Sabtu, 16 Februari 2013

ISU KEPENGGUNAAN : Masalah Urusan Jual Beli Dalam Talian Semakin Membimbangkan


PETALING JAYA : Jika apa yang dijanjikan kedengaran terlalu sukar untuk menjadi kenyataan, kemungkinan ia hanya janji manis penjual, situasi yang dihadapi ramai pembeli dalam talian.

Dalam hanya empat bulan, Pusat Khidmat Aduan Nasional Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menerima kira-kira 400 aduan berkaitan urusan pembelian di laman web yang semakin berkembang sejak tahun lepas atau sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Menurut timbalan pengarah pusat itu, K. Ravin, kira-kira 61 peratus aduan yang difailkan antara September dan Disember tahun lepas melibatkan kualiti produk.

Aduan lain termasuk maklumat yang mengelirukan dan masalah penghantaran dan pemulangan.

Ravin berkata: "Ramai yang mendapati produk yang mereka beli tidak mempunyai kualiti seperti yang diiklankan. Ada juga yang mengadu tentang produk palsu."

Eksekutif Sumber Manusia Ng Hui Xin, 29, adalah salah seorang daripada mereka yang mempunyai pengalaman buruk dalam urusan jual-beli di lalam web.

"Saya membeli tempat menyimpan kasut untuk but kereta saya dari salah sebuah laman web. Saya fikir pembelian dengan harga RM39 benar-benar baik.

"Saya tidak fikir pembelian ini mempunyai masalah. Tetapi apabila saya menerimanya, produknya sangat buruk. Zipnya terkoyak ketika saya cuba membukanya," katanya.

Ng menghantar e-mel kepada laman web berkenaan dan e-melnya dilanjutkan kepada pembekal produk, tetapi dia tidak pernah menerima jawapan.

"Selepas itu saya menghantar e-mel ke laman web itu beberapa kali tetapi mereka tidak mempedulikannya. Saya akhirnya berputus asa.

"Ini bukan pembelian pertama saya tetapi mungkin akan menjadi yang terakhir untuk laman web seperti ini," katanya.

Ravin berkata FOMCA telah menerima banyak aduan yang mengelirukan berkaitan harga, terutama untuk pakej kecantikan dan spa.

"Sebagai contoh, pakej 'facial' yang asalnya dijual pada harga RM2,000 ditawarkan pada harga RM150. Ia kedengaran sangat baik tetapi apabila anda sampai ke sana, ada perkara lain yang perlu anda bayar sebelum anda boleh mendapatkan pakej RM150. Akhirnya, pelanggan masih perlu mengeluarkan hampir RM2,000 juga," katanya.

Dengan populariti jual-beli dalam talian dan 'e-shopping' yang semakin meningkat orang ramai perlu sedar tentang hak-hak mereka di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, kata peguam Sankara Nair.

"Tidak kira sama ada transaksi itu dibuat melalui internet atau secara langsung. Kesannya adalah sama," katanya.

Mengikut Seksyen 10(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna: "Tiada seorang pun boleh membuat representasi palsu atau mengelirukan tentang jenis barangan yang tertentu, standard, kualiti, gred, kuantiti, komposisi, gaya atau model."

Penalti kerana melanggar peruntukan undang-undang ini adalah sangat keras kerana entiti korporat boleh didenda sehingga RM250,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan berikutnya.

Individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama. Mereka boleh didenda tidak melebihi RM250,000, dipenjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya, bagi kesalahan berikutnya.

"Laman web berada dalam kedudukan yang terbaik untuk mengetahui jika mereka mendapat barangan daripada pembekal produk asli. Wajib ke atas mereka dan mereka tidak boleh membebaskan diri daripada tanggungjawab."

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Orang terkaya Malaysia: 31 bilionair, Syed Mokhtar kekal tangga ke-5

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary

KUALA LUMPUR - Robert Kuok, hartawan Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong masih merupakan orang terkaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai RM46.1 bilion, meningkat sebanyak 0.88 peratus daripada RM45.7 bilion tahun lepas, diikuti oleh ahli perniagaan Ananda Krishnan dan Pengerusi/CEO Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow.

Ananda, yang menduduki tempat kedua sejak 2004, telah mengalami penyusutan kekayaan terbesar apabila ia merosot 23.5 peratus dari tahun lepas, dengan aset yang dipegang melalui Usaha Tegas Sdn Bhd bernilai RM32.90 bilion setakat tarikh pengiraan pada 18 Januari, 2013.

Teh, mengekalkan kedudukannya bagi tahun ketiga berturut-turut dengan aset bernilai RM13.73 bilion, demikian menurut Malaysian Business, majalah perniagaan perdana Malaysia dalam terbitan 16 Februari.

Ia berkata kekayaan tergabung 40 individu terkaya Malaysia itu meningkat sedikit tahun ini meskipun dalam keadaan pasaran modal yang turun naik dan tidak menentu.

Secara kolektif, 40 orang terkaya Malaysia itu bernilai RM194.86 bilion pada 18 Januari. Ini merupakan peningkatan kecil sebanyak 0.86 peratus berbanding RM193.2 bilion setahun lalu.

Semasa Malaysian Business mula-mula menilai kekayaan 40 individu terkaya Malaysia pada 2002, aset tergabung mereka berjumlah RM41.7 bilion dan Robert Kuok Hock Nien muncul pada kedudukan teratas.

Majalah itu berkata keempat dalam senarai itu ialah Tan Sri Quek Leng Chan, yang melonjak daripada kedudukan keenam tahun lepas, menggantikan Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Group, yang turun ke tempat keenam.

Kekayaan Quek, melalui syarikat utamanya, Hong Leong Group dan Guoco Group, bernilai RM11.09 bilion tahun ini.

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengekalkan kedudukan kelimanya tahun ini dengan kekayaan berjumlah RM10.60 bilion, meningkat daripada RM9.53 bilion tahun lepas.

Tan Sri Lee Shin Cheng, melalui syarikatnya, IOI Group, turun dari kedudukan keempat pada 2012 ke tempat keenam dengan aset bernilai RM10.56 bilion.

Pengerusi Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay, dan ibunya, Puan Sri Lee Kim Hua, masing-masing masih pada kedudukan ketujuh dan kelapan. Kekayaan Lim bertambah 7.06 peratus kepada RM8.12 bilion manakala Lee menambah kekayaannya sebanyak 9.82 peratus kepada RM7.23 bilion.

Tan Sri Tiong Hiew King, melalui jenteranya, Rimbunan Hijau Sdn Bhd, berada di tempat kesembilan tahun ini dengan aset bernilai RM6.35 bilion, susut 1.01 peratus daripada kekayaannya tahun lepas.

Melengkapi senarai 10 terkaya ialah jutawan harta yang berpangkalan di Singapura, Ong Beng Seng, melalui Hotel Properties Ltd, dengan kekayaan berjumlah RM4.02 bilion, setelah mengalami penyusutan sebanyak 18.36 peratus daripada tahun lepas.

Malaysian Business berkata satu hakikat menarik ialah sejak 2002, seramai 81 tikun telah menyertai senarai 40 Orang Terkaya Malaysia dan daripada jumlah itu, 15 berjaya terus kekal dalam senarai.

Keseluruhannya, peningkatan kukuh kekayaan hartawan-hartawan ini boleh dikaitkan dengan prestasi pasaran saham dan inflasi harga, memandangkan sebahagian besar kekayaan mereka adalah berdasarkan pegangan saham masing-masing.

Ia juga mencerminkan prestasi syarikat mereka dan pertumbuhan positif ekonomi Malaysia dalam 12 tahun lalu.

Bagi tahun ini, ada 31 bilionair – bertambah seorang lagi sejak tahun lepas - dan 23 daripada 40 orang dalam senarai itu menyaksikan aset mereka meningkat daripada tahun lepas. Daripada seramai ini, 14 mencatatkan pertumbuhan lebih daripada 10 peratus.

Senarai itu juga mencatat tiga pendatang baharu. Datuk Desmond Lim dari Pavilion REIT muncul kali pertama dalam senarai itu pada tempat ke-15, dengan kekayaan bernilai RM1.869 bilion. Dua lagi, Datuk Tan Heng Chew dari Tan Chong Motors Holding dan Tan Sri Kua Sian Kooi dari KSK Group, memasuki semula senarai itu, masing-masing pada tempat ke-37 dan ke-40.

Senarai penuh 40 tikun dan perincian kekayaan masing-masing disiarkan dalam majalah itu. Ia juga memaparkan senarai 10 tikun terkaya dalam Pasaran ACE.

Seperti pada tahun-tahun lepas, kekayaan 40 individu dalam senarai itu dinilai berdasarkan pegangan kepentingan masing-masing dalam syarikat-syarikat tersenarai pada 18 Januari.

Malaysian Business diterbitkan oleh Berita Publishing Sdn Bhd. - Bernama