Jumaat, 23 November 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Masa Kerja Panjang Tidak Bermakna Pekerja M'sia 'Gila Kerja'


PETALING JAYA : Mereka membawa balik kerja ke rumah. Lebih buruk lagi, mereka membawa kerja tersebut ketika sedang bercuti. Telefon atau komputer riba adalah seperti lampiran kedua supaya mereka boleh bekerja di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Tetapi adakah itu bermakna rakyat Malaysia, terlalu gila kerja?

Walaupun menurut Expedia 2012 Ukuran Percutian menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai tenaga kerja keempat paling berdedikasi di dunia, rakyat Malaysia umumnya menghabiskan hanya 40 jam seminggu di tempat kerja.

Berdasarkan kerja lima hari seminggu, yang bermaksud rakyat Malaysia bekerja kira-kira lapan jam sehari.

Di bawah kajian daripada sebuah universiti di Belanda menyatakan bahawa gila kerja adalah menghabiskan sekurang-kurangnya 70 jam di tempat kerja pada setiap minggu. Gila kerja, membawa maksud , "teruja dan bertenaga" terhadap  kerja yang mereka lakukan.

Neuro-psikologi Dr Nivashinie Mohan, ketika dihubungi di Kuala Lumpur, berkata "masa kerja" yang panjang  dalam kalangan pekerja Malaysia tidak bermakna mereka gila kerja.

"Apa yang mungkin kelihatan seperti orang yang bekerja lewat setiap hari tidak semestinya bermakna bahawa mereka bekerja sepanjang masa.

"Rehat panjang, melayari internet dan bercakap di telefon boleh membentuk sebahagian besar daripada waktu bekerja hanya untuk menunjuk  kepada majikan bahawa mereka berada di pejabat untuk jangka masa yang panjang," katanya.

Akauntan Gina L, 28, berkata, pekerja yang seolah-olah tertumpu di hadapan skrin komputer mereka di tempat kerja mereka tidak semestinya "bekerja".

"Mereka boleh berada di Facebook atau berbual dengan rakan-rakan di Google Chat. Mereka boleh melakukannya untuk jangka masa yang panjang, jadi waktu kerja mereka tidak hanya dihabiskan dengan melakukan kerja.

"Orang-orang yang berlengah-lengah membuat kerja mungkin dapat menjelaskan mengapa ramai daripada mereka pulang lewat!"

Pengarah Perhubungan awam, Benjamin Tok merasakan bahawa keputusan pekerja di Malaysia untuk tidak mengambil cuti bukan kerana pilihan mereka.

"Adakah ia benar-benar kerana mereka tidak mahu mengambil cuti, atau sebenarnya tidak dibenarkan bercuti?"

Jurutera Fuad Ibrahim berkata lawatan beliau ke beberapa agensi menyebabkan dia tertanya-tanya sama ada rakyat Malaysia benar-benar  ‘gila kerja’.

"Kaunter seolah-olah mahu ditutup lebih awal daripada masa tutup yang sepatutnya,” katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 2,313 murid miskin ditawar ke sekolah berasrama penuh


KUALA LUMPUR - Seramai 2,313 murid miskin termasuk 925 daripada keluarga miskin tegar akan ditawar ke Tingkatan Satu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tahun depan dengan diberi bantuan oleh Kementerian Pelajaran.

Menurut Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran, mereka merupakan antara 7,710 murid yang dipilih bagi ditempatkan di Tingkatan Satu SBP.

Murid daripada keluarga miskin tegar yang akan dipilih perlu mempunyai sekurang-kurangnya 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012, menurut kenyataan bahagian tersebut hari ini.

Ia berkata kementerian telah menerima 105,357 permohonan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu SBP, dengan seramai 62,338 pemohon terdiri daripada murid perempuan dan 43,019 murid lelaki.

Tempat yang diperuntukkan ialah untuk seramai 7,710 murid, 3,645 untuk murid perempuan dan 4,065 murid lelaki, menurut kenyataan tersebut.

"Dasar pengambilan murid ke SBP memberi keutamaan kepada murid yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar. Justeru itu Kementerian Pelajaran akan menawarkan sekurang-kurangnya 5,397 atau 70 peratus tempat kepada para pelajar yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar," menurutnya.

Menurut kenyataan itu, keputusan pemilihan dan penempatan murid ke Tingkatan Satu SBP akan diumumkan selewatnya 16 Disember depan.

Keterangan lanjut boleh diperoleh di laman web www.moe.gov.my dan murid yang ditawarkan juga akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). - Bernama

ISU GLOBAL : ASEAN, daripada rakan dialog AS ke rakan perkongsian strategik


Oleh : Marhaini Kamaruddin

SIDANG Kemuncak ASEAN Ke-21 akhirnya melabuhkan tirai dengan penyerahan jawatan pengerusi daripada Kemboja kepada Brunei Darussalam.

Selepas hampir seminggu, bandar Phnom Penh menjadi tuan rumah bagi delegasi dari serata dunia, yang menyaksikan kesesakan lalu lintas luar biasa, keadaan kembali seperti sedia kala selepas ketua-ketua kerajaan berlepas pulang meninggalkan bandar yang dihuni kira-kira 2.2 juta penduduk ini.

Dalam tempoh tiga hari sidang kemuncak itu dan sidang-sidang kemuncak berkaitan berlangsung, banyak kejayaan yang dicatatkan oleh gagasan berusia 55 tahun ini.

Antaranya pelancaran Kerjasama Perundingan Ekonomi Serantau (RCEP), dianggotai 10 anggota ASEAN bersama-sama China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand - yang bakal membentuk blok ekonomi terbesar di dunia dengan pasaran lebih tiga bilion orang dan keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar mencecah AS$17 trilion.

Peningkatan taraf hubungan ASEAN-Amerika Syarikat (AS) daripada rakan dialog kepada perkongsian strategik juga suatu pencapaian membanggakan.

Perkongsian Trans Pasifik (TPP), satu lagi kerjasama ekonomi dipromosikan Amerika Syarikat melibatkan 11 negara dengan empat daripadanya anggota ASEAN termasuk Malaysia juga bakal dimuktamadkan tahun depan.

Sidang kemuncak kali ini juga mencatatkan kemajuan signifikan apabila meluluskan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD), sungguhpun terdapat bantahan pihak tertentu yang mendakwa dokumen itu tidak menepati piawaian antarabangsa, sekali gus mencerminkan kesepakatan dan komitmen gagasan itu untuk melindungi hak asasi manusia mengikut acuannya sendiri.

ASEAN sebenarnya telah mencipta rekod kemajuan hak asasinya lebih awal daripada pemeteraian AHRD dengan perkembangan demokrasi di Myanmar dan penyelesaian pergolakan di selatan Filipina menerusi pembentukan wilayah Bangsamoro, hasil inisiatif Malaysia.

Kehadiran Presiden Barack Obama turut diambil kesempatan oleh Malaysia dan Indonesia selaku dua negara Islam, untuk menyampaikan suara umat Islam dan masyarakat antarabangsa yang prihatin dengan nasib penduduk Palestin.

Sebagai sekutu Israel, siapa lagi yang paling layak disampaikan gesaan agar dihentikan keganasan yang berlaku di genting Gaza itu jika bukan Presiden AS.

Malangnya, di sebalik pelbagai kejayaan yang direkodkan oleh ASEAN, media antarabangsa menggembar-gemburkan seolah-olah kumpulan rantau Asia Tenggara tersebut gagal berfungsi - hanya kerana isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Sedangkan bukannya tiada kemajuan langsung yang dicapai dalam pertikaian wilayah maritim tersebut.

Pertikaian wilayah, walau di mana ceruk dunia sekali pun, adalah isu yang sangat kompleks atau rumit yang memerlukan masa untuk diselesaikan. Ia tidak boleh diputuskan dalam sehari dua.

Apatah lagi apabila melibatkan banyak pihak, lebih-lebih lagi negara.

Namun apa yang penting, dalam isu Laut China Selatan ini, negara yang terlibat dalam tuntutan bertindih di wilayah maritim itu iaitu China dan empat anggota ASEAN (Malaysia, Brunei, Filipina dan Vietnam) mahu menyelesaikannya secara aman dan rasional, bukan dengan muncung senjata yang akan menjejaskan kestabilan dan kemakmuran rantau ini. Satu lagi negara yang terlibat dalam pertikaian adalah Taiwan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika mengulas isu Laut China Selatan di akhir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan sidang-sidang berkaitan berpendapat; “Kita perlu mengurus isu ini sebaik-baiknya. Kita tidak patut mengambil tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan. Pokoknya jangan melakukan apa yang boleh mencetuskan masalah."

Reaksi Perdana Menteri China, Wen Jiabao, semasa menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur EAS) yang menganggap Kod Tatalaku Pihak- pihak di Laut China Selatan (COC) yang dirangka ASEAN sebagai kesinambungan logik bagi Deklarasi Tatalaku (DOC) yang diperakukan republik itu selama ini, membayangkan penyelesaian positif pada masa depan.

Apa pun yang pasti, bagi ASEAN dan juga China, hubungan kedua-duanya bukan terbatas kepada isu Laut China Selatan sahaja.

Hakikatnya, hubungan ASEAN dan China adalah cukup luas, strategik dan penting.

Sejak 2009, China adalah rakan dagangan terbesar ASEAN. Jumlah dagangan dua hala China-ASEAN melonjak daripada AS$7.9 bilion pada 1991 kepada AS$292.7 bilion pada 2010.

Nilai perdagangan dua hala dalam tempoh enam bulan pertama 2011 pula mencatatkan sejumlah AS$171.1 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus setahun. Pelaburan China di rantau ini bagi setengah tahun pertama tahun lalu berjumlah AS$1.49 bilion, meningkat 34.3 peratus berbanding tempoh sama pada 2010.

Pemeteraian dua protokol ke dalam Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) pada Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-15 yang baru berlangsung akan memperkukuh dan menggalakkan lagi perdagangan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak.

Justeru tentu tidak berbaloi untuk hubungan yang cukup bermakna itu hendak dikeruhkan hanya oleh isu Laut China Selatan. Brunei, salah sebuah negara yang terlibat dalam tuntutan bertindih, sudah pun mengambil alih baton sebagai pengerusi baru Sidang Kemuncak ASEAN 2013.

Sementara isu Laut China Selatan itu sekali lagi akan menjadi buruan media dan perhatian pihak-pihak berkepentingan, tumpuan juga tidak patut dialihkan daripada pelbagai inisiatif lain termasuk Komuniti ASEAN pada 31 Disember 2015, yang menanti masa untuk direalisasikan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Majlis penerangan atasi kekeliruan AES


Oleh : Nur Farhanin Abdullah
    
Kota Bharu : Lebih banyak siri perjumpaan dan majlis penerangan akan diadakan untuk mendidik pengguna jalan raya mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebelum dilaksanakan sepenuhnya ke seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata perjumpaan itu turut membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan cadangan penambahbaikan terutama untuk mengelak kekeliruan berhubung sistem itu.

"Maklum balas itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri melalui mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan AES yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat dan dialog dengan NGO dan pegawai kerajaan di ibu pejabat JPJ Kelantan di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, hanya lima sekolah berhampiran jalan utama di seluruh negara akan dipasang AES membabitkan kelajuan 30 kilometer sejam (km/j).

Solah berkata, lima sekolah itu dikenal pasti kerap berlaku kemalangan membabitkan muridnya.

"Selain itu, Kementerian Pelajaran sendiri memohon supaya sekolah di tepi jalan besar dipasang AES, katanya.

Beliau berkata, sebanyak 831 kawasan hitam kemalangan sudah dikenal pasti untuk dipasang AES di seluruh negara, iaitu 561 lokasi memandu melebihi had laju dan 270 lampu isyarat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/