Rabu, 9 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : Meramaikan pelajar aliran Sains di sekolah


Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

PENGUMUMAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan 15 daripada 61 perakuan yang dikemukakan melalui 'Laporan Strategi Mencapai Dasar 60:40 (Aliran Sains/Teknikal: Sastera)' pada 21 Disember lalu sangat dialu-alukan serta perlu mendapat perhatian sewajarnya daripada guru dan ibu bapa.

Untuk menjadi negara maju kita memerlukan ramai warga yang mempunyai pengetahuan meluas dalam bidang sains. Misalnya Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara pada 1999 melaporkan bahawa kita memerlukan seramai 493,830 saintis dan jurutera menjelang tahun 2020. Berdasarkan unjuran itu negara seharusnya dapat melahirkan saintis dan jurutera pada kadar 31.3 peratus setiap dua tahun.

Bagi menjayakannya, Program Transformasi Kerajaan (GTP) mensasarkan penyediaan pekerjaan khususnya dalam bidang sains dan teknologi sebanyak 1.3 juta orang menjelang 2020. Dengan perkataan lain untuk melangkah ke negara maju kita perlu menyediakan ramai golongan profesional seperti saintis, guru, jurutera, akauntan, doktor, ahli farmasi, arkitek, perancang bandar termasuk bidang separa profesional seperti juruteknik, jururawat dan sebagainya.

Bagi melahirkan ramai profesional sudah tentu ia bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah. Atas kesedaran itu Kementerian Pelajaran telah merangka dasar 'Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020' sejak tahun 2000 yang menyasarkan 60 peratus akan mengikuti aliran sains dan 40 peratus aliran sastera di tingkatan empat dan lima.

Bagaimanapun nisbah tersebut tidak mencapai sasarannya. Mulai 2007 berlaku trend penurunan akibatnya calon siswa aliran sains terutama di peringkat prauniversiti dan universiti semakin berkurangan.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi dalam Amanat Tahun Baharu 2012 bahawa keadaan ini boleh membantutkan usaha kerajaan untuk meningkatkan inovasi dalam bidang teknologi. Turut terjejas ialah usaha ke arah transformasi ekonomi bagi negara maju yang berpendapatan tinggi.

Bagi mengatasi isu ini, Kementerian Pelajaran menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji pelaksanaan dasar tersebut. Hasilnya sebanyak 61 perakuan dikemukakan. Namun demikian kerajaan bersetuju untuk melaksanakan 15 perakuan secara berperingkat.

Antara perakuan itu ialah tambahan pengecualian cukai daripada RM1,000 kepada RM3,000 bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang mengikuti aliran sains dan teknologi di sekolah menengah atau prauniversiti. Selain itu, jadual waktu untuk semua mata pelajaran Sains Tulen di sekolah akan ditambah daripada empat waktu kepada lima waktu seminggu.

Peningkatan secara berstruktur akan dilakukan di mana 40 peratus pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang layak akan disalurkan secara automatik ke tingkatan empat aliran sains oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Sebagai motivasi pelajar aliran sains akan diberi keutamaan untuk mendapat tempat di institusi pengajian tinggi selepas menamatkan persekolahan nanti.

Untuk menjadikan pembelajaran sains lebih kondusif dan menarik maka peralatan dan makmal sains di semua sekolah akan dibaik pulih dan dinaik taraf. Kajian juga akan dilakukan dari segi pemberian Biasiswa Kecil Persekutuan yang pernah diberikan kepada pelajar aliran sains tingkatan empat dan lima suatu ketika dulu dikembalikan semula.

Bagi memastikan pelaksanaannya berkesan Timbalan Perdana Menteri menyatakan perakuan itu akan dijadikan sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015. Di samping itu pelaksanaan dasar turut melibatkan kolaboratif (kerjasama erat) antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta.

Namun demikian penulis berpendapat peranan guru dan ibu bapa sangat penting untuk membudayakan bidang sains dan teknologi. Guru bertanggungjawab menggalakkan dan menarik minat pelajarnya untuk mengikuti mata pelajaran tersebut dengan menggunakan pelbagai kaedah yang mudah dan menyeronokkan.

Pelajar akan meminati apa sahaja mata pelajaran sekiranya guru mengajar secara bersungguh-sungguh dengan menggunakan pelbagai teknik dan kaedah pengajaran. Strategi pengajaran yang berkesan dan alat bantu mengajar yang menarik serta penggunaan ICT akan dapat membantu guru ke arah meluaskan budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajarnya.

Kaunselor turut berperanan dengan memberikan maklumat mengenai pentingnya sains dalam kehidupan dan peluang kerjaya yang terbuka luas bagi mereka yang mengikuti aliran itu. Aktiviti seperti ceramah, perbincangan dan bengkel perlu diadakan lebih kerap. Tambah berkesan jika dapat membawa golongan profesional yang berjaya ke sekolah untuk bersemuka, bersoal jawab dan berkongsi pengalaman bersama pelajar.

Selain itu, pengetua dan guru besar perlu menyediakan program dan aktiviti bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar meminati bidang tersebut. Semua warga sekolah perlu dilibatkan termasuk menetapkan suatu sasaran atau KPI yang perlu dicapai. Ke arah itu maka peruntukan kewangan yang mencukupi hendaklah disediakan bagi membeli peralatan pengajaran terkini dan membanyakkan kemudahan bahan bacaan di perpustakaan.

Ibu bapa turut berperanan bagi menggalakkan anak mereka meminati mata pelajaran Sains dan Matematik. Ini boleh dilakukan melalui tunjuk ajar dan bimbingan secara berterusan. Aktiviti seperti membawa anak ke pameran peralatan ICT, pemotoran dan peralatan elektronik dapat membuka minda mereka kepada ciptaan terbaru. Selain itu, penyediaan bahan bacaan di rumah seperti majalah, buku bergambar atau biografi tokoh-tokoh tertentu boleh mencetus dan meningkatkan minat kepada bidang tersebut.

Tawaran biasiswa dan hadiah pelajaran perlu diutamakan kepada siswa bidang sains, teknologi atau teknikal. Ini merupakan motivasi yang kuat kepada pelajar sekolah untuk mengikuti aliran berkenaan. Keistimewaan ini merupakan pengiktirafan dan akan menjadi kebanggaan kepada mereka jika dibandingkan dengan rakan lain dalam aliran sastera atau sains sosial.

Struktur tangga gaji yang lebih berdaya saing bagi penjawat yang berkhidmat di sektor awam atau swasta perlu diberi pertimbangan. Ketika ini tiada perbezaan yang ketara pendapatan mereka yang berkelulusan sains dan sastera.

Malah nampaknya kedudukan jawatan tertinggi seperti Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah atau Pengurus Besar kebanyakannya dimonopoli oleh pegawai berlatar belakang aliran sastera. Keadaan ini boleh mematahkan semangat dan rasa terpinggir bagi mereka daripada aliran sains yang telah bertungkus lumus untuk menggenggam sekeping ijazah.

Pelaksanaan secara komprehensif 15 daripada 61 perakuan yang dikemukakan melalui 'Laporan Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknologi: Sastera' diharapkan membuahkan hasil. Justeru lebih ramai pelajar akan dapat mengisi bidang kritikal itu di institusi pengajian tinggi di suatu ketika nanti.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/