Jumaat, 1 Mac 2013

ISU EKONOMI : Duti Import kereta 0% pada 2016


Putrajaya : Duti import ke atas semua model kereta dari Jepun dan Australia akan dimansuhkan secara berperingkat sebelum dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2016.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penurunan itu berikutan perjanjian kerjasama ekonomi Malaysia-Jepun bermula tahun ini, duti import kereta dari negara berkenaan akan diturunkan sebanyak 15 peratus diikuti 10 peratus pada 2014, lima peratus pada 2015 dan 0 peratus pada 2016.

Sementara kereta import dari Australia akan mengalami penurunan dari 13.6 peratus tahun ini diikuti 9.1 peratus pada 2014, 4.6 peratus pada 2015 dan 0 peratus menjelang 2016.

“Penurunan tidak boleh dilakukan secara mendadak kerana ia akan memberi kesan yang teruk kepada industri automotif terutama pekerja dalam sektor pembuatan dan pasaran kereta terpakai yang kini mempunyai 350,000 orang.

“Sebenarnya, harga beberapa model kereta baru sudah diturunkan antara tiga hingga lima peratus sejak suku akhir tahun lalu dengan kebanyakan harga model OEM (syarikat pengeluar kenderaan) dikurangkan antara RM2,200 hingga RM17,000,” katanya pada sidang media mengumumkan Pelan Penurunan Harga Kereta di sini, semalam. Turut hadir Presiden Persatuan Automatif Malaysia Datuk Aishah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automatif Malaysia (MAI) M Madani Sahari. Mustapa berkata, penurunan harga itu hasil daripada langkah kerajaan menjadikan industri lebih efektif serta kompetitif dan satu daripada faktor yang menyumbang ke arah itu adalah liberalisasi dalam industri automotif.

Katanya, antara faktor menyumbang kepada penurunan harga kereta ialah pelaksanaan perjanjian Zon Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) apabila duti import kereta mula dimansuhkan sejak 1 Januari 2010. Beliau berkata, ia bukan perkara baru kerana perbincangan menurunkan harga kereta sudah berlangsung sejak tiga tahun lalu, namun keputusan yang diambil itu bukan mudah kerana membabitkan banyak pengeluar kereta.

“Kita faham anak muda kini mengeluarkan sebahagian daripada pendapatan bulanan mereka untuk membayar pinjaman kenderaan memandangkan kereta kini dianggap keperluan dan bukannya barangan mewah seperti satu masa lalu.

“Jadi, kita akui adalah lebih bagus kalau harga kereta di Malaysia dikurangkan sedikit untuk mengurangkan bebanan ditanggung mereka sebab itu kita bincang dengan pengeluar. “PROTON dan PERODUA juga ada perancangan untuk mengurangkan kos sehingga 30 peratus, tetapi ia akan dilakukan berperingkat dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi,”katanya.

http://www.hmetro.com.my/

ISU DALAM NEGERI : Pencerobohan bersenjata di Sabah

 Anggota tentera bersiap ke Kampung Tanduo untuk menghadapi 
penceroboh yang berkubu di kampung itu, hari ini. - Foto Bernama

2 komando, 12 anggota penceroboh maut

LAHAD DATU - Dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina maut dalam insiden tembakan membabitkan kedua-dua pihak di Kampung Tanduo di sini hari ini.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu turut menyebabkan tiga lagi anggota pasukan keselamatan cedera, kata polis.

Kesemua 12 penceroboh rakyat asing yang terbunuh itu adalah antara 180 pengikut 'Sultan Sulu' yang dikepung pasukan keselamatan di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo.

Mereka cuba keluar daripada kepungan pasukan keselamatan dan mula melepaskan tembakan apabila terserempak dengan anggota keselamatan yang sedang berkawal, kata Pasuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, beliau berkata insiden tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penceroboh itu berlanjutan selama 20 minit.

Menceritakan semula kejadian itu, Hamza berkata kumpulan penceroboh rakyat asing yang terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan Malaysia.

"Pihak komando polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan berlaku pertempuran antara kedua pihak," kata Hamza.

Hamza berkata, turut ditemui pada kumpulan kecil penceroboh itu ialah beberapa laras senjata api antaranya M16, pistol dan rifel SLR, peluru dan beg-beg pakaian.

Beliau berkata, polis kini mengepung Kampung Tanduo, yang masih diduduki sebahagian anggota kumpulan itu, dan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan semakin diperketatkan.

"Polis telah mengawal segala laluan dan sukar untuk pihak penceroboh untuk keluar atau masuk ke kawasan kampung berkenaan," katanya.

Nafi laporan penceroboh serah diri

Hamza turut menafikan laporan termasuk yang disiar laman sosial dan agensi berita asing bahawa terdapat anggota kumpulan penceroboh itu menyerah diri dan melarikan diri melalui jalan laut.

Dalam pada itu, Hamza turut menegaskan bahawa polis tidak mengeluarkan sebarang arahan perintah berkurung di Lahad Datu ekoran insiden itu.

"Saya diberi kuasa untuk melaksanakan perintah itu dan tiada sebarang perintah itu dikeluarkan seperti yang dilaporkan," katanya sambil memberitahu bahawa keadaan di Kampung Tanduo kini terkawal dan tenang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata beliau telah memberi mandat kepada ketua polis negara dan panglima angkatan tentera untuk mengambil sebarang tindakan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata itu dan tiada kompromi lagi.

Najib juga dilaporkan berkata kumpulan penceroboh itu sepatutnya menerima tawaran menyerah diri dan keluar daripada kawasan itu secepat mungkin.

Sementara itu, mayat kedua anggota polis yang terkorban itu dibawa ke Hospital Lahad Datu. Dua anggota polis yang cedera pula diterbangkan ke hospital yang sama untuk dirawat manakala seorang lagi diterbangkan ke sebuah hospital di Sandakan.

Pasukan keselamatan mula mengepung Kampung Tanduo pada 11 Februari apabila kira-kira 150 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung menceroboh ke kawasan itu pada 9 Februari dan menjadikan beberapa premis termasuk rumah dan surau di kampung berkenaan sebagai pangkalan mereka.

Kampung Tanduo yang diduduki kumpulan itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.

Kumpulan itu yang didakwa diketuai Agbimuddin Kiram mendakwa mereka adalah tentera 'Raja Sulu' dan menuntut Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu.

Sejak itu, Malaysia mengadakan beberapa siri rundingan dan menetapkan 22 Februari  lepas sebagai tarikh akhir untuk pengusiran mereka.

Bagaimanapun Malaysia melanjutkan lagi tempoh pengusiran mereka kepada 26 Februari sementara menunggu sebuah kapal tentera Filipina tiba untuk membawa kumpulan penceroboh itu pulang ke tanah air mereka.

Isnin lepas, Hamza berkata, polis akan bertindak berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi merungkai isu pencerobohan rakyat Filipina itu.

Hamza menegaskan pihaknya akan menggunakan undang-undang negara untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan pihak keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada orang yang tidak berkenaan memasuki kawasan itu.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

INFO :
Kronologi Pencerobohan Kumpulan Bersenjata Dari Selatan Filipina :

9 Feb - Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

11 Feb - Sebahagian daripada anggota kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.
  
12 Feb - Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.

14 Feb - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.
  
14 Feb - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad  Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu'  dari Selatan Filipina. Ismail berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.

14 Feb - Laporan memetik salah seorang anggota tentera Filipina yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas mendapat jemputan pihak pembangkang untuk membincangkan isu tanah di Sabah.
      
16 Feb - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal. Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu' antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.
    
18 Feb - Hishammuddin berkata, kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.
  
24 Feb - Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.
  
26 Feb - Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.
  
28 Feb - Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu. Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yangmenegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.
  
1 Mac - Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera. Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.-Bernama

ISU SOSIAL : Kes dera kanak-kanak 2012 meningkat 17.8%


KUALA LUMPUR - Kes penderaan kanak-kanak pada tahun lalu meningkat 17.8 peratus kepada 285 kes berbanding 242 kes pada tahun 2011, menurut Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), PDRM ACP Hamidah Yunos berkata, berdasarkan statistik, kanak-kanak berusia satu hingga tujuh tahun menjadi mangsa penderaan tertinggi dalam tempoh dua tahun iaitu 136 tahun lepas berbanding 117 pada 2011.

"Bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas, sebanyak 99 orang didera berbanding 82 orang dan kanak-kanak berusia kurang satu tahun sebanyak 50 orang berbanding 43 orang," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, statistik merekodkan kes penderaan tertinggi mengikut negeri ialah Selangor dan Johor, masing-masing 67 kes diikuti Pulau Pinang (25), Negeri Sembilan (24), Kuala Lumpur (18), Sarawak (15), Melaka (13), Perak (12), Kelantan (10), Sabah (10), Pahang (9), Kedah (8), Terengganu (4) dan Perlis (3).

Penasihat undang-undang Persatuan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPA), Profesor Dr Gopenathan Raman Nair berkata, antara punca yang dikenal pasti menyebabkan penderaan kanak-kanak berlaku ialah 'perasaan cemburu' seorang bapa terhadap anak tirinya sehingga menyebabkan penderaan teruk dan kematian seseorang kanak-kanak.

"Perasaan cemburu boleh menyebabkan tekanan perasaan yang melampau sehingga seseorang bapa itu melakukan tindakan luar kawalan.

"Perasaan cemburu itu berlaku apabila bapa tiri tersebut merasakan kasih sayang ibu terhadap anaknya berlebihan berbanding dirinya dan disebabkan perasaan cemburu itu juga, seseorang bapa akan merasa tertekan sehingga terdorong untuk mendera," katanya.

Gopenathan berkata, kes seperti itu juga berlaku akibat tekan jiwa kerana tidak mempunyai anak kandung.  

"Kesukaran seorang lelaki itu untuk mendapat anak kandung menyebabkan dia berasa tertekan dan akan melepaskan perasan marah terhadap anak tirinya," katanya.

Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah) R.Jeevan pula berkata untuk mengatasi masalah ini, langkah pencegahan awal perlu dilakukan iaitu dengan kerjasama semua pihak.

"Kerjasama antara semua pihak sangat penting untuk langkah pencegahan awal iaitu jiran, guru, sahabat, dan adik-beradik mangsa perlu bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat kes seperti itu berlaku....walaupun kes itu adalah pertama kali berlaku terhadap mangsa, ia perlu dilaporkan bagi mengelakkan penderaan sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Sebelum ini beberapa kes seperti itu berlaku sehingga membawa kepada kecederaan teruk dan kematian.

Antaranya ialah kisah di Alor Gajah Melaka pada 11 Oktober 2011 apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia selepas cedera di bahagian paru-paru akibat didera oleh bapa tirinya.

Pada Jun 2012 pula, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera di bahagian punggung dan jari dipercayai didera oleh bapa tirinya di Kampung Gong Machang, Besut Kuala Terengganu.

Kedua-dua kes itu masih dalam perbicaraan di mahkamah.

Manakala kes terbaharu dilaporkan media pada 13 Dis 2012 iaitu seorang individu memuat naik ke laman sosial Facebook kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun didera bapa tirinya dan kes itu dipercayai berlaku dua bulan sebelum video itu disebarkan.

Susulan kejadian itu, suspek berusia 32 tahun, dihukum penjara selama 12 bulan.

Individu didapati bersalah melakukan penderaan boleh didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak (AKK) iaitu kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, katanya. - Bernama