Isnin, 3 Disember 2012

Tiga tokoh akademik terima Anugerah Merdeka 2012




Oleh AQMAR ALLADAD

KUALA LUMPUR – Tiga tokoh akademik menerima Anugerah Merdeka 2012 atas sumbangan cemerlang kepada negara menerusi kepakaran dalam bidang masing-masing malam tadi.

Mereka ialah Prof. Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, 81, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Augustine Ong Soon Hock, 78, dan Dr. Engkik Soepadmo, 76.

Anugerah telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Filharmonik di sini.

Setiap penerima anugerah memperoleh hadiah wang tunai RM500,000, trofi dan sijil.

Turut hadir Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka 2012; Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Syed Muhammad Naquib menerima anugerah berprestij itu bagi kategori Pencapaian Ilmuwan Terunggul kerana peranannya sebagai seorang pemikir Islam kontemporari.

Beliau merupakan profesor pelawat terhormat di Pusat Kajian Lanjutan mengenai Islam, Sains dan Tamadun Universiti Teknologi Malaysia.

Soon Hock yang juga Presiden Persatuan Reka Cipta dan Reka Bentuk Malaysia pula, dipilih bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi berikutan penyelidikan dan pembangunan kimia serta teknologi minyak kelapa sawit.

Engkik yang merupakan profesor ekologi di Universiti Malaya dipilih bagi kategori Sumbangan Cemerlang Kepada Rakyat Malaysia.

Beliau yang berasal dari Indonesia menjalankan penyelidikan secara khusus dalam kepelbagaian spesies, struktur dan fungsi ekologi hutan hujan tropika yang kompleks di Asia terutamanya di Malaysia.

Najib dalam ucapannya pada majlis itu berkata, kerajaan memberi jaminan akan meneruskan polisi dan pelaburan yang menyokong dasar ekonomi berasaskan ilmu sains serta teknologi.

Beliau selaku penaung Anugerah Merdeka berkata, usaha itu harus dilaksanakan bertujuan membantu penyelidikan dan pembangunan serta infrastruktur teknologi maklumat seiring dengan negara maju.

“Malaysia perlu bersedia untuk bersaing dengan negara maju. Para pekerja, pelajar dan pedagang harus memainkan peranan untuk berjaya di mata dunia. Saya yakin penerima-penerima anugerah hari ini akan mengesahkan yang ia perlu bermula dengan pembelajaran,” katanya.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tarikh Akhir Permohonan Online Kemasukan Ke Tingkatan Satu MRSM 2013 Dilanjutkan Ke Rabu


KUALA LUMPUR : Tarikh akhir permohonan online kemasukan ke Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) 2013 dilanjutkan sehingga Rabu ini.

MARA dalam satu kenyataan di sini memaklumkan pemohon atau pelajar yang telah mendapat kata laluan di Pejabat MARA Negeri atau Pejabat MARA Daerah atau MRSM, boleh mengisi borang permohonan online pada alamat URL http://mohon.mrsm.edu.my/form1/login.jsp.

"Log masuk menggunakan nombor surat beranak atau nombor kad pengenalan sebagai id pengguna dan gunakan kata laluan yang diberikan," menurut kenyataan itu.

Para pelajar diminta menghantar permohonan secara online pada atau sebelum Rabu ini bagi memasuki MRSM, selain menghantar cetakan borang serta dokumen yang berkaitan ke alamat Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Tingkat 19,  Ibu Pejabat MARA, Jalan Raja Laut, 50609 Kuala Lumpur.

Untuk sebarang maklumat mereka boleh menghubungi 03-26132000, 26134541, 26134542, 2613 4543, 2613 9070, 2613 9071 atau faks ke 03-2691 1658. - BERNAMA

ISU EKONOMI : Kredibiliti Sijil Halal Penting Jadikan Malaysia Hab Halal Serantau



BANGI: Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata adalah penting untuk orang ramai berasa yakin dengan sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha menjadikan negara ini sebagai hab halal di rantau ini.

Beliau berkata kerana itulah kadang kala pihak Jakim mengambil masa yang agak lama untuk mengeluarkan sijil halal, berikutan piawaian yang ditetapkan adalah tinggi dan ketat.

"Sekarang ini saya difahamkan banyak negara yang bawa produk mereka ke negara kita, buat pembungkusan di sini dan gunakan logo halal Jakim untuk dieksport ke luar kerana negara luar seperti di Timur Tengah memang mempercayai logo halal Jakim berbanding logo dari negara lain.

"Jadi kalau kita nak jadikan Malaysia sebagai hab halal, ia akan berjaya kalau orang yakin," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil halal kepada sembilan francaisi Tutti Frutti Malaysia di sini, Isnin.

Dalam ucapannya sebelum itu Ismail Sabri berkata walaupun undang-undang tidak mewajibkan pengusaha restoran dan kedai makan di negara ini mendapatkan sijil halal, namun mereka perlu peka dengan kehendak masyarakat yang mementingkan soal kebersihan dan kehalalan makanan.

Beliau berkata sehingga kini hanya kira-kira 30 peratus daripada rangkaian francais di negara ini yang mempunyai sijil halal.

"Saya galakkan dan saya harap lebih ramai pengusaha restoran mendapatkan sijil halal supaya dapat menarik lebih ramai pelanggan terutama yang beragama Islam.

"Pengguna pula perlu bijak buat pilihan dan tidak perlu menyalahkan kerajaan sekiranya sesebuah restoran itu tidak mempunyai sijil halal kerana mereka mempunyai pilihan untuk menolak restoran jenis itu," katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata beliau dan delegasi kementerian akan ke Hong Kong Rabu ini untuk mempromosikan pelbagai produk industri kecil dan sederhana (IKS) dari negara ini melalui program Taste of Malaysia.

Selain itu beliau juga akan menghadiri Franchise Exhibition yang disertai oleh 12 francaisor dari negara ini, katanya. - BERNAMA

ISU EKONOMI : 241,740 diisytihar muflis hingga April


KUALA LUMPUR - Seramai 241,740 individu diisytihar bankrap di negara ini setakat April lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 52,917 kes berlaku di Selangor dan 42,843 di Wilayah Persekutuan, manakala 70 peratus adalah lelaki dan selebihnya wanita.

"Pinjaman kenderaan menunjukkan kes kebankrapan yang paling tinggi iaitu 25.21 peratus, diikuti pinjaman persendirian 13.15 peratus, pinjaman perumahan 12.31 peratus, pinjaman perniagaan 11.26 peratus dan kad kredit 4.9 peratus,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Lim berkata, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa kerajaan akan mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967, yang dilihat terlalu ketat dan membebankan rakyat, adalah tepat pada masanya.

"Saya menyokong pindaan Akta Kebankrapan ini. Saya berharap pada pindaan kali ini, bank atau institusi kewangan hendaklah mencari peminjam dahulu dan bukannya seperti sekarang ini yang meletakkan bebanan atas penjamin sehingga mereka diisytiharkan muflis," katanya.

Lim berkata, kajian juga perlu dibuat atas peningkatan kes bankrap bagi pinjaman kenderaan selain memberi perhatian terhadap golongan muda yang diisytihar bankrap.

"Kes bankrap individu di bawah umur 25 tahun semakin meningkat, dan kita tidak mahu mereka yang baru dua tiga tahun bekerja sudah bankrap.

"Perlepasan daripada kebankrapan juga perlu dilonggarkan supaya orang muda yang sudah bankrap diberi peluang kedua, terutama dalam bidang perniagaan," katanya. - Bernama