Jumaat, 5 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : 10,715 graduan guru diberi penempatan


KUALA LUMPUR 5 Okt. - Sebanyak 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan yang telah dan bakal menamatkan pengajian tahun ini, boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memutuskan akan memberi mereka penempatan pada tahun depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka masa panjang seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pelantikan itu tertakluk pada mereka yang memenuhi syarat skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS), telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan berjaya dalam temu duga dikendalikan suruhanjaya itu.

"Sehubungan itu, graduan pendidikan keluaran IPG dan IPTA yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang menamatkan pengajian pada 2012 akan dilantik ke jawatan PPPS.

"Mengikut rekod Kementerian Pelajaran, seramai 10,715 penuntut program pendidikan telah dan akan menamatkan pengajian mereka pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, sebanyak 2,960 graduan telah dikenal pasti menamatkan pengajian mereka sebelum 1 Julai 2012 dan telah dijadualkan untuk ditemu duga oleh SPP.

Pecahan mereka adalah seperti berikut:

* Seramai 2,478 orang daripada program Jawi, al- Quran, Arab dan Fardu Ain (j-Qaf);

* Sejumlah 368 orang daripada program Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL);

* Sebanyak 90 orang daripada program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) IPG dan IPTA, termasuk mereka daripada Program Pelajar Cemerlang (PPC);

* Seramai 14 orang daripada program Bahasa Perancis

* Sejumlah 10 orang calon mengulang temu duga berdasarkan keperluan opsyen.

Muhyiddin menjelaskan, sementara SPP menyelesaikan urusan temu duga, kementerian akan membuat penempatan secara interim bagi kumpulan berkenaan mulai 16 Oktober ini manakala pelantikan tetap adalah tertakluk pada keputusan temu duga oleh suruhanjaya itu.

Bagi kumpulan yang akan menamatkan pengajian mereka selepas Jun 2012 iaitu seramai 7,755 orang, ujarnya, mereka perlu mengemukakan permohonan untuk pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 kepada SPP supaya penjadualan temu duga dapat disegerakan.

"Penempatan mereka yang lulus temu duga SPP akan dibuat pada 2013.

"Kepada mereka yang berjaya dan akan dilantik sebagai pendidik kelak, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi," kata beliau.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : R&D tingkat mutu, kualiti universiti


Oleh : Fadzlena Jafar
 
Universiti di Malaysia gagal menempatkan diri dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia bagi sesi 2012/2013 seperti yang dikeluarkan majalah Times Higher Education (THE), baru-baru ini.

Meskipun ada dalam kalangan tokoh akademik yang berpendapat senarai kedudukan universiti dunia berkenaan tidak mencerminkan mutu sebenar universiti tempatan atau boleh dijadikan penanda aras kerana ada unsur ‘pilih kasih’ daripada pihak tertentu yang berkepentingan, kegagalan universiti Malaysia itu harus dijadikan sempadan memandangkan beberapa universiti Asia semakin kukuh dalam senarai itu. Universiti terbaik Asia, Universiti of Tokyo yang berada pada kedudukan ke-30 bagi sesi lalu, umpamanya naik kepada kedudukan ke-27, manakala institusi pengajian tinggi (IPT) di negara jiran, National University of Singapore (NUS) melonjak ke tangga ke-29 daripada kedudukan ke-40 sesi lalu.

Malah, Nanyang Technological University Singapore yang ditubuhkan pada 1981 kini berada pada tangga ke-86 berbanding 169 tahun lalu.

Peningkatan ketara

Secara keseluruhan senarai 400 universiti terbaik dunia THE menunjukkan peningkatan ketara kebanyakan universiti di Asia khususnya China, Korea Selatan dan Taiwan, tetapi sebaliknya Jepun yang mempunyai jumlah universiti paling banyak dalam senarai itu perlu berwaspada apabila kebanyakannya turun daripada kedudukan sesi lalu, melainkan Universiti of Tokyo.

Peningkatan mendadak IPT di rantau ini mungkin menimbulkan kebimbangan Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) meskipun senarai 10 universiti terbaik THE itu masih lagi dimonopoli negara Barat iaitu tujuh universiti AS dan tiga universiti di United Kingdom (UK).

Pengarang THE, Phil Baty, turut mengakui hakikat berkenaan. Beliau berpendapat peningkatan universiti Asia dalam kedudukan universiti terbaik dunia itu menggambarkan kebangkitan tahap pendidikan di rantau ini khususnya dengan pelaburan tinggi yang diperuntukkan kebanyakan negara di Timur untuk tujuan pendidikan.

China, misalnya yang memberi tumpuan khusus dalam pembangunan universiti bertaraf dunia dengan menyediakan pelaburan besar sudah membuktikan komitmennya apabila berjaya mencapai matlamat berkenaan. Dua universiti utama China, Peking University dan Tsinghua Universiti berada dalam kelompok 60 universiti terbaik dunia.

Pada 2010, dana untuk penyelidikan bagi universiti di China mencecah RM36 bilion mengatasi UK yang memperuntukkan dana sebanyak RM33 bilion bagi tujuan penyelidikan dan inovasi di IPT. Difahamkan peruntukan dana penyelidikan khusus untuk IPT di China meningkat 15 peratus setiap tahun, membuktikan kesungguhan negara itu dalam memacu ekonominya berasaskan inovasi.

Sedia peruntukan besar

Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan turut menyediakan peruntukan besar khususnya bagi meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi yang menjadi antara syarat bagi berada dalam senarai berkenaan.

Beberapa negara lain seperti Australia dan Brazil juga kini memberi tumpuan khusus kepada pelaburan untuk R&D berimpak tinggi dengan menyediakan peruntukkan berbilion ringgit. Brazil pada tahun lalu mengumumkan dana penyelidikan bernilai RM39 bilion bagi institusi akademiknya menjalankan pelbagai R&D.

Dalam hubungan ini, peruntukan sebanyak RM600 juta untuk lima universiti penyelidikan (RU) di Malaysia seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2013, Jumaat lalu mungkin dilihat begitu kecil nilainya.

Bagaimanapun, daripada satu sudut, jumlah berkenaan mungkin memadai memandangkan ia diperuntukkan hanya untuk lima IPT berbanding peruntukan RM36 bilion di China yang dibahagikan untuk 200 IPT di negara berkenaan.

Seperti negara maju lain, Malaysia kini juga sedang memacu ekonomi berasaskan inovasi dan peruntukan berkenaan diharap dapat membantu negara mencapai matlamat terbabit.

Peranan sektor korporat

Begitu pun, matlamat untuk meningkatkan inovasi menerusi IPT tidak boleh dibebankan kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya pihak korporat boleh berganding bahu menyumbang dalam pembangunan R&D menerusi hubungan industri dengan menyediakan penajaan universiti pilihan.

Pada masa yang sama, setiap universiti di negara ini wajar mengambil peluang diberikan dengan memanfaatkan peruntukan berkenaan untuk menghasilkan R&D yang bertaraf an tarabangsa, sekali gus dapat meningkatkan taraf universiti tempatan supaya lebih dikenali dan dihormati di mata dunia.

Penyenaraian universiti dalam kelompok universiti terbaik dunia tidak hanya bersandarkan kepada jumlah R&D berimpak tinggi, sebaliknya pelbagai perkara lain turut dipertimbangkan termasuk jumlah akademia yang berijazah Doktor Falsafah (PhD) dan berkepakaran tinggi dalam pelbagai bidang serta penawaran kursus kritikal.

Hakikatnya, Malaysia menerusi Kementerian Pengajian Tinggi sudah melaksana dan memperkenalkan pelbagai langkah untuk memastikan kecemerlangan pendidikan tinggi yang dapat membantu universiti tempatan setanding universiti terbaik dunia.

Kini terpulang kepada semua warga kampus, sama ada kakitangan akademia mahupun bukan akademia serta mahasiswa untuk menggembleng tenaga membawa universiti masing-masing ke matlamat yang ditetapkan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Masyarakat mulia saja mampu pertahan negara


Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Kemuliaan insan patut jadi prinsip setiap rakyat

Kemuliaan insan (human dignity) adalah satu keperluan yang amat penting dalam mendepani hal ehwal kemanusiaan. Kehidupan manusia yang berdepan dengan pelbagai kerencaman amat memerlukan manusia melihat ke dalam diri, bermuhasabah berkaitan fungsi dan rupa bentuk yang meliputi gaya hidup, cara hidup dan pegangan hidup. Kegagalan memahami prinsip kemuliaan insan menyebabkan manusia tersasar daripada landasan kehidupan yang bermaruah dan berintegriti tinggi. Manusia akan hilang nilai kemanusiaan, seterusnya akan hidup dalam situasi yang memusnahkan kehidupan manusia itu sendiri.

Kemuliaan insan turut disentuh dalam ‘Charter of Fundamental Rights EU’ dengan pernyataan: “Human dignity is inviolable. It must be respected dan protected. The dignity of the human person is not only a fundamental right in itself but constitutes the real basis of fundalmental rights.”

Pernyataan yang tegas sebegini bermaksud tahap penekanan yang tinggi diberikan kepada soal-soal asas kemanusiaan kerana bahaya menanti jika persoalan ini tidak diberikan tempat yang sewajarnya. Ia berupaya mengancam perpaduan, keamanan dan kestabilan seperti yang diharapkan dalam pembentukan Kesatuan Eropah.

Dalam Islam istilah kemuliaan insan ini menghampiri makna karamah insaniah. Ia dinyatakan dalam surah al-Isra’, ayat 70 yang menggariskan pengiktirafan Allah terhadap kemuliaan insan yang disebut sebagai ‘Bani Adam’ dalam ayat berkenaan.

Ibn ‘Ashur seperti yang dipetik oleh Dr Umar Ahmad Kasule menyatakan dalam tafsiran mengenai ‘Karamah Insaniah’ ini, ada lima perkara diberikan oleh Allah yang menggambarkan kemuliaan manusia. Lima perkara itu ialah takrim (penghormatan); kurniaan berkenderaan di darat; kurniaan berkenderaan di air atau laut; kurniaan rezeki daripada sumber yang baik-baik; dan kedudukan yang istimewa berbanding dengan makhluk yang lain.

Kelebihan ini menurut Ibn Kathir dikurniakan Allah bagi manusia melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini yang diberikan amanah untuk memakmurkannya.

Menurut Dr Umar Ahmad Kasule, ada dua tahap karamah insaniah iaitu kemuliaan insan yang meliputi seluruh manusia dan kemuliaan insan yang hanya khusus kepada kelompok orang yang beriman dan bertakwa.

Pernyataan ini mengisyaratkan bahawa tiada ruang untuk melakukan penganiayaan dan kezaliman bagi seluruh manusia, baik kepada mereka yang bukan Islam dan juga mereka yang Islam.

Pemeliharaan karamah insaniah adalah sesuatu yang penting sifatnya. Penafian untuk mendapat rezeki dari sumber yang baik seperti yang berlaku ke atas Mohamad Bouazizi di Tunisia mencetuskan kebangkitan rakyat Tunisia. Begitu juga kebangkitan rakyat di Mesir yang juga kemuncak bagi penafian kebebasan meluahkan pandangan dalam kalangan rakyat.

Dalam sejarah tamadun Barat juga dapat kita lihat, penafian terhadap hak dan penindasan menyebabkan rakyat bangkit dalam gelodak Reformation dan Renaissance di Eropah. Saranan Karl Marx mendapat sambutan masyarakat di Russia apabila karamah insaniah mereka dinafikan akibat penindasan yang dilakukan oleh golongan pemerintahan Tsar ketika itu.

Jika yang demikian unsur penafian atau peminggiran karamah insaniah ini perlu diberikan perhatian. Salah satunya adalah rasuah. Kita perlu melihat usaha membanteras rasuah ini sebagai usaha memartabatkan karamah insaniah. Ia menghalang pihak tertentu daripada menafikan hak mendapat rezeki dari sumber yang baik-baik seperti yang telah dijamin Allah.

Jenayah rasuah adalah jenayah terhadap kemanusiaan. Ia menyebabkan perasuah dan penerima rasuah sebagai pesalah yang menyalahi dan mengingkari kemuliaan insan dan wajar menerima kemurkaan Allah dan kutukan manusia. Maka pihak yang diberikan tanggungjawab memerangi rasuah perlu melaksanakan tugas dengan rasa cukup mulia kerana ia adalah tugas yang sejajar dengan taraf manusia sebagai pemakmur muka bumi ini.

Oleh sebab itu kesatuan dan dukungan masyarakat perlu diperteguhkan dalam usaha memerangi rasuah dan dijadikan satu idealisme dalam masyarakat. Ia seharusnya merentasi batasan kaum dan sempadan agama dan dijadikan aspirasi bersama.

Masyarakat yang mulia saja mampu mempertahankan negara daripada pencerobohan, sekali gus penjajahan. Sejarah penaklukan Melaka oleh Portugis mencatatkan kewujudan individu yang terbabit dalam ketamakan harta dan terjerumus dalam kancah rasuah.

Mereka inilah musuh negara yang harus diperangi habis-habisan.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kebolehpasaran Graduan Harus Langkaui Sempadan Geografi


PUTRAJAYA : Kebolehpasaran graduan yang dilahirkan oleh universiti tempatan harus melangkaui sempadan geografi kerana pasaran pada hari ini memerlukan pekerja yang memiliki pelbagai bakat dan kebolehan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kebolehdapatan kerja graduan tempatan seharusnya tinggi di semua negara Islam.

Beliau berkata demikian pada perasmian Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Global Arab-Malaysia 2012 di sini, pada Khamis.

Mohamed Khaled berharap pelbagai amalan terbaik akademik setiap universiti dapat dikongsi, diterima pakai dan dipindahkan menerusi persidangan dua hari itu.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa.

Persidangan itu bertujuan mewujudkan platform bagi ketua-ketua universiti dari dunia Arab dan Malaysia mengadakan perbincangan  antara tokoh akademik dan pihak berkuasa dalam bidang pendidikan tinggi.

Persidangan tersebut dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dan Persatuan Universiti-Universiti Arab (AArU).

Pada majlis itu, USIM dan 16 universiti Arab menandatangani memorandum persefahaman bagi menerokai perkongsian ilmu dan pengalaman, penyelidikan saintitifik dan program pertukaran staf.

Sumber : BERNAMA