KEDATANGAN bulan Ramadan pada
tahun ini nampaknya dipakejkan dengan pelbagai kontroversi. Meskipun sepatutnya
setiap menjelmanya bulan mulia ini umat Islam lebih tenang dan insaf serta
banyak menumpukan kepada peningkatan amal ibadat tetapi nampaknya ia tidak lagi
berlaku sedemikian.
Ia bukan sahaja berlaku di negara
ini tetapi melanda dunia keseluruhannya yang seolah-olah terlalu benci dengan
penganut agama perpaduan dan pencinta keamanan ini. Seolah-olah dunia sekarang
benar-benar membenci penganut Islam dan sentiasa memandang serong ataupun lebih
buruk lagi mahu menyahkan syiar agama ini daripada muka bumi. Sedangkan umat
Islam sendiri sentiasa bersabar dan selalu mengamalkan sikap bertolak ansur.
Meskipun kadang kala berlaku juga
tindak balas akibat tekanan yang berlebihan yang dikenakan terhadap umat ini di
seluruh dunia tetapi nampaknya ia dimainkan media dengan cara yang tidak
bertanggungjawab sehingga menggambarkan orang Islam adalah pengganas yang suka
kepada pertumpahan darah. Walhal apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana
mereka sentiasa didiskriminasi hatta di tanah air mereka sendiri.
Dengan mukadimah yang panjang di
atas kita ingin mengingatkan kepada para dalang yang bersembunyi dengan agenda
busuk supaya segera menghentikan permainan mereka sebelum tabir yang melindung
dan menyembunyikan mereka kita rentap untuk dibawa ke muka pengadilan.
Para pengguna sudah merasa
semakin marah, geram dan hilang sabar apabila saban tahun di musim perayaan
maka mereka disembelih tanpa rasa belas kasihan dengan permainan harga barang
keperluan yang melambung di luar batas munasabah.
Bukan setahun dua, ia sudah
berdekad lamanya dan menjadi seolah-olah satu kemestian kepada para penjaja dan
peniaga menaikkan sehabis tinggi harga untuk mengoptimumkan untung mereka tanpa
sedikit pun bertimbang rasa kepada para pelanggan setia mereka.
Apakah mereka lupa bahawa
tindakan itu sebenarnya memberikan impak negatif kepada diri mereka sendiri
sekiranya tidak diubah segera. Ini kerana, akibat daripada tindakan berkenaan
sudah tentu meningkatkan kos sara hidup dan menjerut pengguna supaya
mengurangkan belanja.
Tentu juga ia akan memudahkan
berlakunya inflasi yang akhirnya mengurangkan keupayaan pembelian pengguna dan
di hujungnya siapa yang paling teruk sekali.
Kenapa kenaikan harga barangan
keperluan terutama keperluan asas ini boleh naik secara bermusim dan hanya pada
musim-musim perayaan tertentu sahaja. Tentu para pembekal, pemborong dan
peruncit bukanlah mereka yang dungu dan bodoh sehingga tidak tahu menguruskan stok
keperluan berkenaan. Walhal mereka telah berniaga sedemikian lama. Pelik juga
sekiranya mereka tidak boleh membaca trend pembelian di musim perayaan sehingga
terpaksa menaikkan harga akibat kurang bekalan kononnya.
Kami di Persatuan Pengguna Islam
ingin mengucapkan syabas dan setinggi tahniah kepada Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga bekas menteri
Perdagangan Dalam Negeri Kepenggunaan dan Koperasi di atas tindakan segera dan
prihatin malah tegas dan berani bagi memerangi kumpulan penyangak yang kita
semua kenal pasti sudah memanipulasi harga di luar batas perikemanusiaan ini.
Sebagai Menteri Pengguna sebelum
ini, beliau pernah menyuarakan rasa kecewa kerana tidak dapat membanteras
gejala serupa sebelumnya kerana beliau tidak mempunyai kuasa memberikan permit
kepada pengimport keperluan asas berkaitan. Kini beliau sudah diberikan senjata
itu, dan beliau tanpa ragu-ragu menggunakan senjatanya itu bagi mempertahankan
pengguna.
Inilah contoh menteri yang bercakap
serupa bikin dan bertindak bijak bagi membantu rakyat marhaen yang selama ini
menyokong kepimpinan kerajaan tanpa sebarang keraguan. Mungkin kita tidak nampak
impak tindakan beliau itu dengan pantas, tetapi beliau sudah memulakan langkah
berkenaan dan ia bukan hanya sekadar omong kosong atau tembak angin bagi
memenangi hati rakyat.
Ia sudah ditunjukkan dengan
tindakan dan itu yang rakyat dan pengguna mahukan. Kita tidak mahu perniagaan
ini hanya dimonopoli oleh kartel dan kerajaan serta rakyat terpaksa tunduk
kepada desakan mereka kerana kononnya mereka inilah menjadi pembiaya dana untuk
parti politik tertentu.
Sekarang bukan masa untuk berbasa
basi lagi, rakyat mahu melihat tindakan tegas untuk mengajar borjouis pemain
pasaran gelap ini supaya pulang ke pangkal jalan atau gulung tikar apabila
semua agensi, para pemimpin dan para pengguna bersatu mengajar mereka siapa
yang sudah mengayakan mereka selama ini.
Di Persatuan Pengguna Islam kita
mempunyai para penyelidik dan penyiasat yang mengumpul maklumat mengenai apa
yang sedang berlaku sekarang ini. Kita amat pasti bahawa perang harga ini bukan
berlaku secara tidak sengaja tetapi sebenarnya memang sudah dirancang dan
sentiasa dipergunakan semaksimum mungkin untuk mengikis pengguna menjadi miskin
dan mereka sentiasa akan kaya-raya dan menjadi tuan kepada kita.
Kepada Menteri Pengguna yang baru
kita meminta agar beliau turut melakukan tindakan yang seiring dengan Menteri
Pertanian berkenaan. Kita isytiharkan perang besar-besaran bagi mengajar
parasit kartel yang sudah terlebih lemak ini supaya mereka tahu masa mereka
sudah berlalu.
Batalkan sahaja mana-mana permit
dan lesen kepada mereka yang ingkar dan melanggar syarat. Beri kepada usahawan
baru terutama usahawan bumiputera supaya tohmahan mereka ini tidak pandai
berniaga boleh kita hapus dan basuh daripada pencemaran yang begitu lama. Apa
guna lagi bersandiwara kerana Tok Dalangnya sudah kita nampak nyata, umpama
kata pepatah ada tak berkesan perginya tidak luak.
Para pengguna juga pada masa
sama, diseru komited kepada saranan untuk memboikot produk-produk tertentu yang
harganya dijual melebihi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan. Jika kita
tidak bersatu untuk bertindak maka impaknya tidak akan berjaya. Bersatu teguh
bercerai roboh meskipun terpaksa berkorban nafsu makan untuk sesuatu jangka
waktu tetapi ia akan menghapuskan maling siang ini untuk selama-lamanya.
Sebenarnya inilah sebahagian
daripada amalan yang dituntut dan pengajaran daripada bulan puasa ini yakni
belajar mengawal hawa nafsu dan patuh serta komited berjuang dan berjihad
kepada perkara yang baik. Maka kita ibaratkanlah tindakan memboikot ini
sebahagian daripada perang melawan nafsu dan membanteras perhambaan orang kaya
kepada orang miskin. Peniaga yang menindas perlu diajar dan menyembelih
pengguna bukanlah perkara yang boleh dibiarkan berterusan.
Kepada pihak penguat kuasa,
mereka yang berkuasa, para penjawat awam yang diberikan amanah mari kita
laksanakan tugas kita dengan penuh komited supaya arus perubahan dan
transformasi kebajikan pengguna negara dapat kita realisasikan. Jangan fikirkan
kepentingan diri, kesukaran dan masa bekerja yang lebih daripada biasa tetapi
fikirkan ini sebagai satu perjuangan dan perang bersama. Kalau tidak dipecahkan
ruyung di mana boleh kita dapati sagunya.
Para pengguna pula meskipun dalam
kalangan yang berada, jangan penting diri sendiri dan culas dalam memberikan
kerjasama ataupun hanya mengharap kepada orang lain menjadi pelaksana. Umpama
fardhu kifayah, kena buat semua bukan satu orang buat yang lain tidak payah,
akhirnya kelak semua menjadi susah.
Hanya kita sendiri yang mampu
mengubah nasib kita sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada kita umat
manusia. Benarlah firman Allah itu dan benarkan serta buktikan ia benar melalui
agenda dan tindakan berkesan sempena bulan Ramadan.
PENULIS ialah Penasihat Persatuan
Pengguna Islam Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan