Rabu, 11 Mei 2011

ISU BAHASA : Atasi isu bahasa kebangsaan dengan serius

BELAKANGAN ini, pelbagai isu giat dibangkitkan berkenaan dengan bahasa kebangsaan. Daripada rancangan menghantar guru mengajar Bahasa Malaysia di luar negara hinggalah ke peminggiran bahasa Kebangsaan pada iklan dan sektor swasta serta ketandusan kefasihan pelakon bukan Melayu.

Saya sedih dan terkilan melihat ada pihak yang mempolitikkan segala yang berhubung isu bahasa kebangsaan.

Persoalannya, siapakah yang tidak terdaya menguasai Bahasa Malaysia? Saya sudah tidak larat lagi melayari laman agensi awam yang ghairah dengan Bahasa Melayu-ciplak.

Susun kata bagai diterjemah terus daripada bahasa Inggeris tanpa mengambil kira nahu bahasa Melayu. Sebagai keluaran sekolah Melayu dan kini bekerja sebagai penterjemah sambilan, bagi saya gelagat campur aduk ini amat tidak bertanggung-jawab dan menyinggung.

Sia-sia saya bertungkus-lumus memahirkan diri dengan bahasa Malaysia sedangkan kebanyakan masyarakat hari ini lebih selesa dengan perkataan seperti ‘integriti’, ‘informasi’, ‘kombinasi’, ‘sensitif’, berbanding ‘ketelusan’, ‘maklumat’, ‘gabungan’ atau ‘peka’. Mungkin benar ungkapan bahasa rasmi kini seumpama ‘sekerat ular, sekerat belut’.

Perlukah guru Bahasa Malaysia dipindah ke luar negara tetapi jurang tempatan belum lagi didekati? Siapakah yang meluluskan papan iklan?

Cepat sangat kita menuding jari kepada orang lain tanpa menilai diri sendiri. Mungkin inilah yang dikatakan, 'kuman di lautan nampak tetapi gajah di depan mata tidak'.

DOTTIE C,
Kuala Lumpur

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa Melayu mampu jadi bahasa perantara antarabangsa

ANTARA langkah boleh diambil untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperluaskan penggunaannya ialah dengan memperkenalkannya pada peringkat antarabangsa. Ia selaras dengan usaha dilakukan negara Eropah dan Asia dengan menggunakan bahasa rasmi tuan rumah pada persidangan yang dianjurkan tanpa menjejaskan kelancaran majlis berkenaan. Sidang dianjurkan itu tetap berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah kerana wakil negara asing boleh menggunakan alat bantuan penterjemahan bagi mendengar mesej disampaikan negara tuan rumah. Malah terdapat juga ucapan dasar pemimpin negara tertentu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disampaikan menggunakan bahasa kebangsaan mereka, dan ia berlangsung dengan lancar tanpa mendapat bantahan atau menjejaskan perjalanan forum antarabangsa itu. Menyedari hakikat itu, cadangan yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa acara peringkat antarabangsa dianjurkan di Malaysia mungkin dikendalikan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya bukan sesuatu yang janggal, malah ia selari dengan amalan negara lain sama ada di rantau ini mahupun rantau lain. Malah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, menyampaikan ucapan dasar pada Sidang Kemuncak ASEAN di Jakarta baru-baru ini dalam bahasa Indonesia tanpa sebarang masalah, walaupun dihadiri pemimpin pelbagai negara.

Bahasa Indonesia dan bahasa Melayu yang digunakan di negara ini adalah antara bahasa yang difahami oleh sebahagian besar penduduk di Asia Tenggara atau ASEAN termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan beberapa negara serantau lain. Seperti negara lain, pelaksanaannya dijangka tidak mendatangkan masalah besar dengan syarat segala kemudahan dan keperluan logistik disediakan. Ini termasuk menyediakan penterjemah yang berkemahiran tinggi dalam bahasa asing yang sering digunakan pada peringkat antarabangsa meliputi bahasa Inggeris, Perancis, Arab, China, India dan Sepanyol. Walaupun Malaysia adalah sebuah negara majmuk, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang dipelajari sejak dari sekolah rendah lagi dan sudah semestinya ia mampu menjadi bahasa perantara rasmi pada majlis kerajaan dan swasta. Kita berharap cadangan yang dikemukakan Muhyiddin itu akan mula dilaksanakan oleh kementerian dan jabatan kerajaan serta agensi di bawahnya dengan segera agar menjadi contoh kepada sektor swasta ketika menganjurkan seminar, persidangan dan mesyuarat sama ada peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Selaras dengan dasar itu, adalah wajar menteri dan pegawai tinggi kerajaan mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan pada sidang media dan majlis rasmi yang dihadiri mereka bagi menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : PM kongsi tip kesihatan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mendedahkan rahsia menjaga kesihatan ialah dengan meluangkan masa selama 30 minit untuk bersenam menggunakan mesin senaman sekurang-kurngnya dua kali seminggu.

Perdana Menteri berkata, biar sesibuk mana sekalipun, beliau akan cuba sedapat mungkin bagi mencari masa untuk bersenam.

"Ini bukan saja membantu saya untuk sentiasa cergas, tetapi juga memberi peluang kepada saya untuk melapangkan minda dan bersantai," katanya dalam laman blog beliau 1Malaysia.

Perdana Menteri berkata, ketika berinteraksi dengan rakyat, beliau sering ditanya bagaimana beliau mengimbangi antara tugas mentadbir negara dengan menjaga kesejahteraan diri.

Najib berkata, walaupun mempunyai jadual kerja yang ketat termasuk pada hujung minggu, beliau tetap mementingkan penjagaan kecergasan dan kesihatan diri supaya tugas beliau mentadbir negara tidak terganggu.

Perdana Menteri juga berkata, beliau mengawal pemakanan dengan makan mengikut masa, minum banyak air dan berhati-hati mengenai makanan yang diambil.

"Saya dapati langkah mudah ini memberi kesan positif terhadap tubuh dan minda saya. Di samping itu, saya sering menjalani pemeriksan tekanan darah.

"Malah, jika secara kebetulan menteri saya turut hadir ketika saya berjumpa doktor, saya akan minta mereka menjalani pemeriksaan darah juga," katanya.

Najib berkata, pertumbuhan pesat dan proses perbandaran mencetuskan isu baru berkaitan tubuh dan psikologi manusia apabila udara menjadi semakin tercemar, kualiti kehidupan merosot dan pergantungan kepada makanan yang diproses semakin meningkat.

Di samping itu, beliau berkata, satu lagi punca kemerosotan kesihatan ialah sikap "ambil mudah".

"Ramai daripada kita masih tidak memberi keutamaan terhadap pencegahan awal seperti menjaga kebersihan diri dan alam sekitar, bersenam atau makan secara selamat. Sekiranya kita tidak mengambil berat terhadap saranan serta usaha mengawal jangkitan penyakit, kita akan menderita," katanya.

Beliau berkata, matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan maju sepenuhnya sukar dicapai sekiranya rakyat tidak cukup sihat untuk berusaha ke arah itu.

"Tubuh yang tidak sihat menyukarkan pelajar mengikuti pelajaran dengan berkesan atau mengalang pekerja daripada menjadi produktif untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara atau tidak membolehkan kita berdepan dengan cabaran yang semakin meningkat untuk membangunkan negara pada abad ke-21 ini," katanya.

Beliau berkata, walaupun kos penjagaan kesihatan di Malaysia masih berada pada kadar munasabah dan berdaya saing berbanding kadar di negara maju, tetapi keaadan itu tidak semestinya kekal untuk selama-lamanya.

"Daripada menanggung bebanan fizikal dan kewangan akibat penyakit seperti penyakit jantung dan buah pinggang, kencing manis atau demam denggi, lebih baiklah dan lebih murah jika seseorang itu mengambil langkah penting dan mengurangkan risiko dihinggapi penyakit tersebut," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya melakukan transformasi terhadap gaya hidup masing-masing dengan mengambil langkah perlu bagi menjaga kesihatan dan menghindari diri daripada dihinggapi penyakit.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dilancarkan untuk memastikan kemudahan penjagaan kesihatan dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata, sebagai contoh, hospital kerajaan dilengkapkan dengan mesin dialisis dan subsidi diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan pusat dialisis untuk pesakit buah pinggang.

Najib juga menyebut mengenai jaminan yang diberi kepada pekerja di seluruh negara melalui PERKESO bagi membantu meringankan beban yang terpaksa mereka pikul untuk membiayai kos perubatan dan penjagaan kesihatan, di samping penubuhan Klinik 1Malaysia mulai awal 2010 untuk memenuhi keperluan asas perubatan oleh keluarga berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar.

Terbaru, katanya, Kementerian Kesihatan melancarkan Perkhidmatan Perubatan Pos 1Malaysia untuk menghantar ubat-ubatan kepada mereka yang mengalami penyakit kronik serta layak menerima perkhidmatan itu dan langkah ini sekali gus mengurangkan bebanan yang dipikul oleh bahagian farmasi di hospital. - BERNAMA