Isnin, 20 September 2010

PENJAJAHAN BUDAYA CARA BARU

KEMERDEKAAN bukanlah tiket untuk kita bebas daripada penjajahan. Malah tamatnya Perang Dunia Kedua juga bukan bererti berakhir penjajahan kuasa politik dan budaya besar dunia ke atas negara-negara bekas jajahan. Kerana itu sekalipun kita telah mencapai kemerdekaan 53 tahun lalu, bukan bererti kita tidak terus dijajah terutama kebudayaan dalam bentuk yang baru.

Penjajahan bukan lagi datang bersama bala tentera. Sebaliknya penjajahan datang bersama sesuatu yang menggembirakan atau melekakan kita. Akibatnya kita tidak terasa dijajah kerana penjajahan mengula-gulakan kita dengan keseronokan hingga terlupa akar budaya dan jati diri bangsa. Penjajahan budaya datang bersama isi kandungan hiburan yang berteknologi tinggi.

Ketika Melaka menjadi pusat perdagangan penting lebih lima abad lalu, kedatangan pedagang luar bukan sahaja semata-mata kerana urusan perdagangan. Kedatangan pedagang terutama dari Barat ada agenda lain selain mencari rempah yang terdapat di negara sebelah sini. Mereka membawa agenda 3G (gold, glory, gospel) melalui urusan perdagangan yang berpusat di Melaka.

Ini satu proses pembudayaan dan Barat telah menggunakan perdagangan sebagai ejen membudayakan negara yang dikunjungi. Kita tentunya tidak menyalahkan Melaka tetapi perlu belajar dari Melaka. Sejarah akan berulang kalau kita tidak mahu belajar dari sejarah. Biarpun sejarah sentiasa berlaku adil kepada sesiapa tetapi tanpa sensiviti, kita pasti akan mengulangi sejarah yang sama.

Liberalisasi dalam komunikasi terutama kelonggaran mengawasi isi kandungan dalam media elektronik menyumbang kepada penjajahan budaya dalam bentuk baru. Isi kandungan program televisyen berbayar misalnya seolah-olah dunia sudah tidak ada sempadan apabila nilai-nilai liberal menjadi kayu sukatan hiburan yang menjurus kepada hedonisme. Ini belum lagi lesen besar kepada pengguna Internet untuk meneroka dunia dan menggunakannya untuk memusnahkan nilai-nilai yang dipertahankan sebelum ini.

Laman-laman sosial telah dibudayakan sedemikian rupa dan penjajahan budaya telah berjaya apabila penyebaran maklumat palsu, caci maki serta penentangan terhadap pemerintah berlaku secara membuta tuli. Jangan tanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana mereka hanya pantas menangkap bilis tetapi membiarkan jerung bermaharajalela.

Masih ingatkah lagi pada keghairahan menjengah alaf baru sedekad lalu. Pesta sosial yang spektakular ini dibawa oleh sebuah jenama produk dari Amerika Syarikat. Ia sebenarnya tidak mengharapkan keuntungan material daripada jualan tiket. Amerika mengusulkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dengan harapan membolehkan mereka memasuki pasaran negara-negara dunia ketiga.

Tanpa disedari liberalisasi dalam isi kandungan program televisyen dan filem mengajar remaja Malaysia cara hidup Amerika. Selain memasuki pasaran negara ini untuk menjual jenama berkenaan, Amerika mengambil kesempatan menjual ideologi dan budaya di stesen-stesen televisyen kita. Adakah kita sedikit pun tidak ada rasa curiga tentang kemasukan nilai-nilai hiburan yang melampau di ruang tamu rumah kita?

Sumber : http : //www.utusan.com.my/