laut China dan Tibet dilanda gempa bumi kuat berukuran 6.9 pada skala Ritcher pada 14 April lalu, mengakibatkan kira-kira 791 orang terbunuh dan lebih 10,000 cedera ekoran rumah, sekolah dan pejabat di kawasan pergunungan runtuh.

Antara kejadian yang menggemparkan Eropah adalah letupan gunung berapi di Iceland

Beratus-ratus penduduk dpindahkan pada pertengahan April selepas berlaku letupan gunung berapi di bawah glasier glasier kelima terbesar, glasier Eyjafjallajokull.

Akibat kejadian itu perjalanan udara di seluruh Eropah lumpuh lebih seminggu ekoran kepulan debu dari gunung berapi Iceland yang menyelubungi ruang udara. Berpuluh-puluh ribu penumpang terkandas di seluruh dunia kerugian yang ditanggung industri penerbangan sehari mencecah lebih AS$200 juta (RM700 juta).

Satu lagi kejadian yang mendapat perhatian dunia adalah letupan di pelantar minyak Teluk Mexico pada 22 April. Pihak Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) berkata, sebuah pelantar gerudi minyak luar pesisir pantai senget teruk selepas satu letupan besar dalam kejadian di Teluk Mexico.

Letupan itu menyebabkan pencemaran minyak selama beberapa bulan yang juga pencemaran terburuk di AS. Menurut syarikat tenaga ketiga terbesar dunia, BP yang mengendali pelantar minyak itu kos bagi menangani isu tumpahan minyak di Teluk Mexico itu bernilai AS$3.5 bilion (RM11.2 bilion)

Satu lagi kejadian "panas" adalah keputusan Parlimen Belgium meluluskan pengharaman pemakaian purdah di khalayak ramai dan ia adalaj tindakan pertama seumpamanya di Eropah.

Langkah itu dikutuk oleh para pemimpin Islam, seorang biskop Roman Katolik dan pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International.

MEI

Sekurang-kurangnya 19 terkorban dan 30 lagi cedera apabila komando Israel pada 31 Mei menyerang flotila yang membawa beratus-ratus aktivis pro-Palestin dalam misi bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza.

Dakwa Israel serangan berpunca daripada tentangan tidak disangka-sangka ketika cuba menaiki kapal tersebut. Kebanyakan mangsa yang maut terdiri daripada rakyat Turki.

JUN

Kongres Filipina pada 9 Jun lepas, secara rasmi mengisytiharkan Benigno 'Noynoy' Aquino III sebagai presiden ke-15 negara ini, setelah senator pembangkang itu memenangi pilihan raya Presiden Filipina dengan memperolehi kelebihan undi terbesar sejak demokrasi dipulihkan menerusi pemberontakan kuasa rakyat pada 1986. Aquino, 50, anak lelaki tunggal kepada wira demokrasi Filipina yang juga bekas Presiden, Corazon Aquino, memperoleh 15.2 juta undi atau 42 peratus daripada 36.3 juta undi berdasarkan kiraan rasmi Kongres.

Kehilangan besar dirasai oleh penduduk Aceh apabila pemimpin yang bertanggungjawab mengisytiharkan perjuangan Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Hasan Tiro meninggal dunia pada 3 Jun lepas. Hasan atau nama penuhnya Tengku Hasan Muhammad di Tiro meninggal dunia pada usia 85 tahun kerana mengalami jangkitan paru-paru.

JULAI

Banjir besar yang melanda Pakistan mengorbankan lebih 2,000 nyawa selain sungai melimpahi tebing, perkampungan ditenggelami air dan tanah runtuh di banyak tempat. Pertambahan jumlah korban akibat hujan monsun itu menunjukkan kelemahan infrastruktur Pakistan di mana petugas penyelamat yang tidak cukup peralatan berhempas pulas untuk sampai ke kawasan pedalaman.

OGOS

Presiden Barack Obama pada 14 Ogos buat pertama kali memberi kenyataan menyokong penuh pembinaan masjid berhampiran tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang musnah dalam serangan 11 September 2001. Ujar beliau prinsip penubuhan negara menuntut perkara sama untuk semua orang.

SEPTEMBER

Sekumpulan pelajar yang mendakwa mewakili Gerakan Mahasiswa Hukum Jakarta (Gerakan Mahasiswa Undang-undang Jakarta) bertindak mengotorkan bendera Malaysia dengan telur sebelum membakar dan melontarkan Jalur Gemilang ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia dalam demonstrasi membantah insiden di sempadan perairan Malaysia-Indonesia dekat Kepulauan Riau

Gereja Dove World Outreach Center yang berpangkalan di Gainesville, Florida mengumumkan rancangan untuk membakar naskhah-naskhah al-Quran di perkarangan gereja bagi memperingati ulang tahun kesembilan serangan 11 September, tetapi tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa.

Senat Perancis pada 15 September mengikut jejak Belgium meluluskan rang undang-undang mengharamkan pemakaian burqa dan niqab di tempat awam tindakan yang dilihat simbol melindungi nilai-nilai Perancis.

OKTOBER

Setelah lebih dua bulan kesemua 33 pelombong yang terperangkap 700 meter di bawah tanah di sebuah lombong di Chile pada 14 Oktober, berjaya dibawa keluar apabila sebuah operasi rumit penuh risiko dijalankan selepas lombong di gurun Atacama, utara Chile runtuh pada 5 Ogos lalu.

Sekurang-kurangnya 435 terbunuh, manakala kira-kira 110 lagi, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak akibat gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter di 20 kilometer di bawah dasar laut, 78 kilometer ke barat Pagai Selatan di kepulauan Mentawai dan kemudian mencetuskan ombak tsunami setinggi tiga meter.

NOVEMBER

Gunung berapi paling aktif di Indonesia, Merapi menyebabkan 240 nyawa terkorban sejak mula meletus pada bulan lepas. Hampir 400,000 penduduk mencari perlindungan di kem-kem penempatan sementara.

Kebanyakan mangsa maut akibat terkena aliran deras gas dan batu panas yang membakar kampung-kampung apabila Merapi meletus pada 5 November dalam letusan terbesarnya sejak lebih seabad lalu.

Berita paling gembira bagi rakyat Myanmar pastinya pembebasan pejuang demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi pada 13 November. Lebih 1,000 orang menunggu dalam panas terik dekat kediaman Suu Kyi yang usang dan mula bergerak ke situ ketika pihak berkuasa menanggalkan pos kawalan.

Dunia dikejutkan dengan tindakan Korea Utara melancarkan serangan terhadap Pulau Yeonpyeong milik Korea Selatan pada 23 November. Pulau tersebut yang menempatkan kira-kira 1,000 tentera Korea Selatan menjadi pertikaian kedua-dua negara sejak sekian lama selain menyebabkan dua anggota marin Korea Selatan serta dua penduduk awam maut, sementara 15 anggota marin lagi dan tiga penduduk awam cedera.

DISEMBER

Sensasi terhebat pada 2010 pastinya keberanian laman web WikiLeaks mendedahkan lebih 250,000 dokumen diplomatik Amerika Syarikat (AS). Pendedahan itu ternyata membimbangkan AS yang memberi amaran ia akan mengancam nyawa mereka yang tidak bersalah serta memburukkan hubungannya dengan negara sekutu lain.

Namun harga mahal perlu dibayar pengasasnya, Julian Assange yang ditahan polis Britain selepas dia menyerah diri di sebuah balai polis di tengah London ekoran tindakan Sweden mengeluarkan waran tangkap ke atasnya atas dakwaan jenayah seks termasuk rogol. Assange menafikan semua tuduhan itu dan dibebaskan beberapa hari kemudian dengan ikat jamin.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 24 Disember 2010

SAJAK BAHASA KEPADA BANGSA

Jika tidak ingin menuturnya di meja bulat
angkatlah sepatah dua di kaki lima di kedai
kopi.

Jika tidak menggunakan sepenuhnya di papan
iklan
sudi tampalkan di bawah pokok di tepian jalan
walaupun jalan dan pokok sudah lama mati.

Jika sepatah dua dipakai dalam mesyuarat
bulanan
gunakanlah sepenuhnya sewaktu pertemuan
dengan orang kampung walaupun terpaksa
diadakan sekali setahun.

Jika ayat itu tidak mampu untuk mengampu
gunakanlah sebagai pendinding
kepada seteru.

Jika kalimatnya tidak seselesa hasrat hati
selesaikanlah ketika menghadap Rabbul 'Izzati.

ABDUL HADI YUSOFF
Gua Musang

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Anjur kempen sanjungi tokoh negara

KERAJAAN melancarkan kempen 'Belilah Barangan Buatan Tempatan' untuk menggalakkan rakyat tempatan menghargai produk buatan syarikat Malaysia. Melihat kepada perkembangan semasa, produk Malaysia sudah mendapat perhatian pengguna termasuk luar negara.

Contohnya, kereta Malaysia seperti Proton Saga mendapat kepercayaan dan keyakinan serta pasaran baik di luar negara seperti Singapura, Indonesia malahan London dan beberapa buah negara Asia Barat lain yang memasarkan produk ikonik Malaysia itu.

Di Malaysia, untuk membeli kereta serba guna (MPV) Proton Alza memerlukan masa berminggu-minggu kerana pengguna terpaksa menunggu giliran. Ini jelas menunjukkan produk Malaysia mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan pengguna tempatan.

Di samping itu, perabot dari Malaysia juga mendapat pasaran besar di Jepun. Jika tidak bermutu tinggi, pengguna Jepun yang terkenal dengan permintaan tinggi terhadap kualiti barangan sudah pasti tidak akan membelinya.

Kajian yang dijalankan baru-baru mendapati 90 peratus rakyat Malaysia kini mempunyai keyakinan tinggi terhadap barangan buatan tempatan dan tidak teragak-agak untuk membeli produk keluaran negara sendiri.

Namun, tidak dinafikan masih ada yang membeli barangan import yang berharga mahal terutama mereka yang mementingkan jenama serta mempunyai kemampuan memiliki produk itu.

Begitu juga yang bermegah menyanjungi tokoh barat seperti Edward de Bono, Bill Gates, Einstein, Thomas Edison, Barack Obama dan Warren Buffett. Sedangkan kita juga mempunyai tokoh tidak kurang hebatnya tetapi tidak disebut.

Dalam banyak hal, kita masih cenderung menunjuk-nunjuk berbanding dengan nilai sebenar yang ada dalam isu persoalan sehingga asyik bercakap dengan menggunakan pemikiran orang lain, tiada langsung pemikiran sendiri.

Tentulah kempen untuk meyakini produk sendiri ini mesti diikut serta dengan kempen menggalakkan masyarakat menghayati pemikiran tokoh kita. Sungguh berbahaya apabila senantiasa menggunakan pemikiran orang kerana kita sebenarnya terikut-ikut mengembangkan ideologi orang lain.

Kita sepatutnya membangunkan masyarakat dan negara mengikut formula serta acuan tersendiri sebagai sebuah negara majmuk yang berpotensi mencapai aspirasi luhur dalam pelbagai bidang menjelang 2020.

ANAK MALAYSIA,
Johor.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 22 Disember 2010

ISU SOSIAL : Remaja lari dari rumah

Oleh: DR. KHAIDZIR ISMAIL

REMAJA lari dari rumah merupakan satu fenomena yang kerap kita baca dalam akhbar dan telah menjadi makin serius kerana setengah daripada mereka telah lari sehingga ke negara jiran. Ini berlaku sama ada di bandar atau pun luar bandar dan juga melibatkan remaja lelaki.

Terdapat beberapa sebab remaja lari dari rumah. Antaranya adalah keadaan di rumah dan latar belakang keluarga dan juga personaliti remaja itu sendiri. Sesetengah daripada remaja melarikan diri kerana tidak tahan dengan keadaan di rumah dan ada juga sesetengah mereka dihalau dari rumah.

Remaja lari dari rumah tidak mempunyai satu definisi yang khusus, namun, pelbagai definisi yang telah dinyatakan berasaskan penyelidik-penyelidik yang menjalankan kajian terhadap remaja lari dari rumah. Contohnya, Bailey et al. (1998) telah mendefinisikan remaja lari dari rumah adalah remaja yang melarikan diri dari rumah untuk sekurang-kurangnya satu malam tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaga dan tinggal di lokasi atau kawasan yang tidak diselia seperti tinggal bersama orang asing, tinggal di pusat perlindungan, kawasan awam seperti taman atau bawah lebuh raya atau tinggal di bilik sewa. Zide dan Cherry (1992) telah membina satu tipologi remaja lari dari rumah atau remaja tanpa rumah berasaskan sebab mereka meninggalkan rumah. Antaranya adalah pertama, melarikan diri ke iaitu remaja yang sukakan cabaran dan kerap balik rumah, namun remaja ini akan terlibat dalam pelbagai kegiatan berisiko semasa meninggalkan rumah.

Kedua, melarikan diri dari rumah iaitu remaja meninggalkan rumah untuk mengelakkan daripada keadaan keluarga yang konflik dan tegang. Ketiga, dibuang keluar iaitu remaja yang dipaksa keluar daripada keluarga dan mempunyai sejarah masalah sekolah dan penjagaan. Keempat, ditinggalkan iaitu remaja ditinggalkan disebabkan keluarga tidak berupaya menyokong mereka dari segi kewangan

Gejala remaja lari dari rumah berlaku juga di kebanyakan negara, dijangkakan 1.6 juta remaja melarikan diri dari rumah di Amerika Syarikat setiap tahun (Walsh dan Donaldson 2010).

The Student Advisory Center (SAC) menjangkakan sekurang-kurangnya 600 hingga 700 kes remaja bawah usia 16 tahun lari dari rumah dilaporkan di Singapura (Yiu 2009). Di India sebanyak 47.22 remaja lari dari rumah (Khurana et al. 2004). Di Cameroon, remaja lari dari rumah telah berlaku seawal 11 tahun dan bilangan remaja lari dari rumah bertambah apabila mencapai 15 tahun (Matchinda 1999).

Di Malaysia, remaja lari dari rumah turut menjadi satu gejala sosial yang boleh menjadi serius sekiranya tidak dibendung atau dipantau. Media massa kerap melaporkan berita dan liputan tentang remaja lari dari rumah.

Gejala ini telah berlaku dalam semua lapisan masyarakat tanpa kira bangsa dan agama, maka isu ini menjadi permasalahan umum dalam masyarakat. Gejala lari dari rumah semakin membimbangkan masyarakat apabila gejala ini melibatkan anak remaja yang semakin kecil.

Kebanyakan remaja tidak suka kepada kawalan yang ketat dan dilayan sebagai kanak-kanak. Mereka suka kepada kebebasan dan ingin mencuba. Tetapi sebagai orang dewasa atau ibu bapa mesti membimbing dan mengawal dengan bijak anak remaja yang sedang dalam proses menjadi seorang dewasa. Ibu bapa perlu belajar menyayangi anak-anak mereka walaupun dalam keadaan yang sibuk.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KUALITI MAHASISWA : SISWA MELAYU LEKEH ?

TIADA BEZA...kejayaan adalah hak milik individu tanpa mengira kaum, latar belakang atau status.

Kualiti siswa isu subjektif

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

SEJAK sekian lama mahasiswa Melayu dilemparkan pelbagai tanggapan negatif yang bukan saja mencalarkan maruah bangsa, malah mencacat celakan kredibiliti sistem pendidikan negara yang bertanggungjawab melahirkan graduan saban tahun.

Menolak ke tepi rasa tanggungjawab dan sensitiviti masyarakat, mereka dengan mudah memperlekehkan pencapaian graduan ini kononnya gagal bersaing, kelulusan hanya cukup makan selain terbabit dengan pelbagai gejala sosial.

Stigma itu bukan saja mewujudkan pelbagai persepsi negatif, malah bagai memperkotak-katikkan harga diri mahasiswa yang berjuang di menara gading demi segulung ijazah.

Persoalannya, benarkah mahasiswa Melayu begitu lekeh hingga mudah mengaku kalah?

Apakah ia agenda pihak tertentu yang sengaja mencari publisiti murahan demi melunaskan hajat masing-masing?

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata bukan isu baru mahasiswa Melayu dilemparkan pelbagai tanggapan negatif.

Beliau berkata, sikap itu bukan saja boleh mencetuskan pelbagai masalah, malah menggugat sistem pendidikan negara yang telus memberi pendidikan tanpa mengira latar belakang individu.

“Sistem pendidikan negara tidak pernah membezakan antara satu sama lain, semuanya berhak menerima pendidikan setara. Malangnya ada individu tidak melihat kelebihan itu, malah lebih senang membuat propaganda sendiri.

“Mahasiswa Melayu diperlekehkan tanpa usul periksa. Tindakan ini tidak adil kerana bukan saja menjatuhkan maruah, malah memberi kesan kepada institusi, keluarga, masyarakat dan majikan.

“Ia tidak sepatutnya dipolitikkan kerana isu ini boleh menggagalkan usaha mencapai matlamat pembangunan jangka panjang,” katanya.

Isu prejudis terhadap mahasiswa Melayu sudah lama timbul antaranya membabitkan kuota kaum di universiti, pinjaman pendidikan dan penggunaan bahasa Melayu.

Ada juga tuduhan menyatakan mahasiswa Melayu memperoleh pelbagai keistimewaan hingga menjejaskan pencapaian di menara gading selain malas berfikir, teknik pembelajaran lemah serta mengamalkan budaya belajar di saat-saat akhir.

Mengulasnya, beliau berkata itu hanya persepsi semata - mata kerana pencapaian mahasiswa Melayu pada hari ini sangat mengagumkan setara bangsa lain tanpa memperoleh apa-apa keistimewaan.

Kualiti mahasiswa ini, katanya, bersifat subjektif dan tidak tertumpu kepada satu golongan semata-mata sebaliknya bergantung pada individu.

“Kualiti graduan Melayu lemah hanya persepsi dan khabar angin. Pencapaian graduan bersifat subjektif, ada cemerlang, begitu sebaliknya.

“Betulkan persepsi itu, buka minda dan lihat senario tanpa prejudis. Jika ada kelemahan, perlu diperbetulkan, bukan mengutuk demi kepentingan diri sendiri,” katanya.

Katanya, usaha melahirkan graduan yang menepati keperluan industri dan masyarakat bukan mudah dan menghadapi banyak.

“Ramai tidak melihat kesungguhan institusi, sebaliknya suka memperbesarkan isu remeh. Ini kerugian besar kepada anak bangsa kerana tidak mendapat sokongan padu masyarakat,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan majikan mengiktiraf kebolehan mahasiswa Melayu dan tidak timbul isu gagal bersaing.

“Ramai graduan Melayu membuktikan kecemerlangan dan menguasai pelbagai bidang pekerjaan atau berpendidikan tinggi.

“ Kemampuan graduan ini sudah lama diperakui hingga ke peringkat antarabangsa.
“Justeru, tidak wujud konsep diskriminasi pencapaian atau peluang berdasarkan bangsa, ia bergantung pada keupayaan masing-masing meraih kepercayaan majikan,” katanya.

Mengulas tindakan segelintir pihak menyalahkan institusi jika gagal melahirkan graduan Melayu cemerlang, beliau berkata, institusi bertanggungjawab menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan, namun tidak menjamin kejayaan mereka.

“Apabila berlaku kemerosotan pencapaian, hanya universiti ditempelak dan dipersalahkan. Kami hanya menyediakan peluang, mahasiswa bertanggungjawab merencanakan masa depan.

“Justeru, berilah sokongan dan jangan memperbesarkan isu yang boleh mengganggu gugat masa depan generasi menara gading,” katanya.


INFO

Antara faktor utama mengapa masyarakat sering memandang serong pada pencapaian mahasiswa Melayu:

  • Kurang matang pemikiran.

  • Bersikap negatif dan memerlukan motivasi.

  • Berjaya apabila suasana terkawal tapi boleh berubah kepada positif atau negatif jika berlaku kejutan budaya.

  • Memerlukan banyak bantuan daripada persekitaran dan tidak pandai berdikari.

  • Belajar atau melakukan tugasan pada saat akhir, kurang peka, malas berfikir dan bersikap suka bertangguh.
  • Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

    Selasa, 21 Disember 2010

    ISU KESIHATAN : Usaha bersepadu perlu tangani denggi

    STATISTIK terkini menunjukkan sebanyak 133 kematian dicatatkan di seluruh negara akibat demam denggi sejak 1 Januari 2010. Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya 84 kes kematian yang dilaporkan untuk tempoh sama tahun lalu. Jumlah kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara juga meningkat iaitu sebanyak 45,106 kes berbanding 39,711 kes dalam tempoh yang sama pada 2009.

    Senario ini menunjukkan betapa bahayanya demam denggi dan perlu ditangani dengan segera agar tidak terus meragut nyawa. Usaha bersepadu perlu dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat agar segera membanteras penularan wabak berbahaya ini. Memandangkan angka kematian terus meningkat, adalah diharapkan 2011 yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi diisytihar sebagai tahun banteras denggi habis-habisan. Atau tahun anti-aedes oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Sejak penyakit demam denggi mula dikesan, ia menunjukkan peningkatan yang seiring dengan pertambahan kawasan bandar, pembangunan dan peningkatan kepadatan penduduk.

    Antara tanda-tanda penyakit ini ialah demam kuat yang mengejut dan berterusan, bintik-bintik merah pada kulit, berdarah pada badan, hidung dan mulut, hilang selera makan, muntah-muntah dan sakit perut. Sehingga kini masih belum terdapat vaksin siap untuk demam denggiflavivirus dan kita lebih disyorkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih proaktif.

    Cara mencegah denggi yang utama adalah menghapuskan atau mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi. Langkah menghapuskan takungan air seperti dalam bekas bunga terbukti berkesan bagi mengawal penyakit bawaan nyamuk. Pengunaan ubat jentik-jentik juga berkesan untuk menghapuskan jentik-jentik, manakala penggunaan kelambu dan juga semburan (fogging) juga boleh membantu. Nyamuk aedes senang dikenali dengan belang hitam putih pada badan dan kakinya dan kebiasaannya menggigit pada awal pagi dan waktu senja.

    Nyamuk ini juga membiak dalam air jernih yang bertakung sama ada di dalam atau di luar rumah. Antara tempat pembiakan di dalam rumah ialah dalam akuarium, pasu bunga, timba, tempayan serta kolam (kolah) mandi.

    Di luar rumah pula nyamuk ini membiak dalam tayar buruk, tempurung kelapa, botol atau gelas pecah yang mengandungi air, longkang yang tersekat serta salur air hujan. Peningkatan kes demam denggi dan jumlah kematian di negara kita mutakhir ini boleh dirumuskan berpunca daripada kurangnya tahap kesedaran, kelalaian sendiri serta sikap tidak peduli dalam kalangan masyarakat.

    Kita masih dengan budaya tidak mempedulikan sesuatu perkara sehingga ia kena pada kita atau kaum keluarga. Budaya tidak peduli, lepas tangan dan tidak mengapa ini jelas mula menular menjadi wabak yang serius sama serius dengan penularan wabak denggi dalam masyarakat kita. Budaya ini jika tidak dibendung dengan segera, dikhuatiri akan terus meragut lebih banyak lagi nyawa.

    Justeru, kita perlu mengubah pemikiran dan gaya hidup supaya menjadi masyarakat yang lebih prihatin dan responsif dengan apa yang berlaku dalam persekitaran. Tidak salah dalam hal begini kita mengambil tahu 'tepi kain orang lain' asalkan ia untuk kesejahteraan dan keselamatan bersama. Masyarakat perlu sedar bahawa isu demam denggi ini amat serius serta bahaya dan ia perlu ditangani dengan segera.

    Dalam hal ini kita wajar memuji langkah-langkah pencegahan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak KKM dan beberapa agensi lain yang berkaitan sebagai usaha berterusan menyedarkan masyarakat serta membendung penularan virus ini mahupun pembiakan aedes. KKM misalnya mengadakan pelbagai program kesedaran seperti 10 minit dalam seminggu, Jom Ganyang Aedes dan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang lain termasuk pihak berkuasa tempatan serta masyarakat setempat.

    Tetapi jika masih tiada kesedaran dan sokongan menyeluruh daripada masyarakat, ia tidak akan berjaya. Senario ini jelas menunjukkan tahap keseriusan pihak kerajaan dalam membendung wabak denggi. Namun statistik yang terus meningkat membuktikan bahawa keberkesanan pelbagai program yang dianjurkan selama ini masih belum menampakkan hasil yang diharapkan. Ia kerana sikap masyarakat sendiri yang tidak memandang serius penularan demam denggi.

    Malah Kempen Media Pencegahan Denggi oleh KKM sebagai usaha untuk menyebarkan mesej dan maklumat tentang bahaya demam denggi juga dilihat masih belum cukup untuk menyedarkan masyarakat.

    Pembanterasan nyamuk aedes memerlukan perubahan sikap yang menyeluruh dalam kalangan masyarakat. Setiap individu perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan yang aktif demi menyelamatkan nyawa sendiri, keluarga mahupun masyarakat setempat.

    Tindakan seperti membuang sampah terutamanya ke dalam longkang yang akhirnya menyebabkan aliran longkang tersekat dengan timbunan sampah dan rumput perlu dielakkan. Di samping itu, sebarang jenis takungan air baik di dalam mahupun di sekitar kawasan luar rumah juga perlu dielakkan. Kita juga perlu berubah dari sikap pengotor kepada pembersih. Hanya kebersihan secara hakiki mampu membendung pembiakan nyamuk aedes ini dari terus bermaharajalela.

    Di samping bergantung kepada tindakan pencegahan daripada KKM dan agensi berkaitan, masyarakat juga perlu bertindak sendiri secara proaktif. Misalnya mengenalpasti lokaliti-lokaliti yang berpotensi sebagai hot spots dan segera melakukan aktiviti pembersihan dan gotong-royong secara bersepadu. Dalam masa yang sama kita juga berharap tindakan penguatkuasaan dan pemantauan serta hukuman diperhebatkan oleh semua agensi yang terbabit.

    Pemilik premis baik rumah kediaman mahupun perniagaan yang didapati membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes perlu dikompaun serta merta tanpa pilih kasih. Dalam hal ini kompaun maksimum RM500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang sedia ada dilihat masih rendah dan belum cukup menggerunkan pemilik premis. . Adalah disyorkan agar nilai kompaun ini dikaji semula dan dinaikkan ke satu nilai yang lebih besar serta ditambah dengan hukuman penjara yang setimpal.

    Disyorkan juga supaya Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Mengawal Denggi (2009-2013) yang dilancarkan pada April 2009 disemak semula dan dimantapkan mengikut keadaan semasa agar memberikan impak yang maksimum. Kesimpulannya, walau apa pun tindakan mahupun program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, ia tidak akan berhasil tanpa kerjasama setiap individu dalam masyarakat kita.

    Justeru, masyarakat perlu berganding bahu dengan berusaha secara bersepadu dan bertindak dengan segera untuk membendung penularan wabak ini. Marilah kita berazam dan bertekad untuk membanteras habis-habisan nyamuk aedes pada 2011 ini dan isytihar tahun berkenaan sebagai tahun anti-aedes.

    PENULIS ialah Penolong Pendaftar Kanan,

    Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia.

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/

    ISU BAHASA : Bahasa Melayu Penghalang?


    Profesor Teo, Ismail dan Zawiyah pada Wacana Bahasa Kebangsaan anjuran ATMA di UKM, Bangi baru-baru ini

    Oleh Nazmi Yaakub
    nazmi@bharian.com.my

    Kejayaan Upin & Ipin tembusi pasaran luar negara jawab segala-galanya

    BAHASA Melayu dan budaya tempatan berupaya dijadikan aset dalam memasarkan produk animasi tanah air ke pentas global seperti dibuktikan Upin & Ipin yang berjaya menembusi pasaran negara luar meskipun ia membawa imej lokal ekoran ia dipakej dalam bentuk cerita yang baik.

    Perkara ini disimpulkan pada Wacana Bahasa Kebangsaan: Isu Bahasa Kebangsaan anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.
    Pengarah Urusan, Les’ Copaque (Upin & Ipin) Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, berkata kelemahan industri animasi di negara ini ialah penyediaan cerita dan jalan cerita bermutu, sekali gus berupaya memikat pasaran tempatan dan luar negara.

    “Masalahnya pembuat filem tanah air tidak pandai bercerita dan institusi pengajian tinggi (IPT) pula lebih menekankan aspek teknikal dalam bidang pengajian mereka.

    “Sepatutnya IPT seperti Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dibiarkan memberi tumpuan kepada soal teknikal, manakala universiti lain pula menghasilkan graduan dengan kebolehan menghasilkan cerita dan mengarah filem,” katanya pada wacana yang dipengerusikan Felo Penyelidik Utama ATMA, Datuk Zawiyah Baba.

    Burhanuddin berkata, Perbadanan Multimedia Malaysia (MDEC) yang diamanahkan kerajaan untuk penyaluran geran animasi kini mungkin berjumlah RM300 hingga RM400 juta, menganggap animasi sebagai bidang pertumbuhan ekonomi masa depan.

    “Apabila kami mula-mula masuk ke industri animasi, kami mencari MDEC tetapi perbadanan itu sebenarnya diterajui mereka yang berpelajaran dari luar negara dan membawa masuk orang putih lalu menyarankan kami mengangkat imej global tanpa penjelasan lanjut mengenai kriteria berkenaan.

    “Pada 2006, saya mengunjungi Festival Cannes di Perancis dan mendapati produk mirip Barat tidak mendapat sambutan sehingga saya mengambil keputusan kriteria terbabit tidak boleh jadi,” katanya.

    Sebagai pembuat animasi Malaysia, kata Burhanuddin, mereka akhirnya memutuskan membina imej lokal dan berunsur Islam yang disampaikan dalam bahasa Melayu kerana sasaran penonton tempatan adalah bangsa Melayu.

    “Mula-mula kita letak nama U & I pada watak kami dan menambah Pin di belakang yang sebenarnya masyarakat luar termasuk Barat pun mudah untuk menyebut Upin & Ipin.

    “Awalnya masalah yang kami hadapi ialah pekerja kami bukan berasal dari kampung dan menggunakan bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS), lalu saya dan isteri mengambil keputusan menulisnya dengan mengekalkan budaya kita,” katanya.

    Antara ciri bahasa yang digunakan ialah bahasa mudah yang sesuai dengan bahasa kanak-kanak dan tidak mencampur-adukkan bahasa Inggeris, sebaliknya pendek dan padat.

    “Bahasa yang pendek itu sesuai dengan gaya perbualan kanak-kanak sehingga kami mengehadkan tidak lebih daripada empat perkataan untuk dialog Ipin dengan memotong dialog watak lain melalui kata ‘betul, betul, betul’.

    “Ia juga mesti membawa nilai positif termasuk ‘betul, betul, betul’ dan kami tidak berani membuat adegan yang berbahaya kepada kanak-kanak termasuk melompat tangga, selain tidak bersifat menyogok, sebaliknya lebih menunjukkan nilai yang menjadi ikutan seperti Upin & Ipin rajin berpuasa,” katanya.

    Burhanuddin turut meluahkan kekecewaan dan kebimbangan produk Upin & Ipin lebih dihargai di negara luar termasuk Indonesia berbanding penerimaannya di kalangan masyarakat korporat di negara ini.

    “Syarikat penerbangan Indonesia, iaitu Garuda melahirkan minat untuk memasukkan pejabat kami ke dalam butiran mereka, tetapi kami tidak mempunyai keupayaan kerana masalah ruang dan kemampuan. Syarikat penerbangan kita tidak pula menunjukkan minat sehingga saya merumuskan kita kurang berbangga dengan barangan sendiri,” katanya.

    Burhanuddin menyarankan drama dan filem termasuk animasi dijadikan wadah ‘menjual’ budaya tempatan seperti yang dilakukan Korea Selatan apabila berjaya berbuat demikian di negara luar termasuk Malaysia.

    “Bahasa Melayu sebenarnya bukan penghalang untuk produk kita maju dan mendapat sambutan di luar negara kerana kita sendiri boleh lihat anak-anak kita gila dengan animasi Jepun atau drama Korea, meskipun ia menggunakan bahasa ibunda mereka.

    “Masalahnya kita tidak pandai memanfaatkan budaya kita dalam drama dan filem sehingga tidak hairanlah apabila watak dalam sesebuah drama masuk ke hotel, dia akan memesan steak dan bukannya nasi goreng atau sate,” katanya.

    Pengarah Pusat Bahasa Bijak Bestari, Ismail Dahaman, menegur rancangan televisyen di RTM seperti Laxamana yang tidak memperlihatkan fungsi sewajarnya dimainkan oleh media rasmi milik kerajaan dalam konteks mengutamakan bahasa kebangsaan.

    “Rancangan itu sepatutnya dijadikan wadah untuk memperkenalkan institusi dan konsep Raja Berperlembagaan kepada rakyat di negara ini, sebaliknya maksudnya tidak sampai dan budaya hancur sama sekali.

    “Bayangkan ada adegan mamak nasi kandar yang menjual nasi kandar kepada permaisuri, tetapi baginda tidak mempunyai wang sehingga terpaksa berhutang dengan peniaga terbabit,” katanya yang juga bekas Pengarah Perancangan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

    Ismail turut menegur rancangan remaja di stesen televisyen itu seperti Xpresi Remaja yang bukan saja menggunakan ejaan yang silap, bahkan bahasa dalam rancangan terbabit juga lintang-pukang.

    “Hari-hari menjatuhkan nilai dan maruah bahasa yang sekiranya hal terbabit tidak dihalang, mereka sebenarnya tanpa sedar merendahkan nilai media itu sendiri.

    “Sebenarnya perancangan bahasa tidak hanya dipertanggungjawabkan kepada institusi seperti DBP, sebaliknya semua agensi kerajaan perlu menyumbang secara aktif dalam memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Felo Penyelidik Utama ATMA, Prof Dr Teo Kok Seong, meminta pemimpin bukan Melayu untuk menyelesaikan masalah ramai di kalangan rakyat bukan Melayu yang tidak boleh berbahasa kebangsaan dengan baik.

    “Ini kerana bahasa kebangsaan adalah jati diri dan identiti kerakyatan yang mesti dikuasai oleh rakyat di sesebuah negara itu sehingga penguasaannya diuji dalam proses untuk mendapatkan kerakyatan negara terbabit.

    “Kita tidak mahu insiden yang memaparkan kejahilan rakyat terhadap keperluan untuk menguasai bahasa kebangsaan berulang pada masa depan khususnya yang berkait dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/

    Isnin, 20 Disember 2010

    ISU PENDIDIKAN : Transformasi vokasional lahirkan ramai usahawan

    TAHUKAH anda bahawa terdapat ramai di kalangan peniaga yang menjalankan perusahaan kecil seperti pembuatan roti, menghasilkan makanan ringan atau menternak ikan dan ratusan jenis perusahaan kecil lain yang boleh mendapat pendapatan bulanan bersih mencecah puluhan ribu ringgit? Atau dengan kata lain mereka boleh mendapat pendapatan bersih lebih daripada 'lima angka' sebulan.

    Pengusaha atau peniaga kecil ini bergerak di pasar-pasar malam, bazar-bazar, pasar-pasar basah, bengkel-bengkel atau kedai-kedai biasa di seluruh negara.

    Mereka ini sebenarnya bukanlah pengusaha yang besar. Memulakan perniagaan dengan modal yang kecil dan sebahagian besar daripada mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke menara gading. Tetapi mereka boleh berbangga kerana mendapat pendapatan yang lumayan, mengagumkan dan boleh digolongkan orang yang berpendapatan tinggi.

    Siapakah mereka ini sebenarnya?

    Mereka ini dikenali sebagai usahawan atau 'entrepreneur'. Mereka merupakan orang yang menjalankan perniagaan dan perusahaan. Apa yang menarik dalam masa yang sama, mereka dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain.

    Kumpulan usahawan ini sangat penting kepada pembangunan negara. Ia selari dengan matlamat kerajaan untuk menghasilkan lebih ramai rakyat berpendapatan tinggi dan menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

    Pendapatan kasar tahunan berjumlah RM23,700 pada masa kini akan ditingkatkan kepada RM48,000 pada 2020. Dalam masa yang sama akan diwujudkan 3.3 juta pekerjaan baru dan akan berusaha untuk menambah bilangan pekerja mahir daripada 23 peratus sekarang kepada 37 peratus.

    Siapakah sebenarnya kumpulan usahawan ini?

    Usahawan sering dikaitkan dengan mereka yang berani menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan perusahaan walaupun mempunyai modal yang kecil. Mereka juga biasanya mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi, suka menggunakan idea baru atau sekarang ini biasa dikatakan 'berfikir di luar kotak kebiasaan'. Mereka juga mempunyai sikap berani mencuba dan yang penting ialah sikap tidak takut gagal.

    Ada yang berpendapat bahawa kebanyakan golongan usahawan ini dilahirkan daripada kalangan keluarga usahawan juga. Logiknya ialah sejak kecil mereka sudah terdedah dengan dunia perniagaan yang diusahakan oleh ibu bapa atau kaum keluarga.

    Bagaimanapun tidak semestinya kewujudan golongan ini kerana faktor warisan semata-mata. Tetapi sebenarnya untuk menjadi usahawan ia boleh dipelajari. Andainya seseorang itu tidak mempunyai pengalaman dalam dunia keusahawanan, mereka masih boleh menerokai bidang itu dengan cara belajar iaitu berusaha mendapatkan pendidikan serta ilmu pengetahuan yang berkaitan dengannya.

    Di negara kita pendedahan tentang ilmu keusahawanan boleh didapati melalui institusi pendidikan vokasional. Ketika ini terdapat sebanyak 88 buah sekolah vokasional di seluruh negara dan telah berjaya mengeluarkan puluhan ribu pelajar dan ramai di kalangan mereka yang menjadi usahawan berjaya.

    Baru-baru ini Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tentang peluasan bidang vokasional dan kemahiran serta dijadikan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (NKRA).

    Tambah beliau bilangan pelajar aliran vokasional yang berjumlah 87,188 pelajar atau kira-kira 10 peratus pada 2010 akan ditingkatkan kepada 196,000 pelajar atau 20 peratus menjelang 2015.

    Menteri Pelajaran memberikan penekanan kepada aliran vokasional kerana ia berkaitan dengan keperluan negara melahirkan lebih ramai pekerja mahir dan separuh mahir serta berusaha melahirkan ramai golongan usahawan.

    Dalam lawatan beliau ke Perancis, Australia dan Indonesia baru-baru ini, didapati bilangan pelajar dalam aliran tersebut di negara-negara berkenaan ada yang melebihi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar.

    Mengapakah aliran vokasional menjadi bidang pendidikan yang penting pada masa kini?

    Tidak dapat dinafikan bahawa soal mencari pekerjaan sering merupakan isu besar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang baru menamatkan pendidikan menengah.

    Setiap tahun kira-kira seramai 500,000 orang pelajar mengambil peperiksaan SPM. Menurut beberapa kajian hanya kira-kira 30 peratus sahaja daripada kumpulan tersebut yang akan melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Sudah tentu selebihnya akan berusaha memasuki pasaran pekerjaan.

    Dalam isu mencari pekerjaan ini sudah tentulah tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh perkhidmatan awam atau dengan kata lain makan gaji dengan kerajaan. Di samping itu, pihak swasta juga tidak mampu menyediakan pekerjaan dalam jumlah yang sebesar itu.

    Cuba bayangkan dalam tempuh tiga tahun sahaja jumlah pelajar yang meninggalkan bangku sekolah atau yang menamatkan peperiksaan SPM boleh mencecah satu setengah juta orang.

    Mungkin ada yang akan mencadangkan mengapa tidak anak-anak muda itu disarankan melakukan pekerjaan sendiri. Sesungguhnya saranan ini tidak adil kepada mereka kerana bagaiman mereka yang masih mentah dan tidak arif tentang selok-belok perniagaan atau sesuatu pekerjaan disuruh terus terjun ke bidang tersebut.

    Mereka seharusnya dibekalkan dengan ilmu dan pengalaman awal yang berkaitan dengan perniagaan atau bidang yang akan diceburi.

    Dalam hal ini sekolah vokasional adalah jawapannya kerana ia boleh menyediakan bekalan awal dalam bentuk ilmu pengetahuan, kemahiran dan memberi sedikit pengalaman melalui latihan praktikal.

    Peranan yang dimainkan oleh pendidikan vokasional untuk melahirkan ramai golongan usahawan akan dapat membantu negara dalam usaha mewujudkan lebih banyak pekerjaan. Bukan sahaja untuk diri mereka sendiri tetapi dalam masa yang sama memberi peluang kepada orang lain untuk bekerja.

    Dengan kata lain lebih ramai golongan usahawan dilahirkan, maka peluang pekerjaan akan bertambah.

    PENULIS ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran

    tansrialimuddin@yahoo.com

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/

    ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Penarikan 'Interlok' dibincang bersama Kementerian Pelajaran, DBP: Murugiah

    KUALA LUMPUR: Penarikan buku teks sastera Tingkatan Lima bertajuk "Interlok" yang didakwa mengandungi unsur sensitif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India, dibuat selepas perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata Biro Pengaduan Awam (BPA) menerima banyak aduan mengenai beberapa perkataan sensitif dalam buku itu, dan selaku Pengerusi BPA, beliau berpendapat tindakan segera perlu diambil.
    "Saya sebagai Timbalan Menteri, memanggil Kementerian Pelajaran, DBP, serta semua yang berkaitan hadir dan berbincang, dan kami telah membuat keputusan secara musyawarah.
    "Saya tidak boleh memberi sebarang keputusan, cuma saya boleh mencadangkan tindakan yang boleh diambil, dan tanggungjawab untuk mengambil tindakan itu adalah Kementerian Pelajaran," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini ketika mengulas surat pembaca yang tersiar di sebuah akhbar berhubung pengumumannya mengenai penarikan buku itu pada 15 Disember lalu.

    Pembaca yang dikenali sebagai M. Hanafiah A. Samad dari Muar, Johor itu menyifatkan tindakan Murugiah sebagai melatah dan berpendapat pengumuman berkenaan sepatutnya dilakukan Kementerian Pelajaran.

    Murugiah berkata isu penarikan buku berkenaan sudah disalah tafsir dan berharap ia tidak terus diperbesarkan kerana bimbang mencetuskan masalah.

    "Orang salah tafsir benda ini, sebab itu saya mahu jelaskan. Dia bagi tahu dalam ini (surat pembaca), beliau menulis berdasarkan kajian sejarah dan pengalamannya, saya faham, tapi ini bukan buku sejarah, ini buku sastera.

    "Apabila buku sastera, dia boleh tukar bahasa-bahasa tertentu, atas dasar itu kita mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran dan terpulang kepada mereka, kalau mahu kekalkanpun, boleh kekal, tapi mereka ambil cadangan BPA (untuk tarik balik)," katanya.

    Buku "Interlok" karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain yang memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka, telah dipilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan Lima, sebelum ditarik balik pada 15 Disember lalu.

    Ia didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap kaum Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis di beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan kaum India. - BERNAMA

    Jumaat, 17 Disember 2010

    ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Guna kaedah tampal baiki masalah dalam novel Interlok

    ABDULLAH HUSSAIN

    BERITA disiarkan Berita Harian pada 16 Disember 2010 mengenai penarikan balik Novel Interlok hasil karya Abdullah Hussain, Sasterawan Negara amat mengejutkan. Berita ini mengejutkan guru, murid dan juga penerbit buku.

    Setakat ini, semua sekolah di Zon Tengah, iaitu di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan sudah menerima buku itu dan siap sedia untuk diedarkan kepada murid.

    Bagi guru pula, mereka sudah membacanya dan menyediakan bahan untuk diajarkan kepada murid bermula 3 Januari 2011.

    Untuk mengeluarkan buku ini, panel penilai sudah mengikut segala prosedur ditetapkan. Kementerian Pelajaran membelanjakan berjuta untuk menerbit dan mengedarkan buku ini ke sekolah kerana buku ini diberikan percuma kepada murid di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).

    Persoalannya ialah mengapakah penarikan buku ini tidak dibuat Menteri Pelajaran? Saya berharap supaya berita dapat disahkan pihak bertanggungjawab, iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia.

    Jika masalah itu benar-benar menyinggung perasaan kaum tertentu, tindakan yang perlu diambil ialah langkah pembaikan atau pembetulan. Caranya adalah dengan menggunakan kaedah tampal. Melalui kaedah tampal, penerbit akan membuat pembetulan halaman yang dikatakan bermasalah atau menimbulkan masalah. Kemudian, halaman yang berkenaan diedarkan ke sekolah.

    Jika novel itu ditarik balik, kerajaan akan rugi berjuta ringgit, malah nama Sasterawan Negara kita akan dipandang rendah dan hina dalam kalangan masyarakat. Setelah saya membaca novel itu saya mendapati bahawa tiada perkara yang boleh menimbulkan sensitiviti kaum tertentu.

    Hal ini dikatakan demikian kerana novel ini adalah hasil kreativiti dan imaginasi pengarang berdasarkan fakta sejarah menggambarkan proses integrasi yang berlaku di negara kita zaman sebelum kemerdekaan.

    ABDUL GHALIB YUNUS,
    Munsyi Dewan.

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/