Rabu, 29 Disember 2010

ISU KEPENGGUNAAN : Bersatu lindungi hak pengguna

Oleh ARIF ATAN

SALAH satu perkara penting yang wajar diberi perhatian menjelang tahun baru 2011 adalah sejauhmana rakyat negara ini benar-benar memahami hak mereka sebagai anggota masyarakat dan pengguna bagi mengelak menjadi mangsa pihak yang rakus mengaut keuntungan.

Dalam isu hak rakyat memiliki kediaman yang selesa, bagaimana rakyat dapat menikmati kemudahan asas itu jika pemaju perumahan lebih cenderung membina rumah mewah dan sederhana mewah untuk orang asing?

Meneliti pemilikan hartanah orang asing di negara kita, ia dilihat sebagai berada pada tahap yang 'menakutkan' seperti mana kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam akhbar Utusan Malaysia pada 26 Disember lalu. Keadaan yang berlaku itu tidak seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand. Soalnya, apakah tidak ada mekanisme perancangan dan pembangunan sesebuah kawasan dan hartanah yang mendahulukan segenap lapisan rakyat sendiri, bukannya 'mesra kelas elit' dan orang asing semata-mata?

Selain hak untuk mendapat kediaman yang selesa pada kadar yang berpatutan, pengguna juga terdedah dengan ancaman peniaga yang cekik darah. Kos tinggi tidak berbaloi dengan kuantiti dan kualiti barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Pelbagai alasan dicari. Paling ketara kenaikan bahan api dijadikan sandaran alasan untuk mereka berbuat demikian. Setiap kali bahan api atau bahan asas seperti harga gula naik, begitulah dengan harga makanan atau minuman yang mereka sediakan. Kerap kali barangan atau perkhidmatan yang tiada kaitan langsung dengan kenaikan harga minyak pun akan naik harga juga!

Keadaan ini tentulah tidak adil terhadap rakyat daripada golongan berpendapatan rendah pada ketika Malaysia belum lagi mempunyai pelarasan gaji minimum. Rakyat juga berhak menikmati persekitaran hidup yang selesa dan selamat. Banyak kawasan perumahan dan perniagaan termasuk di simpang-simpang jalan hari ini dicemari dengan iklan ah long, ubat kuat lelaki dan urut yang mengundang banyak gejala sosial kepada masyarakat.

Tidak nampak ketegasan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya iklan yang ditampal atau disembur itu dihapuskan serta-merta sehingga menjadi pemandangan yang lazim tetapi memualkan. Malangnya, itulah yang menjadi santapan mata bermula dari usia kanak-kanak sehingga dewasa.

Dalam hubungan antara pengguna dan produk kesihatan pula, kerap kali kita mendengar rintihan pengguna yang tertipu dengan ubat kurus dan pelangsing badan. Bagi pengguna yang bijak, mereka membuat aduan kepada pihak berwajib. Bagi pengguna yang tidak tahu saluran untuk mengadu maka tinggallah mereka dengan seribu rasa kesal dan kecewa. Manakala syarikat yang menawarkan produk kesihatan palsu terus mengira laba.

Pelbagai kempen kesedaran pengguna diadakan termasuklah Bulan Pengguna Kebangsaan setiap tahun. Namun, apa yang paling penting masyarakat sendiri harus celik dan sentiasa berwaspada. Bangkitlah menuntut hak apabila kekhuatiran dan keluh kesah kita tidak mendapat maklum balas dan tindakan yang sewajarnya. Itulah sebabnya, pengguna mesti peka dan bersatu melawan taktik kotor peniaga, syarikat atau pemodal yang hanya tahu mengira untung tanpa peduli hak dan kualiti yang sepatutnya diberi kepada pengguna.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/