Sabtu, 16 Oktober 2010

Kuasai bahasa Melayu, Inggeris

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, matlamat mewujudkan masyarakat yang boleh menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa adalah antara fokus baru yang akan diterapkan dalam sistem pendidikan negara.

Perdana Menteri berkata, bahasa kebangsaan adalah salah satu yang wajib dikuasai oleh pelajar dan mereka harus dapat bertutur dan menulis dalam bahasa itu dengan baik.

"Bahasa kebangsaan ini merupakan jati diri kita yang harus terus diperjuangkan dan saya juga mahu pelajar fasih dan mahir dalam bahasa Inggeris.

"Kalau boleh kita juga hendak melahirkan masyarakat yang menguasai tiga bahasa. Ini kerana menguasai pelbagai bahasa akan menambahkan daya saing kita dalam dunia yang semakin global ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri yang dihadiri 14,000 guru dari seluruh negara di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang pertama kali diadakan itu ialah timbalannya yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama kedua-dua Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang serta Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Tenaga kerja guru yang berjumlah 400,000 orang di seluruh negara adalah bilangan terbesar daripada keseluruhan 1.2 juta kakitangan kerajaan.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan turut mempunyai tiga fokus lain yang akan diterapkan dalam sistem pendidikan negara, termasuk membangunkan generasi muda yang mampu berfikir secara kreatif dan inovatif serta mempunyai bersifat ingin tahu yang tinggi.

"Fokus lain adalah bagi mengukuhkan bidang sains, matematik dan teknologi serta memberikan penekanan kepada pendidikan Islam dan moral bagi melahirkan generasi muda berakhlak mulia," ujarnya.

Sementara itu, Najib memberitahu, kehadiran beliau ke perhimpunan itu walaupun hanya selepas sehari membentangkan Bajet 2011 kerana menyedari guru berperanan besar dalam memastikan Malaysia mencapai sasaran menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi pada 2020.

"Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, saya telah cuba menyediakan bahan-bahan yang akan saya sampaikan pada perhimpunan kita pada malam tadi.

"Tetapi barangkali seperti mana kata Tan Sri Muhyiddin, setelah berminggu-minggu bekerja siang dan malam menyediakan belanjawan negara, malam tadi saya dalam keletihan, tak dapat hendak fikir apa yang patut saya sampaikan.

''Jadi pagi-pagi tadi saya terpaksa mencari masa untuk mendapatkan idea dan ilham mengenai apa yang saya patut sampaikan pada pagi ini," ujarnya.

Sumber : http ://www.utusan.com.my/