Khamis, 2 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : Kerajaan setuju taja pelajar 9A+

Oleh Lum Chee Hong

KUALA LUMPUR: Kabinet semalam bersetuju menghantar 86 pelajar cemerlang 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), selepas gagal memperoleh tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Selain itu, kursus yang ditawarkan kepada pelajar mengikut bidang yang dipohon mereka manakala pelajar yang mendapat 8A+ ditawar ke kolej matrikulasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang turut dihadirinya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

"Kerajaan menawarkan kursus di IPTS berdasarkan kepada bidang yang dipohon dengan kos tajaan RM21.6 juta, berbanding RM52.1 juta jika mereka mengikuti Program Ijazah Luar Negara (PILN),” katanya pada sidang media di Parlimen semalam.

Daripada jumlah itu, seorang pelajar memohon kursus pergigian Universiti AIMST di Bedong; perubatan Universiti Monash (50); Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) (18); Royal College Medicine Perak (1); kejuruteraan di Monash University Sunway (7); Universiti Teknologi Petronas (12) dan Universiti Multimedia (MMU) (13).

Selain itu, dua pelajar di Monash University Sunway bagi bidang sains; ekonomi di MMU (2); perakaunan di MMU (2); bioteknologi di Monash University Sunway (1); farmasi di Universiti Taylor’s (11); pengurusan perniagaan di University of Nottingham (1).

Nazri berkata, Kabinet akan mengkaji semula dasar penyampaian pembiayaan biasiswa JPA pada tahun depan yang akan diumumkan selepas perbincangan Kabinet. “Kita akan maklumkan perkara itu pada tahun ini, ” katanya.

Selain itu, katanya, beliau akan bermesyuarat dengan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) pada Isnin ini, bagi menyenaraikan pelajar bukan kategori 9A+ dan 8A+ berikutan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menawarkan sekurang-kurangnya 500 tajaan di dalam negara.

Mengulas mengenai pemegang biasiswa yang tidak pulang ke negara ini, katanya, Pejabat Peguam Negara diarahkan untuk menyaman mereka, bagi mendapatkan semula wang tajaan itu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/