Selasa, 18 Ogos 2009

Apa akhirnya nasib bahasa Melayu

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

TERTARIK membaca saranan Persatuan Penulis Perlis (3P) baru-baru ini supaya istilah bahasa Melayu digunakan semula menggantikan bahasa Malaysia. Perkara itu turut dibangkitkan oleh penulis apabila akhbar ini mahu terus-terusan menggunakan istilah bahasa Malaysia.

Ketika itu ada yang menyanggah - apalah ada pada istilah, bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sama saja. Ada juga berpandangan tidak perlu dibangkitkan kerana kelak menambah kekeliruan dan kekalutan di kalangan pencinta bahasa.

Hakikatnya tidak semudah itu isu istilah bahasa Melayu harus dipinggirkan. Ia sangat penting lantaran menyentuh "harta" bangsa Melayu yang dijadikan tunggak dalam Perlembagaan negara.

Jelas disebut dalam Perkara 152(1) - Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan. Justeru tidak perlu dibangkitkan siapa atau kepentingan politik apa yang digunakan untuk mengubah istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia.

Ini kerana tuntutan asal penubuhan negara menggariskan hanya bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan - satu tuntutan yang amat kuat kesannya jika dilihat daripada pelbagai sudut.
Tetapi ia tidak lagi dipenuhi sekarang ini. Istilah bahasa Melayu tidak lagi ada kuasanya. Ia diganti dengan istilah bahasa Malaysia yang bersifat majmuk bagi menggambarkan bahasa yang diterima pakai secara meluas oleh rakyat.

Bahasa Melayu kononnya menjadi tidak sesuai dengan kerencaman bangsa di negara ini selain tidak seiringan dengan cita-cita mahu mewujudkan bangsa Malaysia yang selayaknya menggunakan bahasa Malaysia. Kononnya juga apabila disebut bahasa Malaysia, maka dunia luar akan menggambarkan satu bahasa yang digunakan oleh bangsa Malaysia sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Penduduk pelbagai kaum masih lekat dengan bahasa ibunda masing-masing. Lebih daripada itu, bahasa ibunda menjadi alat pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah jenis kebangsaan waima muridnya hanya lima orang.

Sedangkan menurut Perlembagaan, bahasa kaum-kaum lain sepatutnya hanya diajar di sekolah dan bukannya menjadi bahasa untuk mengajar. Teras segala-galanya masih bahasa Melayu. Namun bahasa Melayu yang mengaitkan kepentingan bangsanya sebagai pemilik asal negara ini tidak lagi memiliki nilainya.

Sepatutnya apabila disebut bahasa Melayu akan mengingatkan dunia luar bahawa nilai dan kepentingan bangsa Melayu dengan bumi Malaysia sehingga selayaknya bahasa itu dinobatkan sebagai Bahasa Kebangsaan dalam Perlembagaan.

Namun perkembangan semasa tidak menunjukkan pengiktirafan sedemikian rupa. Di kala kaum-kaum lain berbangga kerana susur galur mereka masih dikaitkan dengan bahasa rasmi di sekolah, bahasa Melayu pula semakin luput dan tidak lagi menjadi lambang bangsanya.

Bahasa Malaysia yang kononnya diterima pakai secara rasmi dan meluas (biar pun Perlembagaan tidak dipinda untuk menghalalkannya) akan terus mengambil tempat bahasa Melayu.

Yang membimbangkan, bukan semua yang menggelar diri mereka bangsa Malaysia kelak mahu menggunakan bahasa Malaysia - hanya Melayu yang akan terus menggunakan bahasa Melayu itu.

Maka jadilah dan terbentuklah bangsa Melayu yang bahasanya adalah bahasa Malaysia manakala kaum lain terus bekerja keras mendaulatkan bahasa mereka termasuk dalam menetapkan kriteria untuk memilih pekerja di syarikat.Dan istilah bahasa Melayu hanya ada dalam Perlembagaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SELESEMA BABI (INFLUENZA A H1 N1)

Gelombang ke-2 H1N1 Oktober

Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my

Musim tengkujuh dijangka percepat wabak

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin menghadapi gelombang kedua virus Influenza A (H1N1) pada Oktober, November dan Disember ini kerana musim tengkujuh dijangka mempercepatkan penularan wabak itu.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengarahkan kumpulan pakar kesihatan kementerian melakukan pemantauan rapi dari semasa ke semasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya bimbang virus berkenaan akan merebak dengan serius pada musim tengkujuh kerana hujan berterusan memudahkan orang ramai, terutama kanak-kanak mendapat selesema.

"Kita khuatir komplikasi (selesema) itu kemudian akan bercampur dengan virus H1N1. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) beberapa hari lalu juga sudah mengingatkan semua negara supaya mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi gelombang kedua H1N1.

"Kita memantau keadaan H1N1 secara serius. Jika kita kesan berlaku gelombang kedua, kementerian akan membuat pengumuman awal supaya rakyat dapat mengambil langkah berjaga-jaga," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Kesihatan Asia 2009 di sini, semalam.

Liow berkata, ketika ini Malaysia berada di tahap kecemasan kesihatan kerana angka kematian akibat H1N1 masih di bawah 0.1 peratus.

"Sekiranya kadar kematian disebabkan H1N1 melebihi 0.4 peratus, kementerian dengan segera akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengisytiharkan darurat kesihatan," katanya.

Beliau menjelaskan mengikut panduan WHO, peratusan kematian H1N1 dikira berdasarkan jumlah kes jangkitan dan didarab 20 serta dibahagi jumlah kematian.

Berdasarkan angka korban 64 orang dan 4,425 kes jangkitan sehingga semalam, bermakna
peratusan kematian H1N1 di Malaysia kini hanya sekitar 0.007 peratus.

Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan semalam, 284 pesakit lagi sedang menerima rawatan di hospital manakala 33 pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

Liow berkata, beliau sudah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi semalam berhubung status darurat kesihatan.

"Kerajaan mendapati negara belum di tahap untuk diumumkan darurat kesihatan kerana kadar kematian disebabkan virus H1N1 masih di bawah 0.1 peratus.

"Selain daripada jumlah kematian, kementerian juga perlu mengambil kira perkara lain seperti nasihat pakar kesihatan yang sedang memantau situasi virus ini daripada semasa ke semasa," katanya.

Liow berkata, hanya MKN mempunyai kuasa untuk mengumumkan sama ada negara perlu diisytiharkan darurat kesihatan atau tidak.

Katanya, kementerian juga sudah mengarahkan semua hospital kerajaan dan swasta memberikan ubat antiviral kepada mereka yang didapati menghidap demam secara berterusan selama dua hari.

"Ubat yang sama juga perlu diberikan kepada mereka yang mengalami simptom influenza-like illness (ILI). Doktor perlu bertindak segera bagi membendung virus berkenaan," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat supaya tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya negara sudah mengumumkan darurat kesihatan.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata, hospital kerajaan masih kekurangan doktor, iaitu hanya 13,902 daripada 24,236 jawatan yang ditawarkan dipenuhi sehingga 31 Jun lalu,

"Bagi doktor gigi pula kita tawarkan 2,549 jawatan, tetapi hanya 1,441 dipenuhi manakala ahli farmasi, jumlah jawatan yang ditawarkan ialah 4,030 dan diisi cuma 2,986. Bagi jawatan jururawat kanan sejumlah 44,897 jawatan ditawarkan dan hanya 39,263 dipenuhi," katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/