Jumaat, 1 Februari 2013

Kematian wanita jadi misteri


Oleh : MOHD RIDZUAN ABU HASSAN

MARAN - Seorang warga emas ditemui mati di depan bilik air di rumahnya di Felda Ulu Jempol dekat sini dengan hampir keseluruhan badannya rentung kecuali bahagian kakinya.

Kematiannya itu menimbulkan misteri kerana siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku.

Ini kerana tiada kesan pergelutan atau tanda-tanda rumah mangsa dipecah masuk oleh penjenayah.

Malah, polis turut menafikan punca kebakaran itu adalah disebabkan terkena kejutan elektrik.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, mangsa berusia 72 tahun yang tinggal sendirian itu dijumpai oleh seorang pekerja kontrak kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Menurutnya, pekerja berusia 20-an itu melakukan kerja ubahsuai rumah mangsa dan hanya mahu menghantar bahan binaan memandangkan cuti kerja pada hari kejadian.

“Mangsa ditemui terbaring dalam keadaan terlentang di hadapan pintu bilik air dan rentung termasuk pakaian kecuali dari bahagian pergelangan kaki.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang motif dan petanda kepada unsur jenayah malah barang kemas berupa gelang serta rantai masih berada bersama mayat tersebut.

“Tiada kesan bongkar di dalam rumah dan pecah masuk termasuk di bilik tidur serta tiada tanda pergelutan di kawasan mayat ditemui,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, hanya langsir pintu bilik air di tempat mayat dijumpai sahaja yang terbakar sementara peralatan dan perkakas dapur lain tiada kesan terbakar.

Menurutnya, selain pasukan Forensik PDRM, pihaknya turut mendapatkan kerjasama daripada Forensik Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat serta khidmat Unit Anjing Pengesan K9 bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat terbakar yang dipercayai berlaku antara jam 7 hingga 8 malam pada hari kejadian berikutan lampu dapur dan televisyen masih terpasang,” katanya.

Apabila ditanya mengenai fenomena Spontaneous Human Combustion (SHC) iaitu manusia terbakar tiba-tiba, beliau memaklumkan bahawa fenomena itu turut diambil kira dalam siasatan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Terbakar secara spontan : Punca, teori masih samar


Oleh : LIZA HASAN

MANUSIA terbakar secara spontan atau Spontaneous Human Combustion (SHC) adalah kejadian terbakar yang berlaku secara tiba - tiba pada manusia. Kira-kira 200 kes dilaporkan di seluruh dunia dalam tempoh kira-kira 300 tahun.

Fenomena ini masih tidak diketahui penyebabnya, namun ia berkemungkinan disebabkan daripada pengeluaran gas luar biasa atau kandungan alkohol yang tinggi dalam darah manusia.

Penyiasatan dan teori forensik

Pada 1984, penyiasat sains Joe Nickell dan penganalisis forensik, John F Fischer melakukan penyelidikan tentang fenomena ini selama dua tahun dengan melibatkan 30 pakar sejarah. Sepanjang dua tahun itu, dua laporan diterbitkan dalam jurnal Persatuan Penyiasat Arson Antarabangsa.

Nickell dan Fischer membuat kajian terperinci terhadap kes SHC di abad- 18, 19 dan 20 yang menunjukkan bahawa, kebakaran kebiasaannya berpunca daripada sumber api seperti lilin, lampu dan alat pemanas badan. Kajian mendapati SHC disebabkan mangsa mabuk atau hilang upaya hingga menyebabkan mereka cuai bertindak balas terhadap kemalangan melibatkan punca kebakaran.

Seorang penyelidik dan penulis penyiasatan British UFO Research Association (BUFORA), Jenny Randles mendapati, mangsa terbakar hanya disedari oleh ahli keluarga selepas mangsa hangus keseluruhan badan kerana mangsa biasanya tidak sedar ketika kejadian itu dan gagal meminta tolong.

Statistik menunjukkan, 59 peratus kes melibatkan wanita dengan kejadian berlaku antara tengah malam dan 6 pagi.

Kebiasaannya dinding dan siling disalut jelaga berminyak berpunca daripada sisa lemak yang terbakar.

Kes pernah berlaku pada 1974 di mana seorang jurujual dari Georgia, Amerika Syarikat (AS), Jack Angel menjadi mangsa SHC. Kejadian berlaku apabila badannya mengalami kebakaran spontan hingga tangannya hangus dan terpaksa dipotong. Siasatan mendapati faktor persekitaran bukan punca kemalangan itu dan polis menutup kes terbabit kerana gagal mendapatkan gambaran jelas.

Mengikut teori Haystack, penternak sudah biasa dengan kebakaran semula jadi dari timbunan kompos.

Pada musim panas kejadian kebakaran secara spontan bukan sesuatu yang luar biasa kerana gabungan bahan mudah terbakar dan mikro-organisma seperti bakteria dan bahan kompos menjadi punca utama kejadian ini.

Teori ini merujuk kepada jenis bakteria yang sama terdapat dalam usus manusia dan dibantu oleh gas metana yang boleh menyebabkan seseorang itu terbakar.

Bagaimanapun, seorang penyiasat kebakaran Tony McMunn memberitahu, punca kebakaran spontan berbeza dengan kebakaran berpunca dari persekitaran.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa terperangkap dalam api akan membuatkan kulit mangsa kehitaman dan mengalami kerosakan sedikit di bawah permukaan tisu kulit, berbanding dengan kebakaran spontan, di mana semua bahagian akan hangus melainkan lengan atau kaki sahaja.

Pada 1899, dua beradik Amy Kirby, 4, dan Ann Kirby, 5, dari Sowerby Bridge, West Yorkshire, AS, juga menjadi mangsa SHC apabila salah seorang daripada mereka hangus terbakar di dalam bilik yang sama ketika sedang tidur.

Secara saintifiknya, badan manusia sukar terbakar kerana mengandungi 90 peratus kandungan air dan ketika mayat dibakar dalam upacara pengebumian kebiasaannya suhu untuk membakar mayat sekitar 500 darjah Celsius sejam dengan tulang masih kekal dan tidak menjadi abu.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Akta Kanak-Kanak 2001 : Penguatkuasaan Semula Tugas Dan Tanggungjawab Ibu Bapa Atau Penjaga?


Oleh : Jal Zabdi bin Mohd Yusoff & Zulazhar bin Tahir

Pengenalan

Kanak-kanak merupakan aset negara yang sangat penting kerana kepada merekalah segala harapan dan cita-cita negara disandarkan selaku pemimpin di masa hadapan. Kanak-kanak juga adalah golongan yang perlu diberi perlindungan kerana di dalam keadaan-keadaan tertentu, mereka mungkin terdedah kepada pelbagai bahaya sama ada mereka menjadi mangsa atau terlibat dengan perlakuan jenayah. Menyedari hakikat ini, maka pertimbangan utama di dalam segala tindakan yang menyentuh hal ehwal kanak-kanak adalah kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak berkenaan. Ini boleh dilihat di dalam pelbagai undang-undang yang terdapat di negara ini. Walau bagaimanapun, permasalahan mengenai kanak-kanak masih terus berlaku di merata tempat sama ada di dalam atau luar negara. Dalam hal ini kita sering mendengar atau membaca bahawa terdapat kanak-kanak yang diabaikan, ditinggalkan di perhentian bas, di bawah pokok, ada yang ditinggalkan di dalam kereta tanpa penjagaan sewajarnya. Kita juga mendengar bahawa perlakuan jenayah oleh kanak-kanak semakin menjadi-jadi. Jika dulunya perlakuan jenayah oleh kanak-kanak hanyalah jenayah yang kecil atau petty offences tetapi pada masa sekarang terdapat kanak-kanak yang berani melakukan rompakan bersenjata, merogol bahkan ada yang berani membunuh.

Persoalannya sekarang ialah siapakah yang harus dipersalahkan jika perkara ini berlaku kepada kanak-kanak di negara ini? Apa yang pasti ialah kanak-kanak ini tidak harus dipersalahkan seratus peratus kerana apa yang berlaku mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor yang di luar kawalan mereka. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang diketahui umum pihak yang terlibat secara langsung dengan pembesaran dan pembangunan diri kanak-kanak adalah ibu bapa atau penjaga. Ibu bapa atau penjaga telah diberi tugas dan tanggungjawab utama untuk membentuk keperibadian anak-anak kerana mereka mempunyai impak yang besar terhadap perkembangan anak-anak di dalam jagaan mereka. Ibu bapa atau penjaga adalah mereka yang saban hari bercampur gaul dan sentiasa berada di sisi anak-anak. Oleh itu, pasti banyak perkara yang dipelajari oleh anak-anak itu daripada orang yang menjaganya. Sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud:

Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan suci (menganut agama yang benar iaitu Islam), kedua orang tuanyalah yang kemudiannya menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.(Hadis riwayat Abu Hurairah r.a.)

Apa yang jelas daripada hadis di atas ialah ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu merupakan orang yang sangat penting dalam mencorakkan masa hadapan anak-anak di dalam jagaan mereka termasuklah menentukan keadaan persekitaran di mana kanak-kanak itu akan dibesarkan. Sehubungan dengan itu, di dalam artikel ini, penulis akan cuba mengupas isu yang mencakupi tugas dan peranan ibu bapa atau penjaga ke atas anak yang berada di bawah jagaan mereka.

Dalam kajian yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik seperti Diana Baumrind, SM Dornbusch dan Stanley Coopersmith didapati cara bagaimana seseorang kanak-kanak itu dibesarkan akan mempengaruhi personaliti dan pembangunan sahsiahnya.  Kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa atau penjaga mereka lebih berkecenderungan untuk terlibat dalam pelbagai masalah sosial. Menyedari hakikat bahawa keluarga merupakan satu institusi penting di dalam pembentukan masyarakat yang dinamik, maka kerajaan harus campur tangan dari awal apabila telah dikenal pasti bahawa terdapat kaitan di antara masalah sosial dan hubungan kekeluargaan. Campur tangan ini adalah penting untuk mengelak keruntuhan sesuatu masyarakat secara keseluruhan. Di dalam hal ini kerajaan boleh memainkan peranannya dengan menggubal undang-undang yang mengenakan kewajipan tertentu atas ibu bapa atau penjaga bagi menjaga kebajikan, kepentingan atau kesejahteraan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka.

Asas Undang-Undang Perlindungan Terhadap Kanak-Kanak Di Peringkat Antarabangsa

Kewujudan undang-undang yang memperuntukkan perlindungan terhadap kanak-kanak bukanlah satu perkara yang baru. Sejarah menunjukkan bahawa beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan England telah mempunyai undang-undang dan perkhidmatan kebajikan kanak-kanak bagi melindungi kanak-kanak yang didera atau diabaikan seawal abad ke 17 dan 18. Kebangkitan sentimen mengenai isu kanak-kanak yang didera telah memuncak kembali pada awal tahun 1960an berdasarkan penyelidikan yang telah dijalankan oleh Dr Henry Kempe iaitu seorang pakar kanak-kanak di Amerika Syarikat. Sejak dari itu, kesedaran dan usaha untuk menangani masalah mengenai kanak-kanak telah diperhebatkan.

Menyedari hakikat bahawa masa depan kanak-kanak semakin terancam, sama ada oleh perbuatan individu atau perbuatan mereka sendiri atau kegagalan pihak kerajaan mengambil langkah positif ke arah memastikan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak, maka satu inisiatif positif telah digerakkan oleh masyarakat antarabangsa untuk meletakkan kepentingan kanak-kanak di landasan yang sepatutnya. Inisiatif ini boleh dilihat di dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang telah diratifikasikan oleh hampir semua negara di dunia ini. Malaysia merupakan antara negara yang telah menandatangani dan meratifikasikan Konvensyen Hak Kanak-Kanak. Antara perkara penting di dalam Konvensyen ini ialah pengiktirafan terhadap hak kanak-kanak ke atas beberapa perkara asas iaitu hak untuk hidup, hak kepada pembangunan, hak untuk dilindungi daripada pengaruh yang merosakkan, penderaan dan eksploitasi dan akhir sekali hak untuk bersama dengan keluarga, kebudayaan dan kehidupan sosial.

Artikel 5 dan 19(1) Konvensyen Hak Kanak-Kanak berbunyi:

Artikel 5:
States Parties shall respect the responsibilities, rights and duties of parents or, where applicable, the members of the extended family or community as provided for by local custom, legal guardians or other persons legally responsible for the child, to provide, in a manner consistent with the evolving capacities of the child, appropriate direction and guidance in the exercise by the child of the rights recognized in the present Convention.

Artikel 19
1. States Parties shall take all appropriate legislative, administrative, social and educational measures to protect the child from all forms of physical or mental violence, injury or abuse, neglect or negligent treatment, maltreatment or exploitation, including sexual abuse, while in the care of parent(s), legal guardian(s) or any other person who has the care of the child.

Jika kita merujuk kepada artikel 5, adalah dipersetujui bahawa ibu bapa atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab di dalam pemeliharaan kanak-kanak dan ini harus dihormati oleh kerajaan sesebuah negara. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama Konvensyen ini melalui artikel 19 menekankan pentingnya kerajaan sesebuah negara untuk mengambil langkah-langkah perlu sama ada dalam bentuk perundangan, pentadbiran, langkah sosial serta ekonomi untuk melindungi kanak-kanak itu daripada penderaan oleh ibu bapa atau penjaga mereka.

Asas Undang-Undang Perlindungan Terhadap Kanak-Kanak di Malaysia

Undang-undang mengenai perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia juga boleh dilihat seawal tahun 1947 dengan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak pada 1991. Walau bagaimanapun, menyedari hakikat bahawa terdapat keperluan untuk mengubah hala tuju konsep perlindungan terhadap kanak-kanak dan juga mengakui bahawa perlunya pembaharuan di dalam undang-undang sejajar dengan perkembangan semasa, maka satu akta yang khusus dan komprehensif mengenai kanak-kanak telah digubal dan diluluskan iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 (selepas ini akan disebut Akta 611) dan telah berkuat kuasa pada 1 Ogos 2002. Tajuk panjang Akta 611 berbunyi:

Suatu Akta untuk menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya. Akta 611 merupakan satu Akta yang merangkumi pelbagai isu penting mengenai kanak-kanak. Antara perkara penting yang diketengahkan oleh Akta 611 adalah tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga dalam memelihara kesejahteraan kanak-kanak, tanggungjawab untuk memaklumkan kes-kes penderaan kanak-kanak, penubuhan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, prosedur perbicaraan, hukuman dan sebagainya.

Tanggungjawab Undang-Undang

Semua pihak mempunyai tanggungjawab dan tugas masing-masing sama ada tanggungjawab dari segi moral atau dari segi undang-undang. Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab ke atas anak-anak di bawah jagaan mereka. Selaras dengan itu, peruntukan-peruntukan yang mengenakan tugas dan tanggungjawab undang-undang kepada ibu bapa atau penjaga telah diwujudkan di dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan kemudiannya telah diperkemaskan di dalam Akta 611. Apa yang pasti, antara tujuan utama peruntukan-peruntukan seumpama ini dimasukkan adalah supaya ibu bapa atau penjaga akan lebih bertanggungjawab dan mengambil berat akan keadaan anak-anak mereka.

a) Tugas Untuk Memaklumkan

Akta 611 melalui seksyen 28(1) telah mengenakan tugas kepada ahli-ahli keluarga kanak-kanak untuk memaklumkan kepada Pelindung jika mereka mempunyai alasan-alasan yang munasabah bahawa kanak-kanak itu telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau terdedah, atau teraniaya dari segi seks. Rasional ahli-ahli keluarga kanak-kanak dikenakan tugas untuk memaklumkan tentang kemungkinan seseorang kanak-kanak itu didera adalah kerana mereka merupakan antara pihak yang dekat dengan kanak-kanak tersebut. Mereka ini juga berkemungkinan besar mengetahui kenapa seseorang kanak-kanak itu didera. Tambahan pula, perlakuan penderaan terhadap kanak-kanak atau keganasan rumah tangga merupakan jenayah belakang tabir yang berlaku jauh daripada pengetahuan pihak lain. Oleh itu, ahli-ahli keluarga kanak-kanak itu sebenarnya berada dalam kedudukan terbaik untuk mengetahui jika berlaku sebarang penderaan terhadap kanak-kanak yang mendiami rumah yang sama. Seksyen 2 Akta 611 mendefinisikan anggota keluarga sebagai "termasuklah ibu bapa atau penjaga atau seseorang anggota keluarga luas yang merupakan seorang anggota rumah". Seksyen 2 juga mendefinisikan anggota rumah sebagai seseorang yang pada lazimnya tinggal serumah dengan seorang kanak-kanak. Peruntukan ini amnya mensasarkan kepada sesebuah rumah tangga yang mempunyai ahli yang ramai atau di mana sesebuah extended family itu tinggal. Oleh itu, adalah diharapkan dengan pengenaan tugas ini sekurang-kurangnya masalah penderaan terhadap kanak-kanak boleh dikesan pada peringkat yang lebih awal dan tindakan sewajarnya boleh diambil.

Kegagalan mana-mana ahli keluarga itu untuk memaklumkan perlakuan penderaan terhadap kanak-kanak yang berlaku di dalam rumah yang didiaminya merupakan satu kesalahan. Namun begitu, jika disabitkan, ahli keluarga yang berkenaan boleh dilepaskan dengan bon atas syarat-syarat yang ditentukan oleh mahkamah. Hanya setelah ahli keluarga ini tidak mematuhi mana-mana syarat yang telah ditetapkan di dalam bon berkenaan, barulah mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

b) Kehadiran Ibu bapa atau Penjaga Semasa Perbicaraan

Seksyen 88(1) Akta 611 memperuntukkan bahawa jika seseorang kanak-kanak dituduh atas apa-apa kesalahan, maka Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah memerintahkan supaya ibu dan bapa kanak-kanak tersebut hadir ke mahkamah kecuali Mahkamah berpuashati bahawa adalah tidak munasabah untuk mengehendaki kehadiran mereka. Peruntukan mengehendaki ibu bapa atau penjaga hadir di mahkamah semasa perbicaraan adalah satu peruntukan mandatori. Hal ini telah dijelaskan di dalam kes Sia Yik Hung v Public Prosecutor. Di dalam kes ini, Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa kegagalan Majistret untuk memanggil ibu bapa ke mahkamah sedangkan ia diperlukan mengikut seksyen 9 Akta Mahkamah Juvana adalah suatu "failure of justice". Menurut Mahkamah, perkataan "and shall" adalah peruntukan mandatori.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu keluar daripada mahkamah. Keadaan ini mungkin berlaku apabila mahkamah berasa bahawa perintah sedemikian adalah perlu untuk kepentingan kanak-kanak itu. Bagi ibu bapa atau penjaga yang gagal untuk menghadirkan diri di Mahkamah Kanak-Kanak apabila mereka dikehendaki berbuat demikian ia merupakan satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM 5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

c) Penyempurnaan Bon Kelakuan Baik

Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman-hukuman tertentu apabila kesalahan telah dibuktikan terhadap seorang kanak-kanak tersebut. Sebagai kuasa tambahan, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu menyempurnakan suatu bon bagi kelakuan baik kanak-kanak itu. Mahkamah Kanak-Kanak juga mempunyai kuasa untuk mengenakan satu atau lebih daripada syarat-syarat tambahan di bawah kepada bon berkenaan dan antaranya ialah:

a) Bahawa ibu bapa atau penjaga dengan ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah melaporkan diri di jabatan kebajikan atau balai polis yang berhampiran dengan kediaman ibu bapa atau penjaga pada lat tempoh yang telah ditetapkan oleh mahkamah;
b) Bahawa ibu bapa atau penjaga dengan ditemani oleh kanak-kanak itu menghadiri bengkel interaktif yang dianjurkan oleh pusat-pusat tertentu;
c) Bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu berunding dengan guru, guru besar atau pengetua kanak-kanak itu sebulan sekali sepanjang tempoh bon jika kanak-kanak itu berada di sesuatu institusi pendidikan;
d) Jika kanak-kanak itu dihantar ke sekolah yang diluluskan atau Sekolah Henry Gurney, maka ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu hendaklah melawat kanak-kanak itu secara tetap sebagaimana yang ditentukan oleh mahkamah atau.
e) Atau apa-apa syarat lain yang difikirkan patut oleh mahkamah.

Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ketika menjalankan lawatan ke Sekolah Henry Gurney menunjukkan bahawa kurangnya ibu bapa atau penjaga melawat anak-anak mereka yang ditempatkan di sekolah berkenaan. Antara alasan yang telah diberikan ialah kekurangan wang dan jarak sekolah berkenaan yang jauh dari rumah mereka. Sehubungan dengan itu, pihak Suhakam telah mencadangkan supaya Jabatan Penjara Malaysia memberikan subsidi atau bantuan perjalanan kepada ibu bapa kanak-kanak ini dan juga menyediakan tempat penginapan kepada mereka yang datang daripada jauh. Ini adalah kerana sokongan dan dorongan daripada ahli-ahli keluarga adalah penting untuk memberangsangkan pemulihan penghuni-penghuni Sekolah Henry Gurney ini.

Menyedari hakikat bahawa kebanyakan ibu bapa atau penjaga tidak melawat anak mereka yang dihantar ke Sekolah Henry Gurney, maka kerajaan telah memutuskan untuk menjadikan lawatan sebagai satu tanggungjawab statutori ibu bapa atau penjaga. Lantaran daripada itu, ibu bapa atau penjaga yang gagal mematuhi mana-mana syarat yang telah dinyatakan di dalam seksyen 93(1) Akta 611, jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM 5,000.00 dan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh memerintahkan supaya jaminan dilucuthakkan. Walau bagaimanapun, hak untuk didengar hendaklah diberikan kepada ibu bapa atau penjaga sebelum perintah di bawah seksyen 93(1) Akta 611 boleh dibuat, melainkan dapat dibuktikan bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu setelah dikehendaki hadir, telah tidak berbuat demikian atau tidak ada atau tidak dapat ditemui dalam masa yang munasabah.

d) Pemeliharaan dan Penjagaan Yang Sepatutnya Oleh Ibu bapa atau Penjaga

Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mendapati mana-mana kanak-kanak yang dibawa ke hadapannya memerlukan pemeliharaan dan perlindungan, maka mahkamah antara lain boleh memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaganya menyempurnakan bon untuk menjalankan pemeliharaan dan penjagaan yang sepatutnya selama suatu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak. Peruntukan mengenai penyempurnaan bon ini adalah untuk memastikan kanak-kanak berkenaan bebas daripada sebarang bentuk penderaan. Ia juga merangkumi keadaan di mana terdapat pengabaian atau pertelingkahan antara kanak-kanak itu dengan ibu bapa atau penjaganya. Selain itu, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh membuat perintah supaya kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan itu diletakkan di bawah jagaan seseorang yang layak atau sesuai, atau membuat perintah supaya kanak-kanak itu diletakkan di bawah jagaan seorang Pelindung atau orang lain yang dilantik oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, atau membuat perintah meletakkan kanak-kanak berkenaan di tempat selamat, atau bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu bapa, mencari ibu bapa peliharaan yang didapati sesuai oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak itu.

Apabila Mahkamah Bagi Kanak-Kanak membuat perintah seperti yang dinyatakan di atas, beberapa arahan atau syarat sampingan boleh dibuat oleh mahkamah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak itu. Antara arahan atau syarat berkenaan adalah:

a) bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu yang ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah menghadiri bengkel interaktif yang dianjurkan di pusat-pusat yang ditetapkan yang ditubuhkan bagi maksud sedemikian;
b) jika kanak-kanak itu diletakkan di suatu tempat selamat, bahawa ibu bapa atau penjaganya hendaklah melawat kanak-kanak itu secara tetap sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak; atau
c) jika kanak-kanak itu berada di sesuatu institusi pendidikan, bahawa ibu bapa atau penjaganya hendaklah berunding dengan guru atau guru besar atau pengetua kanak-kanak itu sebulan sekali.

Kesimpulan yang dapat dibuat apabila perintah-perintah seperti di atas dikenakan teratas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu adalah supaya orang-orang yang sepatutnya rapat dengan kanak-kanak itu tidak menjauhkan diri dari kanak-kanak apabila kanak-kanak tersebut dihantar ke tempat-tempat tertentu. Kehadiran ibu bapa atau penjaga boleh menjadi perangsang kepada kanak-kanak itu untuk meneruskan kehidupan mereka kerana kehadiran ibu bapa atau penjaga itu menunjukkan bahawa mereka masih dihargai. Dalam kes Public Prosecutor v Nazarudin bin Ahmad & Ors, tertuduh ketiga telah membuat permohonan kepada mahkamah untuk ditempatkan di Penjara Taiping dan bukannya Penjara Kajang. Menurut Yang Arif Hakim, sungguhpun mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menentukan penjara manakah seseorang yang telah disabitkan dengan kesalahan akan ditempatkan, tetapi mengambil kira faktor bahawa umur tertuduh yang masih muda dan ahli keluarganya berada di Taiping, maka dicadangkan supaya dia di hantar ke Penjara Taiping. Menurut Yang Arif Hakim:

Visitation and constant contact by the family are crucial for a person of such young age serving a prison sentence. A term of imprisonment in such a situation without constant family contacts may have the adverse social problem of making a person of such youth and immaturity become a hard core criminal.

Sungguhpun kes di atas melibatkan pesalah muda yang dijatuhkan hukuman penjara tetapi mahkamah masih berpendapat lawatan dan pertemuan yang berterusan oleh ahli keluarga adalah sangat perlu kepada pesalah muda yang sedang menjalani hukuman penjara. Dari segi analogi, perkara yang sama juga diperlukan apabila seseorang kanak-kanak itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney atau Pusat Pemulihan iaitu lawatan dan perhubungan yang berterusan dengan ahli keluarga. Menurut Profesor Chiam Heng Keng:

The importance of imparting to children the message that adults care and desire to be of assistance will go a long way in reducing incidence of juvenile delinquency. Underlying every individual is the need to be loved, accepted and to belong. This need is so strong that if it is not possible to have this need be fulfilled in acceptable ways, the individual will seek its gratification by hook or by crook.

Our reaction to the juvenile delinquents should not be one of accusation. Instead, we should look for ways to restore them.

Pengenaan tanggungjawab undang-undang ini ke atas ibu bapa atau penjaga sebenarnya adalah untuk mengelak kanak-kanak ini kembali melakukan perbuatan jenayah apabila mereka dibebaskan kelak. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Profesor Abdul Hadi Zakaria, perlakuan kanak-kanak boleh diperbaiki dengan meningkatkan hubungan mereka dengan ahli keluarga yang lain.  Ini adalah perlu kerana apabila kanak-kanak yang ditahan dibebaskan kelak mereka mungkin mengalami masalah untuk menyesuaikan diri mereka kecuali masyarakat dapat menerima mereka. Berdasarkan kajian yang dijalankan di pusat akhlak, hanya 35.7 peratus sahaja gadis yang berada di pusat akhlak dilawati oleh keluarga mereka setiap bulan. Manakala 14.3 peratus yang lain dilawati sekali dalam dua hingga tiga bulan, 14.3 peratus berikutnya menerima lawatan sekali bagi setiap lima hingga lapan bulan manakala yang lain langsung tidak dilawati sepanjang tempoh mereka berada di pusat akhlak berkenaan.

Di samping itu, terdapat beberapa kategori pelatih yang tidak dibenarkan menerima pelawat. Walau bagaimanapun, perhubungan dengan ahli keluarga atau kawan masih boleh dibuat melalui surat. Berdasarkan kajian yang dijalankan, hanya 14.3 peratus pelatih menerima sekurang-kurangnya sepucuk surat pada setiap bulan. Manakala 48.9 peratus pelatih langsung tidak pernah menerima surat sepanjang mereka berada di pusat akhlak. Berdasarkan temu bual yang dijalankan, ada pelatih menyatakan bahawa ahli keluarga telah "membuang" mereka ataupun ahli keluarga berasa bahawa tanggungjawab mereka telah beralih kepada kerajaan apabila kanak-kanak berkenaan ditahan di pusat akhlak. Tanggapan seumpama ini adalah salah dan harus dikikis oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu. Tanggungjawab terhadap kanak-kanak berkenaan masih tidak berubah iaitu terletak di bahu ibu bapa atau penjaga. Peranan kerajaan atau agensi-agensi yang berkenaan adalah untuk membantu memulihkan kanak-kanak yang bermasalah dan ibu bapa atau penjaga perlu menyuntik sesuatu yang sangat penting iaitu kasih sayang dan perhatian keluarga. Apabila gandingan antara agensi-agensi  kerajaan dan ibu bapa atau penjaga ini berjalan dengan lancar, maka hasilnya sudah pasti akan lebih memuaskan daripada membiarkan kanak-kanak ini tanpa kasih sayang yang sewajarnya dari ahli keluarga.

Memandangkan bahawa tugas ini merupakan tanggungjawab undang-undang maka kegagalan mana-mana ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu untuk mematuhi arahan atau syarat yang telah dikenakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah satu kesalahan dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000.00 jika didapati bersalah.

e) Tanggungjawab Untuk Tidak Menganiaya, Mengabai, Membuang atau Mendedahkan Kanak-kanak

Penderaan terhadap kanak-kanak sama ada dari segi fizikal, emosi atau seksual bukanlah satu perkara yang baru di negara ini. Ada kanak-kanak yang dirogol oleh bapa kandung, bapa tiri, datuk, abang dan sebagainya. Ada kanak-kanak yang didera dengan pelbagai cara yang tidak pernah terfikir oleh manusia normal - penderaan ini boleh dilakukan oleh seorang ibu bapa atau penjaga ke atas anak-anak mereka. Lantaran itu, seksyen 31(1) Akta 611 memperuntukkan bahawa sekiranya mana-mana orang yang mempunyai tugas pemeliharaan seorang kanak-kanak, menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu atau menyebabkan atau membenarkan kanak-kanak itu dianiaya, diabai, dibuang atau didedah hingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi atau seksual, maka orang berkenaan telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 31 Akta 611. Akta 611 juga telah memperuntukkan bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu dianggap mengabaikan kanak-kanak itu jika tidak menyediakan kepada kanak-kanak berkenaan makanan, pakaian, rawatan perubatan atau pergigian, penginapan atau pemeliharaan yang mencukupi sekiranya beliau berupaya mempersediakan perkara-perkara di atas. Jika seseorang itu didapati bersalah di bawah seksyen 31 Akta 611, maka hukuman yang berat boleh dikenakan iaitu denda tidak melebihi RM 10,000.00 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya. Selain itu, mahkamah juga boleh memerintahkan orang berkenaan menyempurnakan bon kelakuan baik.

f) Kanak-Kanak Digunakan Sebagai Pengemis dan Lain-lain

Penggunaan kanak-kanak sebagai pengemis bukanlah satu fenomena yang baru kerana di banyak tempat, terutamanya di kawasan bandar, kanak-kanak digunakan untuk mengemis atau menjaja. Perkara yang sama juga berlaku di negara jiran di mana kanak-kanak digunakan untuk menjaja di tepi-tepi jalan tanpa menghiraukan bahaya yang datang. Terdapat keadaan di mana kanak-kanak telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi memungut derma atas pelbagai tujuan. Menyedari hakikat bahawa perlakuan ini adalah sangat berbahaya kepada keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak maka satu peruntukan yang khusus telah dimasukkan di dalam Akta 611. Seksyen 32 Akta 611 memperuntukkan bahawa mana-mana orang termasuk ibu bapa atau penjaga yang menyebabkan atau mengakibatkan mana-mana kanak-kanak itu mengemis atau meminta sedekah dengan cara menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa untuk jualan atau menjalankan perniagaan yang menyalahi undang-undang seperti loteri haram, perjudian atau lain-lain aktiviti yang memudaratkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak itu adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

g) Membiarkan Kanak-Kanak Tanpa Pengawasan

Terdapat banyak kes yang mengakibatkan bencana kepada kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di rumah atau di dalam kenderaan. Pada 18 April 2001, tiga orang kanak-kanak telah terkorban dalam satu kejadian kebakaran. Dalam kejadian ini, kanak-kanak berkenaan ditinggalkan tanpa pengawasan oleh pengasuh. Seorang kanak-kanak berusia lima tahun telah terbunuh apabila terjatuh daripada sebuah pangsapuri. Kanak-kanak ini dilaporkan keluar untuk mencari ibunya tetapi gagal. Manakala seorang kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di dalam kenderaan bapanya telah dilarikan oleh pencuri yang cuba mencuri kereta berkenaan. Begitu juga dengan kejadian di mana tiga orang kanak-kanak berserta ibu mereka yang sedang sarat mengandung mati di dalam kereta kerana terhidu gas karbon dioksida yang berlebihan. Di dalam kejadian berkenaan, bapa kanak-kanak berkenaan telah meninggalkan anak-anaknya dan juga isteri di dalam kereta dengan penghawa dingin yang terpasang selama beberapa jam.

Permasalahan ini cuba diratifikasikan dengan memperuntukkan bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang meninggalkan kanak-kanak itu tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan atau pemeliharaan yang berpatutan untuk satu tempoh yang lama, atau meninggalkan kanak-kanak berkenaan di dalam keadaan yang tidak berpatutan, melakukan kesalahan di bawah seksyen 33 Akta 611 dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000.00 atau di penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Peruntukan ini lebih menjurus ke arah mengelakkan kecuaian di pihak ibu bapa atau penjaga yang mengambil sikap kurang berhemat atau berhati-hati. Peruntukan ini bukan hanya untuk ibu bapa atau penjaga yang meninggalkan anak atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka di dalam kereta tetapi juga dihujahkan terpakai kepada mereka yang meninggalkan anak-anak tanpa penjagaan di dalam rumah.

h) Sumbangan Oleh Ibu bapa atau Penjaga

Tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga tidak hilang hanya kerana anak mereka telah diperintahkan supaya diletakkan di bawah jagaan orang yang layak, atau kerana kanak-kanak berkenaan dihantar ke asrama akhlak, sekolah yang diluluskan, Sekolah Henry Gurney, institusi atau pusat yang diluluskan atau diletakkan di tempat perlindungan. Mengikut seksyen 108 Akta 611, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang membuat perintah seperti di atas boleh mengeluarkan satu perintah sampingan iaitu mengarahkan ibu bapa atau penjaga membuat apa-apa sumbangan atau sumbangan bulanan setelah mengambil kira keadaan kemampuan ibu bapa atau penjaga. Perintah sumbangan seperti di dalam seksyen 108(1) Akta 611 juga hanya boleh dibuat setelah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak memberi peluang kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut peluang untuk didengar.

Perintah sumbangan ini juga boleh dihapuskan, diperbaharui atau diubah jika permohonan telah dibuat oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan, Pelindung atau pegawai akhlak. Sesuatu perintah sumbangan yang telah dibuat oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah berkuatkuasa selama kanak-kanak itu berada di bawah pemeliharaan seseorang yang layak. Bagi kanak-kanak yang berada di institusi yang diluluskan atau Sekolah Henry Gurney, perintah sumbangan ini akan terus berkuatkuasa sehingga kanak-kanak itu tidak lagi berada di bawah pemeliharaan orang yang sedang menjaga tempat perlindungan, asrama akhlak, sekolah diluluskan, Sekolah Henry Gurney atau institusi atau pusat yang diluluskan itu.

Apabila ibu bapa atau penjaga dengan sengaja mengengkari perintah sumbangan ini, maka Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh dengan waran mengarahkan supaya amaun yang tertunggak itu dilevi dengan cara yang diperuntukkan oleh undang-undang. Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh menjatuhkan hukuman penjara sebagai alternatif, iaitu satu bulan penjara bagi satu bulan sumbangan yang masih belum dibayar. Walau bagaimanapun, tempoh pemenjaraan berkenaan akan tamat apabila amaun sumbangan yang kena dibayar itu telah dijelaskan.

i) Pembayaran Pampasan Oleh Ibu bapa atau Penjaga

Jika seseorang kanak-kanak dituduh dengan kesalahan yang boleh dikenakan denda dan pampasan atau kos atau kedua-duanya, dan mahkamah berpendapat bahawa kes berkenaan boleh diselesaikan sebaik-baiknya dengan mengenakan kesemua atau mana-mana penalti di atas selain daripada hukuman lain, maka mahkamah boleh memerintahkan supaya denda yang dikenakan itu atau award pampasan atau kos itu dibayar oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan. Walau bagaimanapun, perintah ini tidak akan dibuat jika ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan tidak dapat ditemui dalam masa yang munasabah ataupun mereka tidak terlibat dalam membantu menyebabkan perlakuan kesalahan berkenaan kerana cuai dalam memelihara kanak-kanak berkenaan dengan sewajarnya. Di dalam kes Public Prosecutor v Saiful Afikin bin Mohd Firus, responden yang merupakan seorang pesalah muda telah mengaku salah di atas tuduhan mematikan orang dengan salah. Pada masa melakukan kesalahan berkenaan beliau berumur 16 tahun. Mahkamah Juvana yang mendengar kes berkenaan telah membuat beberapa perintah dan antaranya adalah supaya penjaga beliau membayar sebanyak RM 1,500.00 kepada keluarga mangsa sebagai pampasan. Seksyen 13 Akta Mahkamah Juvana memperuntukkan bahawa apabila mahkamah mendapati bahawa kesalahan terhadap kanak-kanak itu adalah terbukti, mahkamah boleh membuat beberapa arahan yang termasuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga membayar pampasan. Sebelum ibu bapa atau penjaga diarahkan untuk membayar pampasan, hak untuk didengar hendaklah diberikan. Walau bagaimanapun, di dalam kes ini, ibu kanak-kanak berkenaan tidak ditanya tentang pembayaran pampasan ini. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mahkamah Juvana telah melakukan satu kesilapan yang serius dan menjadikan arahan tersebut tidak sah.

Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mendapati kesalahan terhadap kanak-kanak berkenaan telah terbukti atau kanak-kanak itu mengakui fakta yang mewujudkan kesalahan, maka mahkamah boleh membuat perintah yang mengehendaki ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan membayar pampasan atau kos atau memberi jaminan bagi kelakuan baik kanak-kanak berkenaan. Apabila ibu bapa atau penjaga memberi jaminan berkelakuan baik bagi seorang kanak-kanak, maka salah satu syarat di dalam seksyen 93(1) Akta 611  boleh dikenakan ke atas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan. Kegagalan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan mematuhi syarat-syarat jaminan tersebut boleh menyebabkan jaminan yang diberikan itu dilucuthakkan.


Kesimpulan

Apa yang jelas daripada peruntukan-peruntukan yang telah dibincangkan di atas adalah bahawa tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tidak akan terlepas jika kanak-kanak di bawah jagaan mereka terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah. Kini ibu bapa atau penjaga diajak bersama-sama untuk membantu menangani masalah sosial yang dialami oleh kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Adalah tidak adil kepada semua pihak jika ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu bersikap "lepas tangan" selepas anak mereka didapati melakukan sesuatu kesalahan. Pada masa yang sama, ibu bapa atau penjaga juga harus menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin dan mengelak daripada sebarang perbuatan penderaan, pengabaian dan kecuaian yang boleh mengakibatkan penderitaan sama ada dari segi fizikal atau emosi kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Pengenaan tugas dan tanggungjawab melalui undang-undang ke atas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak merupakan satu kaedah untuk memastikan kanak-kanak yang telah terlibat dengan jenayah atau yang menjadi mangsa deraan tidak terus hanyut dan menderita. Walau bagaimanapun, menuding jari semata-mata tidak akan membantu, sebaliknya semua pihak harus bekerjasama bagi mengatasi segala masalah yang berkaitan dengan kanak-kanak. Tujuan dan matlamatnya adalah jelas iaitu supaya kanak-kanak di negara ini dapat hidup di dalam keadaan yang sempurna dan sejahtera.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya.

Sumber : http://www.commonlii.org/my/journals/JMCL/2005/6

ISU SOSIAL : Lalai sesaat sesal selamanya


Oleh : NOOR FAZRINA KAMAL

KEJAM dan tidak berperikemanusiaan atau tidak bertamadun. Itu yang boleh diungkap oleh masyarakat kepada penjenayah atau mereka yang sanggup melakukan penculikan dan serangan hingga membunuh mangsa.

Namun bagaimana pula dengan ibu bapa yang lalai terhadap keselamatan anak sendiri hingga mendedahkan anak-anak pada risiko yang tidak diingini?

Minggu lalu masyarakat dikejutkan dengan penemuan mayat kanak-kanak, William Yau Zhen Zhong, 6, yang dilaporkan hilang sejak 16 Januari lalu.

William hilang ketika ditinggalkan dalam kereta oleh ibu bapanya yang singgah sebentar di kedai menjual barangan elektrik di Putra Heights, Selangor.

Kanak-kanak tersebut dipercayai keluar dari kereta untuk mencari ibu bapanya.

Kehilangan William mendapat liputan dan perhatian meluas oleh media tempatan serta seluruh lapisan masyarakat kerana dikhuatiri diculik sehinggalah penemuan mayatnya di Sungai Sireh, Pelabuhan Klang.

Kes William adalah antara ratusan kes kanak-kanak hilang di negara ini yang sedikit sebanyak membabitkan kelalaian ibu bapa.

Malah beberapa hari selepas kehilangan William, negara sekali lagi digemparkan dengan kejadian seorang kanak-kanak di Terengganu yang dilarikan bersama kereta bapanya oleh penjenayah.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak malang tersebut yang sedang tidur ditinggalkan dalam kereta yang enjinnya masih hidup, sementara ibu bapanya keluar untuk ke tandas di sebuah stesen minyak.

Sememangnya malang tidak berbau dan tidak boleh diduga. Hanya dengan kealpaan sesaat boleh mengakibatkan penyesalan yang tidak berkesudahan.

Mengambil pengajaran daripada segala yang telah berlaku, ibu bapa jangan sesekali berkompromi soal keselamatan anak-anak. Berusaha dan ada cara untuk mendidik anak-anak agar sentiasa bijak menjaga keselamatan diri.

Perunding Keselamatan dan Pertahanan Diri Akademi KickStart dan The Green Hornet, Saiful Hamiruzzaman Mohd. Hazir atau lebih dikenali sebagai Master Saiful, berkata, sebagai ibu bapa mereka seharusnya memantau setiap pergerakan anak-anak tidak kira berapa pun usia mereka.

Katanya, jenayah boleh berlaku pada bila-bila masa dan jika kita leka ia memberi peluang kepada mereka yang berniat jahat.

"Penjenayah, musuh atau penyerang, motif mereka sebenarnya amat jelas. Penjenayah inginkan wang atau barang berharga, musuh pula akan mencederakan kerana berdendam, manakala penyerang melakukan serangan apabila berlaku provokasi.

"Ada juga penjenayah yang dikatakan by chance, nampak peluang dan terus bertindak.

"Sekali-sekala isu kehilangan kanak-kanak disiarkan di media, kita berasa sangat cemas kerana mungkin suatu hari nanti anak-anak kita pula yang akan menjadi mangsa," katanya.

"Hidup tanpa jaminan keselamatan sangat merisaukan kerana setiap masa kita perlu memikirkan diri sendiri dan ahli keluarga.

"Walaupun dikatakan Malaysia menduduki tangga ke-19 daripada 153 negara sebagai negara paling selamat menerusi Indeks Keamanan Global (GPI) 2011 lalu, kita mahu lihat keselamatan diri dan persekitaran rumah yang selamat dahulu.

"Apabila yakin bahawa diri dan rumah selamat, barulah kita yakin persekitaran lain turut selamat dan tidak lagi berasa bimbang untuk ke bandar atau kawasan-kawasan lain di seluruh negara.

"Kehilangan kanak-kanak dan remaja mesti ada sebab musababnya. Kita tidak mahu kejadian ini menjadi gangguan kepada persediaan ke arah sebuah negara Malaysia yang maju.

"Banyak tindakan yang boleh dimainkan oleh semua pihak untuk mengekang kejadian ini daripada terus membelenggu masyarakat dan menjejaskan kesejahteraan hidup," kata Saiful lagi.

Ibu bapa boleh didakwa

Menurut Master Saiful, ramai ibu bapa dan penjaga tidak sedar bahawa mereka boleh didakwa di bawah Akta Kanak-kanak 2001 .

Di bawah akta ini mereka boleh dihukum jika didapati cuai atau lalai hingga menyebabkan anak di bawah 18 tahun hilang atau diculik.

Peruntukan tersebut mengatakan ibu bapa yang melakukan perbuatan aniaya, abai, cuai, buang atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal, mental atau emosi boleh didakwa di mahkamah.

Kecuaian itu termasuk menyebabkan anak-anak mereka hilang atau diculik.

"Secara purata, sebanyak 3.5 kes kanak-kanak hilang dilaporkan dalam sehari dan hampir 80 peratus kes tersebut membabitkan kanak-kanak perempuan. Ada kanak-kanak yang hilang ini ditemui sama ada dalam keadaan selamat atau telah meninggal dunia.

"Kecekapan pihak polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa pihak dalam menyiasat serta menghebahkan maklumat tentang kes-kes ini banyak membantu ibu bapa mendapatkan semula anak mereka yang dilaporkan hilang.

"Statistik kehilangan kanak-kanak yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan separuh daripada kanak-kanak yang hilang telah dijumpai semula.

"Kelompok yang hilang ini dipecahkan kepada tiga iaitu berumur bawah 1 tahun atau 1 hingga 8 tahun, 9 hingga 12 tahun dan remaja berumur 13 hingga 17 tahun.

"Daripada maklumat PDRM, kes dari tahun 2011 meningkat hampir 100 peratus pada tahun 2012, ini sememangnya amat membimbangkan," jelasnya.

Tambah Master Saiful, beberapa faktor kehilangan telah dikenal pasti seperti pengaruh rakan sebaya, lari ikut kekasih, mencari kebebasan, keluarga kurang beri perhatian, tidak minat belajar dan mahu mencari pekerjaan.

Tidak kurang juga kes membabitkan anak dilarikan ibu atau bapa sendiri, lari kerana kemurungan atau tidak sihat (mental), menjadi mangsa penderaan, pencabulan dan rogol, kecewa dalam peperiksaan dan berselisih faham dengan keluarga.

Namun, perkara yang agak membimbangkan ialah kes kehilangan yang tidak diketahui puncanya dan berbagai-bagai andaian diberikan oleh masyarakat.

"Oleh sebab punca kehilangan datang daripada keluarga, sepatutnya ibu bapa menyedari bahawa keselamatan anak-anak mereka tidak boleh dikompromi.

"Dalam perspektif yang lebih luas, kajian menunjukkan kehilangan kanak-kanak ini dikatakan berpunca dari rumah," kata Saiful.

"Ibu dan bapa bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keselamatan anak-anak. Mereka perlu memperkemas sistem kekeluargaan supaya rumah tidak menjadi faktor penyebab kepada anak-anak untuk mencari ruang melarikan diri atau dilarikan orang.

"Guru dan sekolah turut berperanan besar dalam memberi nilai-nilai kekeluargaan melalui sistem pendidikan berterusan.

"Walaupun ada sesetengah pelajar dikategori bermasalah, sebenarnya jiwa mereka masih boleh dididik supaya sekurang-kurangnya memikirkan untung nasib sendiri pada masa depan," kata beliau.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU EKONOMI : Malaysia destinasi pelaburan


Oleh :  ROHAMI SHAFIE

Kebelakangan ini terdapat tanda-tanda yang amat memberangsangkan bahawa ekonomi negara pada kedudukan yang terbaik. Angka-angka yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa menggambarkan ekonomi negara di landasan yang kukuh meskipun krisis hutang membelenggu benua Eropah.

Angka-angka di Eropah pula menunjukkan Eropah dilanda krisis ekonomi dengan mencatatkan kadar penggangguran yang tinggi. Di Malaysia kadar penggangguran adalah amat rendah.

Ketika negara-negara Eropah tercari-cari ramuan untuk menangani krisis hutang, Malaysia pula semakin hari semakin diminati oleh pelabur-pelabur seluruh dunia. Pelabur-pelabur asing mula melihat Malaysia antara destinasi pelaburan terpenting di dunia.

Sebagai contoh, dua syarikat asing dari Jepun dan Jerman berminat untuk melabur sebanyak RM5.5 bilion di Malaysia dengan mengambil bahagian dalam Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Di samping itu, Malaysia juga merupakan destinasi terpilih untuk pembinaan Hotel Harrods pertama di dunia yang bertaraf tujuh bintang dengan kos pelaburan sebanyak RM2 bilion di Kuala Lumpur.

Syarikat yang akan melabur untuk pembinaan Hotel Harrods tersebut, Qatar Holding juga telah menyatakan minat untuk melabur sebanyak RM15.36 bilion bagi projek petrokimia di Pengerang, Johor.

Secara keseluruhan Qatar Holding bercadang untuk melabur sehingga RM30.7 bilion di Malaysia meliputi pelbagai sektor ekonomi.

Selain projek petrokimia di Pengerang, Johor juga akan mempunyai satu studio bertaraf dunia yang dikenali sebagai Pinewood Iskandar Malaysia Studios (Pinewood Studio) yang dijangka bakal menarik pelaburan sebanyak RM3.8 bilion termasuklah sebanyak RM1.9 bilion untuk disalurkan kepada rakyat tempatan. Rakyat tempatan akan mendapat manfaat daripada peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan.

Selain Johor dan Kuala Lumpur, negeri lain seperti Pahang akan menerima pelaburan dari negara China. Pelabur China menunjukkan minat untuk melabur di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) bernilai RM1.5 bilion di Gebeng, Kuantan, satu lagi pelaburan berimpak tinggi ke atas ekonomi Pahang secara khususnya dan ekonomi Malaysia secara umumnya.

Satu demi satu pelaburan asing masuk ke Malaysia membawa maksud Malaysia sentiasa diintai oleh pelabur-pelabur asing meskipun terdapat tanggapan salah seolah-olah Malaysia ini bukanlah sebuah negara yang amat sesuai untuk pelabur-pelabur asing, kononnya tidak selamat untuk diduduki.

Ironinya, pelabur-pelabur asing sendiri mengakui dan amat kagum dengan kestabilan politik dan keamanan negara. Umpamanya, menurut Naib Pengerusi Qatar Holding, Dr. Hussain Ali Al-Abdulla, kestabilan politik mewujudkan persekitaran pelaburan yang baik di Malaysia. Kestabilan dan keamanan yang dikecapi oleh Malaysia meskipun rakyatnya berbilang kaum telah memberi satu keyakinan penuh kepada pelabur-pelabur asing bahawa Malaysia adalah 'syurga' pelaburan di dunia.

Sejak Program Transformasi Ekonomi (ETP) diperkenalkan, dasar-dasar yang lebih mesra pelabur dilaksanakan secara holistik. Meskipun pada awalnya terdapat segelintir pihak yang tidak yakin bahawa ETP akan berjaya, namun ketika ini ETP telah berjaya bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi utama Malaysia.

Dasar-dasar dan polisi-polisi ekonomi yang lapuk ditukar kepada dasar yang lebih menarik sejajar dengan keadaan ekonomi semasa. Mengurus dan mentadbir urus ekonomi negara bukan sahaja memerlukan strategi yang ampuh tetapi juga dinamik.

Dalam memastikan ETP berjaya memberi manfaat kepada rakyat dan negara, pelaksanaannya adalah tonggak kejayaan. Sememangnya, komitmen penjawat awam untuk merealisasikan ETP amatlah dituntut. Setakat ini, penjawat awam telah menjalankan amanah yang diberikan dengan rasa bertanggungjawab untuk melihat ekonomi negara kekal mapan.

Sebagai destinasi pelaburan utama negara, nama Malaysia akan terkenal di seluruh dunia. Tarikan sebagai destinasi pelaburan utama di dunia membantu meningkatkan nama Malaysia dan seterusnya menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.

Dengan mempunyai hotel bertaraf tujuh bintang serta pelbagai kemudahan yang lain - tidak sebagaimana negara-negara lain,  Malaysia juga boleh melonjak kedudukan daripada tangga kesembilan ke kedudukan lebih baik lagi dari segi negara paling ramai dikunjungi pelancong di dunia.

Penjenamaan Malaysia di pentas dunia di samping promosi yang dijalankan secara berterusan oleh kerajaan dan pihak swasta membantu membawa lebih banyak lagi pelaburan ke Malaysia, selain meningkatkan jumlah pelancong datang ke negara kita.

Malangnya ketika usaha-usaha ini dijalankan secara berterusan, masih terdapat segelintir pihak yang tergamak memburuk-burukkan nama Malaysia di luar negara.

Tindakan segelintir pihak ini sebenarnya bukan sahaja merugikan negara tetapi juga merencatkan pencapaian ekonomi setiap rakyat Malaysia. Tiada gunanya memburuk-burukkan tanah air sendiri, walhal di sinilah tempat kelahiran mereka.

Bayangkan ketika pelabur-pelabur asing sendiri berasa amat selesa dengan Malaysia, segelintir pihak ini seolah-olah tidak berasa bersalah memburuk-burukkan nama Malaysia di negara asing.

Adalah lebih baik mereka ini melihat kejayaan Malaysia secara positif berbanding hanya melihat keburukan sahaja. Paling penting, setiap keburukan dan kelemahan itu lebih elok diperbetulkan berbanding sekadar menghentam semberono sehingga merugikan semua pihak.

Walau apa pun niat mereka, Malaysia, kini mempunyai imej dan reputasi yang baik untuk menggamit kedatangan pelabur dan pelancong asing. Seterusnya, menjadi destinasi utama pilihan mereka.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Inisiatif Baharu Mampu Lahir Saintis Tempatan


Langkah kerajaan menimbang pemberian potongan dan pelepasan cukai kepada ibu bapa sebagai insentif tambahan bagi mendorong anak-anak mereka belajar dalam aliran sains adalah pendekatan yang baik.

Malah, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelajar yang memilih aliran sains dicadangkan mendapat pelbagai keistimewaan lain seperti pemberian biasiswa atau derma siswa sebagai motivasi tambahan.

Langkah ini adalah sebagai inisiatif untuk meningkatkan jumlah pelajar sains yang dilaporkan masih rendah dan jauh daripada sasaran.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dilaporkan bercadang mening­katkan jumlah komposisi pelajar dalam aliran sains kepada 60 peratus dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang.

Kementerian juga menjangka melalui inisiatif baru itu, bilangan pelajar aliran sains boleh dipertingkatkan sekurang-kurangnya 10 peratus.

Kini, hanya 20 peratus daripada 472,541 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini terdiri daripada calon aliran sains. Statistik ini pasti­nya membimbangkan.

Kemerosotan jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran sains sepatutnya tidak berlaku kerana dasar pengambilan yang ditetap­kan adalah 60 peratus sains dan teknikal serta 40 peratus sastera atau nisbah 60:40.

Namun, kajian jawatankuasa kumpulan pakar dari wakil universiti dan ahli akademik me­ngesahkan memang berlaku kemerosotan dalam bilangan pelajar yang mengikuti aliran sains di negara ini.

Kajian itu mendapati kemerosotan itu berpunca daripada masalah tenaga pengajar, tiada dorongan atau perhatian ibu bapa dan masalah berkaitan kemudahan seperti makmal tidak leng­kap serta bilik darjah yang tidak dapat menampung bilangan pelajar yang besar.

Pendedahan laporan jawatankuasa ini cukup menarik dan amat signifikan untuk diteliti dan diberi perhatian khusus dan serius oleh semua pihak yang terbabit iaitu pihak kementerian, sekolah, guru dan ibu bapa.

Kita percaya bilangan guru yang ada masih mencukupi malah ia boleh ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

Namun, isu utama ialah kaedah pengajaran di bilik darjah. Seperti yang dilaporkan kaedah pengajaran sekarang lebih menitikberat­kan aspek teori yang menjadi batu penghalang untuk menarik minat pelajar mendekati subjek Sains.

Kita perlu sedar zaman berubah dengan teknologi semakin canggih malah perlu menerima hakikat pelajar sekolah zaman sekarang jauh lebih ke hadapan daripada guru dalam beberapa aspek pengetahuan teknologi terkini terutamanya gajet.

Justeru, memang wajar kementerian melihat dan menyemak semula subjek sains secara menyeluruh agar dapat diberi nafas baru supaya elemen amali diberi tumpuan.

Di samping itu, guru juga sentiasa perlu diberi latihan tambahan supaya bukan saja dapat mengemas kini dan memperlengkapkan diri dengan perkembangan sains dan teknologi terkini, tapi mempelbagaikan corak dan kaedah pengajaran di bilik darjah agar lebih kreatif dan inovatif.

Pelajar perlu ‘dipujuk’ ikut rentak dan cita rasa mereka sendiri supaya tertarik dan berebut untuk memasuki aliran sains dan bukannya dipaksa untuk memilih bidang sains. Dalam hal ini, kaedah pengajaran secara tradisional dan konvensional tidak lagi relevan.

Dalam pada itu, usaha memupuk minat terhadap bidang sains kepada anak-anak kita pastinya akan gagal jika ibu bapa tidak memainkan peranan.

Ibu bapa sewajarnya mendorong anak-anak mereka untuk mendekati bidang sains sejak kecil. Ketakutan mahupun fobia terhadap sains perlu dielakkan.

Pelbagai usaha boleh dilakukan untuk tujuan pendedahan serta untuk menarik minat mereka seperti pembelian lebih ba­nyak buku dan majalah sains, lawatan ke tempat mahupun pameran sains dengan kerap serta mendidik dan menerap­kan kepentingan dan kelebihan bidang sains.

Kita juga berharap agar isu kemudahan dan prasarana yang dibangkitkan seperti kemudahan makmal tidak lengkap serta keadaan bilik darjah yang tidak dapat menampung pertambahan bilangan pelajar sains wajar diberi perhatian serius oleh pihak kementerian juga sekolah.

Prasarana ini adalah perkara asas yang perlu ada dan wajib disediakan dulu andai kita mahu menarik lebih ramai lagi pelajar memilih bidang sains sebagai pilihan utama. Kita tidak mahu kekangan prasarana menjadi batu penghalang dalam usah meningkatkan bilangan pelajar sains.

Semua pihak perlu sedar negara perlukan pakar sains dan teknologi dari pelbagai bidang subkepakaran sains dan teknologi bagi terus memacu impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Kita bukan saja mahu maju dengan cara dan acuan kita sendiri tapi juga mahu maju dengan hasil kerja anak-anak tempatan.

Justeru, diharapkan KPM meneliti secara terperinci kesemua 15 cadangan yang dikemukakan jawatankuasa kerja terbabit dan melaksanakan inisiatif yang difikirkan sesuai demi mencapai hasrat meningkatkan lagi jumlah pelajar sains di negara kita.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

TERIMA KASIH SAKIT


Terima kasih sakit
kerana kau membuat aku teringat
betapa besarnya nikmat ketika sihat.

Terima kasih sakit
walaupun perit
yang bersalah bukan dirimu tapi diriku
yang terlupa terlalu mengikut nafsu
tidak menjaga kesihatan
tidak mengawal makanan
kerana selalu lupa selalu alpa
maka kau pun datang tanpa diundang.

Terima kasih sakit
kerana kedatanganmu
menyedarkan daku
betapa perlu  kuberingat
mengamal gaya hidup sihat
sebagaimana slogan
kesihatan itu kekayaan.

EHSAN JAMILY
Taman Desa Baru, Melaka.
30 Disember, 2007

HIKMAH DI SEBALIK SAKIT


Entri pada hari ini , saya catatkan sebagai nukilan  sebelum melelapkan mata dan sebagai peringatan kepada diri saya yang sudah  hampir seminggu diuji dengan gangguan  kesihatan (demam) yang seperti belum mahu surut. 

Sebagai hamba Allah, setiap yang berlaku kepada kita sudah tentu ada sebabnya.

Rasulullah  pernah bersabda, “Aku mengagumi seorang mukmin kerana selalu ada kebaikan dalam setiap urusannya. Jika ia mendapat kesenangan, ia bersyukur (kepada Allah) sehingga di dalamnya ada kebaikan. Jika ditimpa musibah, ia berserah diri (dan menempuhinya dengan sabar) bahawa di dalamnya ada kebaikan pula.” (HR Muslim)

Itulah gambaran seorang mukmin. Setiap aktiviti dalam kehidupannya  selalu mendatangkan kebaikan. Dalam hadis itu,  Rasulullah menjelaskan dua keadaan yang ada dalam diri manusia,  iaitu kesenangan dan kesedihan. Dua keadaan itu dapat membezakan  yang mana antara mereka termasuk dalam kalangan orang mukmin atau orang yang tidak beriman . Orang-orang mukmin selalu besyukur ketika memperoleh kesenangan dan selalu bersabar ketika  ditimpa  musibah.

Syukur ketika memperoleh  kebaikan atau kesenangan adalah sesuatu yang  mudah untuk dilakukan  tetapi sabar ketika ditimpa musibah adalah sesuatu sangat sulit untuk dilakukan. Hal itulah yang akan membezakan tingkatan  keimanan seseorang. Semakin besar  ujian yang diterima  dan dia dapat bersabar maka semakin tinggi  pula darjat seseorang di sisi Allah SWT.

Salah satu ujian kesabaran bagi seorang muslim adalah sakit. Sakit bagi seseorang memiliki banyak hikmah

Pernah diriwayatkan Rasulullah menjenguk Salman al-Farisi yang tengah berbaring sakit. Rasulullah bersabda. “Sesungguhnya ada tiga pahala yang menjadi kepunyaanmu di kala sakit. Engkau sedang mendapat peringatan daripada  Allah SWT, doamu dikabulkan-Nya, dan penyakit yang menimpamu akan menghapuskan dosa-dosamu.”

Rasulullah turut melarang untuk mencela penyakit. Ketika Ummu Saib sakit demam dan mencela penyakit yang menimpanya, Nabi bersabda. “Janganlah kamu mencela demam. Kerana sesungguhnya demam itu mengikis kesalahan anak cucu Adam sebagaimana bara api mengikis keburukan besi.” (HR. Muslim)

Sebab itu, apabila kita sakit maka kita perlu sentiasa ingat bahawa ada yang tersirat di sebalik sakit yang datang itu. Selain daripada Allah ingin menghapuskan dosa, sakit juga adalah peringatan yang datang daripada Allah kepada kita.

Hikmah Sakit

Dalam sebuah buku yang berjudul Yas ’alunaka fi al-Dinwa al-Hayat dan dikutip dalam Tabloid Syiar, Dr. Ahmad al-Syurbasi menulis ada lima hikmah daripada  sakit yang dialami manusia.

Pertama, sakit merupakan kesempatan untuk beristirahat.

Kecenderungan manusia saat sihat adalah memperlakukan tubuhnya laksana robot. Ia terus bekerja demi mengejar kenikmatan dan kesenangan materi tanpa henti dan tanpa memperhatikan kesehatan diri sendiri. Ia tidak menyedari bahwa otot-otot yang ada dalam tubuhnya memiliki keterbatasan. Maka ketika seseorang sakit, ia memperoleh kesempatan untuk beristirahat, sambil melakukan introspeksi dan berfikir untuk memperbaiki pola hidupnya setelah ia sembuh nanti.

Kedua, sakit merupakan pendidikan.

Ketika seseorang sakit parah, ia akan memahami betapa mahalnya nilai kesihatan. Ia pun rela mengeluarkan segala yang ia miliki demi kesembuhan penyakitnya.Ketika seseorang sakit, ia akan merasakan betapa nikmatnya selalu ditemani, dilayani, disediakan makanan, dan yang paling nikmat dihibur. Maka, setelah sembuh nanti, ia akan tahu apa yang harus ia lakukan ketika orang lain yang sakit.

Ketiga, sakit merupakan teguran atas kesombongan manusia.

Ketika sihat, manusia terkadang bertingkah seolah-olah dialah yang paling gagah, paling berkuasa dan paling berpengaruh. Tapi ketika sakit menderanya, segagah apapun menusia, sebesar apapun manusia dan sebesar apapun pengaruhnya, ia tidak dapat beranjak dari tempat tidurnya. Ketika itu, ia tidak lebih daripada  selonggok tulang dan darah yang dibungkus kulit.

Keempat, sakit merupakan kesempatan untuk bertaubat dan menghapus dosa.

Hal ini bukan hanya dilakukan oleh yang soleh, orang sejahat apapun ketika sakit parah tak bisa berbuat apa-apa. Tangannya tidak ringan lagi. Mulutnya tak mampu mencacimaki lagi. Yang ada hanyalah penyesalan dan penyeselan. Di samping itu, sakit yang dideritai manusia merupakan kesempatan untuk memohon ampun atas dosa-dosanya. Dalam hadis diterangkan. “Tidaklah seorang muslim tertimpa keletihan, sakit, kebingungan, kesedihan dan keruwetan hidup, atau bahkan tertusuk duri, kecuali Allah menghapus dosa-dosanya. (HR. Muttafaq Alaih).

Kelima, sakit merupakan kesempatan untuk memperbaiki hubungan keluarga dan sosial.

Ketika seseorang sakit, kerabat dekat akan semakin dekat, kerabat jauh akan menjadi dekat dan yang kenal akan semakin akrab. Ketika seorang anak sakit, orang tua akan semakin sayang dan memberikan perhatian terhadap anaknya. Sebaliknya, ketika orang tua sakit, sang anak akan semakin sayang dan hormat kepada orang tuanya.

Mudah-mudahan Allah sentiasa memberikan peringatannya kepada kita.