Selasa, 26 Julai 2011

ISU KESIHATAN : Fahami Dan Atasi Kemurungan Selepas Bersalin

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

Bahagian dua daripada rencana tiga siri mengenai kemurungan

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Seperti masalah kemurungan biasa, - kemurungan selepas bersalin (PPD) boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan tidak terbatas kepada mereka yang mempunyai sejarah masalah psikiatrik.

Ibu yang mudah bersalin atau mengalami kesukaran kelahiran, ibu dengan kelahiran sulung atau anak berikutnya, ibu bersuami atau ibu tunggal juga tidak terlepas dengan kebarangkalian mengidap PPD.

Penyakit ini tidak mengenal batasan usia, kaum, budaya, tahap pendidikan atau taraf sosial seseorang.

Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakar menjelaskan bahawa PPD merupakan masalah kesihatan yang normal dalam kalangan ibu baru bersalin di seluruh dunia.

"Ini berlaku kerana perubahan hormon dan bahan kimia dalam otak secara drastik semasa proses kelahiran bayi menyebabkan kebanyakan ibu mengalami perasaan sayu atau 'bayi blues' sejurus selepas melahirkan," katanya.

Meskipun menerima kehadiran orang baru dalam keluarga, kelahirannya boleh menyebabkan ibu mengalami gejala sayu, cemas, stres, sedih, sepi, penat dan mudah menangis.

"Keadaan itu akan hilang secara normal selepas tujuh hingga 10 hari, namun ia juga boleh menjadi semakin teruk hingga menyebabkan ibu mengalami kemurungan yang menjejaskan kesejahteraan ibu dan bayi," jelasnya.

Dr Abdul Kadir berkata tanpa rawatan sewajarnya, kemurungan itu boleh menghantui ibu sehingga berbulan-bulan.

"Hakikatnya ia adalah komplikasi utama kelahiran tetapi sering diketepikan seolah-olah ibu dilarang untuk merasa sayu semasa menyambut kelahiran bayi baru," katanya.

PEMENANG OSKAR

Pemenang Oskar Gywneth Paltrow pernah berkongsi pengalaman beliau menghadapi kemurungan selepas bersalin kepada pemberita tidak lama dulu.

"Saya berasa seperti zombie. Saya tidak tahu perasaan saya. Saya tidak faham emosi saya. Saya berasa asing. Saya rasa saya seorang ibu dan individu yang teruk," katanya menjelaskan perasaan beliau selepas bersalin.

Paltrow bukan satu-satunya artis terkenal yang menghadapi masalah ini, Brooke Shields dan Marie Osmond juga pernah berkongsi pengalaman buruk episod kemurungan PPD masing-masing.

Atas rasa tanggungjawab untuk berkongsi pengalaman dengan ibu-ibu lain, Shields telah menulis sebuah memoir bertajuk "Down Came the Rain-My Journey Through Postpartum Depression".

Di Malaysia, personaliti tv Wardina Safiyyah turut mengambil langkah berani apabila tampil berkongsi pengalaman episod kemurungan beliau. Wardina mengalami PPD yang amat teruk.

"Anda dianggap kena rasuk dengan makhluk halus atau gila meroyan sedangkan penyakit itu yang menyebabkan anda mudah menangis, panas baran, pelik dan bersikap tidak logik," terang beliau.

Episod PPD yang dialaminya selepas bersalinkan anak kedua membuatkan Wardina bertekad untuk mengkaji masalah itu termasuk menyertai kumpulan sokongan dalam talian untuk menimba ilmu mengenai PPD.

Kini, setiap kali ada rakan atau saudara mara yang baru bersalin, beliau akan cuba memberi sokongan moral kepada si ibu dengan harapan mereka tidak mengalami perkara yang pernah dialaminya.

Wardina yakin dengan pengetahuan dan sokongan daripada suami dan keluarga, ibu yang baru bersalin boleh dibantu dan tidak akan mengalami kemurungan buat kali kedua.

IBU PERLU MENJAGA DIRI

Bagi mengatasi masalah PPD, Abdul Kadir menyenaraikan beberapa langkah mudah yang perlu diambil ibu yang bakal melahirkan khususnya menjaga diri sendiri termasuk mengambil perhatian terhadap kesihatan dan keceriaan diri.

"Proses mengandung adalah sesuatu yang amat istimewa dan bayi adalah satu tanggungjawab besar, justeru para ibu harus mengutamakan kepentingan diri sendiri dan mendapatkan sebanyak mungkin sokongan yang diperlukan," jelas Dr Abdul Kadir.

Ujarnya membentuk ikatan dengan bayi seawal mungkin, seperti berbual, mengusap perut dan berzikir semasa mengandung akan membantu.

Beliau juga menasihatkan ibu melakukan adat tradisi selepas bersalin dengan serius terutama pantang memandangkan ia terbukti memberi banyak kebaikan kepada ibu dan bayi.

Paling penting, katanya, ibu yang baru bersalin tidak boleh dibiarkan bersendirian sepanjang tempoh pantang, memandangkan sokongan pasangan dan anggota keluarga memainkan peranan penting dalam keseimbangan emosi ibu.

"Semasa berpantang, ibu perlu menggunakan sepenuhnya khidmat bidan dan jururawat terlatih dengan mendapatkan nasihat, berkongsi masalah atau meluahkan perasaan.

"Paling penting setiap bakal ibu, pasangan dan anggota keluarga perlu tahu bahawa kemurungan selepas bersalin adalah penyakit yang boleh diubati. Justeru wajarlah semua pihak berkaitan belajar mengenai penyakit ini dan segera mengambil tindakan sekiranya terdapat tanda-tanda kemurungan," katanya.

Dr Abdul Kadir menasihatkan para ibu supaya mengikis rasa malu untuk bercakap dengan bidan, jururawat, doktor atau kaunselor sekiranya terasa murung.

"Dengan pendidikan dan sokongan yang betul, mereka yang pernah mengalami episod kemurungan tidak akan mendapatnya buat kali kedua," ujarnya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan