Isnin, 16 September 2013

ISU PENDIDIKAN : ‘Ketaasuban’ ibu bapa terhadap peperiksaan ‘membahayakan’ perkembangan pelajar


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Sukar untuk menafikan hakikat bahawa sebahagian besar ibu bapa masih menganggap keputusan peperiksaan adalah aspek terpenting dalam menentukan kejayaan masa depan pelajar.

Meskipun, transformasi dunia pendidikan negara sudah dipelbagaikan dalam mekanisme tertentu termasuk meng­gabungkan nilai kemahiran sebagai antara prasyarat penilaian pembangunan pelajar, kejayaan akademik masih dijadikan penanda aras utama.

Malah, ketaasuban pada keputusan peperiksaan biarpun pada aspek lain ada kelebihannya, namun masih dikhuatiri mampu meninggalkan impak sampingan, sekali gus melahirkan golongan pelajar seperti robot yang diprogramkan dengan kecemerlangan menerima arahan, tetapi gagal berfikir sendiri.

Justeru, sejauh manakah keberkesanan usaha untuk membantu pelajar, masyarakat dan ibu bapa agar menerima hakikat bahawa keputusan peperiksaan hanya sebahagian proses menjana kecemerlangan?

Bagaimana mahu meyakinkan bahawa masih banyak lagi aspek lain boleh dijadikan penanda aras bagi mengukur erti kejayaan dan bukan sekadar bergantung harap pada akademik semata-mata?

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merangkap Pe­ngerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohd  Noh Dalimin berkata ‘ketaasuban’ ibu bapa terhadap peperiksaan sebagai penentu utama masa depan pelajar sukar diubah melainkan mereka memahami bahawa aspek itu boleh ‘membahayakan’ perkembangan diri anak-anak.

Menurutnya, tidak salah meletakkan peperiksaan sebagai pengukur kejayaan, namun sikap itu boleh memberi tekanan hingga membantutkan perkembangan normal lain yang seharusnya dinikmati pelajar.

“Adakalanya ibu bapa tidak sedar tindakan itu satu penyeksaan kepada anak (pelajar) kerana mereka dinafikan hak untuk menikmati perkara lain dalam hidup.

“Memang tidak salah ibu bapa menzahirkan hasrat untuk melihat kecemerlangan, namun mesti tahu cara atau batasnya.

“Jangan berterusan memberikan tekanan atau meletakkan sasaran untuk anak, kerana dikhuatiri timbul pula masalah lain,” katanya.

Katanya, kebiasaannya pelajar turut meletakkan sasaran untuk meraih keputusan cemerlang, malah ada desakan lebih daripada ibu bapa.

“Dalam aspek ini, ibu bapa adalah pihak yang lebih mendesak dan ternyata ia memang tidak baik untuk perkembangan emosi anak.

“Ibu bapa diminta memberi peluang anak meniti kedewasaan dan kematangan. Kejayaan bukan hanya melalui peperiksaan atau akademik saja, tapi juga boleh digilap berdasarkan kelebihan diri dalam aspek lain,” katanya.

Beliau turut mengakui ibu bapa di negara ini masih melihat akademik sebagai kewajaran utama berbanding kemahiran lain.

“Itulah masalah atau dilema sektor pendidikan negara kita kerana ibu bapa masih kuat dibelenggu mentaliti sedemikian, sedangkan aspek kemahiran juga ada peranannya dalam sistem pendidikan negara.

“Cuma kita kurang ‘mengiktirafnya’ berbanding negara lain di dunia. Namun, Kementerian Pelajaran tetap berusaha mengubah persepsi itu seperti menaikkan taraf sekolah teknik dan vokasional kepada kolej supaya ibu bapa nampak ada nilai lain yang boleh membentuk kejayaan,” katanya.

Ditanya sama ada mentaliti sedemikian boleh diubah, sedang­kan masyarakat sudah tepu dengan pemikiran itu, beliau berkata perubahan boleh dibuat, tetapi mengambil masa lama.

Budaya peperiksaan akuinya, sudah sebati dalam sistem pendidikan negara dan sudah menggantikan budaya ilmu.

“Bagaimanapun, usaha mengubahnya sudah dilakukan sedikit demi sedikit seperti perubahan yang dibuat pada sistem pentaksiran negara.

“Sebagai contoh, di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sudah ada elemen sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang bukan saja menilai pelajar menerusi peperiksaan bertulis tapi kerja projek, kajian luar dan amali.

“Pengenalan ini selari hasrat kementerian untuk membangunkan modal insan seimbang serta memperluaskan pendidikan lebih holistik,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa sistem peperiksaan masih relevan bagi menilai keupayaan pencapaian pelajar terutama dari segi pemahaman terhadap proses pembelajaran dan pengajaran.

“Peperiksaan masih relevan kerana di situlah kita boleh menilai sejauh mana hasil pemahaman pelajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

“Cuma pengubahsuaian dan penambahbaikan dalam sistem atau format peperiksaan perlu dilakukan bagi melahirkan pelajar yang mampu menjana kecemerlangan dalam seluruh aspek global,” katanya me­ngakui antara impak negatif yang ketara menerusi sistem peperiksaan ialah budaya menghafal untuk peperiksaan.

“Pelajar memang giat belajar, tapi bukan untuk memahami, sebaliknya menghafal demi menjawab dalam peperiksaan selain melupakan perkara yang gigih dipelajari sebaik tamat peperiksaan.

“Dengan kata lain, sistem pendidikan kita hanya menggalakkan budaya menghafal bukannya pemikiran menyebabkan pelajar lebih cenderung bergantung kepada jawapan contoh, hafalan dan soalan ramalan berbanding memahami konsep dan teori.

“Ini yang kebanyakannya berlaku menyebabkan peperiksaan tidak boleh dijadikan penanda aras kepada keupayaan pelajar sebaliknya budaya ilmu perlu diterapkan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa konsep peperiksaan adalah untuk me­ngesan perkembangan pelajar secara menyeluruh mengenai prestasi mereka dalam mencapai sasaran pembelajaran, untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam pembelajaran dari semasa ke semasa, me­ngetahui keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, memantau kemajuan serta merangsang pencapaian lebih tinggi, selain mengetahui pencapaian objektif pembelajaran.

“Konsep peperiksaan boleh dilihat dari tiga sudut, iaitu penilaian untuk pembelajaran, penilaian sebagai pembelajaran dan penilaian pembelajaran.

“Sebab itu, banyak pembaharuan sudah dibuat supaya golongan sasaran celik mata dan minda bahawa sistem pendidikan kita sudah tidak lagi terlalu berfokus pada peperiksaan tapi budaya mendapatkan ilmu,” katanya.

Sumber : http: //www.hmetro.com.my/

PERUTUSAN PM SEMPENA HARI MALAYSIA KE-50


Selamat Hari Malaysia ke-50

Tahun ini adalah tahun yang amat bersejarah buat semua rakyat Malaysia. Pada tanggal 16 September, negara kita menyambut ulang tahun rasmi penubuhannya yang ke-50.

Pengisytiharan rasmi penubuhan Malaysia telah dibuat oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tarikh bersejarah ini, dalam tahun 1963, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Pengisytiharan yang disaksikan oleh oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 orang rakyat telah memberi sinar harapan kepada semua.

Pada ketika itu, rakyat berbilang kaum dan agama, mengimpikan kemerdekaan, kebebasan dan kemakmuran dalam sebuah negara yang berdaulat.

Satu kompromi telah dicapai bagi melindungi kepentingan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu dalam penubuhan Malaysia. Hak autonomi dan kedudukan kedua-dua buah negeri ini turut dinyatakan dalam Perkara 20, Suruhanjaya Cobbold.

Ingin saya tegaskan bahawa Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam pentadbiran negara.

Sebagai Perdana Menteri, saya sentiasa berusaha bagi memastikan pembangunan yang sama rata untuk semua negeri di Malaysia.

Sejak tahun 2010, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk melaksanakan sejumlah 79 projek pembangunan infrastruktur asas luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Pada tahun 2012 sahaja, sejumlah RM62.3 juta dari jumlah ini telah diperuntukkan kepada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi membiayai beberapa projek, termasuk merekabentuk jalan masuk dan jalan dalam ke Hab Halal Tanjung Manis, bekalan air di Samalaju dan kajian kebolehlaksanaan untuk Taman Sains di Mukah.

RM207 juta juga telah diperuntukkan dalam Koridor Pembangunan Sabah bagi melaksana beberapa projek infrastruktur dan pertanian.

Usaha berterusan bagi membangunkan ekonomi Sabah dan Sarawak sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Malaysia. Kehidupan masyarakat di kedua-dua buah negeri ini telah banyak berubah berbanding 50 tahun yang lalu, selaras dengan pembangunan global.

Walaupun dalam usia yang muda, Malaysia telah berjaya membina sebuah negara yang disegani, sama ada dari aspek politik, ekonomi dan pembangunan sosial. Pengorbanan dan usaha gigih semua pihak dalam membentuk negara, mempertahankan keamanan dan kemakmuran selama ini akan sentiasa dihargai.

Kepada semua rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam membina kemakmuran ekonomi, mempertahankan kedaulatan dan memelihara keharmonian dalam negara.

Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Cintai negara asas perpaduan kaum


Oleh : Tan Sri Rozali Ismail

TAHUN ini adalah tahun ke-50 penubuhan Malaysia. Kerajaan sentiasa mengharapkan rakyat bersatu padu, mengerat hubungan pelbagai kaum dan hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Namun jelas sekali tahap keharmonian yang diidamkan itu tidak kesampaian. Negara dilanda fitnah, demonstrasi, peningkatan jenayah samseng dan kongsi gelap. Semuanya berlaku gara-gara sentimen perkauman yang melampau. Tambahan pula semangat patriotik semakin luntur dan rakyat tidak lagi segan silu mengecam Malaysia di dalam dan luar Negara.

Bagi memupuk semangat patriotik, sambutan kemerdekaan 31 Ogos lalu telah membawa tema 'Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku'. Sesungguhnya kerajaan Malaysia mengajak 30 juta rakyatnya yang berbilang kaum bersama-sama berganding bahu mempertahankan maruah dan kedaulatan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran. Di samping itu, rakyat juga diminta memperkasa semangat cintakan negara kerana ia adalah tunjang perpaduan bagi mengekal kestabilan dan meneruskan kelestarian pembangunan negara.

Insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna yang berlaku pada awal tahun ini memberi pengajaran bahawa tanggungjawab mempertahan maruah dan kedaulatan negara bukan saja terletak di bahu pasukan keselamatan. Rakyat Malaysia telah bersama-sama mengutuk pencerobohan pengganas Sulu yang mendakwa Sabah milik mereka, tetapi telah digadaikan oleh kerajaan British menerusi Perjanjian Brooke 1888. Usaha mempertahan bumi berdaulat itu perlu diteruskan dengan menentang kuasa asing yang sedang menghasut segelintir rakyat supaya melakukan pelbagai demonstrasi jalanan agar tercetusnya 'Arab Spring' di negara ini, lantas memudahkan mereka masuk serta menjajah Malaysia.

Ketika pasukan keselamatan menyabung nyawa membenteng sempadan negara daripada dibolosi anasir subversif, masyarakat perlu memperkukuhkan perpaduan dengan memupuk semangat cintakan negara.

Semangat itu perlu diterjemah dan dizahirkan dalam urusan seharian agar perpaduan yang terjalin selama ini terus berkekalan kerana ia menjadi kunci yang membebaskan kita dari belenggu penjajahan mental dan fizikal. Mengeratkan perpaduan antara kaum bukan sekadar mengunjungi sahabat dan taulan di musim perayaan, menziarahi kematian atau bersama-sama mengikuti program percutian dan riadah. Ia boleh dijalin dengan lebih akrab menerusi kerjasama dan perkongsian ekonomi.

Kaum yang menguasai 80 peratus kekayaan negara sepatutnya lebih mesra mengajak kaum lain bersama-sama 'menyemai dan menuai' kegiatan ekonomi. Realiti yang berlaku hari ini ialah mereka yang memonopoli dagangan bank, industri pembuatan dan perkhidmatan tidak mahu berkongsi kekayaan itu dengan bangsa lain, kecuali memenuhi kuota 30 peratus peluang pekerjaan bagi memenuhi syarat pemerintah. Sebaliknya mereka terus menerus mendesak kerajaan agar melupuskan semua dasar ekonomi yang diberi kepada bangsa majoriti yang masih terkial-kial menapak dalam bidang perniagaan walaupun sudah bebas penjajahan selama 56 tahun.

Perbezaan jurang ekonomi yang jauh itu mengakibatkan perpaduan antara masyarakat semakin melebar. Kesannya, apa jua usaha yang dilakukan untuk mengeratkan semangat perpaduan menemui jalan buntu.

Lebih parah lagi sekelumit rakyat yang remuk hati telah menggadai maruah peribadi dan negara untuk bersekongkol dengan kuasa asing, berusaha meranapkan Malaysia menerusi pelbagai tindakan yang bercanggah dengan prinsip perpaduan nasional.

Malaysia sebenarnya negara bertuah kerana dikurniakan hasil bumi dan tanah yang subur bagi menampung kehidupan penduduk berbilang bangsa dan agama. Apa yang merisaukan adalah negara menghadapi sedikit gangguan daripada pihak tertentu yang mahu mengancam kestabilan sosial dan politik. Masyarakat terutama generasi muda cuba diserapkan dengan dakyah yang boleh melunturkan semangat kesetiaan kepada negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan telah membawa keamanan kepada negara sejak merdeka. Dalam tempoh itu Malaysia hanya diuji dengan tragedi berdarah 13 Mei 1969 sahaja. Kehidupan harmoni di Malaysia dikagumi dunia. Ketika keganasan etnik sedang merebak di seluruh dunia, Malaysia dinobatkan sebagai negara 'multi racial' paling selamat di rantau Asia Tenggara. Lebih dari itu, suara Malaysia juga didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Bagi mewakili PBB, Malaysia membawa misi keamanan di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste (2006).

Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembleng bersama untuk menjadikan Malaysia benar-benar cemerlang. Sepanjang usia merdeka, pertumbuhan ekonomi negara juga didapati berkembang pesat. Dengan memiliki asas ekonomi dan pelaburan yang kukuh, negara tidak terlalu bergantung kepada persekitaran global.

Buktinya, ekonomi negara mampu bertahan dengan baik ketika beberapa negara di dunia kini dilanda muflis akibat serangan krisis kewangan.

Perkembangan ekonomi Malaysia yang cukup konsisten juga telah merancakkan banyak sektor termasuk pelancongan. Pencapaian itu pasti berterusan jika rakyat Malaysia terus mendokong konsep perpaduan dan integrasi nasional yang menghasilkan keamanan. Justeru, rakyat Malaysia perlu bersama-sama memperkasa semangat cintakan negara dan mempertahan kedaulatan Malaysia.


Penulis ialah Presiden Majlis Perunding Ekonomi Melayu (MAPEM)

Sumber : http : //www. utusan.com.my/

Keputusan ujian MUET diumum Khamis Ini


KUALA LUMPUR 16 Sept. - Keputusan ujian Malaysian University English Test (MUET) Sesi Julai 2013 akan dikeluarkan Khamis ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam kenyataan hari ini berkata, calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah atau institusi masing-masing mulai 10 pagi hari tersebut manakala calon persendirian individu akan memperoleh keputusan mereka melalui pos.

Calon juga boleh menyemak keputusan ujian mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip MUET RESULT NO. KAD PENGENALAN dan menghantarnya ke 15888, mulai 12.01 tengah malam 19 Sept 2013.

Menurut kenyataan itu, mereka juga boleh berbuat demikian melalui sistem dalam talian dengan melayari portal MPM di http://www.mpm.edu.my mulai 9 pagi, pada tarikh tersebut.

"Calon yang tidak berpuas hati dengan keputusan MUET boleh membuat rayuan penyemakan semula keputusan MUET dengan bayaran RM70," menurut kenyataan itu.

Tarikh tutup rayuan semak semula ialah 30 Sept dan maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh didapatkan melalui portal MPM. - BERNAMA