Selasa, 2 Oktober 2012

ISU BAHASA : Wajibkan kuasai bahasa Melayu


Oleh : MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

KOTA BHARU 1 Okt. - Kerajaan disaran mewajibkan pelajar dan warga asing yang bekerja di negara ini menguasai bahasa Melayu dalam usaha menjamin kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr. Awang Sariyan berkata, usaha itu boleh dilakukan dengan mewajibkan mereka mengambil Ujian Kecekapan Bahasa Melayu.

Beliau berkata, pihaknya telah menggubal dasar mengenai perkara tersebut dan akan mengemukakannya kepada kerajaan serta berharap ia dapat dilaksanakan segera.

Katanya, pendekatan mewajibkan warga asing belajar bahasa tempatan telah dipraktikkan di kebanyakan negara dan turut dilalui oleh pelajar Malaysia yang menuntut di negara berkenaan.

Malangnya kata beliau, dasar tersebut tidak berlaku di negara ini dan dikhuatiri akan menyebabkan bahasa Melayu semakin hilang.

"Sebagai contoh, pelajar kita yang berada di luar negara seperti Jerman, Korea Selatan dan Jepun perlu belajar sekurang-kurang setahun untuk menguasai bahasa mereka.

"Di Malaysia warga asing ini terus menggunakan bahasa mereka dan lebih malang kita juga terpaksa mengikut mereka apabila berkomunikasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mengulas lanjut, Awang Sariyan berkata, selain warga asing, rakyat negara ini yang masih belum fasih berbahasa Melayu juga seharusnya diwajibkan mengambil ujian sama.

"Terdapat ramai rakyat di negara ini masih tidak tahu berbahasa Melayu dan situasi itu amat mengecewakan," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/