Ahad, 7 Oktober 2012

ISU SOSIAL : Bilangan Warga Tua Ditinggalkan Di Hospital Meningkat



Oleh :  LIM WEY WEN dan YUEN MEIKENG

KUALA LUMPUR : Lebih ramai warga tua menghabiskan sisa-sisa hidup mereka di rumah kebajikan selepas ditinggalkan oleh keluarga di hospital-hospital awam.

Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Kuala Lumpur, Hasnah Sulaiman berkata sehingga Jun tahun ini, 157 pesakit telah ditinggalkan oleh keluarga mereka di hospital.

Manakala sebanyak 205 warga emas telah ditinggalkan pada tahun lepas.

Hasnah berkata 95 peratus daripada mereka yang ditinggalkan terdiri daripada keluarga miskin.

Beliau berkata, dalam kebanyakan kes, ahli keluarga enggan membawa mereka pulang atau tidak dapat dihubungi kerana nombor telefon dan alamat palsu telah diberikan semasa pendaftaran.

"Dalam beberapa kes, doktor sendiri telah menghubungi anak-anak mereka untuk memberitahu bahawa ibu bapa mereka telah pulih, tetapi mereka menegaskan bahawa orang tua mereka masih sakit," katanya.

Satu lagi alasan biasa adalah mereka tidak mempunyai masa untuk mengambil orang tua mereka pulang.

Beliau berkata hospital biasanya menyerahkan warga tua yang diabaikan lama kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Namun kebanyakan rumah perlindungan kini hampir penuh." katanya.

Sementara itu, salah seorang penyelaras di Rumah Kasih, Foong Peng Lam berkata hospital sering meminta tempat perlindungan untuk pesakit warga tua yang ditinggalkan kerana tidak cukup ruang bagi menempatkan pesakit baru.

Katanya Rumah Kasih telah membantu menempatkan seramai 496 pesakit dari Hospital Kuala Lumpur, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Selayang, Institut Perubatan Respiratori dan Hospital Sungai Buloh sejak ditubuhkan pada tahun 2000.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat, bilangan warga tua ditinggalkan oleh keluarga mereka meningkat sebanyak 1 peratus setiap tahun iaitu antara 2008 hingga 2011, berdasarkan bilangan kemasukan ke sembilan buah Rumah Seri Kenangan.

Rumah kebajikan tersebut mengambil warga tua yang berusia melebihi 60 tahun iaitu seramai 340 orang pada tahun lepas berbanding 248 pada tahun 2010.

Angka daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara ( LPPKN) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapati kira-kira 675,000 warga tua tidak menerima bantuan kewangan daripada anak-anak mereka pada tahun 2004 selepas Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia keempat dijalankan.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU KESIHATAN : Masalah mental kanak-kanak dan remaja makin serius



KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan memandang serius trend peningkatan masalah kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja berusia 15 tahun ke bawah di negara ini, kata Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.
  
Beliau berkata, statistik menunjukkan masalah kesihatan mental melibatkan golongan itu meningkat 13 peratus pada 1996, 19.4 peratus pada 2006 dan 20 peratus tahun lalu.
  
"Kita amat bimbang dengan trend peningkatan masalah kesihatan mental remaja dan kanak-kanak kerana ia dikhuatiri boleh membantutkan proses pembangunan kerana golongan ini merupakan aset negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 di sini hari ini.
  
Beliau menarik perhatian bahawa golongan remaja dan kanak-kanak kini  dipengaruhi Internet dan teknologi komunikasi sehingga kurang berinteraksi manakala ibu bapa yang sibuk bekerja pula memandang ringan peranan mereka dalam memberi sokongan kepada anak-anak.
  
Justeru, beliau berkata, kementeriannya akan berusaha menangani masalah itu termasuk dengan penyediaan pelan tindakan strategik kebangsaan bagi kesihatan mental serta langkah menambah bilangan Pusat Komuniti Kesihatan Mental di seluruh negara mulai tahun hadapan.
 
Beliau berkata, pelan itu antara lain menekankan aspek promosi kesihatan mental dan kerjasama pintar antara pelbagai agensi serta penglibatan badan bukan kerajaan.
  
Menurutnya, langkah membuka lebih banyak Pusat Komuniti Kesihatan Mental akan membolehkan pesakit menerima rawatan dalam suasana lebih mesra dan berbeza daripada perkhidmatan kesihatan mental yang terdapat di hospital.
  
Katanya, pusat berkenaan menawarkan khidmat seperti terapi psikologi, kaunseling dan maklumat pendidikan kesihatan di samping meningkatkan potensi pesakit dalam komuniti.
  
Pusat Komuniti Kesihatan Mental pertama negara dilancarkan di Presint 11 Putrajaya tahun lalu. - Bernama

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : JPJ Sasar Pasang 831 Kamera AES Dalam 18 Bulan


PEKAN : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan pemasangan 831 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) secara berperingkat dalam masa 18 bulan di seluruh negara, kata Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad pada Ahad.

Beliau berkata, setakat ini 14 kamera AES telah dipasang di kawasan hitam di Lembah Klang dan Perak sejak 23 September lalu.

"Lokasi pemasangan AES ini dipilih berdasarkan kadar kemalangan atau kesalahan jalan raya (di tempat berkenaan) setelah kajian terperinci oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), JPJ, Jabatan Kerja Raya dan polis," katanya kepada pemberita selepas menutup program 'Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ)' di sini.

Ismail berkata, AES akan turut dipasang di negeri-negeri lain dalam masa terdekat.

"Bagi negeri Pahang, AES akan dipasang di 52 kawasan perangkap laju dan tujuh di lampu isyarat," katanya.

Program SKSJ memudahkan orang ramai khususnya di luar bandar memiliki lesen motosikal dengan lebih mudah dan cepat. - BERNAMA


INFO :

·         AES fasa pertama melibatkan 14 lokasi dengan pengoperasian 10 kamera tetap dan empat kamera mudah alih yang terdiri daripada kamera statik dan visual serta mampu mengesan dua kesalahan utama iaitu memandu laju serta melanggar lampu isyarat.

·         Papan tanda bagi lokasi kamera AES yang mengesan had laju dapat dilihat antara jarak dua hingga tiga kilometer sebelum lokasi kamera manakala lokasi kamera yang mengesan pesalah trafik lampu isyarat, diletakkan antara 50 hingga 500 meter daripada persimpangan lampu isyarat berkenaan.

·         Apabila sesuatu kesalahan dilakukan, rakaman oleh pengendali operasi akan dianalisis  dan disemak semula oleh JPJ sebelum saman dikeluarkan bagi memastikan kesalahan itu benar-benar berlaku.

·     Sebanyak 63,558 imej kesalahan lalu lintas dirakam di seluruh negara melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sejak sistem itu beroperasi 23 Sept lepas.

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : AUTOMATED ENFORCEMENT SYSTEM – AES (SISTEM PENGUATKUASAAN AUTOMATIK)


Oleh : Zulhazmi Shariff

a) Apa AES

AES ialah suatu sistem penguatkuasaan yang dijalankan secara automatik 24 jam tanpa henti.

b) Bagaimana AES berfungsi?

i) Kamera akan dipasang di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti (hot spot) dan beroperasi 24 jam tanpa henti.
ii) Kamera disambungkan ke pengkalan data JPJ.
iii) Apabila sesebuah kenderaan melalui kawasan tersebut, jika melebihi had laju yang ditetapkan, maka gambar kenderaan akan diambil dan dihantar ke pusat pemprosesan gambar serta pengkalan data JPJ.
iv) Jika disahkan melakukan kesalahan, maka saman akan terus dikeluarkan kepada pemilik kenderaan.

c) Siapa mengendalikan Kamera AES?

 Kamera AES akan dikendalikan oleh dua (2) Syarikat swasta iaitu:
i) Beta Tegap Sdn Bhd. yang menggunakan sistem Redflex daripada Australai; dan
ii) ATES Sdn Bhd. yang menggunakan sistem Jenoptik Robot daripada Jerman

 d) Pendapatan daripada AES. Kadar pendapatan telah dipersetujui sejak 22/4/2009 dan telah dibentangkan kepada Kabinet pada 16/9/2009. Suatu Model Kewangan Tiga Langkah telah dipersetujui iaitu:

i) Setiap syarikat layak mengambil RM16 daripada bilangan set saman sah yang dikeluarkan daripada hasil bayaran saman yang telah dijelaskan tertakluk kepada 5 juta saman.
ii) Setiap syarikat mengambil 50% baki hasil bayaran yang telah dijelaskan (selepas ditolak jumlah di bawah langkah i) tetapi terhad kepada RM270 juta setahun. Kerajan ambil jumlah yang sama.
iii) Setiap syarikat mengambil 7.5% baki bayaran saman yang telah dijelaskan selepas tolak langkah (i) dan (ii). Kerajaan juga sama.

e) Peruntukan dalam Akta berkaitan AES :

i) Seksyen 2 – memasukkan takrif “imej yang dirakam”,
ii) Seksyen 2 – memasukkan takrif”kesalahan berjadual”
iii) Seksyen 2 – memasukkan takrif “kesalahan yang dirakam melalui kamera”
iv) Seksyen 53 (1A) – Saman dianggap serah walaupun enggan terima
v) Seksyen 53A – Notis Kesalahan yang dirakam melalui kamera
vi) Seksyen 53B – Kewajipan mengemukakan nama dan alamat
vii) Seksyen 53C – Kewajipan untuk tidak memberikan, menyiarkan atau mendedahkan maklumat mengenai kesalahan yang dirakam melalui kamera.
viii) Seksyen 117 (11) – imej yang dirakam boleh diterima sebagai keterangan prima facie
ix) Seksyen 46 – Jadual Kesalahan :

Jadual Pertama - Jenis / Kategori Kesalahan

(i) Memandu melebihi had laju
(ii) Tidak mematuhi isyarat lalu  lintas
(iii) Memotong garisan berkembar
(iv) Memandu di lorong kecemasan
(v) Memotong & menghalang daripada memotong
(vi) Memotong barisan
(vii) Menggunakan telefon bimbit semasa memandu

Jadual Kedua – Kesalahan yang dirakam melalui kamera

(i) Memandu di lorong bas
(ii) Memandu melebihi had laju
(iii) Tidak mematuhi lampu isyarat

Penulis ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

Sumber : http://bm.harakah.net.my/