Jumaat, 23 November 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Majlis penerangan atasi kekeliruan AES


Oleh : Nur Farhanin Abdullah
    
Kota Bharu : Lebih banyak siri perjumpaan dan majlis penerangan akan diadakan untuk mendidik pengguna jalan raya mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebelum dilaksanakan sepenuhnya ke seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata perjumpaan itu turut membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan cadangan penambahbaikan terutama untuk mengelak kekeliruan berhubung sistem itu.

"Maklum balas itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri melalui mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan AES yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat dan dialog dengan NGO dan pegawai kerajaan di ibu pejabat JPJ Kelantan di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, hanya lima sekolah berhampiran jalan utama di seluruh negara akan dipasang AES membabitkan kelajuan 30 kilometer sejam (km/j).

Solah berkata, lima sekolah itu dikenal pasti kerap berlaku kemalangan membabitkan muridnya.

"Selain itu, Kementerian Pelajaran sendiri memohon supaya sekolah di tepi jalan besar dipasang AES, katanya.

Beliau berkata, sebanyak 831 kawasan hitam kemalangan sudah dikenal pasti untuk dipasang AES di seluruh negara, iaitu 561 lokasi memandu melebihi had laju dan 270 lampu isyarat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan