SUBJEK
TITAS bukan bertujuan untuk mengembangkan agama Islam atau mengislamkan pelajar
bukan Islam tetapi adalah untuk menggalakkan persefahaman antara masyarakat
pelbagai kaum di negara ini."
Demikian ucapan yang disampaikan
oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis berbuka puasa di
Putrajaya baru-baru ini.
Pengenalan subjek Tamadun Islam
dan Tamadun Asia atau TITAS mengundang pelbagai reaksi di mana akan
diperkenalkan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mulai sesi pengajian
September ini. Reaksi pelbagai pihak itu dapat diikuti dengan melayari blog
tertentu di media sosial.
TITAS mula diperkenalkan di semua
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sejak 2006. Subjek ini wajib diambil
oleh semua pelajar Melayu, Cina, India dan Bumiputera Sabah serta Sarawak. Pada
umumnya pelajar tidak menghadapi sebarang masalah untuk mempelajarinya malah
terdapat pelajar bukan Islam mampu mendapat keputusan cemerlang.
Penawaran subjek ini boleh
memberi kefahaman dan mendedahkan pelajar kepada pelbagai tamadun yang telah
menyumbang kepada pembentukkan jati diri, sahsiah dan sistem nilai yang
diamalkan pada masa ini.
Apakah sebenarnya matlamat dan
isi kandungan TITAS?
TITAS bertujuan memperkenalkan
ilmu ketamadunan yang mencakupi tamadun Islam, Melayu, Cina, Jepun dan India.
Kandungannya meliputi perbincangan isu kontemporari serta dialog peradaban
berkaitan dengan sejarah, budaya dan pembinaan negara bangsa.
Umumnya perbincangan tentang
perkembangan tamadun-tamadun besar di dunia bukanlah suatu yang asing kerana
iaadalah suatu tradisi ilmu yang dipelajari sejak sekian lama.
Sebagai contoh perdebatan isu
tamadun pernah dikemukakan oleh penulis terkenal Samuel P Huntington tahun 1993
yang mengemukakan teori pertembungan peradaban atau clash
of civilizations.
Berdasarkan penulisan itu
perbincangan boleh dilakukan untuk menunjukkan bahawa sejarah tamadun di Asia
bukanlah semata-mata hasil daripada pertembungan atau konflik tamadun.
Sebaliknya perkembangan tamadun boleh terjadi melalui interaksi elemen
pembangunan, pertukaran idea dan proses pinjam meminjam antara tamadun.
Sesungguhnya pengenalan kepada
kursus ini berkaitan juga dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang
menekankan tentang peri pentingnya disebarkan idea kedamaian dan kesejahteraan
sejagat di kalangan negara-negara anggotanya. Sebagai tindakan susulan
pertubuhan itu telah mengisytiharkan tahun 2001 sebagai Tahun
Dialog Antara Tamadun.
Subjek TITAS turut menekankan
aspek nilai-nilai sepunya yang terkandung dalam pelbagai tamadun. Nilai ini
perlu dihargai dan dikongsi bersama kerana ia berupaya menyelesaikan berbagai
masalah dan memupuk semangat perpaduan khususnya dalam kalangan masyarakat
majmuk.
Selain itu kursus ini diharap
dapat menimbulkan minat pelajar terhadap nilai-nilai tradisional dan menghayati
sejarah zaman silam. Kajian terhadap pelbagai tamadun turut memberi perspektif
baru kepada mereka untuk memahami dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam
kehidupan seharian.
Adalah diakui tidak semua tamadun
dunia dapat diajar dalam kursus TITAS. Sebagai kursus pengajian bernilai sekadar
dua unit adalah mustahil untuk memuatkan pengetahuan dan perbincangan tentang
semua tamadun manusia. Pemilihan dilakukan secara bijaksana hanya tamadun
tertentu dipilih untuk dijadikan bahan pembelajaran para pelajar.
Justeru isu perpaduan kaum
menjadi agenda utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Oleh itu, pengetahuan
mendalam dan penghayatan terhadap perkembangan tamadun bangsa dan negara adalah
selaras kepada usaha untuk mencapai agenda tersebut.
Apabila pengumuman pelaksanaan
subjek ini di IPTS mulai September maka berbagai pandangan dan pendapat telah
diluahkan yang dapat diikuti melalui laman-laman blog tertentu di media sosial.
Premis utama hujah mereka adalah
mengapa tidak TITAS dijadikan sebagai subjek elektif dan tidak dijadikan kursus
wajib. Mereka menyatakan kebimbangan subjek baru ini merupakan usaha dakwah dan
tarbiah yang berunsur keagamaan untuk mempengaruhi pelajar bukan Islam.
Tambah mereka, subjek ini tidak
mempunyai hubungan signifikan terhadap bidang utama yang sedang dipelajari.
Bagi mereka kursus ini tidak membantu kebolehupayaan pelajar untuk bersaing di
pasaran pekerjaan nanti.
Ada juga di antara mereka
mempersoalkan subjek ini seolah-olah tidak memberikan pembahagian yang adil di
mana pemberatan hanya kepada tamadun Islam dan tidak kepada agama-agama lain.
Satu lagi isu yang dibangkitkan
adalah penggunaan Bahasa Malaysia dalam pengajaran subjek ini. Dikatakan akan menimbulkan
kesukaran kepada kebanyakan pelajar di IPTS kerana hampir keseluruhan
pembelajaran adalah dalam Bahasa Inggeris.
Namun demikian penggunaan bahasa
ini bukan merupakan isu besar kerana mengikut Akta Pendidikan Tinggi Swasta
sesuatu pengajaran boleh dilakukan menggunakan bahasa lain selain daripada
bahasa kebangsaan asalkan mereka membuat permohonan dan mendapat kelulusan
daripada Kementerian Pendidikan.
Hampir semua mereka membangkitkan
isu kos dan perbelanjaan yang perlu ditanggung untuk pengajaran TITAS. Alasan
mereka perlu menyediakan pensyarah baru, dewan kuliah dan pertambahan masa
pembelajaran.
Ada yang berpendapat suatu
penilaian semula perlu dilakukan terhadap tajuk, isi kandungan dan kurikulum
subjek ini. Mereka mencadangkan jawatankuasa penilaian semula hendaklah
daripada tokoh akademik dan pakar terdiri daripada berbagai kaum.
Sesungguhnya pelaksanaan TITAS di
IPTS perlu mendapat sokongan kuat daripada semua pihak. Ini disebabkan
pelaksanaan subjek ini akan membawa natijah yang besar kepada usaha memupuk
keharmonian dan perpaduan kaum khususnya untuk generasi yang akan datang.
Pelaburan dalam pendidikan hari ini akan membuahkan hasil untuk masa hadapan
negara.
Dalam konteks ini Kementerian
Pendidikan tidak seharusnya tunduk kepada tekanan kelompok tersebut. Hakikatnya
pendedahan mengenai peradaban Islam dan peradaban Asia akan dapat mengayakan
pengalaman dan persefahaman dalam kalangan generasi muda di negara ini.
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan
Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UNISZA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan