Selasa, 26 Julai 2011

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pengambilan Pelajar Ke IPTA Berasaskan 90% Akademik & 10% Kokurikulum

PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan calon-calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf dengannya ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Program Peringkat Ijazah Pertama adalah berasaskan prinsip meritokrasi.

Ia dilakukan dengan mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum untuk menentukan nilai merit seseorang calon.

Dasar ini, kata Khaled, bertujuan bagi meningkatkan peluang yang adil dan daya saing yang sihat kepada para pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.

“Pelaksanaan dasar mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum telah dikuatkuasakan mulai sesi akademik 2006/2007 lagi. Usaha penyebar luasan maklumat mengenai dasar ini melalui taklimat kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah serta pelaksanaan Karnival Pengajian Tinggi Negara(KPTN) di seluruh negara sejak tahun 2005 turut kita lakukan,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Selasa.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) jelas Khaled prihatin terhadap masa depan pelajar bagi memenuhi cita-cita dan impian hidup untuk berjaya.

“Pemilihan program pengajian yang tepat mengikut cita-cita, minat dan hasrat pelajar, ibu bapa dan masyarakat mestilah seiring dengan pencapaian akademik serta kokurikulum. Oleh yang demikian KPT melaksanakan prinsip meritokrasi yang mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum.

“Pemohon juga perlu memenuhi Syarat Am, Syarat Khas Program dan kriteria pemilihan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan. Pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA adalah berasaskan pilihan pelajar serta bilangan tempat yang disediakan mengikut program pengajian di IPTA,” ujarnya.

Tambah beliau, kejayaan calon untuk memperoleh tawaran tempat adalah bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian di IPTA yang dipohon.

Katanya, jika merit mereka tidak begitu tinggi dan memohon lapan (8) pilihan dalam program pengajian kompetitif, kemungkinan besar mereka tidak terpilih untuk tawaran program pengajian yang dipohon itu.

“Begitu juga jika mereka memohon hanya di IPTA yang popular, mereka mungkin akan menghadapi persaingan yang tinggi dan akhirnya tidak mendapat apa-apa tawaran daripada IPTA berkenaan.

“Namun begitu, prosedur permohonan membenarkan calon menyatakan persetujuan untuk memilih sama ada bersetuju atau tidak untuk menerima tawaran selain daripada lapan (8) pilihan program pengajian yang dimohon.

"Jika calon ada menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran selain daripada lapan (8) pilihan semasa mengemukakan permohonan, maka calon akan dipertimbangkan ke program pengajian di IPTA yang masih ada kekosongan selaras dengan bidang pengajian yang dipohon tanpa mengira IPTA pilihan,” jelas beliau.

Justeru itu, tambah Khaled, bagi calon yang memperoleh merit yang tinggi tetapi tidak mendapat tempat, pihak UPU akan menawarkan program pengajian di luar pilihan calon yang mirip dengan pilihan mereka di IPTA yang terdapat kekosongan tempat.

“Bagaimanapun, jika calon memilih tidak bersetuju, pihak KPT tidak akan mempertimbangkan sekiranya masih ada kekosongan pada program pengajian yang lain.

“Berdasarkan rekod permohonan yang diterima oleh UPU bagi Sesi Akademik 2011/2012, sejumlah 4,436 (8.3%) dari 53,216 pemohon dari Lepasan STPM/Setaraf yang layak telah menyatakan ‘TIDAK SETUJU” menerima tawaran di luar lapan (8) pilihan program pengajian yang telah dimohon.

“Sehubungan itu, semua calon ini tidak akan dipertimbangkan tawaran ke program pengajian lain walaupun layak kerana menghormati keputusan pemohon,” katanya lagi.

Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat yang berlaku selepas pendaftaran pelajar baharu pada awal September 2011.

Semua calon yang mengemukakan rayuan akan dipertimbangkan berdasarkan kekosongan tempat bagi program pengajian yang ada sahaja.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU KESIHATAN : Fahami Dan Atasi Kemurungan Selepas Bersalin

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

Bahagian dua daripada rencana tiga siri mengenai kemurungan

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Seperti masalah kemurungan biasa, - kemurungan selepas bersalin (PPD) boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan tidak terbatas kepada mereka yang mempunyai sejarah masalah psikiatrik.

Ibu yang mudah bersalin atau mengalami kesukaran kelahiran, ibu dengan kelahiran sulung atau anak berikutnya, ibu bersuami atau ibu tunggal juga tidak terlepas dengan kebarangkalian mengidap PPD.

Penyakit ini tidak mengenal batasan usia, kaum, budaya, tahap pendidikan atau taraf sosial seseorang.

Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakar menjelaskan bahawa PPD merupakan masalah kesihatan yang normal dalam kalangan ibu baru bersalin di seluruh dunia.

"Ini berlaku kerana perubahan hormon dan bahan kimia dalam otak secara drastik semasa proses kelahiran bayi menyebabkan kebanyakan ibu mengalami perasaan sayu atau 'bayi blues' sejurus selepas melahirkan," katanya.

Meskipun menerima kehadiran orang baru dalam keluarga, kelahirannya boleh menyebabkan ibu mengalami gejala sayu, cemas, stres, sedih, sepi, penat dan mudah menangis.

"Keadaan itu akan hilang secara normal selepas tujuh hingga 10 hari, namun ia juga boleh menjadi semakin teruk hingga menyebabkan ibu mengalami kemurungan yang menjejaskan kesejahteraan ibu dan bayi," jelasnya.

Dr Abdul Kadir berkata tanpa rawatan sewajarnya, kemurungan itu boleh menghantui ibu sehingga berbulan-bulan.

"Hakikatnya ia adalah komplikasi utama kelahiran tetapi sering diketepikan seolah-olah ibu dilarang untuk merasa sayu semasa menyambut kelahiran bayi baru," katanya.

PEMENANG OSKAR

Pemenang Oskar Gywneth Paltrow pernah berkongsi pengalaman beliau menghadapi kemurungan selepas bersalin kepada pemberita tidak lama dulu.

"Saya berasa seperti zombie. Saya tidak tahu perasaan saya. Saya tidak faham emosi saya. Saya berasa asing. Saya rasa saya seorang ibu dan individu yang teruk," katanya menjelaskan perasaan beliau selepas bersalin.

Paltrow bukan satu-satunya artis terkenal yang menghadapi masalah ini, Brooke Shields dan Marie Osmond juga pernah berkongsi pengalaman buruk episod kemurungan PPD masing-masing.

Atas rasa tanggungjawab untuk berkongsi pengalaman dengan ibu-ibu lain, Shields telah menulis sebuah memoir bertajuk "Down Came the Rain-My Journey Through Postpartum Depression".

Di Malaysia, personaliti tv Wardina Safiyyah turut mengambil langkah berani apabila tampil berkongsi pengalaman episod kemurungan beliau. Wardina mengalami PPD yang amat teruk.

"Anda dianggap kena rasuk dengan makhluk halus atau gila meroyan sedangkan penyakit itu yang menyebabkan anda mudah menangis, panas baran, pelik dan bersikap tidak logik," terang beliau.

Episod PPD yang dialaminya selepas bersalinkan anak kedua membuatkan Wardina bertekad untuk mengkaji masalah itu termasuk menyertai kumpulan sokongan dalam talian untuk menimba ilmu mengenai PPD.

Kini, setiap kali ada rakan atau saudara mara yang baru bersalin, beliau akan cuba memberi sokongan moral kepada si ibu dengan harapan mereka tidak mengalami perkara yang pernah dialaminya.

Wardina yakin dengan pengetahuan dan sokongan daripada suami dan keluarga, ibu yang baru bersalin boleh dibantu dan tidak akan mengalami kemurungan buat kali kedua.

IBU PERLU MENJAGA DIRI

Bagi mengatasi masalah PPD, Abdul Kadir menyenaraikan beberapa langkah mudah yang perlu diambil ibu yang bakal melahirkan khususnya menjaga diri sendiri termasuk mengambil perhatian terhadap kesihatan dan keceriaan diri.

"Proses mengandung adalah sesuatu yang amat istimewa dan bayi adalah satu tanggungjawab besar, justeru para ibu harus mengutamakan kepentingan diri sendiri dan mendapatkan sebanyak mungkin sokongan yang diperlukan," jelas Dr Abdul Kadir.

Ujarnya membentuk ikatan dengan bayi seawal mungkin, seperti berbual, mengusap perut dan berzikir semasa mengandung akan membantu.

Beliau juga menasihatkan ibu melakukan adat tradisi selepas bersalin dengan serius terutama pantang memandangkan ia terbukti memberi banyak kebaikan kepada ibu dan bayi.

Paling penting, katanya, ibu yang baru bersalin tidak boleh dibiarkan bersendirian sepanjang tempoh pantang, memandangkan sokongan pasangan dan anggota keluarga memainkan peranan penting dalam keseimbangan emosi ibu.

"Semasa berpantang, ibu perlu menggunakan sepenuhnya khidmat bidan dan jururawat terlatih dengan mendapatkan nasihat, berkongsi masalah atau meluahkan perasaan.

"Paling penting setiap bakal ibu, pasangan dan anggota keluarga perlu tahu bahawa kemurungan selepas bersalin adalah penyakit yang boleh diubati. Justeru wajarlah semua pihak berkaitan belajar mengenai penyakit ini dan segera mengambil tindakan sekiranya terdapat tanda-tanda kemurungan," katanya.

Dr Abdul Kadir menasihatkan para ibu supaya mengikis rasa malu untuk bercakap dengan bidan, jururawat, doktor atau kaunselor sekiranya terasa murung.

"Dengan pendidikan dan sokongan yang betul, mereka yang pernah mengalami episod kemurungan tidak akan mendapatnya buat kali kedua," ujarnya.

-- BERNAMA

ISU SOSIAL : Hiburan berlebihan di sekeliling kita

Oleh Shamrahayu A Aziz

Undang-undang lama dilulus, dikuat kuasa tapi tak menampakkan kesan


SUDAH tentu istilah hiburan begitu sinonim dengan kita. Sebagai manusia biasa saya juga sukakan hiburan. Mungkin pembaca juga begitu. Umumnya hiburan dapat meringankan beban masalah atau tekanan yang dihadapi. Tetapi, seperti kata ramai, kita hendaklah bijak memilih jenis hiburan yang sesuai kerana ruang lingkup hiburan sangatlah besar.

Kita maklum bahawa kesan hiburan yang berlebihan amat negatif, bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga kepada agama, masyarakat dan negara. Bagi umat Islam sudah tentu ramai pembaca yang telah sedia maklum mengenai jenis hiburan yang dibolehkan menurut asas agama. Justeru, budaya berhibur hendaklah sentiasa selari dengan ajaran dan tuntutan agama.

Namun begitu, budaya berhibur secara berlebihan telah banyak berkembang di kalangan kita. Ramai yang sudah terlalai. Bagi tujuan menangani perkara itu kita terpaksa mewujudkan undang-undang tertentu supaya budaya berhibur dibuat di dalam keadaan berhemah dan tidak mendatangkan mudarat.


Menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan perkara berkaitan pelesenan tempat hiburan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Pembaca boleh merujuk kepada jadual kesembilan, senarai kedua, butiran 5(f) Perlembagaan. Ekoran daripada peruntukan Perlembagaan ini kebanyakan negeri, sejak dari awal 90-an, telah memperkenalkan undang-undang berkaitan hiburan bagi tujuan mengawal selia perkara berkaitan hiburan, terutamanya pelesenan. Kebanyakan enakmen di negeri berkenaan dinamakan sebagai Undang-Undang Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan.

Menurut undang-undang ini sebuah Jawatankuasa Pelesenan (di sesetengah negeri istilah Pegawai Pelesen digunakan) di bawah kerajaan negeri akan bertanggungjawab mengenai urusan pelesenan dalam pengendalian hiburan. Jawatankuasa itu mempunyai budi bicara penuh untuk mengeluarkan lesen atau meletakkan apa-apa syarat yang difikirkan patut.

Ini bermakna pihak Jawatankuasa Pelesenan mempunyai kuasa untuk meletakkan apa juga sekatan atau syarat, atas apa juga alasan, sama ada alasan agama atau keselamatan. Sementara itu pihak berkuasa negeri juga boleh mengarahkan Jawatankuasa Pelesenan dalam menjalankan kuasa dan budi bicara mereka.

Pihak jawatankuasa mempunyai budi bicara penuh untuk meminda atau mengubah apa-apa syarat berkaitan pelesenan. Selain daripada itu lesen hiburan bukanlah satu hak dan ia tertakluk kepada budi bicara pegawai pelesen. Lesen yang sudah diluluskan boleh ditarik balik pada bila-bila masa apabila berlakunya perlanggaran syarat atau sekatan.

Selain daripada lesen boleh ditarik balik, pihak yang melanggar syarat atau sekatan lesen juga boleh didakwa. Sementara itu pihak berkuasa negeri boleh memberi kata putus mengenai pelesenan sekiranya pihak yang tidak berpuas hati mengenai penarikan balik lesen membuat rayuan.

Dari segi penguatkuasaannya pula, undang-undang hiburan meletakkan tanggungjawab ke atas pihak polis. Pihak Jawatankuasa Pelesenan juga boleh memberikan kuasa berkaitan penguatkuasaan kepada mana-mana pegawai awam atau pekerja pihak berkuasa tempatan.

Mereka boleh memasuki dan menjalankan penyiasatan di tempat hiburan tanpa waran (tetapi hendaklah menunjukkan surat kuasa sekiranya diminta) bagi tujuan memastikan syarat atau sekatan lesen dipatuhi. Di dalam menjalankan kuasa ini pihak berkuasa boleh memeriksa seluruh tempat di dalam premis hiburan dan menghendaki sebarang dokumen dikemukakan. Ini menjadikan kuasa penguat kuasa begitu luas dan agak mudah secara teorinya.

Walaupun begitu, selepas sekian lama undang-undang itu diluluskan dan dikuatkuasa, kita masih melihat pelbagai hiburan yang berlebihan di sekeliling kita. Ia membimbangkan dan sebenarnya amat menakutkan. Umumnya undang-undang hiburan ini tidak begitu menyerlah keberkesanan dan pelaksanaannya.

Inilah antara punca yang menyebabkan budaya hiburan kita semakin liar dan seterusnya menjadi penyumbang kepada masalah sosial yang lebih serius. Saya tidak nafikan banyak tindakan yang telah diambil oleh pihak berkuasa dalam penguatkuasaan, tetapi ia seolah-olah tidak menampakkan kesan.

Untuk penambahbaikan, mungkin kita perlu selidiki kelemahan yang ada di dalam perundangan, termasuk sistem pelesenan, pemantauan dan penguatkuasaan dan seterusnya merancang pelan penguatkuasaan yang lebih strategik. Penguatkuasaan tidak semestinya atas dasar hiburan tertentu bertentangan dengan ajaran agama tertentu seperti agama Islam saja, tetapi secara keseluruhannya hiburan melampau tidak akan mendatangkan kebaikan. Ia hanya mengundang keburukan. Seperti mana yang kita maklum hiburan melampau sentiasa dikaitkan dengan perbuatan tidak baik dan membahayakan, seperti penggunaan arak, memandu di dalam keadaan mabuk, penggunaan dadah, pelacuran, homoseksual dan seumpamanya.

Saya tidak menuding jari kepada pihak penguat kuasa semata-mata. Individu yang sukakan hiburan ini adalah musuh utama. Oleh itu kesedaran individu atau setiap ahli masyarakat amatlah penting. Ini kerana penguatkuasaan tidak akan dapat menyelesaikan semua masalah.



Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/