Isnin, 27 April 2015

ISU BAHASA : Serupa tetapi tidak sama


Oleh : SHARIF IBRAHIM

ANTARA matlamat penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) termasuklah melaksanakan usaha membakukan ejaan dan sebutan serta membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.

Walau bagaimanapun, realiti yang berlaku hari ini bahasa Melayu terus berdepan dengan pelbagai krisis dan cabaran, bukan sahaja saingan daripada istilah asing malah persoalan ketepatan berbahasa dalam kalangan masyarakat terus berlaku secara sewenang-wenangnya.

Dalam hal ini, kurangnya iltizam dalam kalangan sesetengah masyarakat untuk merealisasikan hakikat bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa yang berwibawa di persada global hari ini pastinya mengecewakan kita.

Dari aspek sebutan misalnya, ramai pengguna bahasa yang masih keliru untuk menyebut perkataan yang menggunakan huruf e dengan tepat.

Hal ini demikian kerana dalam bahasa Melayu, terdapat banyak perkataan yang mengandungi huruf e pada kata yang sama, tetapi tidak serupa sebutan dan maknanya. Contohnya, penyebutan perkataan;
•    [nasionalisme] – bunyi huruf e ialah e pepet (sebutan vokal  e sama dengan sebutan untuk emas)
•    [peka] - bunyi huruf e ialah e taling (sebutan vokal e sama dengan sebutan untuk perak)
•    [erat] – bunyi huruf e ialah e pepet

Dari segi kesilapan tatabahasa pula, banyak media cetak yang  mengabaikan ketepatan penggunaan bentuk kata terbitan berapitan men-…- i dan men- …-kan. Sebenarnya, masalah ini dapat kita atasi dengan merujuk kepada kamus untuk menentukan makna dan konteks penggunaannya yang tepat dalam ayat. Daripada pemerhatian penulis, bentuk kata terbitan tersebut yang sering kali mengelirukan ialah:

i. memberi / memberikan
(Contoh penggunaan yang salah - memberi pandangan)                 

Dari segi makna;
• memberi bermaksud ‘seseorang mendapat sesuatu’
• memberikan bermaksud ‘menyerahkan sesuatu kepada seseorang’

Ayat contoh yang tepat:
a.    Yayasan Terengganu memberi pelajar cemerlang biasiswa.
b.    Kerajaan sentiasa  memberikan bantuan kepada petani.
ii.    menjatuhi / menjatuhkan
(Contoh penggunaan yang salah - menjatuhi hukuman )

Berdasarkan makna;
•    menjatuhi bermaksud ‘menyebabkan seseorang menerima sesuatu’
•    menjatuhkan bermaksud ‘mengenakan / menggugurkan sesuatu’

Ayat contoh yang tepat:
a.    Mahkamah telah menjatuhi penjenayah itu hukuman penjara.
b.    Hakim telah menjatuhkan hukuman denda kepada pasangan itu.
iii.    menemui / menemukan
(Contoh kesalahan - menemui kaedah …)

Dari segi makna;
•    menemui bermaksud ‘bertemu dengan seseorang’
•    menemukan pula bermaksud ‘mendapat /mencipta sesuatu’

Ayat contoh yang tepat:
a.    Pihak majikan masih belum menemui pekerja berkaitan isu kenaikan gaji.
b.    Pihak polis telah menemukan kereta yang dilaporkan hilang semalam.
iv. mencucuri / mencucurkan
( Contoh kesalahan - mencucuri rahmat…)

Berdasarkan makna;
•    mencucuri bermaksud ‘mengurniai/melimpahi seseorang’
•    mencucurkan bermaksud ‘mengurniakan/melimpahkan sesuatu’

Ayat contoh yang tepat:
a.    Kami berdoa semoga ALLAH mencucurkan rahmat kepada rohnya.
b.    Kami berdoa mudah-mudahan ALLAH mencucuri rohnya rahmat.

Selain itu, kesalahan bahasa juga banyak berlaku pada papan tanda, contohnya ramai kalangan kita yang tidak sedar bahawa ungkapan yang sekian lama kita lihat pada papan tanda di jalan raya ‘Kesulitan Amat Dikesali’ sebenarnya sedikit tersasar ketepatannya. Dalam kamus, perkataan kesal bermaksud ‘perasaan marah atau kecewa’.

Penggunaan kata yang tepat ialah sesal yang bermaksud ‘rasa bersalah atau insaf’ kerana tindakan pihak terbabit yang menimbulkan kesulitan kepada pengguna jalan raya. Frasa yang sepatutnya, SEGALA KESULITAN AMAT DISESALI.

Sebagai kesimpulannya, salah satu langkah yang tepat untuk membina kesempurnaan berbahasa adalah melalui penggunaan kamus, terutama Kamus Pelajar terbitan DBP. Kamus ini sepatutnya diuar-uarkan sebagai bahan pedoman penting para pelajar untuk berbahasa dengan betul.

Sesungguhnya, memartabatkan bahasa Melayu merupakan tanggungjawab kita bersama. Kata pepatah Melayu, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.


Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Membendung profesor, gelaran PhD palsu


Oleh :  Akhbar Satar
akhbar.satar@gmail.com

Beberapa hari lalu, Majlis Profesor Negara (MPN) melancarkan buku Garis Panduan Penggunaan Gelaran Profesor bagi mengangkat kredibiliti profesion dan imej ahli akademik di Malaysia bertujuan menjelaskan penyalahgunaan gelaran profesor pada pangkal nama atau kad nama. Bahkan sudah ramai menyalahgunakan ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD) sama ada dibeli menerusi online, diplagiat atau mengupah orang menyediakan tesis bagi tujuan penipuan dan komersial.

Banyak kes seperti ini sama ada di Malaysia ataupun luar negara termasuk negara maju yang menjadi hab pengajian tinggi. Beberapa tahun lalu, bekas Pengarah Kanan dan Ketua Pegawai Maklumat, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS), Laura Callahan meletak jawatan selepas didapati membeli Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD secara dalam talian. Kes ini menggegarkan keselamatan Rumah Putih kerana dilihat seolah-olah tidak menyemak latar belakang sebelum mengambil beliau bertugas.

 AS mengeluarkan 50,000 ijazah PhD seluruh dunia, bernilai RM3.6 bilion (AS$1 bilion) setahun. Di Pakistan pula ada banyak universiti melantik profesor kelulusan PhD palsu dan ia menjejaskan kredibiliti universitinya. Pembabitan 'profesor segera' ini merosakkan imej dan mutu pengajian terutama bidang perubatan. Di Russia, ijazah palsu dapat dibeli dengan harga RM3,000. Ada juga sindiket mengeluarkan ijazah palsu atas nama Universiti Harvard - pusat pengajian tinggi terbaik di dunia, dengan harga RM120,000.

Sedia khidmat ijazah palsu

Malah, sebuah laman sesawang menyediakan perkhidmatan mengeluarkan ijazah palsu, termasuk PhD dari pusat pengajian tinggi dengan bayaran RM240. Tawaran ini jadi lebih menarik apabila mereka bebas memilih apa sahaja bidang dikehendaki atau mana-mana universiti untuk diisi dalam ijazah palsu itu.

Ijazah palsu membabitkan universiti Malaysia mula dikesan susulan kes penipuan untuk mendapat kelulusan Universiti Sains Malaysia (USM) beberapa tahun lalu. Selain kes sijil palsu USM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara. Pembelinya terdiri daripada kalangan ahli politik dan individu bergelar Tan Sri.

Syarikat mengenakan harga RM6,500 bagi ijazah Sarjana Muda, RM8,500 (Sarjana) dan RM10,500 (PhD) dalam pelbagai jurusan kononnya diiktiraf lima universiti luar negara, antaranya Universiti Rockhampton, Universiti Harvey International, Universiti Cannington Brook dan Universiti Charles Molnar.

Ramai orang 'sakit jiwa', pemalas dan suka menipu mencari jalan pintas, cepat, tidak perlu belajar untuk mendapatkan ijazah secara mudah, dalam tujuh hari sedangkan pelajar universiti menghabiskan tiga hingga enam tahun untuk mendapatkan diploma dan ijazah.

Bukan mudah untuk mendapat PhD kerana memakan masa lama. Perlu berkorban wang ringgit, keluarga dan masa. Perbuatan segelintir mereka ini adalah tidak adil kepada pemilik ijazah sebenar. Mereka yang terbabit dalam kes pemalsuan ijazah, biasanya bijak bercakap tetapi isinya kosong dan hanya boleh dikesan sesetengah pakar apabila dibandingkan dengan kelulusan diperoleh. Selalunya orang yang gagal dalam pelajaran dahagakan pengiktirafan, lebih-lebih lagi orang yang baru dikenali. Mereka mahu dipandang tinggi, berilmu, berkebolehan dan boleh dijadikan pakar rujuk.

Perdaya orang

Mereka bangga memperkenalkan diri sebagai 'Dr' dan profesor memperdayakan orang sedangkan hanya tamat Tingkatan Tiga ataupun Tingkatan Lima. Kadangkala dengan gelaran 'Dr' dan profesor yang dijaja sebagai pakar motivasi, MLM, penjual produk kosmetik dan ahli perniagaan, mereka dapat lebih peluang dan keutamaan menjawat jawatan penting seperti pengarah dan perunding dalam organisasi serta senang mendapat kontrak atau projek.

Ditambah pula dengan sikap orang ramai mudah percaya dengan kepetahan bercakap tanpa meneliti latar belakang pengajiannya, selain kelemahan majikan di Malaysia yang hanya melihat rekod jenayah pemohon pekerjaan tanpa menitikberatkan status pendidikan menyebabkan kegiatan membeli ijazah sarjana dan PhD palsu semakin berleluasa.

Satu pusat menyimpan data graduan mesti ditubuhkan untuk mengelak kes pemalsuan ijazah dan semua sijil dicetak Percetakan Nasional yang mempunyai tahap sekuriti tinggi. Seseorang bergelar Tan Sri, Datuk, ahli perniagaan dan pakar motivasi tidak berintegriti dan patut merasa jijik memiliki ijazah palsu serta sanggup menggunakan gelaran doktor atau profesor.

Mereka patut malu kepada masyarakat bahkan kepada ahli keluarga yang mengetahui taraf pendidikan dimiliki. Adalah wajar sesiapa yang menggunakan sijil palsu dihukum mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya. Penipuan sijil palsu perlu dibendung agar tidak merebak dan kelak disalah guna warga asing ketika Malaysia mengambil pelbagai usaha menjadikan negara sebagai hab pengajian tinggi.

Penulis ialah Presiden Transparensi International Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/( KHAMIS, 23 APRIL 2015)