Ahad, 5 April 2015

Belasungkawa: Jamaluddin Jarjis Daripada Ahli Akademik Kepada Diplomat Hebat


KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih dekat sini petang semalam, adalah seorang insan yang memiliki pelbagai bakat istimewa.

Anggota Parlimen Rompin itu, yang akan mencapai usia 64 tahun pada 25 Mei ini, memulakan dunia kerjayanya dengan menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1974 selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kelas Pertama dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dari University of Manchester, United Kingdom.

Dua tahun kemudian, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari University of Manitoba, Kanada dan pada 1980, beliau menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dari University of McGill, Kanada.

Selepas enam tahun menabur bakti dalam bidang akademik, pada 1981 beliau berundur untuk menubuhkan sebuah firma perunding yang membuat pengkhususan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal dikenali sebagai J&A Associates.

Pada 1986, beliau membeli EPE Power Corporation Berhad dan menyandang jawatan naib pengerusi eksekutifnya sebelum berundur pada 3 Ogos 2000, sehari sebelum dilantik sebagai timbalan pengerusi Tenaga Nasional Berhad, dan selepas itu dilantik sebagai pengerusi TNB pada September 2000.

Dalam arena politik, Jamaluddin memulakan langkahnya dengan menjadi anggota Umno Kampung Mengkasar di Pekan pada 1980 dan menyandang jawatan Ketua Pemuda.

Lima tahun kemudian, beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno Pekan dan pada 1988 sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Pahang dan anggota Exco Pemuda Umno.

Beliau juga dipilih sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno bagi penggal 2008-2011.

Kali pertama Jamaluddin, yang juga Pengerusi Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA), bertanding sebagai calon ialah pada Pilihan Raya Umum 1990 iaitu bagi kerusi parlimen Rompin.

Dalam pertandingan itu, beliau mengalahkan calon PAS, Salim@Ahmad Awg Kalib dengan 13,128 undi majoriti, manakala pada pilihan raya umum lepas (Mei 2013), beliau dipilih sebagai Anggota Parlimen Rompin bagi penggal keenam setelah mengalahkan calon PAS, Nuridah Mohd Salleh, dengan majoriti 15,114 undi.

Jamaluddin berundur daripada TNB pada November 2002 setelah dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua dalam pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam rombakan Kabinet pertama Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Januari 2004.

Tidak sampai dua bulan kemudian, beliau dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta diberi tanggungjawab untuk menjayakan Program Angkasawan Negara bagi menghantar seorang rakyat Malaysia ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa dengan kapal angkasa Soyuz TMA-11.

Program yang diumumkan secara rasmi oleh Dr Mahathir pada 2003 itu merupakan program bersama antara Malaysia dan Persekutuan Rusia di bawah program perjanjian timbal balas kerajaan dengan kerajaan melalui pembelian jet pejuang Sukhoi SU-30MKM untuk Tentera Udara Diraja Malaysia.

Misi angkasa lepas pertama Malaysia itu terlaksana dengan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor menjadi rakyat Malaysia pertama meneroka angkasa lepas pada 10 Oktober 2007.

Pada 2009, Jamaluddin dilantik sebagai Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat bertaraf menteri.

Ketika menyandang jawatan itu, beliau memanfaatkan teknologi terkini untuk mendekatkan diri dengan penduduk di kawasan Parlimen yang diwakilinya, walaupun berada jauh di perantauan.

Pada satu majlis di Rompin, Jamaluddin merasmikan program bersama rakyat melalui sidang video dari Amerika Syarikat

Semasa betugas selama empat tahun di Washington, beliau berjaya meletakkan hubungan Malaysia-Amerika Syarikat di peringkat paling tinggi dalam sejarah negara ini.

Sebagai duta khas Malaysia di Amerika Syarikat pula, Jamaluddin berusaha gigih untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara dan merintis jalan bagi lawatan Obama ke Malaysia tahun lepas.

Lawatan Obama itu merupakan kunjungan pertama presiden Amerika Syarikat dalam tempoh 48 tahun ke negara ini selepas lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.

Dilahirkan di Pekan, Pahang pada 25 Mei 1951, Jamaluddin meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, serta tiga anak iaitu dua perempuan dan seorang lelaki.

Sumber : http : //www.mstar,com,my/