Khamis, 8 Oktober 2009

Perbaharui iltizam terhadap bahasa Melayu

Oleh DR. FIRDAUS ABDULLAH

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu merasmikan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 di Kuching, Sarawak.

Seminggu sebelum itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman telah memberi ucaptama dan merasmikan Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia di Johor Bahru.

Kedua-dua peristiwa itu dapat dinilai secara sinikal dan konstruktif. Secara sinikal seperti pertanyaan seorang tokoh pejuang bahasa yang hadir pada persidangan di Johor itu. “Tidakkah saudara rasa kita hanya syok sendiri? Atau tidakkah kita menipu diri sendiri berangan-angan hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia, sedangkan di bumi kelahirannya sendiri bahasa Melayu itu terpinggir dan diperlekeh?”

Tokoh itu telah melewati umur 60-an dan sejak muda tidak pernah ketinggalan menghadiri perjumpaan bahasa dan sastera. Beliau sebenarnya kecewa. Memang dia turut mengingini agar bahasa Melayu itu menjadi bahasa dunia, tetapi katanya lagi:

“Orang tua-tua mengingatkan, duduklah dulu sebelum berlunjur. Jika kita ingin bahasa Melayu menjadi bahasa dunia, bahasa itu mestilah terlebih dahulu diperkasa, dihormati dan dihargai di negara Malaysia sendiri yang telah mengiktirafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

“Tetapi realitinya masih ramai warga yang tidak tahu berbahasa Melayu. Malah ada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli-ahli Parlimen yang tidak fasih bertutur bahasa kebangsaan itu.”

Begitulah satu contoh sikap atau pandangan sinikal terhadap persidangan di Johor Baharu itu. Penilaian atau reaksi negatif dan sinikal seperti itu barangkali juga boleh berlaku terhadap pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Kuching.

Sesuatu yang ironis, setelah lebih setengah abad kita merdeka dan bahasa Melayu dimaktubkan dalam Perlembagaan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, kita masih perlu berkempen supaya bahasa itu difahami dan diamalkan.

Dalam ucapan perasmiannya, Muhyiddin berkata Bulan Bahasa Kebangsaan itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wahana perpaduan serta bahasa komunikasi. Ertinya setelah lebih setengah abad merdeka, kita masih belum puas hati dengan kadar kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan itu. Di sanalah terletak ironisnya dan itulah yang menyebabkan sesetengah pihak bersikap sinikal.

Tetapi jika kita ingin membebaskan diri dari sikap sinikal dan bersedia untuk berbaik sangka, banyak aspek positif yang boleh disebut tentang peristiwa-peristiwa bahasa di Johor Baru dan di Sarawak itu. Setidak-tidaknya kedua-dua peristiwa tersebut dapat dilihat sebagai pernyataan azam dan iltizam baharu terhadap bahasa Melayu.

Ucapan kedua-dua tokoh yang disebutkan tadi serta 50 kertas kerja yang dibentangkan dalam persidangan di Johor Baharu itu, semuanya dapat dilihat dan patut diterima sebagai pernyataan hasrat dan azam untuk meneruskan perjuangan memperkasa bahasa Melayu.

Dalam ucaptamanya, Menteri Besar Johor mengimbas peranan Johor sebagai benteng pertahanan dan pusat perkembangan persuratan dan tamadun Melayu.

Pelbagai kejayaan telah dicapai sama ada dalam bentuk penghasilan karya-karya agung (seperti Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Taj-us-Salatin dan lain-lain) atau dalam bentuk kemunculan cendekiawan ternama seperti Raja Ali Haji atau dalam bentuk penubuhan institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan Maktab Perguruan Bahasa di Bukit Senyum.

Tetapi di samping pelbagai kejayaan yang membanggakan itu, perjuangan memperkasa bahasa Melayu yang berpusat di Johor itu juga telah mengalami pelbagai dugaan dan cabaran. Sewaktu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan pada 2002, hanya UMNO Johor yang berani menentangnya secara terbuka.

Sikap berani itu dipertahankan secara konsisten hingga akhirnya dasar PPSMI ditarik kembali.

Dengan penuh semangat dan nada yang puitis, Abdul Ghani memberi jaminan “Sekali kita sama berdayung, bersama-samalah kita menempuh dan menghadapi badai gelombang dan angin taufan yang ingin menghancurkan seluruh tradisi kemelayuan di bumi tercinta ini.

Kami anak-anak Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berhasrat menghapus atau memperkecilkan tamadun Melayu.”

Di bahagian lain dalam ucapannya, beliau menegaskan: “Bahasa Melayu tidak akan menjadi bahasa ilmu jika penggunaannya sebagai bahasa pengantar hanya terbatas setakat sekolah rendah dan menengah sahaja.”

Pernyataan Abdul Ghani itu penting untuk mengekalkan momentum keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI.

Pada hemat saya, itu jugalah yang disuarakan oleh Muhyiddin apabila beliau berkata: “Jika bahasa kebangsaan kita tidak lagi menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, lama-kelamaan bahasa kita akan hilang kepentingannya, tidak lagi relevan dengan keperluan semasa dan akhirnya akan pupus.”

Dengan semangat “berbaik sangka” marilah kita menerima ucapan Abdul Ghani dan Muhyiddin itu sebagai pernyataan “Memperbaharui iltizam” untuk memperkasa bahasa Melayu. Bahasa Jiwa Bangsa.

DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah

Felo Penyelidik Kanan (Pelawat),

Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Aktif, aktiviti dan aktivisme

Pelajar seharusnya mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah

Oleh Muhammed Salehudin Aman

KATA adjektif aktif berasal daripada kata bahasa Inggeris active. Kata ini mendukung beberapa maksud, iaitu pertama, bertenaga dan giat (berkenaan orang, tubuh, otak). Yang kedua, bermakna pantas, deras atau cepat; dan yang ketiga ialah banyak menjalankan (sesuatu), atau terlibat dalam kegiatan-kegiatan. Ketiga-tiga maksud yang dinyatakan itu ditunjukkan dalam ayat-ayat contoh yang berikut:

1. Haris ialah murid Tahun Enam Bestari yang aktif.

2. Anggota Kadet Bomba itu bergerak dengan aktif sebaik-baik sahaja menerima arahan.

3. Aiman mengambil bahagian yang aktif dalam kegiatan kokurikulum di sekolahnya.

Dalam ketiga-tiga ayat contoh di atas, kata aktif dapat digantikan dengan kata cergas, kerana makna kata cergas dalam ketiga-tiga ayat tersebut sudah merangkumi makna active dalam bahasa Inggeris.

1. (a) Haris ialah murid Tahun Enam Bestari yang cergas.

2. (a) Anggota Kadet Bomba itu bergerak dengan cergas sebaik-

baik sahaja menerima arahan.

3. (a) Aiman mengambil bahagian yang cergas dalam kegiatan kokurikulum di sekolahnya.

Penggunaan kata cergas dapat menunjukkan sifat kemelayuan ayat-ayat tersebut itu.

Kata aktif, yang digunakan dalam bidang ilmu linguistik, menunjukkan subjek ayat melakukan sesuatu terhadap objek. Maknanya, objek mengalami (menderita) oleh makna kata kerja aktif tersebut. Contohnya:

4. Hafiz memukul bulu tangkis dengan raketnya.

Dalam ayat 4, pelakunya, iaitu subjek ayat (Hafiz) melakukan perbuatan pukul terhadap objek ayat (bulu tangkis), dan objek menerima kata kerja aktif “memukul”. Oleh itu, ayat 4 itu dikatakan ayat aktif.

Dalam bidang ekonomi pula, khususnya yang berkaitan dengan pasaran saham, kata aktif juga kerap digunakan. Contohnya:

5. Warta Perdana menyiarkan berita tentang tujuh saham yang paling aktif apabila Bursa Saham ditutup.

Satu lagi makna kata aktif ialah giat. Perhatikan penggunaannya dalam ayat yang berikut:

6. Dato’Asyraf aktif dalam pergerakan politik. Atau

6. (a) Dato’Asyraf giat dalam pergerakan politik.

Daripada kata aktif, terbit bentuk kata aktiviti. Kata ini merupakan padanan daripada kata bahasa Inggeris activity.

7. Puan Rosmawati berminat dalam aktiviti sosial, sukan dan budaya.

Dalam bahasa Melayu, activity bermaksud kegiatan. Jadi, kata aktiviti dalam ayat 7 itu boleh digantikan dengan kegiatan.

Kata aktiviti digunakan juga dalam beberapa kata istilah khusus bidang tertentu, seperti dalam bidang pentadbiran, bidang sains, bidang linguistik, dan lain-lain. Misalnya, dalam bidang pentadbiran, perniagaan dan ekonomi ada istilah seperti akaun aktiviti (activity account), nisbah aktiviti (activity ratio) dan persampelan aktiviti (activity sampling).

Dalam bidang sains, dan linguistik terdapat istilah nitrogen aktif (active netrogen), jisim aktif (active mass), dan ayat aktif (active sentence).

Orang yang melibatkan diri dalam sesuatu kegiatan secara aktif digelar aktivis (activist). Contoh ayat:

8. Pada setiap kali sambutan ulang tahun kemerdekaan, kerajaan memberikan penghormatan yang istimewa kepada tokoh-tokoh yang menjadi aktivis gerakan kemerdekaan negara.

Kata nama terbitan bagi kata aktif ialah keaktifan, yang bermaksud perihal bertindak dengan cergas. Ayat contohnya:

9. Kerana keaktifan dan semangat juangnya yang kental, Dato’ Murad sentiasa dipilih sebagai presiden parti pada setiap kali mesyuarat agung parti tersebut diadakan.

Seperti halnya dengan kata aktiviti, kata keaktifan juga digunakan untuk istilah sains. Misalnya, penalar keaktifan (activity constant), dan pekali keaktifan (activity coefficient).

Akhir sekali ialah aktivisme (activism). Aktivisme bermaksud amalan yang berteraskan tindakan kekerasan untuk mencapai sesuatu tujuan, khususnya tujuan politik.

Demikianlah huraian tentang kata aktif, iaitu salah satu kata serapan daripada kata bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Sesungguhnya amat digalakkan, kita menggunakan kata dalam bahasa Melayu yang sama maksudnya dengan kata aktif serta kata-kata terbitan daripadanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Risiko internet


Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

Aktiviti dalam talian tanpa sempadan, kawalan dedah remaja dengan pelbagai risiko

KETIKA ibu bapa mula menutup lampu bilik untuk tidur, sedarkan mereka bahawa anak remaja mereka masih berjaga, lampu bilik masih menyala dan komputer masih terpasang. Apa yang mereka lakukan di dalam bilik ialah melayari dunia siber tanpa sempadan bersendirian.

Jika diacukan kepada ibu bapa soalan 'Adakah anda tahu di mana anak anda di dalam talian - jawapannya ialah tidak tahu'.

Itulah kelemahan dan kurangnya kesedaran ibu bapa mengenai kepelbagaian aktiviti dalam talian dilayari remaja hari ini yang sebenarnya datang bersama dengan pelbagai risiko.

Berdasarkan kajian 'Norton Online Living Report (NOLR) di Malaysia' mengenai tabiat penggunaan internet di negara ini, pasti ibu bapa terkejut kerana remaja di negara ini sebenarnya menghabiskan masa 16 jam seminggu melayari internet.

Jumlah itu sebenarnya enam jam lebih banyak daripada masa purata NOLR peringkat global berdasarkan kajian ke atas 12 negara utama dunia dan ia juga empat jam lebih banyak daripada ibu bapa mereka.


Hakikatnya, itulah yang tidak disedari ibu bapa yang menyangkakan anak mereka cuma melayari internet pada masa tertentu saja, sedangkan kajian mendapati mereka sebenarnya menghabiskan masa dua kali lebih banyak daripada apa yang difikirkan mereka.

Walaupun di rumah dan sekolah, remaja hanya dibenarkan memasuki akses internet popular iaitu yang dibenarkan saja. Keadaan ini sebenarnya menjadikan mereka semakin ghairah mencari persekitaran alternatif yang jauh dari pandangan ibu bapa, terutama keluarga yang sentiasa sibuk.

Disebabkan itulah, 31 peratus daripada mereka melayari internet di kafe siber yang boleh didapati di mana-mana, manakala bagi remaja yang mempunyai rakan atau komputer riba persendirian, kajian mendapati 26 peratus daripada mereka gemar melepak di rumah rakan melayari internet.

Isu yang menarik dibincangkan ialah apa sebenarnya yang dilakukan remaja di dalam talian, adakah mereka memanfaatkan kemudahan itu untuk sesuatu yang berfaedah atau sekadar mencari keseronokan yang akhirnya memakan diri serta menjadi faktor penyumbang gejala sosial.


Ketua Urusan Pengguna, Kawasan Asia Selatan Symantec, Effendy Ibrahim, berkata bagi ibu bapa yang cetek pengetahuan dan pengalaman mengenai internet berbanding anak mereka, isu itu boleh menjadi punca kebimbangan utama mereka seperti ditemui melalui hasil kajian NOLR.

"Internet ialah satu sumber yang bagus, pelbagai, peluang mencari sesuatu maklumat yang agak mustahil untuk didapati serta mempunyai sejuta peluang mencari kawan baru dan mengenai pelbagai jenis manusia di dalam talian. Namun bagaimana penggunaannya, itu yang menjadi persoalan," katanya.

Walaupun 72 peratus ibu bapa mendakwa mengetahui aktiviti anak mereka ketika melayari internet, bukti kajian menunjukkan daripada senarai aktiviti yang dipilih, dipersetujui bersama ia sebenarnya berlawanan, berbeza daripada tanggapan serta realiti apa yang dilakukan anak mereka.

Dengan kata mudah, lain yang dibenarkan, lain pula yang dicari. Itu yang ditegah, itulah yang akan diselongkar dan dibongkar kerana melakukan sesuatu yang terlarang itu memang godaan kuat.

Jika ibu bapa bersikap sambil lewa dan tidak begitu menghiraukan aktiviti internet anak mereka, sudah pasti mereka terkejut dengan hasil laporan NOLR kerana 60 peratus daripada mereka cuma menghabiskan masa melayari laman sembang dan berbual di dalam talian dengan individu tidak dikenali.

Effendy berkata, ia berlaku lebih daripada sekali dalam tempoh seminggu dan 51 peratus daripada mereka berdepan risiko tanpa disedari kerana mendedahkan maklumat peribadi di dalam talian.

"Empat daripada lima remaja didapati mengakses bahan haram atau tidak berlesen. Ibu bapa percaya sebahagian besar aktiviti di dalam talian yang dilayari anak cuma terbatas kepada elemen hiburan dan aktiviti perjudian komputer (games) tetapi elemen itu bukan keutamaan remaja.

"Hakikatnya, mereka melayari sesuatu di luar batasan dan kawalan kerana internet boleh dilayari tanpa sempadan. Mereka melayari aktiviti yang dikategorikan berfrekuensi tinggi iaitu video (91 peratus), rangkaian sosial (89 peratus) dan muat turun pelbagai fail (91 peratus)," katanya.

'Ibu bapa perlu ambil tahu ketika anak dalam talian'

BIARPUN dilanda kesibukan bekerja tanpa banyak masa dihabiskan memantau aktiviti anak di rumah atau sekolah, ramai ibu bapa di Malaysia mengakui mereka sanggup dan sudah melakukan sesuatu yang lebih baik untuk melindungi anak mereka ketika melayari internet.

Sebanyak 58 peratus daripada responden percaya kawalan ibu bapa adalah kaedah berkesan mencapai sasaran mengurangkan penularan gejala negatif melalui internet.

Kajian mendapati 45 peratus ibu bapa menegur anak mereka melakukan sesuatu yang salah atau tidak sesuai dalam talian dan 39 peratus daripada mereka mengintip penggunaan internet anak.

Menyedari keadaan yang tidak begitu sihat kerana mudah terdedah kepada pelbagai ancaman dan risiko, 77 peratus ibu bapa sudah menasihati anak mereka supaya mengamalkan tabiat baik dan memilih talian selamat, manakala 60 peratus daripada mereka menyediakan set kawalan internet yang dikawal ibu bapa.

Ketua Urusan Pengguna, Kawasan Asia Selatan Symantec, Effendy Ibrahim, menjelaskan walaupun beberapa langkah positif sudah diambil, hakikatnya internet sudah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan hingga menyebabkan wujudnya batas sempadan antara ibu bapa dan anak kanak.

"Isu mengenai kanak-kanak bertemu dalam talian dan bagaimana kita boleh melindungi mereka dengan pengetahuan yang cetek, sedangkan semua risiko itu tidak pernah berkurangan.

"Hasil kajian ini boleh dijadikan peringatan kepada keluarga kerana ibu bapa mengambil masa untuk memahami tabiat dan hala tuju anak sama ada di dalam talian atau aktiviti luar. Pendekatan sesuai ialah membenarkan mereka melayari internet tetapi dengan pengawasan dan perlindungan mencukupi," katanya.

Selain remaja, orang dewasa juga sebenarnya berisiko ketika berurusan dan melayari internet kerana 45 peratus daripada mereka tidak yakin maklumat peribadi mereka di talian tidak selamat.

Namun, sebahagian besar percaya penipuan dalam talian hanya berlaku kepada individu cuai terhadap maklumat peribadi dan mereka cukup yakin boleh melayari laman web rasmi tanpa sebarang keraguan.

Hakikatnya, semua itu bukannya satu hak eksklusif kerana sebarang pencerobohan, memanipulasi dan penipuan boleh dilakukan oleh mereka yang berniat jahat. Laman web sah dan rasmi juga berisiko dan boleh menjadi ancaman kepada pelawat tanpa mereka sedari.

Hakikatnya, orang dewasa dan remaja Malaysia sebenarnya berdepan dengan sesuatu yang sangat berisiko berdasarkan fakta kajian berikut iaitu:

  • Seorang daripada setiap lima dewasa menyimpan kata laluan mereka dengan menulis pada sekeping nota yang diletakkan berhampiran komputer mereka.

  • 24 peratus orang dewasa menggunakan kata laluan sama untuk semua urusan.

  • 48 peratus orang dewasa terlalu bergantung kepada perisian bebas AV dengan hanya 16 peratus menganggap tahap kemahiran komputer mereka cemerlang.

  • Lebih satu perempat orang dewasa itu memeriksa 'lari imbas' AV setiap bulan atau kurang.

  • Hanya 34 peratus remaja mempunyai fail sokongan dalam komputer.

    INFO: Kajian NLOR di Malaysia
  • Dikendalikan Saffron Hill bagi pihak Symantec antara 14 April 2009 hingga 4 Mei 2009 Responden
  • 397 orang dewasa berusia 20 tahun ke atas, termasuk 93 keluarga yang mempunyai anak berusia 8 hingga 17 tahun)
  • 35 remaja berusia 15 hingga 19 tahun.

    Kajian NLOR global:
  • Responden: 9,000 dewasa dan remaja
  • 12 negara: Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali, Sweden China, Jepun, India, Australia, Brazil.
  • 7 daripada 10 dewasa berpendapat internet membantu mereka menjadikan hubungan lebih baik.

    Hasil kajian global:
  • 92 peratus menggunakan pangkalan e-mel untuk komunikasi dengan kawan dan keluarga.
  • 42 peratus menggunakan web cam, dengan China mencatatkan penggunaan paling tinggi (74 peratus), India (68 peratus), Brazil (66 peratus) dan Perancis (53 peratus).
  • Separuh daripada orang dewasa menggunakan jaringan sosial.
  • 7 daripada 10 mengakses foto secara on-line dan guna IM
  • 24 peratus layari laman sosial Twitter.

  • Sumber: http ://www.bharian.com.my/