Jumaat, 19 Julai 2013

ISU SOSIAL : Usah ambil pembantu rumah

Menghantar anak ke Taska alternatif  terbaik pasangan kurang berkemampuan.

Oleh :  SHAHREN YUSRI

BARU-BARU ini, ramai yang terkejut dengan pengumuman kos pengambilan pembantu rumah warga Indonesia dinaikkan kepada RM8,000 daripada caj RM4,511 yang dikenakan sebelum ini.

Dalam hal ini golongan yang pening kepala ialah pasangan suami isteri yang bekerja dan mempunyai anak kecil. Ini kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada amah untuk menjaga anak mereka sambil melakukan kerja sampingan seperti mengemas rumah, memasak dan mencuci pakaian sepanjang ketiadaan mereka di rumah.

Ada cakap-cakap mengatakan disebabkan perkara ini ramai golongan isteri yang berstatus ibu terutamanya yang mempunyai anak kecil mahu berhenti kerja untuk menjaga anak-anak sambil menguruskan rumah tangga.

Tetapi bagi pasangan yang berpendapatan rendah, sekiranya si isteri berhenti kerja, ia akan mendatangkan masalah kepada pasangan tersebut kerana mereka memerlukan antara satu sama lain untuk menampung keluarga.

Inilah dilema yang dihadapi oleh pasangan suami isteri yang hidup bergantung dengan amah apabila kos pengambilan tersebut dinaikkan.

Bagaimanapun, golongan tersebut disarankan supaya tidak pening-pening kepala dan mengambil keputusan terburu-buru seperti berhenti kerja. Kenapa? Sebab ada jalan alternatif yang boleh difikirkan untuk mengatasi masalah tersebut.

Caranya adalah menghantar anak ke Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska). Ia bukanlah satu cadangan yang baru, tetapi boleh dipertimbangkan dalam keadaan sebegini.

Menariknya, mana-mana pasangan ibu bapa atau penjaga yang berpendapatan isi rumah perkapita RM500 dan ke bawah boleh memohon subsidi yuran pengasuhan kanak-kanak Taska untuk anak yang berusia di bawah empat tahun sebanyak RM150 hingga RM250 sebulan dan bagi kanak-kanak OKU sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui permohonan untuk mendapatkan subsidi yuran ini telah dibuka sejak April tahun ini untuk membantu golongan berpendapatan rendah bagi membiayai kos pengasuhan anak-anak di Taska swasta.

Bukan itu sahaja, bagi mengurangkan beban penjawat awam yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah pula, mereka berpeluang menikmati subsidi yuran pengasuhan sebanyak RM180 sebulan bagi setiap anak yang di hantar ke taska tempat kerja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata pemberian subsidi oleh kerajaan melalui kementerian yang diterajuinya itu secara tidak langsung membantu rakyat yang dibebani dengan kenaikan kos pengambilan amah.

"Dengan adanya subsidi ini, diharap beban rakyat akan berkurangan dan mereka mengambil peluang ini untuk menghantar anak-anak ke Taska tanpa perlu lagi menggunakan perkhidmatan pembantu rumah untuk menjaga anak-anak yang memerlukan kos yang tinggi," kata beliau.

Tambah Rohani, bagi mendapatkan subsidi ini pengusaha taska atau ibu bapa atau penjaga kanak-kanak boleh mengemukakan permohonan dengan mudahnya melalui cara memuat turun borang YP1 yang terdapat di laman sesawang JKM di www.jkm. gov.my.

Pada masa sama, Rohani berkata, menjelang hujung tahun ini kerajaan mensasarkan sebanyak 1,000 buah lagi Taska baharu didaftarkan dengan JKM bagi menampung bilangan kemasukan kanak-kanak ke Taska yang semakin meningkat.

Jelas beliau, ini merupakan inisiatif kerajaan di bawah Dasar Bajet 2013 dan Program Transformasi Kerajaan 2.0 (GTP 2.0).

"Melalui inisiatif ini, pengusaha Taska baharu yang berdaftar dengan JKM akan diberikan geran permulaan sebanyak RM3,000 bagi Taska di rumah dan RM10,000 hingga RM20,000 bagi Taska institusi yang dikendalikan oleh swasta sebagai insentif untuk membiayai kos operasi Taska berkenaan.

Selain itu, Rohani juga memberitahu cara yang paling penting untuk mengatasi masalah kenaikan kos pengambilan pembantu rumah ialah dengan menukar mindset masing-masing.

"Kita selalu berfikiran bahawa khidmat amah amat penting bagi menguruskan rumah tangga kita dan perkara ini menunjukkan kita terlalu bergantung kepada mereka sehingga mereka boleh demand harga jika ingin mengambil mereka bekerja.

"Apa kata ubah mindset kita dengan menganggap bahawa amah tidak penting dan berfikiran bahawa banyak lagi cara lain untuk bantu kita menguruskan rumah tangga dan menjaga anak-anak. Dengan cara ini, kita boleh mengelakkan beban daripada membayar kos pengambilan amah yang tinggi," jelas beliau.

PENULIS ialah Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Sumber : http : //www.utusan.com.my/