Selasa, 10 November 2009

Beri DBP lebih kuasa tangani salah guna bahasa


SALAH guna bahasa Malaysia di papan tanda dan penggunaan bahasa rojak di media massa perlu diambil tindakan yang sesuai. Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara perlu mengalami lonjakan jauh dan pantas untuk merealisasikan konsep 1Malaysia.

Langkah kerajaan meminda undang-undang berkenaan bahasa sudah terang lagi bersuluh tepat pada masanya. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diberi kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang yang keras supaya martabat bahasa kebangsaan dapat ditegakkan di mata dunia.

Pencemaran bahasa yang melanggar semangat bahasa rasmi memerlukan satu mekanisme yang khusus supaya cita-cita murni Perdana Menteri ke arah 1Malaysia tidak hanya retorik semata-mata.

Penggunaan bahasa Malaysia di dalam mahkamah adalah kejayaan terbesar pejuang bahasa selain gerakan memansuhkan PPSMI yang menjadi isu sejak sekian lama. Kini bukan lagi perkara pelik apabila peguam dan hakim berkomunikasi dalam bahasa Malaysia bagi sebutan dan perbicaraan kes.

Cuma apabila peguam yang kurang mahir dalam bahasa Malaysia menyampaikan hujahan akan kedengaran kekok tetapi menarik kerana mereka menggunakan bahasa baku.

Malangnya koresponden antara peguam masih dalam bahasa Inggeris, begitu juga perjanjian kontrak dan korporat masih lagi dalam bahasa Inggeris. Walaupun ia tidak salah namun perkara ini harus segera diubah untuk memperkasakan bahasa Malaysia yang sering dirojak tanpa ada rasa bersalah walau sekelumit pun.

Tindakan ke atas pihak berkuasa tempatan yang tidak memantau papan tanda yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa rojak di premis perniagaan di bawah seliaan mereka perlu dikuatkuasakan oleh DBP.

Walaupun tindakan ini tampak keras ia amat penting kerana setiap PBT yang mempunyai ramai penguat kuasa mampu menjadi mata dan telinga DBP.

Bahasa adalah gambaran imej sesuatu organisasi dan papan tanda yang menyimpang daripada imej kemalaysiaan akan memberi promosi yang salah kepada pelancong. Sikap patriotik ini tidak terhad kepada anak-anak sahaja ia juga patut wujud dalam diri setiap penjawat awam.

Pemerkasaan bahasa Malaysia dengan memberi kuasa kepada DBP untuk menguatkuasakan undang-undang penggunaan bahasa kebangsaan telah berlangsung sejak ia ditubuhkan pada 22 Jun 1956.

Perjuangan untuk memperkasa bahasa Malaysia telah menjadi urat nadi perjuangan sasterawan, wartawan dan penulis sejak sebelum merdeka lagi. Sejak dari detik itu juga DBP seumpama rujukan untuk inovasi bahasa Malaysia seterusnya.

Pengayaan bahasa Malaysia dengan mengambil terma-terma bahasa Inggeris dijadikan bahasa angkat perlu dipandang rasional kerana amalan ini telah berlaku sejak zaman Pendita Za'aba lagi.

1Malaysia sebagai satu konsep perpaduan amat memerlukan satu jambatan yang kukuh untuk menghubungkan antara kaum, bangsa dan etnik.

Sesungguhnya jambatan yang kukuh itu ialah bahasa Malaysia yang perlu dipertahankan oleh kita semua. Tindakan terhadap pihak yang menodai estetika bahasa kebangsaan perlu diambil agar jambatan perhubungan antara kaum tidak menjadi jambatan yang bersimpang-siur yang merosakkan perpaduan.

Atas semangat untuk menguatkan perpaduan dan merealisasikan 1Malaysia, pihak DBP perlu diberi kuasa yang luas untuk mengambil tindakan terhadap perosak bahasa kerana sesungguhnya perosak bahasa adalah perosak jambatan perpaduan antara kaum.

Sumber : http: //utusan.com.my/