Isnin, 9 September 2013

Pak Matlob - pejuang sejati perkembangan tulisan jawi


Oleh :  ZULKIFLI ABDULLAH

MUNGKIN ramai yang tidak mengenali Mohammad @ Mokhtar Talib. Tetapi apabila disebut Pak Matlob, ramai yang tahu bahawa beliau ialah tokoh ternama dalam bidang tulisan jawi dan sastera kanak-kanak.

Anak kelahiran Kampung Laut, Semerah, Batu Pahat, Johor ini adalah pejuang sejati tulisan jawi dan telah menghasilkan lebih 400 buah buku dalam pelbagai bidang, kebanyakannya dalam tulisan jawi.

Dalam bidang penulisan jawi, tokoh pejuang tulisan jawi ini banyak memberi sumbangan berharga kepada akhbar dan majalah, antaranya beliau pernah mengelolakan ruangan Pandai Jawi dan Belajar Jawi di Utusan Malaysia.

Pernah berkhidmat sebagai guru selama 36 tahun, lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris) dan Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai yang dilahirkan pada 5 Julai 1937 ini memulakan karya penulisan untuk kanak-kanak pada tahun 1953.

Dan ketika redup senja Jumaat 6 September lalu, tokoh yang amat besar jasanya dalam bidang tulisan jawi dan kesusasteraan kanak-kanak ini menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isterinya, Kalifah Md. Yusuf, pada usia 76 tahun di rumah mereka di Semerah, Batu Pahat.

Pak Matlob yang pada beberapa tahun terakhirnya banyak menyumbangkan tulisannya dan membantu penerbitan Utusan Melayu Mingguan. Allahyarham mula uzur selepas diserang angin ahmar tahun lalu dan demam sejak Rabu minggu lalu.

Pernah bertugas sebagai sebagai Ketua Unit Pendidikan Jawi untuk Utusan Melayu (1993-1998), Pat Matlob menghasilkan 11 novel remaja dan 107 novel kanak-kanak selain mengeluarkan 30 jenis bahan bacaan dan penyelidikan berhubung tulisan jawi moden dalam tempoh tiga tahun.

Allahyarham juga banyak menulis untuk majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta akhbar seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan Utusan Zaman khususnya dalam bidang sastera kanak-kanak.

Skrip drama pentas pertama ditulis beliau bertajuk Mekarlah Mawar - Mekarlah Harapan, dipentaskan di Panggung Cathay Muar pada 28 Mei 1965.

Beliau kemudian menghasilkan karya kanak-kanak untuk Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia pada 1965 hingga 1967.

Pak Matlob dipilih oleh UMNO sebagai penerima Anugerah Melayu Cemerlang, manakala di peringkat negeri, Pak Matlob dipilih menerima Anugerah Tokoh Pejuang Jawi daripada Persatuan Penulis Johor.

Kegigihan Allahyarham sehingga tahun-tahun terakhir kehidupannya memperjuangkan tulisan warisan orang Melayu itu terbukti apabila sanggup datang dari Semerah ke Ibu Pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur untuk menghantar sendiri hasil karyanya kepada akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan.

Kecintaannya kepada tulisan jawi jelas tergambar apabila sanggup mengeluarkan wang sendiri sebagai hadiah pertandingan tulisan jawi yang dianjurkannya dengan kerjasama Utusan Melayu Mingguan.

Sejak dua tahun lepas, beliau tidak lagi aktif menghantar karya atau memberikan ceramah mengenai tulisan jawi apabila lumpuh akibat diserang angin ahmar.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Nama Pak Matlob akan terukir dengan tinta emas dan kekal harum sebagai pejuang sejati tulian jawi di negara ini.

AL-FATIHAH.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/