Khamis, 15 November 2012

ISU GLOBAL : Malaysia kutuk serangan Israel di Gaza, gesa PBB ambil tindakan


KUALA LUMPUR - Malaysia hari ini mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) khususnya Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan tegas berhubung apa yang disifatkan sebagai tindakan ketenteraan tidak bertanggungjawab oleh Israel yang menyasarkan orang awam di Gaza.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan oleh aktiviti ketenteraan dan serangan udara Israel di Gaza, yang telah membunuh seorang pemimpin Palestin dan meragut tujuh nyawa termasuk dua kanak-kanak.

"Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat untuk menghentikan sebarang tindakan provokatif, bertenang dan mengekang sebarang tindakan yang boleh menyebabkan kerosakan yang lebih besar dan kehilangan nyawa, terutama dalam kalangan penduduk awam di Semenanjung Gaza," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia juga menuntut Israel menghentikan serta merta tindakan ketenteraan ke atas rakyat Palestin. - Bernama

Qunut Nazilah : Tatkala Saudara Seagama di Gaza Dizalimi Israel, Marilah Sama-sama Kita Bacakan Doa Ini...


ISU GLOBAL : Ketegangan Israel, Gaza Kian Memuncak


Gaza : Pejuang Hamas membedil berpuluh-puluh roket ke selatan Israel, menyebabkan tiga orang terbunuh ketika rejim Zionis itu melancarkan serangan udara di seluruh Semenanjung Gaza, mengancam serangan lebih besar untuk menghalang tindakan Palestin.

Polis Israel berkata, tiga maut apabila roket Palestin terkena bangunan empat tingkat di bandar Kiryat Malachi, kira-kira 25 kilometer ke utara Gaza. Mereka adalah mangsa Israel pertama dalam konflik terbaru yang melanda wilayah berkenaan.


Israel kelmarin membunuh tokoh tentera Hamas dan menyerang wilayah berkenaan dari darat, udara dan laut, meragut 15 nyawa, termasuk lima pejuang, tiga kanak-kanak dan seorang wanita hamil.


Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar lewat kelmarin untuk membincangkan serangan Israel itu. Ia menggesa keganasan dihentikan tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.


Menjangkakan serangan akan berlanjutan, Israel memberi amaran kepada Hamas bahawa semua anggotanya diperhatikan dan menggugurkan risalah di Gaza meminta penduduk supaya menjauhkan diri daripada pejuang dan kemudahan Hamas.


Risalah menegaskan Hamas menyeret wilayah itu ke arah keganasan dan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bersedia mempertahankan penduduknya sehingga keamanan dikembalikan ke wilayah itu, kata tentera dalam kenyataan.

Israel berdepan kecaman hebat negara Arab berpengaruh seperti Mesir dan Qatar. Hamas menegaskan pembunuhan salah seorang komander kanannya, Ahmed Al-Jaabari, akan membuka pintu neraka kepada Israel.


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kelmarin berkata, operasi ke atas Gaza akan ditingkatkan.

Serangan itu dilancarkan seminggu selepas keganasan merentasi sempadan dan menafikan harapan Mesir yang menjadi orang tengah gencatan senjata

Kerajaan Mesir baru berasaskan Islam yang berjanji menghormati perjanjian damai 1979 dengan Israel, mengutuk serangan baru Israel sebagai ancaman kepada keselamatan rantau itu. Ia memanggil balik dutanya dari Israel dan mendesak diadakan sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB. Reuters.

ISU SOSIAL : Muhasabah diri sambut 1 Hijrah


oleh MOHD ALI MUHAMAD DON

BULAN silih berganti, kini tahun baharu 1434 hijrah disambut dengan penuh kegembiraan seraya membuka lembaran baharu dalam diari kehidupan Muslim ke arah yang lebih positif lagi berkualiti.

Seyogianya berbahagialah orang yang amalannya lebih baik daripada tahun yang sudah, sebaliknya rugilah orang yang tidak berubah dan berperangai lebih buruk daripada masa lalu.

Justeru, sempena ketibaan detik 1 Hijrah ini para Muslimin diseru untuk memperbaharui niat dan komitmen untuk berubah sekali gus berhijrah ke arah yang lebih baik dalam segenap lapangan kehidupan.

Ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjaga peribadi, tutur kata dan perbuatan daripada melanggar ketetapan Ilahi. Apatah lagi dalam era teknologi di hujung jari di mana tiada yang boleh disembunyikan daripada pengetahuan umum sehingga berita-berita yang baik mahupun yang buruk mudah sahaja tersebar dalam masyarakat.

Bak kata pepatah terlajak perahu boleh di undur terlajak kata badan binasa.

Ketibaan tahun hijrah yang baharu ini juga menandakan umur dunia semakin bertambah dan dalam masa yang sama usia seseorang juga bertambah setahun lagi ke hadapan. Yang pasti tiada sesiapa yang berupaya memutarkan masa untuk kembali ke belakang demi untuk memperbetulkan kesilapan silam.

Malah ramai yang alpa betapa akhir kepada kehidupan di dunia juga semakin hampir tiba dan manusia semakin dekat detik pertemuan dengan Penciptanya. Persoalannya adakah kita telah bersedia atau kita masih lena dibuai mimpi yang panjang yang tak berkesudahan.

Malahan terdapat umat manusia yang terkesima dengan keseronokan hidup di dunia sehingga bertuhan kepada nafsu dan keinginan syahwat semata-mata. Golongan ini terpedaya dengan nikmat yang sementara sehingga asyik dalam buaian dosa dan maksiat yang mencengkam sepanjang masa.

Mana tidaknya setelah berbagai-bagai usaha dilakukan untuk menghentikan jenayah buang bayi, hari ini ia masih lagi menghiasi dada akhbar tempatan. Pelbagai gejala dosa dan maksiat yang tumbuh bak cendawan selepas hujan jelas menuntut perubahan dan penghijrahan dalam konteks yang luas dan bersungguh-sungguh.

Selain itu, segelintir masyarakat menyangka tahun baru hijrah cukup diraikan dengan amalan membaca doa akhir dan awal tahun yang semarak dilakukan di sana sini, walaupun realitinya ada yang langsung tidak mempedulikan untuk membacanya.

Lebih daripada itu sebenarnya mereka lupa bahawa setiap individu perlu menilai dan memuhasabah segala perbuatan yang telah dilakukan setahun yang lalu, di samping bertaubat dan berazam untuk tidak mengulangi lagi perbuatan negatif yang pernah dilakukan.

Dalam masa yang sama para Muslimin diseru berbaik sangka dan menggantungkan pengharapan yang sepenuhnya kepada Ilahi agar segala amalan setahun yang lalu diterima oleh Nya dengan sempurna.

Dalam hal ini peranan ibu bapa secara khususnya ditagih untuk membimbing anak-anak dan keluarga ke arah kebaikan terutama ketika musim cuti persekolahan.

Selain melancong dan melakukan aktiviti bersama keluarga masa yang ada elok diisi dengan mengimarahkan rumah Allah SWT menerusi aktiviti ibadah dan menghadiri majlis-majlis ilmu sebagai usaha untuk membentengi diri daripada terjerumus ke lembah kerosakan.

Kegagalan ibu bapa memainkan peranan itu akan memberi kesan kepada aspek-aspek yang lain. Contohnya anak-anak akan leka menonton televisyen atau bermain permainan video sehingga berjam-jam lamanya tetapi malas untuk mengerjakan solat yang wajib walaupun hanya sekadar lima minit dan sering bertangguh.

Tanpa nasihat dan tunjuk ajar yang baik daripada ibu bapa boleh jadi anak-anak jauh daripada petunjuk agama hingga terdedah pula melakukan aktiviti tidak bermoral yang menjadi penyakit kepada masyarakat.

Begitu pula dalam konteks ibadah dan hubungan kemasyarakatan, terdapat segelintir yang terlalu obsesif dan sibuk bekerja sehingga lupa untuk berziarah dan bertanya khabar bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama jiran tetangga dan masyarakat setempat.

Akibatnya perpaduan sesama komuniti begitu rapuh dan tiada semangat kerjasama dan tolong-menolong antara sesama mereka. Sikap tak ambil peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling juga mengeruhkan lagi hubungan ukhuwah ini. Akibatnya jenayah seperti rompakan, kehilangan malah dosa bersekedudukan dan berkhalwat berleluasa tanpa halangan.

Justeru bersyukur dan bersederhana dalam melakukan sesuatu adalah kunci kejayaan yang sebenar.

Nilai wasatiyah sebagai tonggak kesatuan ummah hendaklah dipupuk dan dipelihara agar semua anggota masyarakat mengerti dan memahami slogan itu dan tidak hanya berseronok dan beria-ia menyertai perarakan dan membawa sepanduk sempena sambutan Maal Hijrah kemudian pulang tanpa mengerti erti hijrah dan perubahan yang perlu dipraktikkan.

PENULIS Pensyarah, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandar raya Johor Bahru.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Pemimpin harus berlapang dada


Oleh :  Prof Dr Sidek Baba

Dalam dunia Islam kini terdapat berbagai-bagai orientasi kepimpinan. Ada bersifat demokratik, autokratik dan tidak kurang juga mempunyai wibawa liberal yang tinggi.

Cabaran para ulama dan ilmuwan Islam melakukan islah bukan mudah; tidak sekadar melontarkan syarah dan khutbah, rujukan ayat-ayat al-Quran dan sunnah - maka selesai masalah. Rasulullah SAW mendekati mad’u dengan darjah kesabaran yang tinggi, berhemah dan hikmah yang hebat dengan sumber wahyu membawa petunjuk.

Abu Jahal didekati, Abu Lahab dihadapi, Abu Talib disantuni. Hakikat melakukan dakwah terbaik adalah kerja dai’ dan murabbi. Memberi hidayah dan petunjuk adalah kerja ALLAH.

Para umara’ atau pemimpin mempunyai orientasi pendidikan berbeza. Setengahnya mendapat orientasi Barat dan menghasilkan faham liberal demokratik yang tinggi. Ada pemimpin yang mendapat orientasi pendidikan Islam bersifat diniah, tetapi tidak memiliki ilmu dan pengkhususan yang sifatnya profesional menyebabkan kefahaman Islam untuk bernegara terbatas.

Ulama dan ilmuwan Islam harus memahami hakikat ini. Sistem Islam memerlukan proses binaan yang lama, menghadapi cabaran dan ujian yang pelbagai dan menuntut tekad tinggi supaya pendekatan dakwah dan tarbiah menghasilkan perubahan kepada diri manusia, termasuk pemimpin.

Asas penting membangun perubahan kepada diri manusia ialah ilmu dan pendidikan. Jenis ilmu dan pendidikan yang ditawarkan dalam sistem memberi kesan kepada orientasi berfikir dan gaya hidup seseorang. Pepatah Melayu memberi asas bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Sekiranya manusia itu terbangun dengan orientasi ilmu dan pendidikan mengikut acuan Barat maka orientasi pemikiran produk selalunya sekular dan liberal. Sekiranya manusia dididik dengan orientasi pendidikan agama yang tradisional - memberi fokus kepada aspek diniah dan rohaniah semata-mata, maka orientasi berfikir dan gaya hidupnya rohaniah juga.

Sekiranya manusia dididik dalam orientasi integrasi ilmu diniah dan juga ilmu takhasus sains dan teknologi yang Islami, cara berfikir, gaya hidup dan pendekatannya membangunkan sistem jauh lebih komprehensif dan menyediakan tapak untuk suatu tamadun.

Umara’ atau kepimpinan di Malaysia perlu didekati dengan bijaksana supaya pengukuhan sistem yang Islami boleh terjadi.

Ulama dan pendakwah tidak perlu gopoh hingga menyebabkan konflik terjadi dan maslahah hilang tujuan.

Ulama, ilmuwan dan profesional harus mampu menawarkan model alternatif sesuai dengan iklim perubahan yang ada dan dalam masa sama dapat memberi pilihan terbaik untuk perkembangan ilmu dan pendidikan, kestabilan ekonomi, kedewasaan berpolitik dan melihat hikmah jangka panjang dalam suatu realiti masyarakat yang pelbagai.

Para umara’ atau pemimpin harus bersikap terbuka dengan pendekatan Islam berketamadunan supaya melakukan transformasi terhadap sistem didukung oleh etika dan sistem nilai yang teguh dan mantap.

Islam tidak harus dilihat hanya dalam batas ritual semata. Pilihan model alternatif yang ada di Malaysia memperlihatkan perkembangan baik dari sudut pematuhan syariah. Ia baik bagi orang Islam dan juga bukan Islam.

Banyak masa dalam kalangan sesetengah ulama, ilmuwan, jamaah dan harakah Islamiah mengambil gaya reaktif tetapi bukan proaktif berdepan dengan isu-isu berbangkit. Harus ada sifat menghargai yang baik dikatakan baik dan tidak baik didekati dengan nasihat bijaksana.

Para pemimpin harus bersikap terbuka dan berlapang dada apabila ditegur dan dinasihati. Teguran baik dan berasas harus diterima dengan sangka baik yang tinggi. Adanya sifat kesalingan memberi dan menerima boleh menghasilkan daya taawun atau kerjasama yang tinggi.

Kesalingan ini penting kerana sifat saling memperkukuh dan melengkapi adalah jalan terbaik bagaimana proses perubahan boleh terjadi. Para pemimpin yang mempunyai kuasa pengurusan memerlukan pedoman ilmu dan syara’ dalam melakukan sesuatu.

Bukti yang ada dalam melaksanakan sistem patuh syariah perbankan dan kewangan Islam, wujudnya sistem pendidikan dalam universiti dan kolej dalam orientasi Islam adalah suatu permulaan yang baik ke arah program islamisasi dan integrasi dalam semua bidang.

Sekiranya para ulama, ilmuwan dan profesional Islam dapat membantunya dengan tekad yang tinggi dan perancangan rapi, penulis percaya perubahan boleh terjadi berasaskan acuan kita sendiri.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Susah sangatkah memberi maaf


Oleh : FARUSH KHAN

Membelakangkan orang lain itu sifat tamak. Membelakangkan diri sendiri ertinya berkorban. Ini antara beberapa mesej yang saya terima melalui SMS menjelang Aidiladha yang lalu.

Tiada permohonan 'maaf zahir batin' seperti yang selalu kita terima pada musim Aidilfitri.

Tiada yang pelik dalam perkara ini, cuma terfikir, apakah permohonan maaf itu hanya perlu setahun sekali pada musim hari raya puasa? Apakah pada masa lain, memohon dan memberi maaf menjadi larangan?

Dalam dunia realiti hari ini, meminta dan memberi maaf nampaknya bagaikan sesuatu yang sangat berat. Manusia lebih sanggup dihalau dari dewan atau dikecam daripada memenuhi tuntutan kerana buat kesalahan daripada memohon maaf.

Ramai yang sanggup menyimpan dendam dan marah daripada memberi maaf kepada mereka yang melakukan kesalahan, sedangkan memberi maaf adalah sesuatu yang sangat mulia dalam Islam.

Sabda Rasulullah SAW: “Wahai ‘Uqbah, mahukah engkau aku beritahu akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling mulia? Iaitu, menyambung silaturahim dengan orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang tidak mahu dan tidak pernah memberimu, memaafkan orang yang pernah menzalimi dan menganiayaimu.”

Firman ALLAH: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang bertakwa. Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya) baik pada waktu lapang mahupun pada waktu sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Dan ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Ali Imran 3:133-134)

Bertentangan dengan apa yang biasanya dipercayai, Islam sebenarnya mengajar umatnya suka memaafkan kesalahan orang lain tanpa menanti orang memohon maaf.

Ada kalanya seseorang menyedari kesalahannya dan berniat untuk meminta maaf, tetapi disebabkan ego, tidak mampu meluahkannya, apatah lagi jika orang itu berasa kedudukannya lebih tinggi daripada orang yang akan diminta maaf. Seorang ketua barangkali berasa terhina hendak minta maaf daripada orang bawahan; begitu juga bagi seorang bapa hendak minta maaf daripada anaknya.

Itulah salah satu hikmah barangkali kenapa ALLAH  SWT memerintahkan kita untuk memberi maaf sebelum diminta.

Tentu kita pernah mendengar kisah bagaimana Rasulullah SAW sanggup memaafkan Zainab binti al-Haris, isteri seorang pemimpin Yahudi, walaupun dia membubuh racun pada kambing yang dihidangkan kepada Rasulullah.

Memetik sebuah daripada ribuan kata-kata mutiara ulama muktabar, Allahyarham Hamka: "Membalas baik dengan jahat adalah perangai serendah-rendahnya. Membalas jahat dengan jahat bukan perikemanusiaan. Membalas baik dengan baik adalah biasa. Tetapi membalas jahat dengan baik adalah cita-cita kemanusiaan yang setinggi-tingginya."

Kata Lokman al-Hakim; "Tidaklah dapat kita mengenal orang melainkan pada tiga keadaan, iaitu tidak dapat diketahui orang pemaaf melainkan ketika dia marah, tidak dapat diketahui orang berani kecuali ketika dia berjuang dan tidak dapat dikenal seorang sahabat melainkan ketika kita berada dalam kesusahan.”

Ambillah pengajaran daripada kisah pembukaan kota Makkah oleh Nabi Muhammad SAW, penaklukan kembali Baitul Maqdis oleh Salahuddin al-Ayubi terhadap tentera salib dan penaklukan Konstantinopel (Istanbul) oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Semua penduduk yang tidak berdosa tidak ditawan, malah dilepaskan dengan bayaran pembebasan diri sahaja, padahal sekian lama mereka menindas orang Islam.

Sebenarnya, Muslim yang buruk sangka terhadap Muslim yang lain hanya akan mencari-cari kesalahan orang lain.

Dalam politik, kerana berbeza ideologi, kadang-kadang semangat kepartian dijulang lebih tinggi daripada persaudaraan Islam dan isu dinilai dengan kaca mata politik sebelum dinilai melalui kaca mata Islam.

Akhirnya berlakulah permusuhan, perpecahan dan kehilangan kekuatan umat. Siapa yang rugi?

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/