Khamis, 22 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : Pelajar gagal SPM tidak harus dipinggirkan


MUNGKIN ramai yang tidak mendapat gambaran sebenar prestasi keseluruhan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, kelmarin. Dengan melihat kepada prestasi Gred Purata Nasional (GPN), kita tidak mungkin mengetahui berapa ramai calon yang tidak cemerlang, malah jauh sekali untuk mengetahui bilangan pelajar gagal. Tambahan pula boleh dikatakan semua media kelmarin hanya melaporkan pencapaian pelajar cemerlang, terutama yang memperoleh keputusan Gred Cemerlang Tertinggi A+, yang berjumlah seramai 559 pelajar daripada 468,808 calon yang menduduki peperiksaan itu. Setiap kali keputusan diumumkan, tidak kira apa juga peperiksaan, sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau SPM jarang sekali kita memberi perhatian kepada bilangan calon yang tidak cemerlang, apatah lagi mereka yang gagal. Memang tidak salah bagi mana-mana pihak untuk meraikan kejayaan calon cemerlang. Malah bagi Kementerian Pelajaran sendiri kejayaan pelajar cemerlang itu membuktikan keberkesanan sistem pendidikan kebangsaan yang dilaksanakan selama ini. Melihat kepada masa depan pelajar cemerlang, mereka sudah pasti mempunyai peluang cerah untuk mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk universiti terkenal di luar negara. Begitu juga dengan pelajar yang baik dan sederhana, walaupun peluang mereka ini tidak secerah pelajar cemerlang tetapi setidak-tidaknya mereka layak memasuki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Pelajar dalam golongan ini tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada keluarga, mahupun kerajaan.

Berbeza dengan pelajar yang tidak termasuk dalam golongan itu, terutama calon gagal. Biasanya golongan inilah yang akan menghadapi masalah mendapat tempat di institusi pengajian tinggi. Dengan keputusan SPM yang lemah, mereka juga pastinya sukar memperoleh sebarang pekerjaan. Maka, akan wujudlah masalah pengangguran, yang akhirnya mereka terjerumus ke dalam gejala sosial. Oleh itu, sesuatu harus dilakukan agar lepasan SPM yang gagal tidak terus terpinggir dan membuang masa tanpa melakukan sebarang pekerjaan pada usia muda. Kita mesti menyedarkan mereka bahawa kegagalan di peringkat SPM bukan penamat kepada segala peluang untuk meneruskan pelajaran. Tentunya ada di kalangan mereka berbakat dan cenderung dalam bidang lain seperti kemahiran, vokasional, teknikal dan pelbagai bidang lain yang turut menjanjikan masa depan yang cerah. Mereka mesti sedar bahawa bidang kemahiran kini banyak disediakan kerajaan menerusi agensinya seperti kolej di bawah MARA, kolej komuniti dan Institut Kemahiran Belia. Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak, tidak kira sama ada kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu untuk memastikan tiada pelajar tercicir hanya disebabkan tidak mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Bersedia hadapi cabaran mendatang


Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


MINGGU ini debaran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu pasti terungkai, sekali gus bakal menentukan perjalanan masa depan sama ada memperoleh keputusan cemerlang atau sebaliknya.

Pelajar yang mencapai keputusan cemerlang sudah tentu bercita-cita melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi sementara bagi keputusan sederhana pula mencari institusi setara kelayakan.

Bagi yang gagal juga masih boleh merangka perancangan sama ada mahu memasuki institusi berbentuk latihan mahu pun melangkah ke alam pekerjaan.

Biar apapun keputusannya, pastikan ia tepat dan bersesuaian dengan kehendak diri supaya tidak menyesal hingga memusnahkan masa depan yang baru bermula.

Pilihan apakah yang boleh dilakukan bagi memastikan setiap keputusan tidak sia-sia, sebaliknya menjamin kehidupan lebih sempurna?

Ketua Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Kamaliah Abu berkata, banyak pilihan yang boleh dibuat berdasarkan keputusan diperoleh.

Menurutnya, cemerlang atau tidak, pelajar seharusnya terus memandang ke depan dan bersedia merangka pelbagai perancangan.


“Sebaik saja memperoleh keputusan, bersikap optimis dan segera merancang langkah seterusnya bagi memulakan penghijrahan kehidupan baru.

“Berjaya atau tidak bukan persoalan kerana setiap pelajar mempunyai peluang dan pilihan sama tara untuk membina masa depan. Mungkin caranya saja berbeza.

“Paling penting, pemilihan peluang perlu tepat supaya dapat membantu pelajar membina masa depan lebih baik,” katanya.

Setiap pilihan perlu diberi pertimbangan wajar dengan menekankan segala aspek kemungkinan walaupun pelajar membuat keputusan sama ada ingin melanjutkan pengajian, menceburi bidang kerjaya atau menduduki semula peperiksaan.

Keputusan yang diambil juga mestilah selari dengan hasrat pelajar dan bukan disebabkan paksaan bagi mengelakkan masalah pada masa depan.

“Pelajar perlu tahu kehendak sebenar diri sendiri. Pilih pilihan yang benar-benar diingini supaya tidak menyesal atau menimbulkan masalah.

“Pertimbangan perlu dibuat secara rela dan bukan paksaan demi kebaikan bersama. Jangan buat keputusan terburu-buru atau mengikut kehendak orang lain.

“Buatlah keputusan bijak biar pun keputusan itu ada kalanya tidak menggembirakan orang lain,” katanya.

SPM diiktiraf sebagai penanda aras pencapaian akademik bagi menentukan hala tuju masa depan pelajar.

Mengakui SPM boleh membawa pelbagai definisi, beliau mengharapkan pelajar melihat konsep pendidikan dengan lebih terbuka di samping peluang yang sentiasa terbentang luas.

Menurutnya, bagi yang berjaya, boleh meneruskan hasrat melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi pilihan dalam pelbagai peringkat seperti matrikulasi, diploma atau ijazah.

Sementara yang gagal atau kurang berjaya pula masih boleh memilih institusi berasaskan kemahiran yang juga banyak menawarkan program berprestasi tinggi di pasaran.

“Hari ini, negara mempunyai banyak institusi yang mampu membuka peluang melanjutkan pengajian dengan rangkaian menyeluruh sama ada awam atau swasta juga tempatan dan antarabangsa.

“Ada pelbagai pilihan boleh dilakukan termasuk berdasarkan minat dan cita-cita yang boleh memenuhi keinginan pelajar. Pilih saja dan tentukan hala tuju masa depan yang diingini.

“Justeru, tidak timbul isu tidak berpeluang melanjutkan pelajaran disebabkan faktor seperti tidak layak atau tidak pandai,” katanya.

Biar apa pun pilihan itu, penting pelajar komited melaksanakannya dan menanam kukuh keinginan untuk lebih berjaya selain positif setiap pilihan adalah yang terbaik.

“Sememangnya pilihan itu disediakan bagi membantu mengikut keperluan semasa dan individu. Pilihan yang betul boleh memberi banyak kelebihan.

“Jangan terpengaruh atau susah hati dengan tanggapan negatif sedia ada. Setiap individu ada cara masing-masing untuk memacu dan membina kejayaan,” katanya.

Antara pilihan adalah melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi, diploma, persediaan ke luar negara, politeknik, institusi pendidikan guru, tingkatan enam, kemahiran khusus dengan syarikat perkapalan atau penerbangan, akademi, keusahawanan atau melangkah ke alam pekerjaan.

Pelajar yang ingin melanjutkan pengajian peringkat matrikulasi, umpamanya perlu mempunyai persediaan mental dan fizikal kuat bagi melalui tempoh pengajian singkat sementara diploma pula bagi tujuan pasaran kerjaya atau melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda.

“Setiap pilihan ada pro dan kontra. Jika memilih matrikulasi, pelajar perlu sentiasa cemerlang sementara diploma pula mempersiapkan mereka untuk meneroka pasaran kerjaya atau menyambung pengajian.

“Semuanya ada cabaran tersendiri yang memerlukan usaha gigih untuk menikmati kejayaan,” katanya menolak tanggapan pandangan pelajar gagal atau kurang cemerlang tiada masa depan.

“Tidak berjaya dalam akademik bukan bermakna kegagalan sepenuhnya dalam hidup. Bidang kemahiran masih ada dan semakin mendapat perhatian luar biasa industri.

“Banyak institusi menawarkan program latihan berbentuk kemahiran dengan kemudahan sokongan kewangan. Pelajar boleh menggunakan platfom ini untuk mempertingkatkan kemahiran diri.

“Mungkin tidak gah seperti belajar di universiti namun penghasilannya juga lumayan. Tidak perlu berputus asa atau kecewa kerana tidak dapat memasuki universiti, sebaliknya realistik menghadapi situasi,” katanya.

Pelajar yang memilih institusi kemahiran disaran mengikuti program teknologi maklumat, pendawaian, automotif, perkhidmatan dan keusahawanan kerana prospek masa depan cerah.

“Pasaran kerjaya bidang ini cukup luas kerana tidak ramai mempunyai kemahiran aspek teknikal. Ini juga satu jaminan kerjaya biarpun tanpa kelulusan tinggi dan tidak rugi mengikutinya,” katanya.

Pelajar yang mahu melanjutkan pengajian juga perlu bijak memilih kursus bagi mengelakkan digelar penganggur terhormat kelak.

“Jangan pilih kursus yang tidak diminati atau kurang permintaan majikan. Sebaiknya ikuti perkembangan semasa industri supaya selalu mendapat maklumat terkini.

“Bagaimanapun, antara faktor pelajar menganggur kerana sikap memilih pekerjaan selain paksaan belajar kursus tidak disukai.

“Justeru, cuba dapatkan maklumat menyeluruh mengenai program dan bandingkan sama ada ia memenuhi kriteria minat atau sebaliknya,” katanya.

Pelajar juga boleh menduduki semula peperiksaan bagi memperbaiki keputusan atau bekerja bagi mencari pengalaman.

“Dunia semakin maju, bidang kerjaya juga sudah meluas dan mencabar. Sama ada akademik atau kemahiran, setiap satu mempunyai kelebihan masing-masing.

“Sentiasa optimis mengharungi kehidupan, itulah sebenarnya resipi kejayaan hidup,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SOSIAL : Apabila jenayah jadi punca rezeki


Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my


ADAKAH kita berada di dunia yang semakin tidak selamat? Mampukah kita mengekang jenayah yang boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana saja dan tidak mengira sesiapa pun boleh menjadi mangsa?

Sememangnya catatan tentang jenayah mutakhir ini amat membimbangkan. Boleh saja diakui bahawa dunia tidak lagi selamat. Manakan tidak, dalam sekelip mata kawasan yang dahulunya selamat tiba-tiba digemparkan dengan kejadian jenayah.

Pernahkah kita terfikir kawasan tempat kita tinggal yang aman damai rupanya menjadi sasaran penyamun atau penculik. Bayangkan sebuah keluarga yang baru berpindah sedang sibuk menurunkan barang-barang dari lori.

Dalam sibuk seisi keluarga berulang-alik mengangkut barang, datang seorang yang tidak dikenali masuk ke perkarangan rumah selamba mengangkat dua kotak, menuju ke kereta yang sedang menunggu dan terus cabut lari.

Seorang wanita membuka pintu pagar, memasukkan barang di dalam kereta dan mengunci pintu rumah. Belum pun lima saat dia menoleh, seorang lelaki menerpa, membuka pintu kereta dan membawa lari beg tangan dalam sekelip mata.

Satu lagi kejadian, seorang ibu muda di dapur dan dua anaknya leka bermain komputer riba. Suasana senja, tanpa dijangka seorang lelaki menerjah masuk dan merampas komputer riba serta telefon mudah alih yang di atas meja.

Kejadian tersebut adalah contoh kecil bagi menggambarkan betapa mudahnya penjenayah mencari ruang serta kesempatan untuk melakukan jenayah. Bagi mereka masa adalah emas. Setiap saat adalah peluang. Jenayah adalah pekerjaan yang tidak diiktiraf tetapi menjadi pilihan banyak orang sama ada profesional atau amatur.

Justeru mereka mesti berada di mana-mana. Sebab itu dalam dunia sekarang, jenayah boleh berlaku di mana-mana hatta di hadapan mata dan masa yang membezakan antara peluang dan kejadian hanya seminit, atau beberapa saat cuma.

Kalau 30 tahun dulu, kita boleh mengkategorikan kawasan jenayah. Bandar A adalah kawasan hitam, manakala bandar B pula kurang sedikit hitamnya, banyak kawasan yang putih catatan jenayahnya.

Dahulu ada kawasan milik kongsi gelap, ada kawasan milik gengster, akan berlaku pertumpahan darah jika kawasan mereka dicerobohi. Manakala kawasan-kawasan lain adalah selamat, sesekali dicerobohi pencuri yang terdesak mungkin sebab terlalu kelaparan atau kesempitan wang untuk meneruskan hidup.

Di kampung-kampung misalnya, kanak-kanak bebas bermain. Tidak kira 100 meter dari rumah atau 500 meter atau bermain keliling kampung sekali pun, jarang sekali kedengaran anak-anak diculik.

Paling-paling menakutkan pun dikejar orang gila, itu pun tidak selalu. Kalau dikejar pun kebiasaannya angkara diri sendiri mengusik orang gila yang tidak tahu apa akhirnya lari lintang pukang ketakutan akibat dikejar.

Pergaulan di kalangan kanak-kanak dahulu juga tidak terbatas. Lelaki bebas bermain dengan kanak-kanak perempuan. Tidak ada ketakutan, jauh sekali rasa bimbang. Sesekali ibu bapa mengingatkan anak-anak perempuan supaya jaga diri, jangan terlalu bebas dan ada waktu wajib pulang ke rumah.

Waktu makan tengah hari misalnya, akan kedengaran suara ibu atau ayah sayup-sayup melaungkan nama anak-anak mereka mengajak pulang makan bersama - yang sememangnya menjadi kewajipan.

Senja pulang ke rumah, selepas maghrib keluar mengaji dan seterusnya rutin kanak-kanak zaman 1970-an dan awal 1980-an berulang termasuk mandi di telaga ketika matahari belum melimpahkan sinarnya. Jarang sekali kanak-kanak menjadi mangsa jenayah biarpun persekitaran seperti hutan, keadaan gelap gelita kerana ketiadaan elektrik amat sesuai untuk perlakuan jenayah.

Namun siapa yang mahu melakukan jenayah ketika itu dan beranikah mereka berbuat demikian? Hampir setiap orang di dalam kampung mengenali antara satu sama lain. Jika ada anak-anak bergaduh maka berita tersebar begitu cepat. Sampai ke telinga si bapa, siaplah si anak menunggu hukuman rotan.

Jika ada pun yang cuba-cuba mengusik anak perempuan jiran, pantas diberi amaran. Ada satu atau dua kes terlepas, cepat sahaja si pelaku dipaksa memikul tanggungjawab.

Tentunya semangat kejiranan, sikap menjaga tepi kain orang dan 'anak kau, anak aku' menyelamatkan kanak-kanak zaman dahulu daripada menjadi mangsa jenayah. Keadaan itu juga tidak memberi ruang kepada jenayah untuk berlaku. Istilah 'mendapat malu' 'menconteng arang ke muka' mengekang jenayah daripada menjadi pekerjaan seperti mana sekarang ini.


Dalam dunia serba moden, kita tidak lagi mengenal siapa di dalam komuniti, ada yang lebih parah jiran pun tidak dikenali. Sebab itu amat penting bagi sesiapa sahaja untuk mengambil langkah berhati-hati memastikan anak-anak tidak berseorangan di luar rumah.

Ini kerana kawasan perumahan yang kita fikir selamat hari ini boleh saja menjadi tidak selamat esok atau lusa. Tentunya kerana ada saja pendatang baru yang bukan saja tidak dikenali malah tidak diketahui sejauh mana murninya hati mereka.

Menyalahkan ibu atau bapa mangsa jenayah seperti mana dalam kes Nurul Nadirah Abdullah, Nazatul Fardiana Mohd. Norizwan, Nurin Jazlin misalnya adalah amat tidak adil. Selama ini kawasan persekitaran tempat tinggal mereka adalah selamat.

Nurin misalnya biasa ke pasar malam. Tidak ada kejadian luar biasa menimpa kanak-kanak itu. Begitu juga dengan Nurul Nadirah. Ke kedai membeli mi segera dan telur mungkin telah menjadi kebiasaan atau rutin kanak-kanak itu.

Sebab itu ibu bapa kanak-kanak malang itu berfikiran positif dan bersangka baik bahawa keselamatan anak mereka terjamin lantaran beberapa tahun mendiami kawasan tersebut mereka sekeluarga selamat. Mungkin tidak tercapai dek fikiran mereka bahawa penjenayah zaman sekarang sememangnya sentiasa berlegar di mana-mana mencari ruang serta peluang.

Justeru, dalam mengekang jenayah, bukan hanya ibu bapa. Bukan juga pihak berkuasa. Sebaliknya, semua pihak baik jiran, guru, pekedai, tukang sapu atau sesiapa sahaja di dalam komuniti mesti memainkan peranan. Kembali kepada tradisi di mana keselamatan kita adalah tanggungjawab bersama.


Dalam keadaan ada sekelompok manusia yang menjadikan jenayah sebagai punca rezeki, kita tidak mempunyai banyak ruang untuk mementingkan diri sendiri. Kelompok yang kecil itu semakin membesar kerana jenayah kini adalah peluang untuk mencipta kekayaan.

Kanak-kanak dijadikan peminta sedekah untuk mengayakan si penjenayah. Kanak-kanak dirogol dan dibunuh semata-mata untuk memuaskan nafsu si penjenayah, maka apa lagi pilihan kita selain bersatu hati memerangi jenayah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/