Ahad, 13 Mei 2012

ISU BAHASA : Sekolah aliran Inggeris



Oleh Nazmi Yaakub

 Agenda kelompok tertentu diteruskan dalam Dialog Pendidikan Nasional

ANEH apabila masih ada pihak yang berpandangan sekolah aliran Inggeris yang diwujudkan pada zaman kolonial sebagai jawapan kepada usaha memperkukuh bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia

Malah, kelompok itu sanggup menggunakan perbandingan yang salah dengan mengaitkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta agama sedangkan ia bukan saja dalam konteks yang salah, bahkan tidak bertepatan dengan sejarah.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan, berkata SJK Cina dan Tamil mewakili komponen rakyat Malaysia, manakala sekolah agama pula tidak wajar dipersoalkan kerana majoriti orang Melayu beragama Islam.

“Malah, sekolah agama di negara ini tidak mengetepikan dasar pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama berbanding sekolah aliran Inggeris yang dicadangkan lagi tidak diketahui apakah hala tujunya,” katanya kepada Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata kementeriannya masih mengumpulkan pandangan pihak berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan dalam memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negara, Senator Dr S Ramakrishnan yang bertanyakan mengapa kerajaan tidak boleh berbuat demikian sedangkan SJK Cina dan Tamil serta sekolah agama dibenarkan wujud bersama-sama sekolah kebangsaan.

Pada September tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan sekolah kerajaan aliran bahasa Inggeris tidak akan diwujudkan di negara ini kerana bertentangan dengan Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang termaktub dalam akta dan dasar yang jelas menyebut bahawa bahasa pengantar di sekolah kebangsaan ialah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.

“Tidak mungkin akan wujud sekolah (kerajaan) aliran bahasa Inggeris kecuali jika berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara,” katanya.

Mengulas cadangan pihak tertentu agar kerajaan menubuhkan sekolah dua aliran, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, beliau berkata, dalam aliran kebangsaan hanya aliran bahasa Melayu dibenarkan, tetapi sekolah swasta boleh memilih apa juga bahasa.

Dr Awang berpendapat, pihak berkenaan perlu sedar bahawa tindakan mewujudkan sekolah aliran Inggeris akan membina jurang besar antara masyarakat luar bandar dengan bandar, selain golongan pertengahan dengan bawahan.

“Jika cadangan ini dilaksanakan ia akan menjejaskan dasar bahasa kebangsaan yang secara langsung bertentangan dengan usaha yang sudah dilakukan pelbagai pihak termasuk DBP dalam memperteguh dasar bahasa kebangsaan.

“Anak yang dihantar ibu bapa ke sekolah Inggeris tidak akan mengutamakan bahan bacaan dalam bahasa Melayu dan saya yakin kesan besar sekolah Inggeris adalah melebarkan jurang perbezaan, sekali gus memperlihatkan kita tidak mempunyai dasar bahasa yang jelas,” tegasnya.

Pandangan Dr Awang turut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khir Ngadiron yang melihat cadangan mewujudkan sekolah aliran Inggeris sebagai satu ironis.

“Selepas kita berjaya meraih kemerdekaan dan melepasi laluan berliku serta merungkai kekusutan sehingga berjaya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan, tentulah tidak wajar untuk kita kembali ke era penjajahan.

“Sudah terbukti sekolah kebangsaan dengan bahasa pengantar bahasa Melayu boleh berfungsi sebagai sekolah yang baik dan bagus, tidak ada sebab untuk kita memberikan justifikasi untuk membuka ruang kepada sekolah aliran Inggeris,” katanya.

Mohd Khir turut menolak tanggapan yang menyamakan sekolah aliran Inggeris dengan kewujudan SJK Cina dan Tamil yang diasaskan sejak awal kemerdekaan atas persetujuan dan permuafakatan.

Alasan penubuhan sekolah Inggeris itu turut ditempelak Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong.

“SJK Cina dan India serta sekolah agama ada asasnya, iaitu mewakili kumpulan etnik di negara ini dengan orang Cina dan India mempunyai hak untuk menuntut pendidikan dalam bahasa ibunda, manakala orang Melayu Islam inginkan pendidikan agama yang lebih terarah.

“Namun, sekolah Inggeris tidak perlu wujud untuk memenuhi hasrat mana juga kelompok kerana tidak ada kumpulan etnik sedemikian,” katanya yang juga ahli panel Dialog Pendidikan Nasional.

Prof Teo menolak tanggapan keperluan sekolah Inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih meluas, sebaliknya menegaskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) berupaya memastikan dua bahasa itu diberi perhatian mengikut martabatnya.

“Pelaksanaan sekolah Inggeris tidak selari dengan nasionalisme Malaysia yang mengangkat bahasa sepunya, sekali gus boleh menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan negara.

“Ini kerana bahasa Inggeris mempunyai prestij, kuasa dan glamor yang cukup hebat sehingga kita lihat kekuasaan bahasa Inggeris meranapkan beberapa bahasa besar dan kecil di dunia khususnya di negara dunia ketiga,” katanya.

Justeru, beliau hairan apabila ada dalam kalangan bangsa Melayu sendiri yang mengutarakan cadangan penubuhan sekolah Inggeris termasuk dalam Dialog Pendidikan Nasional, sekali gus menganggap cadangan itu tidak mempunyai pandangan yang jauh.

Tidak hairanlah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, menyifatkan cadangan penubuhan sekolah aliran Inggeris sebagai tindakan balik ke belakang.

“Sepatutnya usaha ditumpukan untuk memperkasa sekolah kebangsaan yang juga bermakna memastikan dasar MBMMBI berjalan serentak sehingga tidak lagi memerlukan kewujudan sekolah aliran Inggeris.

“Kewujudannya juga bertentangan dengan falsafah pendidikan dan Akta Pendidikan Negara yang menegaskan alat pengajaran adalah bahasa Melayu,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Al FATIHAH - UCAPAN TAKZIAH KEPADA KELUARGA ALLAHYARHAM CIKGU ABD. RAZAK HASSAN


Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Cikgu Abdul Razak Hassan, rakan penulis blog Bahasa Melayu (http : //galusbm.blogspot.com/) yang sangat prolifik kerana telah kembali ke rahmatullah pada pukul 11.00 malam tadi (12 MEI 2012). Semoga rohnya dicucurkan rahmat oleh Allah s.w.t. dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin - Al Fatihah.

ISU SUKAN : Malaysia juara Piala Remaja Asia tewaskan Pakistan 2-1



KUALA LUMPUR 13 Mei - Sebentar tadi pasukan hoki remaja Malaysia telah melakar sejarah apabila muncul juara hoki Piala Remaja Asia selepas menewaskan Pakistan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka  malam ini. 

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Penyakit Tidak Berjangkit Ancaman Kesihatan Baru Di Malaysia


PUTRAJAYA: Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti, darah tinggi dan diabetes kini merupakan ancaman kesihatan baru di negara ini dengan jumlah pesakitnya meningkat setiap tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun lepas mendapati kira-kira 5.8 juta rakyat Malaysia menghidap darah tinggi, 2.5 juta mengalami masalah obesiti dan 2.6 juta menghidap diabetes.

"Situasi NCD di negara ini amat merunsingkan. Apa yang membimbangkan ialah masih ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar bahawa mereka telah menghidap NCD dan ramai lagi tidak sedar mengenai risiko penyakit ini dan menganggap ia perkara remeh," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Terdahulu itu, Dr Hasan merasmikan Kem Kesedaran Kesihatan (3K) anjuran Kelab Lembaga Jururawat Kuala Lumpur di Kompleks Kejiranan, Presint 11 di sini Ahad.

Tinjauan NHMS pada tahun lepas menunjukkan penyakit diabetes meningkat 15.2 peratus berbanding 11.6 peratus pada tahun 2006, darah tinggi di kalangan dewasa berumur 30 tahun meningkat dari 32.2 peratus kepada 32.7 peratus bagi tempoh yang sama.

Tinjauan itu juga menunjukkan obesiti meningkat tiga kali ganda iaitu dari 4.4 peratus pada tahun 1996 kepada 15.1 peratus tahun lepas manakala kelaziman merokok turut meningkat kepada 24.7 peratus berbanding 21.5 peratus tempoh yang sama.

Dr Hasan berkata, kementerian mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kempen kesedaran di 88 lokasi di seluruh negara untuk memastikan rakyat mendapat pendedahan bagi mengenal pasti jenis penyakit yang dihidapi.

Selain itu, beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan juga akan menjalankan aktiviti yang sama di lokasi terpilih untuk mendapatkan pendedahan dan rawatan awal.

Dr Hasan berkata, punca utama seseorang menghidap NCD ialah masyarakat kini mengamalkan amalan hidup dan pemakanan tidak sihat serta kurang bersenam.

Selain itu, beliau berkata, tinjauan NHMS mendapati ramai rakyat Malaysia tidak melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala.

"Individu yang menghidap NCD tidak mengalami sebarang gejala dan kadang-kalaia hanya dapat dikesan selepas tujuh hingga 10 tahun.

"Sehubungan itu, kementerian menyarankan rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas menjalani ujian saringan faktor risiko NCD setiap tahun untuk memastikan tahap kesihatan sentiasa berada dalam keadaan yang baik," katanya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : PEMANDU MALAYSIA PERLU UBAH SIKAP


KUALA LUMPUR : Sikap pengguna jalan raya di negara ini yang tidak sabar, kelam-kabut, suka memandu laju dan menukar lorong dengan sesuka hati, perlu diubah untuk mengurangkan kemalangan.

Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kempen keselamatan jalan raya memang perlu diadakan, tetapi ia tidak akan berhasil selagi pengguna tidak mematuhi perkara asas berkaitan keselamatan dan sikap berhemah serta tidak mengubah sikap angkuh dan tidak bertanggungjawab masing-masing ketika  di jalan raya.

"Mereka sedar mengenai bahaya di jalan raya, tetapi reaksi mereka berubah apabila mereka memandu, dan membahayakan nyawa sendiri serta nyawa orang lain apabila mereka menganggap jalan dan lebuh raya sebagai  trek perlumbaan Formula Satu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata, Malaysia mengalami kerugian lebih kurang RM9 bilion setahun akibat kemalangan jalan raya melalui perbelanjaan untuk membaiki kerosakan, membayar insurans dan bil perubatan.

"Kajian menunjukkan lebih separuh daripada kemalangan jalan raya membabitkan mereka yang berusia antara 18 dan 40 tahun, yang juga aset penting negara," katanya.

Lee berkata, pada 2010, 414,421 kes kemalangan jalan raya dilaporkan, berbanding 397,330 pada tahun sebelumnya, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus. Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pula meningkat dua peratus kepada 6,872 pada 2010 daripada 6,745 pada 2009.

Katanya, kemalangan kenderaan bermotor adalah kes tertinggi berkaitan kemalangan dan kematian berkaitan kerja.

"Masalahnya, ada orang yang tidak pernah mengambil pengajaran daripada gambar-gambar mengerikan mengenai  kenderaan yang remuk, mayat bergelimpangan, mangsa yang mengerang kesakitan dan kepiluan yang dialami oleh keluarga mereka," katanya. - BERNAMA