Rabu, 27 April 2011

ISU BAHASA : Siapa berani daulatkan BM?

Oleh Azman Anuar

DALAM beberapa hari lalu, pemimpin masyarakat bercakap semula tentang bahasa kebangsaan. Cerita tentang bahasa ini sekejap tenggelam, sekejap timbul.

Masa isunya timbul, tak ada pun tindakan berkesan dari segi undang-undang diambil untuk perbetulkan mana yang salah. Isu berlalu begitu sahaja dengan janji-janji akan dilakukan.

Apabila isu bahasa kebangsaan dibangkitkan kembali, ada pihak dipersalahkan dan ada pihak lain mempertahankan pendiriannya. Jarang-jarang ada pihak yang mahu mengaku kelemahan sendiri.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 1956 diamanahkan sebagai institusi penjaga kedaulatan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Memang itu pun tugas, fungsi dan agenda yang perlu dimainkan oleh badan berkanun itu hingga kini.

Dahulu, DBP tempat lahirnya pejuang sastera dan bahasa Melayu yang hebat. Hari ini, tak ramai yang muncul ke hadapan untuk mengangkat kembali tugas utama DBP – mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Mereka yang berjiwa besar untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ini pasti masih ada di dalam bangunan tinggi berbumbung lambang buku gergasi itu. Kecuali, kalau-kalau ada pegawai DBP yang kurang bersemangat atau sudah tidak rasa apa-apa terhadap peranan utama mereka kepada negara dan bangsa.

DBP tidak boleh menampakkan kepada orang ramai bahawa badan berkanun itu sudah letih apabila segala teguran dan permintaannya tidak dihormati oleh pihak lain.

Malah beberapa kali Akta DBP dipinda tetapi masih tidak diberi kuasa penguatkuasaan. Yang ada kuasa seperti dimiliki oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pun tidak dimanfaatkan.

Selagi DBP tidak ada kuasa menghukum, entah bila kita akan dapat melihat semua jabatan kerajaan dan sektor swasta benar-benar menghormati penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala urusan masing-masing.

Tambahan pula sekarang bagaikan ada gelombang membuatkan orang ramai ‘malu-malu’ untuk menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul. Kita tahu punca dan faktor pendorongnya. Pemimpin kerajaan yang terdiri daripada orang Melayu sendiri pun kadang kala tak banyak membantu mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Kalau begini keadaannya, sampai bila DBP harus menggunakan pendekatan mendidik dan berlembut? Sudah 55 tahun DBP memainkan peranannya dan hampir 54 tahun negara kita merdeka – tetapi kedudukan bahasa kebangsaan masih di takuk lama. Melayu, Cina, India, Iban, Kadasan dan kaum-kaum lain masih mengguna bahasa tunggang-langgang.

Apa tindakan DBP terhadap kian banyak kesalahan bahasa misalnya pada papan iklan premis perniagaan. DBP mungkin menjawab ia tugas PBT dan PBT pula boleh memberi pelbagai alasan. Masing-masing cuba lepas tangan. Hal ini yang kita dengar dan perhatikan saban tahun tanpa penyelesaian.

Agaknya siapa yang berani mengubah kelemahan dan kegagalan kita hari ini supaya semua rakyat menghormati dan mendaulatkan bahasa kebangsaan?

Sumber : http : //ww.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Rancangan Televisyen, Radio Guna Bahasa Melayu Dengan Betul

JELEBU: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mahukan supaya bahasa Melayu digunakan dengan betul dalam semua rancangan di radio dan televisyen.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata rakyat Malaysia tidak perlu khuatir untuk mengucapkan bahasa Melayu dengan jelas dan betul kerana bahasa itu setanding dengan bahasa Inggeris.

"Kita harus gunakan bahasa Melayu di dalam mesyuarat rasmi, dan perlu ada usaha untuk jadikan sehari atau dua di dalam seminggu sebagai hari bertutur dalam bahasa Melayu dengan betul," katanya kepada pemberita pada majlis kampung wifi di Dewan Besar Felda Pasoh 3 di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai teguran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lepas yang mengatakan bahawa sikap malu dan rendah diri masyarakat untuk bertutur dalam bahasa Melayu menyebabkan bahasa itu seolah-olah terpinggir di bumi sendiri.

Dalam mengiakan kata-kata Muhyiddin itu, Rais memberi contoh dalam menjalankan tugasnya sebagai menteri, beliau sering menerima surat rasmi dari pihak swasta yang menggunakan bahasa Inggeris.

"Pihak swasta harus sedar, bahasa Melayu itu adalah lingua franca, saya sendiri banyak terima surat mereka dalam bahasa Inggeris, saya secara hormat menjawabnya dalam bahasa Melayu," katanya.

"Selepas sekian lama merdeka pihak swasta masih lagi tulis dalam bahasa Inggeris, seolah-olah kita ini dibelenggu Inggeris," tambahnya.

Sementara itu, Rais mengumumkan bahawa Negeri Sembilan merupakan negeri yang paling tinggi kadar penembusan jalur lebar di Malaysia.

Katanya di Negeri Sembilan kadar penembusan teknologi itu adalah 67 peratus berbanding hanya 57.9 peratus di negeri-negeri lain. - BERNAMA

ISU KESIHATAN : Penjaga wajar didik anak cara pemakanan sihat

LANGKAH proaktif Kementerian Kesihatan mengeluarkan senarai makanan yang dilarang penjualannya di kantin sekolah bagi membendung masalah obesiti di kalangan pelajar pastinya disambut baik ibu bapa. Kelmarin, sejumlah 15 jenis makanan ‘tidak sihat’ dan kira-kira 70 lagi dihadkan penjualannya di kantin sekolah rendah dan menengah mengikut Garis Panduan Pemakanan Sihat di Sekolah berkuat kuasa bulan depan.

Sebagai masyarakat yang semakin prihatin soal pemakanan dan kesihatan diri, kita yakin apa juga langkah kerajaan dalam menangani masalah kegemukan dan diabetes dalam kalangan pelajar akan mendapat sokongan rakyat. Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002-2008 mendapati satu daripada empat kanak-kanak mengalami obesiti di negara ini. Kajian itu juga mendapati masalah obesiti kalangan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun meningkat daripada 9.7 peratus pada 2001 kepada 13.7 peratus pada 2007, akibat amalan pemakanan tidak sihat dan aktiviti fizikal tidak aktif.

Hakikatnya, 76 peratus kanak-kanak kini didapati menghabiskan sebahagian besar masa menonton televisyen atau duduk di hadapan komputer. Justeru, usaha menangani masalah ini harus dilakukan segera, menerusi pelbagai cara termasuk mengubah tabiat pemakanan. Sebahagian besar makanan dan minuman yang dijual di kantin sekolah dan juga di luar pagar sekolah mempunyai kandungan gula berlebihan dan tidak menyihatkan. Kanak-kanak secara semula jadi sememangnya suka pada sesuatu yang berwarna-warni serta makanan dan minuman manis.

Oleh itu, tidak hairanlah kenapa mereka menyukai gula-gula, coklat, konfeksi ais, aiskrim serta makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan jajan yang sebelum ini dijual tanpa kawalan di kantin sekolah. Kesedaran mengenai kandungan bahan yang menggemukkan membuktikan bahawa akal dan pemikiran rakyat Malaysia sudah semakin matang dan mengutamakan pemakanan sihat. Oleh itu, hasrat kerajaan mengehadkan jenis makanan tidak sihat di sekolah wajar disokong dan dilaksanakan segera di sekolah. Langkah itu sudah tentu akan menimbulkan kesedaran kepada ibu bapa bahawa mereka juga perlu menyediakan menu sesuai untuk seisi keluarga.

Ibu bapa disaran supaya mengambil iktibar daripada pelaksanaan program pemakanan sihat di sekolah dengan melakukan perubahan ketika menyediakan makanan di rumah. Mereka juga perlu mengurangkan kunjungan ke restoran makanan segera. Selain mengawal makan minum, setiap keluarga juga perlu mengamalkan budaya hidup sihat dengan melakukan kegiatan sukan dan beriadah. Kita akui semakin banyak keluarga menyedari pentingnya melakukan riadah sekurang-kurangnya satu jam sehari bagi mengekalkan tahap kesihatan masing-masing. Selain menikmati badan yang sihat, riadah bersama keluarga dapat mengeratkan hubungan di antara anak dan ibu bapa.

Bagi menjayakan setiap program pemakanan sihat di kalangan rakyat, kerajaan juga harus mengawal iklan yang mempromosikan produk makanan tidak berkhasiat, termasuk makanan segera menerusi media. Ketegasan pihak penguat kuasa di sekolah amat diperlukan agar pelaksanaannya tidak dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Keberkesanan langkah itu bukan hanya terletak di tangan pentadbir sekolah, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/