Rabu, 1 April 2015

ISU BAHASA : Wajib kuasai bahasa kebangsaan


Oleh : SAYED HESHAM IDRIS

IPOH 31 Mac - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah setiap warganegara Malaysia wajib berupaya berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan yang menjadi plaftrom untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini.

Baginda bertitah, adalah tidak bermakna menjadi warga kepada sesebuah negara jika seseorang itu langsung tidak memahami malah jauh sekali daripada boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan negaranya.

Titah baginda, dasar terbuka terhadap aliran bahasa penghantar di sekolah di negara ini tidak bermakna kerajaan boleh terlepas pandang dalam aspek memastikan setiap rakyat Malaysia dididik daripada alam sekolah supaya boleh menguasai bahasa kebangsaan.

“Warga sewajibnya berupaya berkomunikasi antara satu sama lain untuk meningkatkan perhubungan. Bahasa berperanan penting sebagai saluran komunikasi.

“Untuk itu, setiap sekolah terutama sekolah-sekolah bukan aliran kebangsaan mempunyai tanggungjawab besar dan tanggungjawab bersama untuk menyemaikan semangat patriotisme dan pengetahuan ketatanegaraan kepada setiap murid.

“Tiada makna jika sekolah berjaya melahirkan ramai pelajar yang mencapai keputusan cemerlang akademik sedangkan produk yang dihasilkan oleh sekolah sama sekali tidak memiliki pengetahuan asas-asas kenegaraan dan tidak boleh menguasai bahasa kebangsaan negaranya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Perasmian Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, negara perlu ada platfom yang sama yang dapat menyatukan rakyat sesebuah negara hidup secara harmoni lagi bersatu, iaitu menerusi bahasa.

Lantaran itu, titah baginda, keupayaan berkomunikasi amat pen­ting untuk menjalin perpaduan menerusi bahasa yang berperanan penting sebagai saluran komunikasi.

Baginda bertitah, di dalam negara yang warganya begitu pelbagai seperti Malaysia, perpaduan antara warganya adalah satu kemestian dan wajib dipupuk secara berkesan.

“Untuk itu, sekolah adalah tapak semai pencanaian minda serta taman menyuburkan pembentukan budaya. Sekolah adalah medan yang dapat memupuk persefahaman di antara anak-anak yang berlatar belakangkan pelbagai agama, pelbagai kaum, budaya dan bahasa.

“Sekolah adalah tempat yang boleh mendidik semangat memahami kelainan budaya dan menghormati perbezaan agama. Sekolah turut diharapkan memenuhi peranan menyemaikan semangat patriotisme, memupuk kesetiaan warga kepada raja dan negara,” titah baginda.

Dalam titah perasmian tersebut, baginda turut menyentuh mengenai rakyat golongan miskin dan berpendapatan rendah yang perlu dibela, sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang berpaksikan kepada konsep ‘Rakyat Didahulukan’.

Titah baginda, lantaran itu segala dasar, perancangan dan pelaksa­naan oleh kerajaan wajib mengambil ingatan golongan itu yang paling perlu diberikan pembelaan dari segi perkhidmatan sosial, kebajikan, kesihatan dan perumahan.

Menangani kemiskinan, titah baginda, adalah wajib dilaksanakan oleh kerajaan, juga mengagihkan pendapatan secara adil lagi saksama.

“Khidmat sosial dan kebajikan kepada golongan rakyat jelata terutama dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah akan terus diberikan perhatian.

“Tidak ada rakyat yang harus merasa terpinggir atau dipinggirkan dalam sebuah negara yang di­limpahkan Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menyentuh mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai esok dengan menegaskan sistem cukai baharu itu dijangka memberi kesan sementara kepada pengguna.

“Namun Bank Negara berkeyakinan penggunaan pengguna akan meningkat susulan peningkatan pendapatan boleh guna.

“Ini kerana pengguna akan mendapat manfaat daripada pelarasan menurun harga bahan api yang dijangka berupaya meningkatkan RM7.5 bilion pendapatan boleh guna,” titah baginda.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/