Isnin, 8 Ogos 2011

ISU EKONOMI : Transformasi meningkatkan pendapatan nelayan tradisional

Oleh Azman Anuar

NEGARA menyambut Hari Peladang, Penternak dan Nelayan kali ke-37 pada 6 Ogos (Sabtu) lalu. Walaupun di bulan Ramadan tiada acara besar-besaran diadakan tetapi harus juga direnungi akan nasib peladang, penternak dan nelayan.

Antara ketiga-tiga golongan ini, nelayan masih tertinggal. Kita harus sedar peranan nelayan amat penting. Kita tidak boleh menjamu juadah dari laut seperti ikan, ketam, udang dan kerang jika nelayan tidak turun ke laut.

Antara ketiga-tiga golongan ini, nelayan masih tertinggal. Kita harus sedar peranan nelayan amat penting. Kita tidak boleh menjamu juadah dari laut seperti ikan, ketam, udang dan kerang jika nelayan tidak turun ke laut.

Masalah nelayan terutama nelayan tradisional masih tidak banyak berubah meskipun pemimpin di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bertukar ganti.

Kenapa masalah mereka tidak berubah? Banyak juga bantuan dan insentif dihulurkan kerajaan bagi membantu kehidupan nelayan ini. Kehidupan nelayan tradisional ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ini menunjukkan kebanyakan nelayan masih lagi berada di bawah paras kemiskinan.

Kita tidak boleh nafikan nelayan adalah golongan yang rajin bekerja mencari rezeki. Masalah sebenar ialah waktu untuk mereka turun ke laut tidak menentu sebab nelayan bergantung kepada kedudukan air laut.

Dalam sebulan hanya beberapa hari sahaja mereka boleh ke laut. Mereka menghadapi keadaan ombak besar, musim air pasang surut yang mempengaruhi hasil tangkapan.

Mereka berpengalaman, tetapi apa erti pergi ke laut juga jika tidak mendapat hasil tangkapan memuaskan.

Masalah nelayan tradisional memang berpunca daripada beberapa faktor seperti saiz bot yang kecil, uzur dan kurang kuasa enjin, tahap penggunaan teknologi rendah serta masih terlalu bergantung kepada peralatan tradisional untuk menangkap hasil laut.

Menteri yang bertanggungjawab hal ehwal nelayan ialah Datuk Seri Noh Omar. Tiada siapa yang mahu membiarkan kehidupan nelayan selama-lamanya di bawah garis kemiskinan.

Sebab itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ini merangka pelan transformasi untuk membantu nelayan dengan memberi pinjaman untuk pembelian sebuah bot bernilai lebih RM200,000 melalui perkongsian lima orang nelayan.

"Jadi dengan menggunakan bot besar mereka boleh lama turun ke laut. Kerajaan mahu menggalakkan nelayan berubah sikap dan bukan lagi turun ke laut secara harian, sebaliknya mungkin boleh turun selama seminggu baru pulang membawa hasil tangkapan," kata Noh.

Bagi memastikan nasib nelayan tidak terpinggir daripada arus pembangunan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil inisiatif melaksanakan beberapa pendekatan, antaranya memberi bantuan pinjaman modal kepada pemilik kapal yang berminat untuk bergabung bagi mengusahakan sebuah kapal.

Program ini menggabungkan tiga hingga lima nelayan tradisional secara penubuhan syarikat di mana hak miliknya adalah secara bersama. Pengurusan operasi dan pemasaran pula dijalankan oleh syarikat yang ditubuhkan atau melalui Persatuan Nelayan.

"Namun, perkongsian bot ini juga kurang mendapat sambutan. Ini kerana mereka sudah biasa pergi ke laut bersendirian dan bila berkongsi bot, mereka agak kekok.

"Jadi sekarang kita memberi tumpuan membina insan dan mengubah sikap kepada anak-anak nelayan untuk mengambil peranan ini," jelas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu.

Untuk membantu nelayan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membelanjakan kira-kira RM100 juta pada 2009 dan 2010 untuk menaik taraf dan mengubah suai jeti nelayan di seluruh negara.

Melalui pendekatan ini, jeti tidak harus dijadikan sebagai tempat pendaratan ikan semata-mata tetapi sebagai pusat kegiatan agro-pelancongan dan sebagainya.

"Jadi nelayan boleh menjalankan aktiviti-aktiviti menambah pendapatan. Mereka boleh membuka restoran, pasar ikan, memancing, menjual ikan bakar dan lain-lain.

"Ini juga akan membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan pendapatan nelayan sekali ganda menjelang tahun 2020," kata Noh.

Bagaimanapun, kata Noh, masalah lama yang menghimpit kehidupan nelayan ialah pengaruh orang tengah. Kerajaan sedang memikirkan bagaimana hendak memecahkan peranan orang tengah dalam kehidupan nelayan. Menurut beliau, nelayan sudah biasa meminjam dengan orang tengah apabila tidak turun ke laut. Bila turun ke laut, hasil tangkapan terpaksa pula dijual kepada orang tengah untuk tolak hutang pinjaman.

"Kadang-kadang susah untuk membantu selesaikan masalah nelayan selagi mereka terikat dengan orang tengah," katanya.

Noh menyeru nelayan di seluruh negara supaya menjual hasil tangkapan kepada persatuan nelayan dan agensi yang berkaitan. Beliau menjelaskan, langkah itu perlu bagi mengurangkan pengaruh orang tengah yang dilihat membebankan nelayan selama ini.

Kita ada Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tetapi nelayan masih menjual hasil tangkapan kepada pihak lain.

"Jika perkara ini berterusan, nasib nelayan tidak akan berubah dan berada di takuk lama kerana memperoleh keuntungan yang rendah," kata pemimpin Selangor itu.

Nasib nelayan memang tidak jemu-jemu dibantu oleh kerajaan. Lalu skim insurans untuk nelayan disediakan. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Agrobank bercadang mewujudkan satu skim insurans khas bagi melindungi 60,000 nelayan berdaftar di seluruh negara.

"Langkah ini supaya apa-apa musibah yang berlaku kepada nelayan, sekurang-kurang ada pembiayaan untuk melindungi keluarga nelayan. Bila rumah terbakar, atau nelayan jatuh sakit sedangkan kehidupan mereka adalah susah," kata Noh.

Banyak pendekatan dalam mentransformasi pendapatan nelayan sedang dijalankan. Selain melanjutkan lesen daripada setahun kepada dua atau tiga tahun, mencipta peluang perniagaan kepada nelayan dan aktiviti akuakultur, Noh juga memperkenalkan lesen nelayan rekreasi.

Pengeluaran permit itu membolehkan nelayan membawa pelancong untuk mengalami sendiri aktiviti memancing ikan atau mencandat sotong di perairan Malaysia yang luas.

Noh juga menjelaskan kerajaan telah memberi insentif pendaratan ikan sebanyak 10 sen bagi setiap kilogram selain elaun sara hidup RM200 sebulan kepada nelayan.

Nasib nelayan di negara ini akan terus dibela dengan penyusunan program terancang bagi menjadikan golongan itu sebagai nelayan moden.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/