Rabu, 4 November 2009

12 terima biasiswa Yang di-Pertuan Agong

Penuntut-penuntut yang menerima biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2009 gembira selepas istiadat pengurniaan biasiswa itu oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan mengurniakan biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2009 kepada 12 penuntut institut pengajian tinggi yang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah di luar negara.

Istiadat yang berlangsung di Dewan Kecil Istana Negara itu dimulakan dengan pengurniaan biasiswa pengajian peringkat doktor falsafah kepada enam penuntut yang melanjutkan pengajian ke United Kingdom dan diikuti pengurniaan biasiswa peringkat sarjana kepada enam penuntut yang melanjutkan pengajian di Australia dan United Kingdom.

Kesemua penuntut itu akan menerima kadar bayaran elaun sara hidup 50 peratus lebih tinggi daripada kadar biasa Biasiswa Persekutuan, diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 2006. Penerima biasiswa juga tidak terikat untuk berkhidmat dengan kerajaan Malaysia dan boleh memilih untuk berkhidmat di sektor awam atau swasta, namun mereka diwajibkan pulang ke tanah air setelah menamatkan pengajian di luar negara.

Pengurniaan biasiswa ini bukan sahaja bertujuan mengiktiraf kecemerlangan penuntut dalam bidang akademik malah berkebolehan dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovasi serta mendapat tempat di universtiti terkemuka di luar negara.

Antara pelajar yang menerima biasiswa itu adalah Syahida Zainudin, 26, berasal dari Kuala Lumpur yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran dalam "Preimplantation Genetic Diagnosis" di London College University, United Kingdom.

Manakala, Sofiyah Nordin, 23, dari Kedah pula akan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Molecular Biology di Queensland University, Australia. — BERNAMA