Rabu, 3 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : Pacu peningkatan kualiti pendidikan


Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom

PENGUMUMAN Bajet 2013 nampaknya mempunyai kaitan yang signifikan dalam usaha menjayakan transformasi pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Melalui Bajet 2013 ternyata peruntukan besar disediakan bagi melaksanakan tiga aspek penting iaitu untuk peningkatan kualiti pengajaran guru, melengkapkan infrastruktur sekolah dan memastikan keberkesanan pelaksanaan melalui pemantauan transformasi tersebut.

Apabila Bajet 2013 diumumkan pada 28 September lepas didapati sektor pendidikan terus mendapat peruntukan tinggi iaitu sebanyak RM38.7 bilion meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan daripada jumlah keseluruhan bajet RM251.6 bilion.

Bajet 2013 memberi tumpuan bagi menjayakan transformasi pendidikan. Aspek pertama ialah meningkatkan kualiti pengajaran guru. Bagi tujuan tersebut disediakan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk membolehkan guru melaksanakan pengajaran melalui pendekatan kemahiran berfikir aras tinggi dalam pengajaran subjek-subjek teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Sesungguhnya penekanan kepada peningkatan kualiti guru melalui pendekatan tersebut dinyatakan dalam PPP 2013-2025 dengan Anjakan Pertama iaitu menyediakan kesemarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.

Hakikatnya apabila murid dikatakan telah berjaya menguasai ilmu, mereka berupaya menganalisis maklumat, berfikir secara kritis dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah bentuk kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara maju. Sementara itu Anjakan Kedua menekankan setiap murid mahir dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Ini dilakukan dengan meluaskan program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris. Peningkatan kemahiran Bahasa Inggeris juga dilakukan dengan memastikan semua 70,000 guru bahasa tersebut lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Peluasan pendedahan kemahiran berbahasa juga dilakukan dengan memperkenalkan modul Sastera Inggeris yang akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah.

Bagi memastikan pelaksanaan pendekatan pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi guru-guru akan terus didedahkan kaedah pengajaran yang berpusatkan kepada pelajar. Aktiviti yang menyeronokkan dan menarik minat pelajar seperti main peranan, lakonan, syarahan, debat, forum, simulasi, perbincangan, tugasan luar bilik darjah dan kerja dalam kumpulan kecil akan menggalakkan murid sentiasa berfikir dan berusaha meningkatkan daya pemikiran mereka.

Sementara itu Anjakan Ketujuh iaitu memanfaatkan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran adalah berkait rapat dengan usaha meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi. Perbelanjaan yang besar diperlukan untuk meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya.

Ini akan dilakukan melalui pelaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah. Dengan adanya akses kepada rangkaian 4G di sekolah maka landasan untuk pelaksanaan pembelajaran secara interaktif akan dapat dilaksanakan.

Aspek kedua bagi menjayakan PPP ialah melengkapkan infrastruktur sekolah. Kemudahan yang baik disediakan di sekolah akan membolehkan guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan.

Bajet 2013 telah menyediakan peruntukan besar iaitu sebanyak RM1 bilion di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah.

Peruntukan ini akan digunakan bagi keperluan seperti membaikpulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.

Bagi memastikan infrastruktur sekolah dapat disempurnakan terutama sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman maka kerajaan telah memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion lagi. Ini bermakna bagi tujuan meningkatkan keupayaan infrastruktur sekolah sebanyak RM2 bilion telah disediakan.

Di samping itu Tabung Khas pula diwujudkan iaitu peruntukan sebanyak RM400 juta daripada RM2 bilion itu akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan dan RM100 juta lagi diperuntukkan kepada setiap aliran sekolah lain iaitu SRJK(C), SRJK(T), sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah berasrama penuh.

Aspek ketiga yang penting bagi menjayakan PPP 2013-2025 ialah memastikan keberkesanaan pelaksanaan dan pemantauan. Dalam majlis pelancaran PPP yang lalu, Perdana Menteri menekankan bahawa perancangan yang nampak cantik dan lengkap belum menjanjikan kejayaan tanpa penekanan kepada aspek pemantauan dan diikuti penilaian serta penambahbaikan.

Oleh itu dalam Bajet 2013 Perdana Menteri mencadangkan penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan bertujuan memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi tersebut. Pelaksanaannya boleh menggunakan peruntukan tambahan RM500 juta yang turut digunakan dalam meningkatkan kemahiran guru.

Aspek pelaksanaan dan pemantauan ini ada dinyatakan dalam PPP melalui Anjakan Keenam iaitu pengupayaan serta memperkasakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Peranan mereka bukan sahaja untuk menyelesaikan isu berasaskan keperluan seperti menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus, Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan tetapi juga memastikan semua perancangan yang telah disediakan dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.

Penambahan pegawai dan kakitangan di JPN dan PPD diperlukan untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang diberikan di samping mendapat latihan yang bersesuaian. Keberkesanan Unit ini adalah indikator kepada kejayaan PPP 2013-2025.

Sesungguhnya Bajet 2013 yang bertemakan ‘Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Rakyat: Sebuah Janji Ditepati’ itu menyediakan keperluan transformasi pendidikan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 bagi memacu peningkatan kualiti pendidikan.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www,utusan.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa Melayu mampu sampaikan pemikiran kritis


Oleh : Prof Dr  Teo Kok Seong
 
Pemberian peruntukan tambahan RM500 juta dalam Belanjawan 2013 untuk mempertingkat kemahiran mengajar dalam kalangan pendidik untuk empat subjek teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, amat dialu-alukan. Ia bertujuan mengembangkan kemahiran berfikiran kritis dalam kalangan pelajar oleh guru.

Sehubungan ini, Sejarah yang diangkat menjadi subjek teras dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, perlu turut dimasukkan dalam latihan perguruan ini. Selain subjek wajib, ia antara kurikulum penting yang dapat memupuk asas dan perspektif nasional yang dikongsi bersama. Kemahiran berfikir aras tinggi sebagai aspirasi penting dalam PPPM, akan cuba dicapai melalui tiga cara. 

Pertama, dengan penguasaan kemahiran berfikiran kreatif dan inovatif, pelajar diajar untuk memperoleh kepandaian menjana prospek baharu, selain mencipta gagasan dan pengetahuan baru. 

Kedua, melalui penguasaan kemahiran menyelesaikan masalah dan menaakul, pelajar dilatih untuk bersedia berdepan dengan sebarang masalah, yang kemudian diselesaikan selepas menaakul dengan kritis dan logik, agar keputusan yang dibuat itu bernas.

Ketiga, melalui penguasaan kemahiran keupayaan belajar, pelajar diasuh untuk memiliki ketangkasan mendorong diri sendiri untuk terus menimba ilmu sepanjang hayat mereka, bagi menjadi warga yang berpengetahuan.

Diakui bidang ini tidak dirangkumi dalam sistem pendidikan negara sebelum ini. Justeru, pelajar kita didapati bukan saja tidak mampu menerapkan ilmu yang diperoleh. Tetapi yang lebih mudarat lagi mereka gagal berfikir secara kritis, khususnya dalam konteks akademik baru.

Sehubungan latihan ini, sesetengah pihak meragui kemampuan guru dalam memperoleh kemahiran begini untuk diri mereka sendiri, sebelum disampaikan kepada pelajar. Dalam hal ini, kita harus meyakini keupayaan guru yang sudah memiliki ilmu mengenai bidang pengkhususan masing-masing, selain ilmu pelajar yang berbagai-bagai dari segi kecerdasan dan lain-lain, serta ilmu pedagogi untuk pendidikan yang berkesan.

Apabila setiap kali subjek Sains dan Matematik disentuh dan kali ini dalam konteks pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi melalui dua subjek ini, sebahagian daripada masyarakat yang kepingan dan fanatik dengan bahasa Inggeris, menggunakan kesempatan ini untuk cuba mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang sudah dimansuhkan. Alasan yang sama diberikan dan mereka yang menyokong pemansuhannya pula akan memberi hujah yang sama.

Sehubungan ini, sudah tiba masanya PPSMI ini dilupakan dan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dikembangkan.

Hal ini sebenarnya ditekankan dalam PPPM melalui Anjakan Kedua yang akan memastikan setiap pelajar memiliki kecekapan yang sama dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, iaitu kedua-duanya saling melengkapi sebagai bahasa kemajuan. Untuk ini, bahasa Melayu adalah bahasa ilmu, bahasa Inggeris pula adalah bahasa sumber ilmu.

Dari segi ilmu linguistik, bahasa Melayu kini adalah bahasa moden, yakni bahasa yang mampu mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak, dalam apa-apa juga bidang ilmu. Justeru, dengan upaya sebegini, kita tidak perlu meragui, apatah lagi mempertikai kehandalannya untuk mengendalikan sistem pendidikan negara.

Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, dari segi linguistik, adalah wahana komunikasi, dengan cara dan pola masing-masing yang boleh dengan jayanya digunakan untuk menyampaikan gagasan pemikiran kritis, selain yang logik, oleh penggunanya yang kreatif dan inovatif. Maka tidak timbullah persoalan bahawa bahasa Inggeris lebih ekspresif sifatnya berbanding bahasa Melayu.

Sifat ini, yakni kebolehan menyatakan perasaan, fikiran dan seumpamanya, dengan baik dan lancar, sesungguhnya terletak pada kecekapan berbahasa seseorang itu dan tidak semata-matanya pada sistem bahasa. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu yang kreatif dan inovatif berjaya menghasilkan ungkapan Ini sabun baharu. Ini baharu sabun yang indah lagi bermaklumat untuk tujuan pengiklanan sesuatu barangan.

Kita harus meyakini keupayaan bahasa Melayu untuk terus mendidik anak bangsa yang mampu bersaing di persada dunia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/