Isnin, 22 Julai 2013

ISU KEPENGGUNAAN : Menyekat dalang permainan harga


Oleh : Dr. Ahmad Zaki Ismail

KEDATANGAN bulan Ramadan pada tahun ini nampaknya dipakejkan dengan pelbagai kontroversi. Meskipun sepatutnya setiap menjelmanya bulan mulia ini umat Islam lebih tenang dan insaf serta banyak menumpukan kepada peningkatan amal ibadat tetapi nampaknya ia tidak lagi berlaku sedemikian.

Ia bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi melanda dunia keseluruhannya yang seolah-olah terlalu benci dengan penganut agama perpaduan dan pencinta keamanan ini. Seolah-olah dunia sekarang benar-benar membenci penganut Islam dan sentiasa memandang serong ataupun lebih buruk lagi mahu menyahkan syiar agama ini daripada muka bumi. Sedangkan umat Islam sendiri sentiasa bersabar dan selalu mengamalkan sikap bertolak ansur.

Meskipun kadang kala berlaku juga tindak balas akibat tekanan yang berlebihan yang dikenakan terhadap umat ini di seluruh dunia tetapi nampaknya ia dimainkan media dengan cara yang tidak bertanggungjawab sehingga menggambarkan orang Islam adalah pengganas yang suka kepada pertumpahan darah. Walhal apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana mereka sentiasa didiskriminasi hatta di tanah air mereka sendiri.

Dengan mukadimah yang panjang di atas kita ingin mengingatkan kepada para dalang yang bersembunyi dengan agenda busuk supaya segera menghentikan permainan mereka sebelum tabir yang melindung dan menyembunyikan mereka kita rentap untuk dibawa ke muka pengadilan.

Para pengguna sudah merasa semakin marah, geram dan hilang sabar apabila saban tahun di musim perayaan maka mereka disembelih tanpa rasa belas kasihan dengan permainan harga barang keperluan yang melambung di luar batas munasabah.

Bukan setahun dua, ia sudah berdekad lamanya dan menjadi seolah-olah satu kemestian kepada para penjaja dan peniaga menaikkan sehabis tinggi harga untuk mengoptimumkan untung mereka tanpa sedikit pun bertimbang rasa kepada para pelanggan setia mereka.

Apakah mereka lupa bahawa tindakan itu sebenarnya memberikan impak negatif kepada diri mereka sendiri sekiranya tidak diubah segera. Ini kerana, akibat daripada tindakan berkenaan sudah tentu meningkatkan kos sara hidup dan menjerut pengguna supaya mengurangkan belanja.

Tentu juga ia akan memudahkan berlakunya inflasi yang akhirnya mengurangkan keupayaan pembelian pengguna dan di hujungnya siapa yang paling teruk sekali.

Kenapa kenaikan harga barangan keperluan terutama keperluan asas ini boleh naik secara bermusim dan hanya pada musim-musim perayaan tertentu sahaja. Tentu para pembekal, pemborong dan peruncit bukanlah mereka yang dungu dan bodoh sehingga tidak tahu menguruskan stok keperluan berkenaan. Walhal mereka telah berniaga sedemikian lama. Pelik juga sekiranya mereka tidak boleh membaca trend pembelian di musim perayaan sehingga terpaksa menaikkan harga akibat kurang bekalan kononnya.

Kami di Persatuan Pengguna Islam ingin mengucapkan syabas dan setinggi tahniah kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga bekas menteri Perdagangan Dalam Negeri Kepenggunaan dan Koperasi di atas tindakan segera dan prihatin malah tegas dan berani bagi memerangi kumpulan penyangak yang kita semua kenal pasti sudah memanipulasi harga di luar batas perikemanusiaan ini.

Sebagai Menteri Pengguna sebelum ini, beliau pernah menyuarakan rasa kecewa kerana tidak dapat membanteras gejala serupa sebelumnya kerana beliau tidak mempunyai kuasa memberikan permit kepada pengimport keperluan asas berkaitan. Kini beliau sudah diberikan senjata itu, dan beliau tanpa ragu-ragu menggunakan senjatanya itu bagi mempertahankan pengguna.

Inilah contoh menteri yang bercakap serupa bikin dan bertindak bijak bagi membantu rakyat marhaen yang selama ini menyokong kepimpinan kerajaan tanpa sebarang keraguan. Mungkin kita tidak nampak impak tindakan beliau itu dengan pantas, tetapi beliau sudah memulakan langkah berkenaan dan ia bukan hanya sekadar omong kosong atau tembak angin bagi memenangi hati rakyat.

Ia sudah ditunjukkan dengan tindakan dan itu yang rakyat dan pengguna mahukan. Kita tidak mahu perniagaan ini hanya dimonopoli oleh kartel dan kerajaan serta rakyat terpaksa tunduk kepada desakan mereka kerana kononnya mereka inilah menjadi pembiaya dana untuk parti politik tertentu.

Sekarang bukan masa untuk berbasa basi lagi, rakyat mahu melihat tindakan tegas untuk mengajar borjouis pemain pasaran gelap ini supaya pulang ke pangkal jalan atau gulung tikar apabila semua agensi, para pemimpin dan para pengguna bersatu mengajar mereka siapa yang sudah mengayakan mereka selama ini.

Di Persatuan Pengguna Islam kita mempunyai para penyelidik dan penyiasat yang mengumpul maklumat mengenai apa yang sedang berlaku sekarang ini. Kita amat pasti bahawa perang harga ini bukan berlaku secara tidak sengaja tetapi sebenarnya memang sudah dirancang dan sentiasa dipergunakan semaksimum mungkin untuk mengikis pengguna menjadi miskin dan mereka sentiasa akan kaya-raya dan menjadi tuan kepada kita.

Kepada Menteri Pengguna yang baru kita meminta agar beliau turut melakukan tindakan yang seiring dengan Menteri Pertanian berkenaan. Kita isytiharkan perang besar-besaran bagi mengajar parasit kartel yang sudah terlebih lemak ini supaya mereka tahu masa mereka sudah berlalu.

Batalkan sahaja mana-mana permit dan lesen kepada mereka yang ingkar dan melanggar syarat. Beri kepada usahawan baru terutama usahawan bumiputera supaya tohmahan mereka ini tidak pandai berniaga boleh kita hapus dan basuh daripada pencemaran yang begitu lama. Apa guna lagi bersandiwara kerana Tok Dalangnya sudah kita nampak nyata, umpama kata pepatah ada tak berkesan perginya tidak luak.

Para pengguna juga pada masa sama, diseru komited kepada saranan untuk memboikot produk-produk tertentu yang harganya dijual melebihi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan. Jika kita tidak bersatu untuk bertindak maka impaknya tidak akan berjaya. Bersatu teguh bercerai roboh meskipun terpaksa berkorban nafsu makan untuk sesuatu jangka waktu tetapi ia akan menghapuskan maling siang ini untuk selama-lamanya.

Sebenarnya inilah sebahagian daripada amalan yang dituntut dan pengajaran daripada bulan puasa ini yakni belajar mengawal hawa nafsu dan patuh serta komited berjuang dan berjihad kepada perkara yang baik. Maka kita ibaratkanlah tindakan memboikot ini sebahagian daripada perang melawan nafsu dan membanteras perhambaan orang kaya kepada orang miskin. Peniaga yang menindas perlu diajar dan menyembelih pengguna bukanlah perkara yang boleh dibiarkan berterusan.

Kepada pihak penguat kuasa, mereka yang berkuasa, para penjawat awam yang diberikan amanah mari kita laksanakan tugas kita dengan penuh komited supaya arus perubahan dan transformasi kebajikan pengguna negara dapat kita realisasikan. Jangan fikirkan kepentingan diri, kesukaran dan masa bekerja yang lebih daripada biasa tetapi fikirkan ini sebagai satu perjuangan dan perang bersama. Kalau tidak dipecahkan ruyung di mana boleh kita dapati sagunya.

Para pengguna pula meskipun dalam kalangan yang berada, jangan penting diri sendiri dan culas dalam memberikan kerjasama ataupun hanya mengharap kepada orang lain menjadi pelaksana. Umpama fardhu kifayah, kena buat semua bukan satu orang buat yang lain tidak payah, akhirnya kelak semua menjadi susah.

Hanya kita sendiri yang mampu mengubah nasib kita sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada kita umat manusia. Benarlah firman Allah itu dan benarkan serta buktikan ia benar melalui agenda dan tindakan berkesan sempena bulan Ramadan.

PENULIS ialah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Pasukan Petugas Diwujud Lindungi Kanak-Kanak Daripada Jenayah Siber


KUALA LUMPUR : Kerajaan akan menubuhkan Pasukan Petugas Perlidungan Kanak-kanak Dalam Talian untuk memerangi keganasan terhadap kanak-kanak di ruang siber, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, eksploitasi dan jenayah terhadap kanak-kanak menerusi ruang siber semakin berleluasa dan kementerian memandang serius masalah berkenaan.

"Kini, anak-anak kita terdedah kepada bahaya melalui alam siber. Ia begitu berleluasa sekarang, jenayah seperti buli, peras ugut dan pornografi kanak-kanak," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat ketujuh Suruhanjaya Perlidungan Hak-hak Wanita dan Kanak-kanak (ACWC) di sini.

Rohani berkata, Timbalan Ketua Setiausaha (strategik) kementerian, Datuk Harjeet Singh ditugaskan untuk mengetuai pasukan petugas itu dan mengemukakan garis panduan komprehensif, secepat mungkin.

"Kami juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) dan agensi berkaitan hal ini," katanya.

Beliau berkata pasukan petugas itu akan mewujudkan rangkaian dalam kalangan pihak berkuasa, ibu bapa dan pihak berkepentingan lain untuk menangani isu berkenaan.

Sementara itu, Harjeet berkata pasukan petugas itu akan meneliti semua aspek berkaitan perlindungan kanak-kanak dari jenayah siber.

"Pertama, kami akan mengeluarkan garis panduan dan dari situ, kita akan mempunyai program sokongan, latihan untuk tenaga pengajar, latihan rakan sebaya, kursus untuk rakan-rakan. Ia akan menjadi penyatuan dalam pelbagai aspek untuk melindungi kanak-kanak di ruang siber," katanya.

Mesyuarat strategik tiga hari itu, dihadiri peserta dari 10 negara Asean yang membincangkan pendekatan bagi menghapuskan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

Deklarasi daripada mesyuarat berkenaan akan dikemukakan pada Sidang Kemuncak Asean di Brunei, pada Oktober. - BERNAMA

ISU PENGAJIAN TINGGI : TITAS ilmu pengenalan pelbagai tamadun


Oleh :  Alimuddin Mohd. Dom

“SUBJEK TITAS bukan bertujuan untuk mengembangkan agama Islam atau mengislamkan pelajar bukan Islam tetapi adalah untuk menggalakkan persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini."

Demikian ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis berbuka puasa di Putrajaya baru-baru ini.

Pengenalan subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia atau TITAS mengundang pelbagai reaksi di mana akan diperkenalkan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mulai sesi pengajian September ini. Reaksi pelbagai pihak itu dapat diikuti dengan melayari blog tertentu di media sosial.

TITAS mula diperkenalkan di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sejak 2006. Subjek ini wajib diambil oleh semua pelajar Melayu, Cina, India dan Bumiputera Sabah serta Sarawak. Pada umumnya pelajar tidak menghadapi sebarang masalah untuk mempelajarinya malah terdapat pelajar bukan Islam mampu mendapat keputusan cemerlang.

Penawaran subjek ini boleh memberi kefahaman dan mendedahkan pelajar kepada pelbagai tamadun yang telah menyumbang kepada pembentukkan jati diri, sahsiah dan sistem nilai yang diamalkan pada masa ini.

Apakah sebenarnya matlamat dan isi kandungan TITAS?

TITAS bertujuan memperkenalkan ilmu ketamadunan yang mencakupi tamadun Islam, Melayu, Cina, Jepun dan India. Kandungannya meliputi perbincangan isu kontemporari serta dialog peradaban berkaitan dengan sejarah, budaya dan pembinaan negara bangsa.

Umumnya perbincangan tentang perkembangan tamadun-tamadun besar di dunia bukanlah suatu yang asing kerana iaadalah suatu tradisi ilmu yang dipelajari sejak sekian lama.

Sebagai contoh perdebatan isu tamadun pernah dikemukakan oleh penulis terkenal Samuel P Huntington tahun 1993 yang mengemukakan teori pertembungan peradaban atau ‘clash of civilizations.’

Berdasarkan penulisan itu perbincangan boleh dilakukan untuk menunjukkan bahawa sejarah tamadun di Asia bukanlah semata-mata hasil daripada pertembungan atau konflik tamadun. Sebaliknya perkembangan tamadun boleh terjadi melalui interaksi elemen pembangunan, pertukaran idea dan proses pinjam meminjam antara tamadun.

Sesungguhnya pengenalan kepada kursus ini berkaitan juga dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menekankan tentang peri pentingnya disebarkan idea kedamaian dan kesejahteraan sejagat di kalangan negara-negara anggotanya. Sebagai tindakan susulan pertubuhan itu telah mengisytiharkan tahun 2001 sebagai ‘Tahun Dialog Antara Tamadun.’

Subjek TITAS turut menekankan aspek nilai-nilai sepunya yang terkandung dalam pelbagai tamadun. Nilai ini perlu dihargai dan dikongsi bersama kerana ia berupaya menyelesaikan berbagai masalah dan memupuk semangat perpaduan khususnya dalam kalangan masyarakat majmuk.

Selain itu kursus ini diharap dapat menimbulkan minat pelajar terhadap nilai-nilai tradisional dan menghayati sejarah zaman silam. Kajian terhadap pelbagai tamadun turut memberi perspektif baru kepada mereka untuk memahami dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Adalah diakui tidak semua tamadun dunia dapat diajar dalam kursus TITAS. Sebagai kursus pengajian bernilai sekadar dua unit adalah mustahil untuk memuatkan pengetahuan dan perbincangan tentang semua tamadun manusia. Pemilihan dilakukan secara bijaksana hanya tamadun tertentu dipilih untuk dijadikan bahan pembelajaran para pelajar.

Justeru isu perpaduan kaum menjadi agenda utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Oleh itu, pengetahuan mendalam dan penghayatan terhadap perkembangan tamadun bangsa dan negara adalah selaras kepada usaha untuk mencapai agenda tersebut.

Apabila pengumuman pelaksanaan subjek ini di IPTS mulai September maka berbagai pandangan dan pendapat telah diluahkan yang dapat diikuti melalui laman-laman blog tertentu di media sosial.

Premis utama hujah mereka adalah mengapa tidak TITAS dijadikan sebagai subjek elektif dan tidak dijadikan kursus wajib. Mereka menyatakan kebimbangan subjek baru ini merupakan usaha dakwah dan tarbiah yang berunsur keagamaan untuk mempengaruhi pelajar bukan Islam.

Tambah mereka, subjek ini tidak mempunyai hubungan signifikan terhadap bidang utama yang sedang dipelajari. Bagi mereka kursus ini tidak membantu kebolehupayaan pelajar untuk bersaing di pasaran pekerjaan nanti.

Ada juga di antara mereka mempersoalkan subjek ini seolah-olah tidak memberikan pembahagian yang adil di mana pemberatan hanya kepada tamadun Islam dan tidak kepada agama-agama lain.

Satu lagi isu yang dibangkitkan adalah penggunaan Bahasa Malaysia dalam pengajaran subjek ini. Dikatakan akan menimbulkan kesukaran kepada kebanyakan pelajar di IPTS kerana hampir keseluruhan pembelajaran adalah dalam Bahasa Inggeris.

Namun demikian penggunaan bahasa ini bukan merupakan isu besar kerana mengikut Akta Pendidikan Tinggi Swasta sesuatu pengajaran boleh dilakukan menggunakan bahasa lain selain daripada bahasa kebangsaan asalkan mereka membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan.

Hampir semua mereka membangkitkan isu kos dan perbelanjaan yang perlu ditanggung untuk pengajaran TITAS. Alasan mereka perlu menyediakan pensyarah baru, dewan kuliah dan pertambahan masa pembelajaran.

Ada yang berpendapat suatu penilaian semula perlu dilakukan terhadap tajuk, isi kandungan dan kurikulum subjek ini. Mereka mencadangkan jawatankuasa penilaian semula hendaklah daripada tokoh akademik dan pakar terdiri daripada berbagai kaum.

Sesungguhnya pelaksanaan TITAS di IPTS perlu mendapat sokongan kuat daripada semua pihak. Ini disebabkan pelaksanaan subjek ini akan membawa natijah yang besar kepada usaha memupuk keharmonian dan perpaduan kaum khususnya untuk generasi yang akan datang. Pelaburan dalam pendidikan hari ini akan membuahkan hasil untuk masa hadapan negara.

Dalam konteks ini Kementerian Pendidikan tidak seharusnya tunduk kepada tekanan kelompok tersebut. Hakikatnya pendedahan mengenai peradaban Islam dan peradaban Asia akan dapat mengayakan pengalaman dan persefahaman dalam kalangan generasi muda di negara ini.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UNISZA.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/