Ahad, 11 Julai 2010

Kasih sayang, lebih perhatian mampu atasi gejala lari dari rumah

CERITA kehilangan atau kes lari dari rumah membabitkan 1,293 kanak-kanak dan remaja sejak tahun lalu sehingga April tahun ini, yang mana 654 masih belum ditemui amat membimbangkan serta menagih perhatian serius semua pihak untuk segera menanganinya. Antara alasan yang menjadi punca lari dari rumah, termasuk keinginan hidup bebas, mengikut kekasih, diperdaya ke kancah pelacuran dan ada juga dilarikan ibu bapa. Daripada 1,050 kanak-kanak dan remaja hilang tahun lalu, 839 adalah perempuan, manakala untuk tempoh empat bulan tahun ini, sebahagian besar daripada 215 kes yang dilaporkan membabitkan remaja perempuan. Berdasarkan trend semasa yang menunjukkan perkembangan negatif, sudah sampai masa semua pihak yang membabitkan ibu bapa, guru, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) duduk semeja untuk mengenal pasti punca masalah ini dan menanganinya secara menyeluruh dan berkesan. Tidak perlu mana-mana pihak mencari kesalahan atau menuding jari kepada pihak lain, sebaliknya tindakan bersepadu perlu dirangka bagi memperbaiki kelemahan yang ada.

Peningkatan kes remaja dan kanak-kanak lari dari rumah dari setahun ke setahun memperlihatkan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem kekeluargaan di negara ini. Di mana silapnya program ‘Rumahku Syurgaku’ sehingga menyebabkan generasi muda tidak betah duduk di rumah, sebaliknya lebih suka menghabiskan masa di luar rumah bersama rakan sebaya atau melepak di kompleks beli-belah. Pendedahan hasil kajian Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan (PIBGN) bersama beberapa NGO mengenai punca gejala sosial di negara ini yang menjurus kepada kelemahan ketua keluarga seperti mahu memperakui wujudnya kepincangan ketara dalam sistem kekeluargaan masyarakat kita. Menurut laporan itu, hampir 70 peratus ketua keluarga yang terdiri daripada ibu bapa di negara ini tidak berfungsi sebagai pemimpin untuk membimbing dan mencorak anak mereka ke arah kebaikan, sekali gus menjadi punca utama kes lari dari rumah meningkat. Alasan standard digunakan iaitu kesibukan di tempat kerja menyebabkan mereka tiada masa untuk bersama dengan anak, sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada pembantu rumah atau isteri yang tidak bekerja. Selain itu, kurang komunikasi antara ibu bapa dengan anak iaitu paling lama 30 minit sehari menyebabkan jurang antara anak dan ibu bapa terlalu luas. Ini menyebabkan anak lebih selesa mencari rakan di luar untuk meluahkan masalah terpendam.

Kita yakin kasih sayang dan perhatian mencukupi diperoleh di rumah mampu membendung gejala lari dari rumah kerana kasih sayang antara ibu bapa dan anak dapat mengikat satu sama lain. Sewajarnya kita sebagai ibu bapa melapangkan masa untuk bersama anak dan mengambil tahu masalah dihadapi mereka. Anak yang terabai atau tidak mendapat perhatian keluarga secara psikologinya cepat memberontak dan tidak suka duduk di rumah. Kebiasaannya, mereka inilah yang mudah dipengaruhi melakukan pelbagai perkara negatif, daripada ponteng sekolah, menghisap rokok sehingga peringkat melakukan jenayah juvana. Kemantapan sistem kekeluargaan tonggak utama membendung pelbagai gejala membabitkan remaja dan kanak-kanak kerana pendidikan bermula dari rumah, manakala sekolah hanya membantu menyempurnakannya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/