Jumaat, 5 Oktober 2012

ISU KENEGARAAN : Masyarakat mulia saja mampu pertahan negara


Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Kemuliaan insan patut jadi prinsip setiap rakyat

Kemuliaan insan (human dignity) adalah satu keperluan yang amat penting dalam mendepani hal ehwal kemanusiaan. Kehidupan manusia yang berdepan dengan pelbagai kerencaman amat memerlukan manusia melihat ke dalam diri, bermuhasabah berkaitan fungsi dan rupa bentuk yang meliputi gaya hidup, cara hidup dan pegangan hidup. Kegagalan memahami prinsip kemuliaan insan menyebabkan manusia tersasar daripada landasan kehidupan yang bermaruah dan berintegriti tinggi. Manusia akan hilang nilai kemanusiaan, seterusnya akan hidup dalam situasi yang memusnahkan kehidupan manusia itu sendiri.

Kemuliaan insan turut disentuh dalam ‘Charter of Fundamental Rights EU’ dengan pernyataan: “Human dignity is inviolable. It must be respected dan protected. The dignity of the human person is not only a fundamental right in itself but constitutes the real basis of fundalmental rights.”

Pernyataan yang tegas sebegini bermaksud tahap penekanan yang tinggi diberikan kepada soal-soal asas kemanusiaan kerana bahaya menanti jika persoalan ini tidak diberikan tempat yang sewajarnya. Ia berupaya mengancam perpaduan, keamanan dan kestabilan seperti yang diharapkan dalam pembentukan Kesatuan Eropah.

Dalam Islam istilah kemuliaan insan ini menghampiri makna karamah insaniah. Ia dinyatakan dalam surah al-Isra’, ayat 70 yang menggariskan pengiktirafan Allah terhadap kemuliaan insan yang disebut sebagai ‘Bani Adam’ dalam ayat berkenaan.

Ibn ‘Ashur seperti yang dipetik oleh Dr Umar Ahmad Kasule menyatakan dalam tafsiran mengenai ‘Karamah Insaniah’ ini, ada lima perkara diberikan oleh Allah yang menggambarkan kemuliaan manusia. Lima perkara itu ialah takrim (penghormatan); kurniaan berkenderaan di darat; kurniaan berkenderaan di air atau laut; kurniaan rezeki daripada sumber yang baik-baik; dan kedudukan yang istimewa berbanding dengan makhluk yang lain.

Kelebihan ini menurut Ibn Kathir dikurniakan Allah bagi manusia melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini yang diberikan amanah untuk memakmurkannya.

Menurut Dr Umar Ahmad Kasule, ada dua tahap karamah insaniah iaitu kemuliaan insan yang meliputi seluruh manusia dan kemuliaan insan yang hanya khusus kepada kelompok orang yang beriman dan bertakwa.

Pernyataan ini mengisyaratkan bahawa tiada ruang untuk melakukan penganiayaan dan kezaliman bagi seluruh manusia, baik kepada mereka yang bukan Islam dan juga mereka yang Islam.

Pemeliharaan karamah insaniah adalah sesuatu yang penting sifatnya. Penafian untuk mendapat rezeki dari sumber yang baik seperti yang berlaku ke atas Mohamad Bouazizi di Tunisia mencetuskan kebangkitan rakyat Tunisia. Begitu juga kebangkitan rakyat di Mesir yang juga kemuncak bagi penafian kebebasan meluahkan pandangan dalam kalangan rakyat.

Dalam sejarah tamadun Barat juga dapat kita lihat, penafian terhadap hak dan penindasan menyebabkan rakyat bangkit dalam gelodak Reformation dan Renaissance di Eropah. Saranan Karl Marx mendapat sambutan masyarakat di Russia apabila karamah insaniah mereka dinafikan akibat penindasan yang dilakukan oleh golongan pemerintahan Tsar ketika itu.

Jika yang demikian unsur penafian atau peminggiran karamah insaniah ini perlu diberikan perhatian. Salah satunya adalah rasuah. Kita perlu melihat usaha membanteras rasuah ini sebagai usaha memartabatkan karamah insaniah. Ia menghalang pihak tertentu daripada menafikan hak mendapat rezeki dari sumber yang baik-baik seperti yang telah dijamin Allah.

Jenayah rasuah adalah jenayah terhadap kemanusiaan. Ia menyebabkan perasuah dan penerima rasuah sebagai pesalah yang menyalahi dan mengingkari kemuliaan insan dan wajar menerima kemurkaan Allah dan kutukan manusia. Maka pihak yang diberikan tanggungjawab memerangi rasuah perlu melaksanakan tugas dengan rasa cukup mulia kerana ia adalah tugas yang sejajar dengan taraf manusia sebagai pemakmur muka bumi ini.

Oleh sebab itu kesatuan dan dukungan masyarakat perlu diperteguhkan dalam usaha memerangi rasuah dan dijadikan satu idealisme dalam masyarakat. Ia seharusnya merentasi batasan kaum dan sempadan agama dan dijadikan aspirasi bersama.

Masyarakat yang mulia saja mampu mempertahankan negara daripada pencerobohan, sekali gus penjajahan. Sejarah penaklukan Melaka oleh Portugis mencatatkan kewujudan individu yang terbabit dalam ketamakan harta dan terjerumus dalam kancah rasuah.

Mereka inilah musuh negara yang harus diperangi habis-habisan.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan