Sabtu, 28 Ogos 2010

BUDAYAKAN BM TANDA PATRIOTIK

Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my

MEMARTABATKAN bahasa Melayu (BM) bukan setakat dalam sistem pendidikan, kata pensyarah bahasa, Dr. Mashudi Bahari kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, penggunaan Bahasa Kebangsaan itu perlu diperluaskan di luar lingkungan pendidikan mencakupi semua urusan sama ada rasmi dan tidak rasmi tanpa kompromi.

"Dasar Memartabatkan BM dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) merupakan bukti kesungguhan kerajaan menjulang bahasa itu ke tahap yang tertinggi," katanya.

Malangnya masih terdapat urusan yang menggunakan bahasa Inggeris seperti dalam bidang pengiklanan, perundangan khususnya yang melibatkan perjanjian sewa beli dan juga dalam komunikasi awam.

"Senario ini membayangkan seolah-olah tiada kesinambungan antara ilmu yang dipelajari di sekolah dengan penggunaannya dalam kehidupan seharian,"jelasnya.

Malah dalam perbualan sesama orang Melayu pun, mereka 'selesa' berbahasa Inggeris atau berbahasa rojak. Apatah lagi jika ada kaum lain dalam kumpulan perbualan itu.

Lebih mendukacitakan, terdapat juga agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengagungkan bahasa asing itu terutamanya dalam pembentangan kertas kerja, mesyuarat atau penyediaan cadangan perniagaan. Urusan surat menyurat dan dokumentasi juga kebanyakannya dalam bahasa Inggeris.

Selalunya, tiada terma yang tepat dalam bahasa Melayu dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan tersebut. Ia menjurus kepada bidang baru yang berkaitan sains dan teknologi.

Hakikatnya, menurut Mashudi, negara kita mempunyai ramai pakar rujuk untuk menterjemah dan mencari istilah yang sesuai.

"Selain Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), setiap institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan juga mempunyai pakar bahasa masing-masing untuk dijadikan rujukan," ujar beliau.

Dalam banyak keadaan, bukan istilah atau perkataan yang tiada tetapi jati diri telah meluntur dari sanubari rakyat negara ini. Malah, perkataan yang digunakan bukan canggih pun!

Sekadar kosa kata biasa sahaja. Untuk kepastian, sila amati dialog dalam drama dan rancangan bual bicara di televisyen atau teliti perbualan pemanggil dengan penyampai di stesen radio.

Penggunaan bahasa penjajah itu lebih kepada pernyataan status atau untuk menunjukkan tahap pendidikan penuturnya.

Natijahnya, apabila golongan ini memegang jawatan penting dalam sesebuah organisasi, mereka cenderung mengutamakan bahasa Inggeris.

Misalnya dalam pengangkutan awam, pengumuman dibuat dalam bahasa Inggeris walaupun majoriti penumpangnya adalah rakyat tempatan. Memadai dan munasabah jika ia dibuat untuk kenderaan awam yang melibatkan laluan dari dan ke lapangan terbang.

Bukan menidakkan kepentingan bahasa Inggeris tetapi hubungan komuniti masyarakat Malaysia harus mengutamakan bahasa Melayu. Rakyat Jepun boleh, kita pun boleh.

Ayuh, kita mulakan sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 dengan memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/