Rabu, 6 April 2011

MUET ukur kemampuan pelajar sebelum ke universiti

SAYA merujuk kepada surat 'Pengendali MUET, Kuala Lumpur' bertajuk 'Ujian bahasa Inggeris universiti di Malaysia tidak sesuai diadakan di sekolah' yang disiarkan 2 April lalu dan surat 'Pelajar MUET, Shah Alam' bertajuk 'Ujian MUET wajar diadakan tiga kali setahun' yang disiarkan 4 April lalu.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) ingin memaklumkan bahawa Malaysian University English Test (MUET) adalah ujian untuk mengukur penguasaan berbahasa Inggeris yang diwajibkan kepada semua calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), pelajar matrikulasi, diploma dan prauniversiti yang melanjutkan pelajaran ke ijazah pertama di institusi pengajian tinggi (IPT).

Jadi, tujuan MUET diadakan sebelum kemasukan ke IPT untuk membolehkan pelajar mahir berbahasa Inggeris pada tahap tertentu sebagai persediaan mengikuti pengajian kerana sebahagian besar bahan rujukan dalam bahasa Inggeris.
Pelaksanaan MUET sebelum mengikuti program ijazah pertama juga atas permintaan IPT untuk membuat pemilihan pelajar bagi mengikuti jurusan tertentu yang memerlukan kemahiran berbahasa Inggeris pada tahap tinggi, selain penilaian terhadap kelulusan akademik pelajar.

Dengan demikian, IPT tidak perlu lagi mengadakan kelas bahasa Inggeris bagi pelajarnya dalam jurusan berkenaan.

Pertambahan bilangan ujian MUET daripada dua kepada tiga kali setahun pula dibuat atas permintaan pelajar.

Seperti dinyatakan Pelajar MUET, Shah Alam, pertambahan ini memberikan ruang lebih selesa kepada calon menduduki MUET mengikut masa sesuai dan memberi lebih peluang kepada calon memperbaiki keputusan MUET sebelumnya. MPM sentiasa mengambil berat kebajikan penjawat MPM dalam mengendali peperiksaan atau ujian, termasuk guru pengawas ujian MUET. MPM sedia maklum mengenai beban tugas dan kekangan masa yang terpaksa ditanggung guru di sekolah.

MPM sentiasa berusaha menyediakan kemudahan dan memperbaiki sistem pengurusan peperiksaan bagi meringankan beban guru yang bertugas sebagai pengawas dan mengambil langkah mengurangkan penggunaan borang untuk tuntutan elaun pengawasan dan perjalanan serta sistem pendaftaran peperiksaan secara online.

KHAWARI IDRIS,
Pegawai Perhubungan Awam
Majlis Peperiksaan Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan sejarah bukan indoktrinasi

Persepsi pendidikan sejarah di sekolah sebagai satu proses indoktrinasi oleh 'golongan yang menang' atau untuk mempromosikan tokoh tertentu adalah salah dan berniat jahat.

Sejarah sebenarnya untuk memahami kompleksiti dalam sesebuah masyarakat atau negara. Melalui sejarah, kita boleh mengambil iktibar dan teladan daripada sesuatu peristiwa.

Banyak nilai murni yang boleh dipelajari seperti nilai kemanusiaan sejagat, semangat setia kawan, mengelak konflik dan pergaduhan atau konfrontasi.

Di samping itu, pelajar juga boleh memahami kedinamikan dalam perhubungan dan penyatuan antara kelompok.

Melalui proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), fakta serta asal-usul sesuatu peristiwa akan diterangkan dengan hasrat pelajar akan saling mengenali, hormat-menghormati dan bertoleransi dalam menyelesaikan sesuatu perselisihan faham.

Malah, peranan serta sumbangan kelompok minoriti turut diajar dan sekali gus menafikan bahawa pendidikan Sejarah sebagai satu alat propaganda.

Pendekatan baharu dalam P&P juga tidak lagi memfokus kepada hafalan fakta, sebaliknya menjurus kepada nilai atau sumbangan yang diperoleh daripada sesuatu peristiwa itu.

Begitu juga dalam aspek kisah seseorang tokoh. Bukan peribadi tokoh yang ditonjolkan, tetapi wawasan, keupayaan dan kebolehannya. Sifat dan sikap positif tokoh itu yang perlu dicontohi.

Pelajar juga didedahkan dengan perhubungan diplomatik dan dasar yang melibatkan negara kita dengan negara lain. Hal ini penting agar pelajar memahami manfaat yang diperoleh hasil hubungan erat antara Malaysia dan negara lain.

Pada masa sama, ia juga bagi mengelakkan rakyat kita daripada membuat perkara yang boleh menjejaskan hubungan tersebut.

Justeru, langkah mewajibkan pelajar lulus Sejarah dalam SPM mulai 2013 amat tepat dan menepati aspirasi gagasan 1Malaysia.

Langkah ini pasti akan melonjak pencapaian pelajar dalam subjek itu dan paling utama mereka akan mengamalkan etika hidup yang selaras dengan Perlembagaan negara.

Tambahan pula, ada institusi pengajian tinggi (IPT) yang mula mengenakan pra-syarat wajib lulus Sejarah untuk mengikuti sebarang kursus kelolaannya.

Berdasarkan statistik, prestasi akademik pelajar terbukti semakin baik jika ia diwajibkan lulus seperti subjek Bahasa Melayu yang merekodkan pencapaian lulus melebihi 90 peratus pada tahun lalu.

Sementara itu, subjek Sejarah pada 2010, hanya mencatat 76.4 peratus lulus di bandar dan 75.4 peratus lulus di luar bandar.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Pemansuhan PPSMI: Kerajaan Usah Sekali-kali Berganjak

Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan, tidak sewajarnya berganjak daripada keputusan yang telah diambil pada tahun 2009 untuk memansuhkan PPSMI dan mengembalikan martabat serta peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan, seperti yang telah diasaskan oleh Jawatankuasa Razak 1956 dan kemudian menjadi undang-undang negara dalam Akta Pelajaran 1961, dan seterusnya dalam pindaan Akta Pendidikan 1996.

Langkah kembali kepada sistem dua aliran (Melayu dan Inggeris, meskipun dalam subjek-subjek bidang sains dan matematik) hanya meruncingkan keadaan dan kedudukan Dasar Bahasa Kebangsaan, yang menjadi salah satu asas kenegaraan dan "pembinaan negara" - untuk perpaduan kebangsaan, untuk pembinaan jati diri negara dan untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa berwibawa.

Sesudah mendapati bahawa PPSMI menimbulkan masalah nasional (berasaskan penyataan TPM selaku Menteri Pendidikan apabila memutuskan pemansuhan PPSMI bermula pada tahun 2012 dan hasil kajian ahli bahasa dan pendidikan sejak 2002), amat tidak munasabah kerajaan bertukar haluan semata-mata kerana ingin memenuhi tuntutan sekelompok golongan yang sama sekali tidak memperlihatkan semangat kebangsaan dan tidak pernah memahami "erti bahasa kebangsaan dalam pembinaan negara".

Peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, sebagaimana yang telah berkali-kali ditegaskan oleh ahli bahasa dan ahli pendidikan yang mendukung perjuangan bahasa kebangsaan tidak akan dapat diatasi dengan PPSMI, melainkan melalui peningkatan dalam pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Kementerian Pendidikan sendiri telah mengumumkan MBMMBI dan rancangan itu perlu dilaksanakan dengan berkesan, tanpa mengganggu MBM (Memartabatkan Bahasa Melayu).

Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Beijing