Ahad, 30 September 2012

ISU SOSIAL : Nasihat suatu kewajipan


ORANG lain biasanya nampak kekurangan dan kelemahan diri kita yang kita sendiri mungkin tidak menyedarinya. Di sinilah perlunya memiliki sifat berlapang dada. Dengan saling menasihati maka kita akan lebih maju, cemerlang dan terbuka kepada perubahan.

Masalah timbul apabila seseorang itu sukar untuk dinasihati. Ada yang masam mencuka, ada yang marahkan kita semula dan ada yang menyindir dengan kata-kata menyakitkan hati. Akibatnya, ramai yang ambil langkah selamat dan membiarkan sahaja si Luncai terjun dengan labu-labunya. Namun, membiarkan orang itu begitu sahaja bukanlah satu langkah bijak kerana ada ketikanya apa yang dilakukan olehnya itu memberi kesan kepada orang sekeliling. Misalnya, kalau seorang pekerja di sebuah organisasi suka menipu, maka membiarkan dia begitu sahaja akan memburukkan imej organisasi itu sendiri. Oleh itu dia perlu dinasihati. Malah jika dia ingkar, sesuatu tindakan perlu diambil.

Berikut beberapa langkah yang boleh difikirkan apabila kita cuba menasihati orang lain.

Nasihatkan sahaja dan usah risau sama ada ia diterima atau tidak. Apabila menasihati seseorang, kita bukannya mahu menunjukkan yang kita ini lebih baik. Sebaliknya tujuannya hanya satu, iaitu membantu orang itu agar menjadi lebih baik dan cemerlang. Keikhlasan adalah elemen penting apabila menasihati orang. Apabila kita menasihati daripada hati, ia juga akan sampai ke hati. Usah terlalu fikirkan sama ada nasihat kita itu diterima atau tidak sebab yang memberikan hidayah itu Allah. Tugas kita menyampaikan sahaja.

Apabila menasihati, nyatakan sahaja perkara betul yang perlu dilakukan tanpa perlu menyebut apa kesalahan, kekurangan atau keburukan orang itu. Misalnya, apabila seseorang itu sering bercakap bohong maka tidak perlu ulas tentang cakap bohongnya itu. Sebaliknya, jelaskan sahaja padanya yang kita lebih suka jika dia bersifat berterus terang dan berkata benar.

Pilihlah masa yang sesuai apabila memberikan nasihat. Masa yang paling sesuai adalah ketika kesalahan atau kesilapan itu berlaku. Namun, jika ia berkaitan dengan perangai buruk maka pilihlah waktu orang itu dalam keadaan tenang dan bersedia. Jelaskan dahulu bahawa ada sesuatu perkara penting yang kita mahu sampaikan, itu pun jika dia mahu mendengarnya. Kita tidak mahu niat baik disalah tafsir lalu merenggangkan hubungan.

Semak semula cara kita menasihati. Mungkin pemilihan perkataan atau cara penyampaiannya salah. Ada ketikanya seseorang itu tidak boleh menerima nasihat yang diberikan kerana cara penyampaian kita seolah-olah mengaibkan, memburukkan, mencari salah dan menunjukkan kita ini bagus. Mungkin juga intonasi suara yang digunakan kurang sesuai atau pemilihan kata-kata agak kasar atau bersifat menyerang. Sebab itulah penting bagi kita membina hubungan baik (rapport) terlebih dahulu sebelum menasihati. Usah main terjah sahaja.

Betulkan diri kita dahulu sebab orang lebih percaya apabila kita boleh dicontohi dan dipercayai. Kadang kala kita ini bagaikan ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sebelum menasihati orang lain, nasihatlah diri sendiri dahulu. Malah sepanjang proses menasihati seseorang itu juga kita perlu sentiasa cermin diri sendiri. Sebab ketika menasihati itu, mungkin datang idea atau ilham yang boleh kita manfaatkan sama.

Kita juga perlu belajar menerima nasihat, baru dia tahu yang kita ikhlas. Usah jadi orang yang sekadar pandai menasihati tetapi tidak pandai menerima nasihat. Nasihat menasihati adalah proses dua hala. Hari ini kita nasihatkan dia, esok dia pula nasihatkan kita. Sikap saling menasihati dan berlapang dada sebegini akan mewujudkan suasana yang harmoni serta membina semangat kerja berpasukan yang tinggi. Sebab asas kepada kekuatan ummah itu adalah saling mempercayai. Apabila kita menasihati orang lain dan dalam masa yang sama boleh pula menerima nasihat maka ia menyuburkan sikap saling mempercayai dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Rajin tingkatkan ilmu sebab orang suka berkawan dengan orang yang ada ilmu. Mereka akan lebih hormat pada kita dan itu kelebihan yang boleh kita manfaatkan bagi kebaikannya juga. Semua orang sayangkan orang yang mempunyai pengalaman, berilmu dan memiliki kemahiran yang tinggi. Orang seperti ini sentiasa diminta pendapatnya dan dijadikan pakar rujuk dalam sesuatu perkara. Oleh itu, kita perlu tingkatkan kualiti diri dalam aspek ketinggian ilmu agar dengan kuasa ilmu yang ada maka bolehlah kita mempengaruhi dan mendorong orang lain ke arah kebaikan.

Kasihanilah orang itu dan doakannya. Kalau orang itu tahu apa yang kita tahu maka dia tidak akan lakukan apa yang kita tidak lakukan. Tetapi disebabkan kejahilannya, atau kedangkalan fikirannya, maka dia melakukan sesuatu yang merosakkan diri dan masa depannya. Apabila telah dinasihati tetapi dia tidak mahu menuruti maka tiada apa lagi yang boleh kita lakukan kecuali kasihankannya dan doakan agar Allah berikannya petunjuk dan hidayah. Kerana selemah-lemah iman ialah orang yang membenci dalam hati akan satu perbuatan yang keji. Namun, yang dikeji itu adalah perangai atau sikapnya bukanlah orangnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 29 September 2012

ISU SOSIAL : Keruntuhan moral: Di manakah salahnya?


Oleh : DR ISMAIL IBRAHIM

Perbuatan warga kita melanggar undang-undang trafik   adalah merupakan soal moral yang kelihatan mulai terhakis dengan seriusnya di negara kita. Kita jangan menganggap bahawa melanggar undang-undang trafik atau lalu lintas itu satu perkara kecil yang tidak termasuk dalam perlanggaran moral atau akhlak yang baik kerana daripada melanggar peraturan lalu lintas inilah membawa seseorang itu kepada persediaannya untuk melanggar peraturan dan undang-undang yang lain, seperti peraturan dan adab menghormati  harta benda orang lain, maruah orang lain, kehormatan anak gadis dan wanita-wanita lain, hinggalah kepada menghormati nyawa orang dan seribu satu masalah lain lagi yang sering dilanggar dan dicabuli di dalam masyrakat kita pada hari ini.

Ketua Pengarah JPJ  pada 26 September yang lalu memberitahu media bahawa sistem pemasangan kamera untuk mengawasi lalu lintas dan menangkap pesalah lalu lintas telah dilaksanakan untuk mendidik para pengguna jalan raya supaya sentiasa mengikut peraturan. Pemasangan kamera tersebut  dapat mengurangkan kemalangan kepada diri para pengguna jalan raya itu sendiri dan orang-orang lain yang  tidak berdosa  akibat  kecuaian para pengguna lalu lintas yang tidak bermoral dan tidak patuh kepada undang-undang.

Ketua Pengarah JPJ itu menjelaskan bahawa dalam masa dua hari sahaja sistem kamera itu dipasangkan hanya di beberapa tempat tertentu sahaja yang sering mengalami kemalangan serius di Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur. Daripada 2,952 pesalah yang telah dikesan dengan kamera itu, 809 kerana memandu laju melebihi had laju yang telah ditetepkan dan 2,143 kerana melanggar lampu isyarat. Itu baru dua hari, dan tidak pula meliputi seluruh negara, dan itu pun telah terdapat  tanda amaran kepada para pengguna jalan raya yang memberitahu bahawa di hadapan terdapat kamera dalam sistem kamera Automated Enforcement System (AES)! Jadi semua pemandu telah tahu bahawa di hadapan terdapat kamera yang akan menangkap mereka yang buat salah!

Kita jangan ingat bahawa perkara ini perkara kecil, apa sangat melanggar lampu isyarat, atau memandu laju, kerana yang harus kita ingat ialah prinsip manusia ini yang seharusnya hidup berperaturan, beradab, mentaati undang-undang, malah yang penting sekali ialah hidup berdisiplin dan berkelakuan yang menunjukkan bahawa manusia ini haruslah bertamadun dan berperadaban, malah agama kita sendiri mengajar kita berperaturan dalam sembahyang, puasa dan sebagainya, budaya kita juga mengajar kita beradab dalam makan minum dan bergaul dengan orang tua serta ibu bapa dan anggota masyarakat umum, malah peraturan juga harus dihormati, jangan menyakiti orang lain, menipu, mencuri, merompak dan membunuh, peraturan juga terdapat untuk menusia memenuhi tuntutan jasmaninya, memenuhi tuntutan fitrah nafsunya berkelamin, jangan menceroboh dan merogol dan sebagainya.

Semuanya ini datang sekali gus apabila manusia hidup berdisiplin dan bertamadun, dan sesiapa yang melanggar peraturan ini seharusnya merasa malu dengan dirinya sendiri dan malu dengan orang lain, apa lagi malu dengan Rasulullah dan malu kepada ALLAH, Tuhan yang maha esa. (Cubalah tonton program TV Al-Hijrah "kalau Rasulullah masih berada bersama kita, "Lau Kana Bainana"). Oleh itu mentaati peraturan lalu lintas juga termasuk dalam perilaku yang menunjukkan seorang itu bermoral atau pun tidak.

Kita hairan melihat telatah pelik sesetengah pemandu kita yang melanggar lampu isyarat, iaitu lampu isyarat telah menyala merah, tetapi mereka  terus memandu dengan muka yang selamba, seolah-olah merasa megah apabila dapat melanggar peraturan, dan ketika memandu di atas jalan raya, mereka memotong saja kereta lain  yang  meluncur di jalan raya mengikut had laju yang telah ditetapkan, termasuk lori dan bas, seolah-olah merasakan bahawa merekalah hero dan wira dalam dunia ini.

Apakah selama ini kita belum membangun dengan agak maju dan ke hadapan dalam pembangunan infrastruktur dan pembangunan kemudahan awam seperti  perumahan, jalan raya, kenderaan awam, kompleks membeli-belah, sekolah, kolej dan universiti?

Kalau semuanya  itu telah membangun dengan agak baik, ditambah pula dengan kadar penggangguran yang semakin kurang, harga barang yang terkawal, peningkatan ekonomi keluarga dan individu yang agak baik, kemudahan pendidikan yang meliputi segala peringkat masyarakat, maka yang kurangnya tentulah apa-apa yang ada dalam diri dan hati kita sendiri, dalam hati nurani dan jiwa kita sendiri, termasuk kesedaran hendak menjadi orang yang baik atau tidak, hendak menghormati undang-undang atau tidak.

Di Australia umpamanya sistem AES itu telah dilaksanakan, dan ketika  penulis ke sana beberapa bulan yang lalu nampaknya orang di sana amat berdisiplin semasa memandu, mungkin kerana mereka telah dididik oleh kamera ini, tetapi di tempat yang tidak ada kamera ini pun mereka kelihatan masih mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas, apakah mereka lebih baik daripada kita dari segi adab dan disiplin, atau ajaran agama mereka?

Oleh itu nampaknya masalah kejatuhan moral dan akhlak sekarang merupakan satu masalah besar dalam masyarakat kita. Akibatnya setiap hari kita membaca dan menonton segala macam pencerobohan dan keganasan yang berlaku, penipuan, pembunuhan, pencabulan dan sebagainya, yang sekali gus menambah tugas polis dan penguat kuasa undang-undang kita.

Di manakah salahnya? Mungkin kita dapat sama-sama membincangkan hal ini seterusnya pada kesempatan yang lain.

Sementara itu, para pemandu kenderaan semua, ketika memandu di jalan raya, pandang-pandanglah sikit tanda jalan kerana terdapat satu tanda baru tentang AES ini iaitu di hadapan ada kamera yang mengintip kita, dan kamera ini tidak boleh disuap atau diberikan rasuah, dia bukan manusia, tetapi nampaknya manusia hari ini tidak mahu dididik oleh manusia sendiri, mereka lebih takut kepada makhluk lain yang bukannya bernama manusia termasuklah kamera AES!. Pelik sungguh makhluk yang bernama manusia!

Penulis ialah bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU EKONOMI : Individu Pendapatan Bercukai Bawah RM5,000 Tidak Dikenakan Cukai


CYBERJAYA : Selaras dengan pengumuman penurunan kadar cukai satu mata peratusan, individu yang pendapatan bercukainya di bawah RM5,000 tidak perlu lagi membayar cukai mulai tahun taksiran 2013.

Menjelaskan demikian, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata mereka yang berpendapatan bercukai RM5,000 hingga RM20,000 ke atas pula akan menikmati kadar cukai sebanyak dua peratus berbanding tiga peratus sebelum ini.

"Manakala bagi individu yang pendapatan bercukainya antara RM20,001 hinggaRM35,000 pula akan dikenakan cukai sebanyak enam peratus berbanding sebelum ini tujuh peratus," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pengurangan cukai itu setelah diambil kira semua pelepasan cukai dan bukannya mengikut pendapatan kasar.

Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai Bajet 2013 dan pengurangan cukai itu boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1-300-88-3010 atau emel di callcentre@hasil.gov.my.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Belanjawan2013 semalam, mengumumkan penurunan kadar satu mata peratusan cukai mulai tahundepan, langkah itu membolehkan kira-kira 170,000 individu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan.

Mohd Shukor berkata secara keseluruhannya bajet 2013 mengandungi 37 pindaan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967; lapan pindaan di bawah Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967; sepuluh pindaan di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976; dan enam pindaan di bawah Akta Setem 1949.

Kesemua pindaan itu katanya sebagai menyokong fokus bajet bagi merangsang aktiviti pelaburan, memperkasa pendidikan dan latihan, membudaya inovasi dan meningkat produktiviti.

Justeru itu katanya, LHDN akan menganjurkan Seminar Percukaian Kebangsaan di 23 lokasi di seluruh negara, mulai 3 Oktober depan.

Ia bertujuan memberi penerangan lanjut berkaitan perubahan dalam Akta Cukai Pendapatan dan akta-akta lain yang ditadbir agensi itu yang terkandung dalam Bajet 2013. BERNAMA

ISU SOSIAL : Tangani Panik Dan Ketakutan Ketika Dalam Bahaya


KUALA LUMPUR : Panik dan ketakutan pasti dirasai oleh sesiapa sahaja semasa berdepan dengan perompak tetapi apakah yang wajar dilakukan pada saat-saat genting itu?

Pengalaman seorang pemuda ketika berhadapan dengan sekumpulan penjenayah baru-baru ini mungkin boleh dijadikan iktibar.

Beliau yang memandu sendirian di sebuah lebuh raya di Lembah Klang pada tengah malah dengan tiba-tiba dipintas dan dihalang laluannya oleh sebuah kereta yang dinaiki lima lelaki.

Beliau bertambah panik apabila melihat kelima-lima lelaki itu menyerbu ke arahnya dengan seorang daripada mereka mengacukan sebilah pisau.

Tidak ada apa yang mampu dilakukannya selain akur dengan penjenayah itu dan merayu agar tidak dicederakan. Tidak sampai lima minit, selepas mendapat wang dan beberapa barang lain daripada keretanya, penjenayah itu terus berlalu.

Tindakan pemuda itu, yang tidak melawan dan mengikut apa yang diminta oleh penjenayah demi menyelamatkan nyawanya, adalah tindakan yang bijak menurut Master Saiful Hamiruzzaman, Perunding Keselamatan Peribadi dan Anggota Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Ketika berhadapan dengan suasana genting seperti itu, apa yang perlu dilakukan oleh mangsa bukan mempertahan wang atau harta yang dimiliki sebaliknya melepaskan diri dan menyelamatkan nyawa.

"Namun ramai yang tersilap langkah dan bertindak mempertahan wang dan harta tanpa mengukur kemampuan sendiri hingga akhirnya dicederakan atau dibunuh oleh penjenayah," katanya ketika berkongsi tip dan teknik menyelamatkan diri ketika berhadapan penjenayah dalam bengkel Pencegahan Jenayah anjuran Pusat Kecergasan, Celebrity Fitness di Wangsa Maju baru-baru ini.

MENANGANI PANIK

Walau sehebat mana ilmu pertahanan diri yang dimiliki seseorang itu, ketika berhadapan penjenayah kemahiran itu kadang kala gagal dipraktikkan dengan sempurna akibat perasaan takut dan panik.

Lagipun lawan mereka itu mungkin lebih hebat lagi.

Perasaan panik dan takut adalah tindak balas lumrah pada manusia. Namun menurut Saiful, kajian yang dilakukan menunjukkan dalam keadaan terdesak, manusia akan mempunyai lebih tenaga dan semangat untuk melawan.

"Ketika semangat dan tenaga untuk melawan itu tinggi, seseorang akan bertindak sama ada secara positif atau sebaliknya. Jika positif mungkin dia boleh menyelamatkan dirinya dan jika negatif ia boleh membawa padah," kata Saiful yang menerima gelaran Master daripada Majlis Pertahanan Diri Sedunia.

Saiful berkata, langkah paling mudah untuk mengatasi perasaan panik dan takut terutama berhadapan situasi mendesak adalah dengan menarik nafas sedalam-dalamnya dan melepaskannya melalui jeritan padu "huhh" seperti yang sering dilakukan dalam seni pertahanan diri.

Nampak mudah, namun jika tidak dibiasakan melalui latihan pernafasan dan jeritan yang betul, seseorang akan gagal untuk melakukannya ketika berhadapan situasi genting sebegitu.

"Kena buat latihan pernafasan dan menjerit. Harus selalu dipraktikkan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Anda mampu melepaskan perasaan takut, panik dan segala yang negatif dalam diri dan kembali lebih tenang serta bersemangat.

"Jeritan itu juga mungkin boleh membantu membuatkan penjenayah terkejut dan membolehkan anda melepaskan diri," katanya.

Namun, teknik ini tidak boleh dipraktikkan dalam semua situasi ketika berhadapan penjenayah. Ia harus mengikut keadaan dan persekitaran.

"Jika penjenayah mengacu senjata seperti pisau, senjata api atau sebagainya, anda tidak boleh menjerit kerana provokasi seumpama itu boleh menyebabkan penjenayah bertindak balas dengan mencederakan atau membunuh mangsa.

"Jadi pertimbangan akal dan pengetahuan risiko perlu sebelum bertindak," katanya.

BERTINDAK CEPAT

Jika sebelum ini anda berfikir, jenayah tidak akan berlaku kepada anda dan hanya berlaku pada orang lain, anda pasti tersilap kerana sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa sekiranya tidak ada kesedaran dan tidak mengambil langkah-langkah pencegahan.

Penjenayah sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukan kegiatan mereka kerana itu setiap orang harus sentiasa berwaspada.

Tindakan pantas perlu diambil untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa.

Saiful berkata, kajian menunjukkan sekiranya seseorang itu gagal melepaskandiri apabila terancam dalam tempoh 30 saat, mereka berpotensi menjadi mangsa penjenayah.

Kebiasaannya, pada lima saat pertama kejadian mangsa akan berada dalam keadaan keliru kerana terkejut atas apa yang berlaku.

"Jangan biarkan diri terus dalam keadaan itu, sebaliknya mula fikirkan tindakan yang perlu diambil untuk menyelamatkan diri.

"Dalam tempoh kurang 20 saat itu, cuba berkomunikasi dengan penjenayah akan apa yang diinginkannya. Jika mahukan duit, barang atau sebagainya berikan sahaja bagi mengelak diri dicederakan kerana matlamat akhirnya adalah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Saiful juga merujuk kepada trend membimbangkan kebelakangan ini di mana penjenayah mencederakan mangsa terlebih dahulu sebelum melakukan samun atau sebagainya.

Sekiranya penjenayah bertindak agresif, individu boleh melakukan tindakan yang minimum seperti pijak kaki, tendang lutut, tampar muka atau menepuk kedua-dua belah telinga bagi membolehkannya melepaskan diri dan bukannya bertindak mempertahan diri.

"Jika berhadapan dengan ancaman seperti orang tidak siuman atau mabuk, cuba tepuk kedua-dua belah telinga mereka dengan tangan. Ia akan menyebabkan mereka hilang imbangan badan dan seterusnya akan membolehkan anda melepaskan diri," katanya menerangkan beberapa teknik mudah yang boleh digunakan.

LELAKI MANGSA TERTINGGI PENJENAYAH?

Mengikut statistik lebih ramai lelaki menjadi mangsa jenayah.

Kenapa lelaki sedangkan keadaan fizikal dan kudrat mereka lebih hebat daripada wanita?

Saiful berkata, ini berlaku kerana lelaki sering mengambil mudah soal keselamatan diri kerana sifat ego dan beranggapan mereka mampu mempertahan diri.

"Mereka juga beranggapan mencegah jenayah hanya untuk wanita dan kanak-kanak selain mereka mampu melawan dengan kekuatan yang mereka ada.

"Selain itu majoriti lelaki, kononnya menganggap mereka mempunyai kemampuan atau sudah biasa bergaduh dan bertumbuk," katanya.

Dalam situasi bahaya seperti itu, lelaki lebih mudah membuat provokasi atau cepat melenting sedangkan wanita pula memberi reaksi sebaliknya di mana mereka lebih banyak menangis dan merayu untuk dilepaskan.

"Apa yang lebih penting adalah melakukan pencegahan awal daripada menjadi mangsa penjenayah. Selain itu harus mempelajari cara-cara yang boleh digunakan untuk menyelamatkan diri," katanya yang turut menubuhkan kelab KickStart yang menawarkan program latihan intensif untuk mengkaji, mengelak atau bertindak apabila berada dalam keadaan bahaya.

TINGKAT PENGETAHUAN

Sementara itu, Choi Kwang Ho, Naib Presiden Jualan Celebrity Fitness Malaysia, berkata usaha yang dilakukan dengan mengadakan bengkel pencegahan jenayah bertujuan memberi pengetahuan dan petua berguna kepada anggota kelabnya cara menyelamatkan diri ketika berhadapan situasi bahaya.

Beliau berkata, Celebrity Fitness juga menyediakan latihan yang boleh digunakan sebagai langkah menyelamatkan diri ketika berhadapan situasi jenayah melalui kelas Body Combat.

"Melalui teknik yang diajar oleh Master Siful dengan apa yang dipraktikkan dalam Body Combat, diharapkan membantu ahli-ahli Celebrity Fitness dalam langkah pencegahan dan persediaan mereka ketika berhadapan situasi bahaya," katanya. - BERNAMA

Jumaat, 28 September 2012

TEKS UCAPAN PENUH BAJET 2013



BERIKUT ADALAH TEKS UCAPAN PENUH BAJET TAHUN 2013 OLEH YAB DATUK SRI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK, PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN KETIKA MEMBENTANG RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2013) DI DEWAN RAKYAT PADA JUMAAT, 28 SEPTEMBER 2012

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2013 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.

MUKADIMAH

Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2013 dengan kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim dan memetik sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah yang diturunkan di Madinah, bahawa :

"Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari kiamat untuk menerima balasan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Tuan Yang di-Pertua,

1. Saya berdiri di dewan yang mulia pada petang Jumaat yang berbahagia, penghulu segala hari, untuk membentangkan bajet kelima bagi pihak Kerajaan semenjak mula memegang amanah selaku Menteri Kewangan Malaysia pada tahun 2008. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah rahmatNya jua, kita telah menyaksikan sepanjang tempoh tersebut, melalui usaha kolektif rakan-rakan anggota pentadbiran dengan sokongan ahli-ahli parlimen, penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia, negara tercinta ini telah berjaya dilindungi daripada kesan terburuk akibat kegawatan kewangan global. Bahkan, ekonomi negara telah diletakkan dilandasan pertumbuhan mapan ke arah transformasi sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Manakala kesejahteraan rakyat pula telah dipertingkatkan secara berterusan.

2. Sesungguhnya, Bajet 2013 ini sebagai penerus tradisi terbaik Kerajaan Barisan Nasional memakmurkan negara dan membawa kesejahteraan kepada semua rakyat. Ia manifestasi sebuah janji yang ditepati. Sejak 55 tahun lalu, pada setiap peringkat pembangunan negara, rakyat Malaysia telah meletakkan kepercayaan mereka kepada Kerajaan yang sama.Terima kasih kita ucapkan atas kepercayaan tersebut. Sekali-kali sepanjang masa dan musim berguling ia tidak pernah dikhianati, sebaliknya pada setiap ketika ia telah dibalas dengan laba pada julat berganda.

3. Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala.Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada hari ini tampak muluk-muluk dan indah tetapi sebenarnya berupa racun yang berbisa. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan kebenaran biarpun kelat. Kita tidak pernah mendodoi rakyat dengan dogengan lipur lara sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan bitara terhadap segala permasalahan rakyat.

4. Telah terbukti tanpa tersanggah lagi bahawa ekonomi Malaysia merupakan ekonomi berteraskan rakyat.Ia hasil wawasan dan aspirasi rakyat.Ia merupakan manifestasi kerja keras dan jerih payah rakyat.Ia sumbangan masyarakat desa dan bandar, golongan profesional serta pekerja kolar biru, petani, buruh, peladang, pekebun kecil, nelayan, guru, pensyarah dan karyawan.Didukung pula para penjawat awam dan usahawan. Di atas segalanya, ia diuruskan secara teliti dan berhemah oleh Kerajaan yang meletakkan kebajikan rakyat di atas jemalanya. Inilah formula kejayaan Malaysia.

5. Sayugia, mengurus sebuah negara majmuk yang kompleks seperti Malaysia bukan perkara mudah.Ia memerlukan keikhlasan dan kebijaksanaan kerana rakyat Malaysia amat cerdik menilai yang mana intan dan yang mana kaca. Hakikat rakyat telah memberi mandat kepada Kerajaan ini sebanyak 12 kali tanpa putus semenjak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh Kerajaan sedia ada.

6. Sesungguhnya waad yang wujud itu, di antara rakyat dan Kerajaan selama ini mana mungkin mampu dipunahkan waima sekuat mana pun fitnah dan mehnah melanda. Sehubungan itu, naskah bajet yang akan saya persembahkan ini merupakan sebuah penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia lantaran terus meletakkan kepercayaan kepada kami di sepanjang ketika.

PRESTASI EKONOMI 2012 DAN PROSPEK 2013

Tuan Yang di-Pertua,

7. Kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar. Asas ekonomi yang kukuh serta disokong oleh sistem monetari akomodatif telah membolehkan ekonomi negara berada di landasan teguh. Dalam tempoh separuh pertama 2012, ekonomi negara tumbuh pada kadar 5.1 peratus didorong, terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta. Negara terus menerima kemasukan pelaburan langsung asing bersih berjumlah 13.6 bilion ringgit selaras dengan peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama.

8. Bagi keseluruhan tahun 2012, walaupun pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia sederhana, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang kukuh pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Pertumbuhan ini dipacu oleh pelaburan swasta sebanyak 11.7 peratus atau mencapai 127.9 bilion ringgit. Prestasi ini jauh lebih besar berbanding jumlah pelaburan sebanyak 81 bilion ringgit pada tahun 2009. Tren ini menunjukkan aktiviti pelaburan domestik semakin rancak, terutama dengan pelaksanaan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi.Ini mendorong sektor pembinaan terus melonjak tinggi sebanyak 15.5 peratus berbanding 4.6 peratus pada tahun 2011.

9. Persekitaran ekonomi domestik yang mantap juga mendorong bursa saham mencatat prestasi yang menggalakkan. Ini terbukti dengan Indeks Komposit Bursa Malaysia telah mencecah rekod tertinggi 1,654.11 mata pada 4 September 2012. Nilai modal pasaran telah meningkat sebanyak 44 peratus daripada 999 bilion ringgit pada akhir tahun 2009 kepada 1.43 trilion ringgit pada akhir Julai 2012.Pendapatan per kapita pula meningkat kepada hampir 31 ribu ringgit pada tahun 2012 berbanding 25 ribu ringgit pada tahun 2009. Rizab antarabangsa pada 14 September 2012 pula kekal kukuh mencatat 432.2 bilion ringgit, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.

10. Pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang dijangka lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus. Julung kalinya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras 1 trilion ringgit. Pertumbuhan lebih baik ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta sebanyak 13.3 peratus dan 5.7 peratus. Sektor pembinaan dijangka terus meningkat kukuh 11.2 peratus diikuti oleh sektor perkhidmatan pada kadar 5.6 peratus.

PERUNTUKAN BAJET 2013

Tuan Yang di-Pertua,

11. Bajet 2013 akan menyediakan peruntukan sejumlah 251.6 bilion ringgit bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan, menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut, 201.9 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus dan 49.7bilion ringgit bagi peruntukan pembangunan.

12. Di bawah peruntukan mengurus,sejumlah 58.6 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 33.7 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 107.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.2 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.

13. Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah 30 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 11.1 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 2 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.

14. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013, jumlahnya dianggarkan 208.6 bilion ringgit, berbanding 207.2 bilion ringgit pada tahun 2012. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan akan terus berkurangan kepada 4.0 peratus daripada KDNK bagi tahun 2013, berbanding 4.5peratus pada tahun 2012. Ini menunjukkan Kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal ke paras lebih rendah.

FOKUS BAJET 2013

Tuan Yang di-Pertua,

15. Bajet 2013 digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negara. Memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum hasil daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan. Oleh itu, Bajet 2013 dirangka bertemakan "MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI" dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.

FOKUS PERTAMA: MERANGSANG AKTIVITI PELABURAN

Tuan Yang di-Pertua,

16. Fokus Pertama: Merangsang Aktiviti Pelaburan. Pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh pelaburan langsung asing dan domestik. Dalam tempoh separuh pertama 2012, pelaburan swasta meningkat kepada 75.3 bilion ringgit berbanding 59.8 bilion ringgit bagi tempoh yang sama tahun 2011. Tren ini dijangka berterusan dalam tahun 2013 dengan pelaburan swasta dijangka meningkat kepada 148.4 bilion ringgit.

17. Kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi Negara.Sejumlah 3 bilion ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan bagi tahun 2013. Ini termasuk 1.5 bilion ringgit bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi. Sebanyak 500 juta ringgit diperuntukkan untuk projek River of Life bagi mengindahkan Sungai Klang. Manakala, 300 juta ringgit lagi untuk projek pemulihan rangkaian paip dan pembentungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air.

MENGGALAK PELABURAN DOMESTIK

18. Seterusnya, bagi merangsang pelaburan domestik dan mempercepatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global, Kerajaan telah menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai 1 bilion ringgit di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Dana ini bertujuan memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan. Selain itu, Kerajaan juga memperkenalkan semula insentif pengambilalihan syarikat asing dan kadar cukai khas bagi menggalakkan penyedia perkhidmatan tempatan bergabung menjadi entiti lebih besar.

MEMPERGIAT PERUSAHAAN KECIL & SEDERHANA

19. Seperti kita maklum, Perusahaan Kecil dan Sederhana memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara. Bagi mempercepatkan pertumbuhan industri PKS dan perluasan skop kawasan industri di seluruh negara, dana sebanyak 1 bilion ringgit akan disediakan di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank. Langkah ini memudahkan akses PKS untuk mendapat pembiayaan dan seterusnya memajukan perniagaan mereka.

20. Ini selari dengan Pelan Induk PKS (2012 - 2020) telah dilancarkan yang bertindak sebagai ‘game changer’ untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS melalui inovasi dan produktiviti. Pelan induk ini melibatkan pelaksanaan 32 inisiatif termasuk enam Program Berimpak Tinggi dengan peruntukan 30 juta ringgit.

21. Dalam mempergiatkan Industri Halal, terutamanya membangunkan produk-produk halal berimpak tinggiuntuk tujuan eksport, SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak 200 juta ringgit membiayai modal kerja PKS terlibat.

22. Pada masa ini, terdapat 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil menjalankan perniagaan secara tradisional dengan struktur perniagaan kecil dan pendapatan harian tidak menentu. Sehubungan itu, sebagai tanda keprihatinan dengan kekangan yang dihadapi oleh mereka sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian, Kerajaan mencadangkan skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga 5,000 ringgit. Buat pertama kalinya, Kerajaan akan membiayai skim ini dengan peruntukan sebanyak 16 juta ringgit setahun.

23. Di samping itu, Perbadanan Nasional Berhad akan memperkenalkan program Business In Transformation bagi menyokong usaha bersepadu memodenkan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil kepada standard yang lebih tinggi dan berdaya saing dengan menggunakan model licensing atau franchising. Program ini akan memberi bimbingan dan khidmat nasihat ke atas konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kiosk dan perniagaan atas talian. Untuk ini, PNS akan menyediakan kemudahan kepada penjaja dan peniaga kecil dengan pinjaman sehingga 25 ribu ringgit bagi licensee dan 500 ribu ringgit kepada licensor.

MALAYSIA SEBAGAI HAB MINYAK & GAS

Tuan Yang di-Pertua,

24. Kita bersyukur kerana dikurniakan punca galian berharga iaitu minyak dan gas asli di pesisir pantai. Kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia daripada sekadar pengeluar, kepada salah satu hab dagangan minyak dan gas bersepadu utama dunia.

25. Jadi, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah strategik meningkatkan keupayaan negara terutamanya dalam menyediakan ekosistem yang berupaya menyokong pembangunan rantaian penapisan, penyimpanan dan dagangan.Bagi mendokong penglibatan pengusaha swasta dalam pembangunan industri minyak dan gas, pelbagai insentif cukai dan insentif bukan cukai istimewa telah dirangka. Ini termasuk bantuan kos pengambilalihan tanah dan bantuan kewangan sebagai tippingpointprojek perkongsian awam swasta,pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk tempoh 10 tahun, pengecualian cukai pegangan dan pengecualian duti setem.

26. Bagi pelaburan dalam aktiviti penapisan produk petroleum, Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus untuk tempoh 10 tahun diberi kepada yang layak. Hasil insentif, pelbagai projek pelaburan minyak dan gas bernilai 20 bilion dolar AS telah dimulakan termasuk projek Petronas Refinery and Petrochemical Integrated Development atau Rapid, Terminal Simpanan Minyak dan Gas di Johor, Loji Regasifikasi di Melaka dan terminal minyak serta gas di Sipitang, Sabah.

27. Pada tahun lepas, Kerajaan juga telah melancarkan Program Global Incentive for Trading atau GIFT dengan galakan cukai pada kadar 3 peratus. Sehubungan dengan permintaan global LNG yang dijangka mencecah 400 juta tan setahun pada tahun 2025, program GIFT ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus keatas pendapatan berkanun untuk tempoh 3 tahun pertama operasi bagi syarikat dagangan. Dagangan komoditi yang diluluskan akan diperluaskan kepada lain-lain komoditi seperti pertanian, bahan mentah bertapis, logam asas dan kimia.

MERANCAK SEKTOR PELANCONGAN

Tuan Yang di-Pertua,

28. Industri pelancongan merupakan satu sektor pertumbuhan ekonomi penting yang menyumbang hampir 12 peratus KDNK. Jumlah pendapatan daripada sektor pelancongan dianggar akan meningkat kepada 62 bilion ringgit pada tahun 2012. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 358 juta ringgit di bawah perbelanjaan pembangunan iaitu peningkatan peruntukan sebanyak 42 peratus dengan sasaran pelancong seramai 26.8 juta orang. Kerajaan juga mencadangkan lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama 3 tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun.

MENINGKAT AKTIVITI PERTANIAN

29. Di sudut lain, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada sektor pertanian dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. Diperuntukkan sebanyak 5.8 bilion ringgit kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

30. Kerajaan menyediakan sebanyak 30 juta ringgit bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga mempersiapkan sebanyak 75 juta ringgit bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan.

31. Bagi sektor perladangan pula, di bawah NKEA, sebanyak 432 juta ringgit disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit. Langkah ini akan meningkatkan tuaian hasil buah sawit setahun pada kadar 26.2 tan sehektar pada tahun 2020 berbanding 21 tan sehektar pada masa ini. Di samping itu, sebanyak 127 juta ringgit disediakan untuk pembangunan bahan terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran ke arah pengeluaran lebih banyak bahan terbitan.

KELESTARIAN JAMINAN BEKALAN MAKANAN

Tuan Yang di-Pertua,

32. Berkaitan kelestarian jaminan bekalan makanan pada masa akan datang, kawasan jelapang padi sedia ada akan ditambah baik dengan sistem pengurusan tanamannya secara sistematik. Sebagai tambahan, 4 kawasan jelapang padi baru akan dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan. Pada masa ini, kawasan jelapang padi bertanam adalah seluas 389 ribu hektar yang mampu menghasilkan sebanyak 1.8 juta tan metrik. Pertambahan 4 lagi kawasan jelapang padi baru seluas 19 ribu hektar dengan penyertaan seramai 12,237 pesawah dijangka menghasilkan 104 ribu tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak 140 juta ringgit.

MEMBELA NASIB PETANI & NELAYAN

Tuan Yang di-Pertua,

33. Kerajaan amat menghargai sumbangan para nelayan dan sentiasa memastikan kedudukan sosioekonomi golongan ini bertambah baik dan pendapatan mereka meningkat. Pada masa ini, Kerajaan memberi elaun bantuan sara hidup 200 ringgit sebulan yang dapat memanfaatkan 55 ribu nelayan berdaftar. Kerajaan juga menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi menggalakkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan di jeti-jeti berdaftar seluruh negara.

34. Kerajaan juga telah memperkenalkan skim perlindungan insurans nelayan dengan perlindungan maksimum 100 ribu ringgit. Meneruskan hasrat ini, bagi tahun 2013, Kerajaan akan memperuntukkan 230 juta ringgit sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan. Di samping itu, berdasarkan peruntukan 300 juta ringgit pada Bajet 2012, program pembangunan dan pembaikan rumah nelayan sedang giat dijalankan.

35. Bagi membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran pula, Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah 2.4 bilion ringgit. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi - 480 juta ringgit, Pemberian Subsidi Baja Padi - 465 juta ringgit, Insentif Peningkatan Hasil Padi - 80 juta ringgit, Insentif Pengeluaran Padi - 563 juta ringgit, Subsidi Harga Beras - 528 juta ringgit dan Subsidi Benih Padi Sah - 85 juta ringgit.

36. Selaras dengan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama pengusaha sawah, buat julung kalinya, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi. Skim ini memberi kemudahan perlindungan kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan dijangka dapat memanfaatkan 172 ribu pesawah. Jumlah pampasan yang dapat diterima dianggarkan bernilai 13 ribu ringgit setiap pesawah. Buat permulaan, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit.

37. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan Projek Azam Tani yang diperkenalkan pada tahun 2011. Program ini telah berjaya mengeluarkan seramai 1,234 keluarga daripada garis kemiskinan dengan purata pendapatan meningkat di antara 200 hingga 2,000 ringgit sebulan malah beberapa peserta telah berjaya mendapat pendapatan melebihi 10 ribu ringgit sebulan. Untuk memperkasakan lagi usaha ini, sebanyak 41 juta ringgit akan diperuntukkan bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta.

MENCERGASKAN PASARAN MODAL & KEWANGAN

Tuan Yang di-Pertua,

38. Pasaran modal negara berkembang pesat walaupun terdapat ketidaktentuan dalam ekonomi global. Malaysia terus menerajui terbitan sukuk dengan menyumbang 71 peratus atau 171 bilion ringgit daripada jumlah terbitan sukuk global dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012. Ini terbukti dengan terbitan sukuk tunggal terbesar di dunia oleh PLUS Berhad bernilai 30.6 bilion ringgit.

39. Di samping itu, industri pengurusan dana dan amanah saham menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh pertama 2012 dengan aset yang diuruskan meningkat kepada 451.9 bilion ringgit dan nilai aset bersih sebanyak 277.8 bilion ringgit.

Tuan Yang di-Pertua,

40. Pada tahun 2012, pasaran ekuiti negara telah mencatat peningkatan yang monumental dengan menyaksikan tawaran awam awal atau IPO yang bernilai 17.4 bilion ringgit.Ia merupakan peningkatan 162 peratus berbanding 2011. Sejarah tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar di dunia iaitu Felda Global Ventures Holdings dengan nilai 9.9 bilion ringgit dan IHH Healthcare Berhad dengan nilai 6.3 bilion ringgit telah diterbitkan.Terkini, Astro akan disenaraikan pada bulan Oktober 2012 dengan jangkaan nilai terbitan yang besar.

41. Untuk terus mencergaskan pasaran modal dan ekuiti negara, Suruhanjaya Sekuriti akan menyediakan rangka kerja bagi terbitan Agro Sukuk untuk syarikat yang terlibat dalam sektor pertanian, terutamanya dengan kejayaan penyenaraian FGVH. Dengan terdapatnya instrumen seperti Agro Sukuk, ia dapat mengumpulkan modal bagi membiayai syarikat-syarikat pertanian dan industri asas tani. Justeru,untuk menggalakkan terbitan Agro Sukuk, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan bagi menerbitkan sukuk tersebut diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh 4 tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.

42. Selain daripada pelabur institusi, buat pertama kalinya, Kerajaan menggalakkan pelabur runcit menyertai pasaran modal. Bagi tujuan ini, SC telah menyediakan satu rangka kerja terbitan bon dan sukuk runcit untuk membolehkan pelabur-pelabur runcit memiliki pegangan dalam pasaran bon dan sukuk. Sebagai permulaan,Dana Infra Nasional Berhad akan menerbitkan bon runcit bernilai 300 juta pada akhir tahun 2012 untuk membiayai pembangunan projek MRT.

43. Bagi mendorong syarikat menerbitkan bon dan sukuk runcit, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit tersebut diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015. Pada masa yang sama, pelabur individu pula, diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urusniaga bon dan sukuk runcit.

44. Suruhanjaya Sekuriti akan menubuhkan Pusat Promosi Pasaran Modal bagi memastikan keberkesanan dan promosi secara holistik pasaran modal Malaysia di peringkat antarabangsa. Pusat ini akan memastikan pendekatan bersepadu dengan menyediakan inisiatif yang konsisten untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pendanaan.

45. Bagi meningkatkan penawaran golongan profesional untuk menyokong pertumbuhan pasaran modal, SC akan memperkenalkan inisiatif Graduate Representative Program. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan supaya dapat memenuhi keperluan industri sekuriti dan derivatif.

MENGGALAKKAN AMANAH PERNIAGAAN (BusinessTrust)

46. Pengendalian perniagaan melalui suatu entiti amanah mempunyai kelebihan tertentu, terutamanya dari segi meningkatkan keupayaan untuk memperoleh sumber kewangan berdasarkan aset yang dimiliki. Dengan itu, Kerajaan telah meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk menyediakan pilihan pengendalian perniagaan melalui struktur baru iaitu amanah perniagaan (business trust).

47. Selaras dengan ini, Kerajaan mencadangkan amanah perniagaan diberi layanan cukai sama seperti sesebuah syarikat. Seterusnya, bagi menggalakkan pembangunan amanah perniagaan, adalah dicadangkan pindah milik perniagaan, aset dan hartanah milik syarikat kepada amanah perniagaan diberi pengecualian duti setem dan pengecualian cukai keuntungan harta tanah di peringkat awal penubuhan amanah perniagaan.

48. Kerajaan telah menubuhkan Danajamin Nasional Berhad agar syarikat yang berdaya maju mendapat dana melalui pasaran bon pada kos yang munasabah. Danajamin telah meluluskan jaminan berjumlah 9.3 bilion ringgit nilai terbitan bon kepada 30 syarikat dengan 4.2 bilion ringgit bon dan sukuk telah diterbitkan. Langkah ini telah membolehkan syarikat menjana aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, infrastruktur, perladangan, minyak dan gas, pembinaan, perkilangan serta penerbangan.

49. Bagi merancakkan lagi akses syarikat ke pasaran modal, Kerajaan akan menambah peruntukan modal Danajamin sebanyak 400 juta ringgit dalam tempoh 2 tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara 4 hingga 6 bilion ringgit.

50. Kerajaan turut mengumumkan penubuhan Yayasan Pasaran Modal sebagai usaha bersepadu meningkatkan kompetensi dan keupayaan untuk bersaing dalam landskap pasaran modal yang lebih dinamik. Yayasan ini akan memberi fokus kepada 3 aspek utama iaitu pembangunan PKS; menggalak dan menyokong produk inovasi dan pembangunan modal insan. Sehubungan dengan itu, sejumlah 100 juta ringgit akan disediakan kepada Yayasan ini melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia SC.

51. Sebagai salah satu inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan antarabangsa serta menarik FDI, Kerajaan telah melancarkan Tun Razak Exchange atau TRX pada 30 Julai 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak 26 bilion ringgit. TRX akan memberi peluang pelaburan baru dengan menghubungkan komuniti perniagaan dan pasaran global. TRX dijangkakan menarik 250 syarikat perkhidmatan kewangan antarabangsa dan menawarkan 40 ribu peluang pekerjaan mahir dan berpengetahuan.

52. Untuk mengalakkan institusi kewangan antarabangsa utama menjadikan Kuala Lumpur sebagai pilihan pelaburan, pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus TRX, pengecualian duti setem, elaun bangunan industri, elaun modal dipercepatkan kepada syarikat berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah telah diberikan. Kerja pembinaan awal TRX berjalan lancar mengikut jadual. Manakala, pengalihan kemudahan utiliti sedia ada di tapak TRX pula sedang giat dijalankan dan dijangka selesai pada Oktober 2012.

WAKAF KORPORAT

Tuan Yang di-Pertua,

53. Kerajaan mengambil maklum bahawa Majlis Agama Islam Negeri merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf dan dana wakaf dalam sesebuah negeri. Institusi wakaf di Malaysia tidak hanya tertumpu pada pembangunan tanah semata-mata tetapi juga merangkumi wakaf dalam bentuk tunai, saham dan instrumen kewangan lain yang dikategorikan sebagai wakaf korporat. Selaras dengan itu, Yayasan Wakaf Malaysia di bawah JAWHAR akan diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri. Pelan induk ini bakal menjadi platform pembangunan wakaf korporat di Malaysia.

PEMBANGUNAN USAHAWAN BUMIPUTERA

Tuan Yang di-Pertua,

54. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan syarikat Bumiputera dapat bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar, pekerjaan berpendapatan tinggi serta pelaburan dalam sektor utama ekonomi. Pada tahun 2010, ekuiti Bumiputera telah meningkat kepada 23 peratus berbanding 22 peratus pada tahun 2008. Salah satu usaha ialah meningkatkan penglibatan syarikat Bumiputera dalam pelaksanaan jajaran pertama projek MRT. Sesungguhnya, penglibatan syarikat Bumiputera dalam projek berimpak tinggi seperti MRT akan meningkatkan keupayaan dan kemahiran syarikat Bumiputera tempatan. Justeru, sebanyak 9 bilion ringgit atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.

55. Usaha juga akan diambil bagi membantu syarikat PKS Bumiputera untuk berkembang dan mempertingkatkan pegangan ekuiti dalam sektor ekonomi. Sehubungan ini, Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah 1 bilion ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana ini dijangka dapat membantu PKS tempatan bagi tujuan membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual.Setakat ini, 2 GLC telah mengenal pasti anak-anak syarikat yang berpotensi untuk dijual kepada pelabur-pelabur Bumiputera.

56. Kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Modal Kerja dengan dana sebanyak 10 bilion ringgit bagi membantu syarikat PKS mendapatkan akses pembiayaan modal kerja. Skim ini memberi jaminan maksimum sehingga 2.5 juta ringgit bagi setiap syarikat yang layak. Pada masa ini, dana Skim ini yang dikhaskan kepada syarikat Bumiputera masih berbaki 900 juta ringgit. Bagi menarik lebih banyak syarikat bumiputera menikmati kemudahan Skim ini, Kerajaan akan melanjutkan tempoh tamat program skim ini sehingga 31 Disember 2013, memperluas skim ini kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi dan meningkatkan kelayakan dana pemegang saham syarikat daripada 10 juta ringgit kepada tidak melebihi 20 juta ringgit.

57. Kemudahan pinjaman secara mudah dan cepat sering kali menjadi kekangan kepada usahawan kecil terutama Bumiputera. Dengan tertubuhnya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, usahawan kecil kini mampu memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka. Sehingga kini, TEKUN telah menyalurkan pinjaman sebanyak 2.24 bilion ringgit kepada 224,175 usahawan kecil di seluruh negara termasuk sejumlah 34.5 juta ringgit kepada 4,212 usahawan masyarakat India di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Bagi tahun 2013, Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak 350 juta ringgit, termasuk daripadanya 50 juta ringgit kepada masyarakat India.

FOKUS KEDUA: MEMPERKASA PENDIDIKAN DAN LATIHAN

Tuan Yang di-Pertua,

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025

58. Fokus Kedua: Memperkasa Pendidikan dan Latihan. Sememangnya sejak merdeka, Kerajaan telah menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama negara. Kerajaan juga menyedari pelaburan dalam bidang ini adalah prasyarat kepada sebuah negara yang makmur dan pembangunan rakyat yang sejahtera. Lalu, setiap tahun menyaksikan peruntukan besar dan kali ini 21 peratus daripada keseluruhan bajet. Namun, didapati hasil yang diperolehi tidak setara dengan pelaburan yang telah dibuat. Maka, pada 11 September lepas, Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan sistem pendidikan negara akan mampu mengoptimumkan potensi setiap anak Malaysia.

59. Bagi Bajet 2013, sebanyak38.7 bilion ringgit telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan.

60. Berbicara tentang itu, langkah meningkat upaya kompetensi dan kualiti guru merupakan prasyarat kritikal yang menunjang kejayaan sistem pendidikan negara. Oleh itu, bagi menjana mula prakarsa ini,di samping 38.7 bilion ringgit peruntukan kepada Kementerian Pelajaran bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains dan matematik melalui pendekatan Higher Order ThinkingSkills. Peruntukan ini juga merangkumi penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan atau Education Delivery Unit bagi memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi pelan tersebut.

Tuan Yang di-Pertua,

61. Pada pembentangan Bajet 2012, Kerajaan telah menyediakan sebanyak 1 bilion ringgit di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita saya mengumumkan tambahan 1 bilion ringgit lagi kepada Tabung khas ini. Daripada jumlah ini, 400 juta ringgit akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan, 100 juta ringgit kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 100 juta ringgit Sekolah Berasrama Penuh dan 100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA.

MEMPERKUKUH PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

Tuan Yang di-Pertua,

62. Melangkah ke ruang pendidikan awal kanak-kanak, kualiti pendidikan prasekolah amat penting sebagai platform melengkapkan kanak-kanak dengan pendidikan asas. Untuk ini, sebanyak 1.2 bilion ringgitdisediakan bagi tujuan pendidikan prasekolah termasuk kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional. Sebagai tambahan, sebanyak 380 juta ringgit disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah.

63. Berhubung perkhidmatan taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang berkualiti pula, demi memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan sempurna di samping membangunkan perkembangan minda yang positif,Kerajaan mencadangkan insentif-insentif berikut:

Pertama: Geran pelancaran 10 ribu ringgit kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak swasta untuk membantu mereka membuka taska baru yang berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat;

Kedua: Potongan cukai 2 kali ke atas elaun atau subsidi yang diberi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan kanak-kanak akan diberi kepada majikan;

Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 5 tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun diberi kepada pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak swasta; dan

Keempat : Pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh 5 tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun kepada pengusaha pra-sekolah swasta.

64. Pada masa ini, kita dapati ramai kanak-kanak kurang upaya dari keluarga berpendapatan rendah yang tidak mendapat pendidikan awal kerana kekurangan TASKA OKU. Untuk ini Kerajaan akan melaksanakan projek perintis TASKA OKU bagi 6 kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi downsyndrome, autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah pembelajaran.

LATIHAN & KEMAHIRAN

65. Berganjak kepada soal modal insan, yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif, program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran baru selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju. Bagi tujuan ini, pada tahun 2013, sejumlah 3.7 bilion ringgit akan disediakan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.

66. Setiap tahun hampir 180 ribu graduan berkelulusan diploma dan sarjana muda menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi. Untuk membantu mereka yang masih menganggur, maka Kerajaan akan melancarkan Graduate Employability Blueprint pada penghujung tahun 2012. Rangka kerja ini akan memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam hal ini, Kerajaan akan menubuhkan Graduate Employability Taskforce dengan peruntukan 200 juta ringgit.

67. Kerajaan telah melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia atau dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui latihan soft-skills dan on-job-training di syarikat swasta melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan oleh pihak syarikat. Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun 2012 sehingga tahun 2016.

68. Kerajaan juga memperuntukkan 440 juta ringgit kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk menjalani latihan kemahiran. Langkah ini akan dapat memanfaatkan hampir 40 ribu pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5. Kerajaan juga memperuntukkan 366 juta ringgit bagi menaik taraf serta pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara.

69. Pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan selaras dengan matlamat mentransformasikan industri utama negara berteras kepada teknologi tinggi, berinovatif serta berpendapatan tinggi. Ke arah ini, tumpuan akan diberi bagi melahirkan tenaga kerja profesional dan berbakat di dalam industri terpilih termasuk industri minyak dan gas, perkapalan, ICT, kreatif serta bioteknologi. Bagi tahun 2013, dijangka seramai 5,000 pelatih akan menyertainya. Di samping itu, Petronas akan menggunakan kemudahan Institut Kemahiran Belia Negara di Pengerang, Johor untuk melatih seramai 300 orang belia menjelang akhir tahun ini dalam bidang minyak dan gas bagi memenuhi keperluan projek RAPID.

70. Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India, terutamanya dari estet-estet yang tidak memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Selaras dengan itu, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit untuk melatih 3,200 pelajar masyarakat India bagi memperlengkapkan mereka dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran. Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional.

71. Bagi memastikan golongan pekerja swasta adalah sentiasa sihat dan produktif dalam menyumbang kepada pembangunan syarikat dan ekonomi negara, aspek kesihatan mesti diberi keutamaan. Untuk ini, PERKESO akan menyediakan peruntukan sebanyak 200 juta ringgit bagi membolehkan ahlinya seramai 1.4 juta orang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma di hospital Kerajaan atau klinik panel PERKESO. Pemeriksaan kesihatan ini bertujuan untuk mengesan penyakit tidak berjangkit, kepada semua pekerja yang berumur antara 40 hingga 55 tahun.

FOKUS KETIGA: MEMBUDAYA INOVASI, MENINGKAT PRODUKTIVITI

Tuan Yang di-Pertua

HARTA INTELEK (IP) SEBAGAI CAGARAN

72. Fokus Ketiga: Membudayakan inovasi meningkat produktiviti. Bagi membolehkan PKS menggunakan harta intelek sebagai nilai komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan memajukan perniagaan,satu model penilaian harta intelek akan diwujudkan bagi membenarkan ia dinilai secara komersial dan seterusnya digunakan sebagai cagaran memperoleh pembiayaan dari institusi kewangan. Bagi maksud ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Mewujudkan skim Dana Pembiayaan Harta Intelek berjumlah 200 juta ringgit. Skim ini akan ditawarkan oleh Malaysia Debt Ventures. Kerajaan akan memberi subsidi kadar faedah sebanyak 2 peratus dan jaminan sebanyak 50 peratus melalui Credit Guarantee Corporation; dan

Kedua: Menyediakan peruntukan sebanyak 19 juta ringgit bagi program latihan penilai harta intelek tempatan kendalian Perbadanan Harta Intelek serta mewujudkan platform pasaran harta intelek.

73. Aktiviti R&D pula akan terus diberi penekanan. Pelbagai penemuan dan hasil R&D institusi penyelidikan awam berpotensi untuk dikomersialkan. Maka, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 600 juta ringgit kepada 5 buah universiti penyelidikan bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang strategik seperti nano teknologi, automatif, bio-teknologi serta aero-angkasa.

74. Untuk merancakkan aktiviti pengkomersialan penemuan R&D institusi penyelidikan awam, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada bagi pengkomersialan penemuan R&D berasaskan aktiviti sumber diperluaskan kepada aktiviti berasaskan bukan sumber yang digalakkan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986. Galakan cukai tersebut adalah:

Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiarinya yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan yang dibuat dalam syarikat subsidiari tersebut; dan

Kedua: Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun.

MEMPERGIAT PELABURAN MODAL TEROKA OLEH PELABUR INDIVIDU

75. Merujuk usahawan muda tempatan, sememangnya didapati mereka mempunyai idea dan produk inovatif yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa namun berhadapan sumber pembiayaan terhad. Oleh itu, sebagai sumber pembiayaan alternatif, penglibatan secara langsung pelabur pemangkin atau angel investors di peringkat awal perniagaan adalah amat penting bagi merealisasikan pelaburan dan daya saing syarikat teroka. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan potongan cukai bersamaan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya.

MENYEMARAK INOVASI INKLUSIF

Tuan Yang di-Pertua,

76. Bagi memastikan pembangunan inklusif, Kerajaan akan terus merancang dan melaksanakan program serta aktiviti berintensifkan pengetahuan, kreativiti dan inovasi. Menuju ke tahun 2020, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, inovasi akan terus diperkukuh dan diarusperdanakan dalam semua sektor dan segenap lapisan masyarakat. Melalui Bajet 2013, inisiatif ini akan diambil oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama agensi Agensi Inovasi Malaysia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

PEMBANGUNAN TEKNOLOGI HIJAU

77. Dalam Bajet 2010, Kerajaan telah mewujudkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dengan dana berjumlah 1.5 bilion ringgit untuk tempoh 3 tahun, yang akan berakhir pada 31 Disember 2012. Dana ini membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah dengan Kerajaan menanggung subsidi 2 peratus daripada jumlah kadar faedah dan jaminan Kerajaan 60 peratus. Sehingga kini, hampir 800 juta ringgit telah diluluskan kepada 50 syarikat tempatan. Bagi merancakkan lagi pengeluaran dan penggunaan produk berasaskan teknologi hijau, dana skim ini akan ditambah sebanyak 2 bilion ringgit dan tempoh permohonan skim SPTH ini dilanjutkan untuk tempoh 3 tahun lagi iaitu sehingga 31 Disember 2015.

FOKUS KEEMPAT: KONSOLIDASI FISKAL DAN MEMPERCEKAP PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM

Tuan Yang di-Pertua,

78. Fokus Keempat: Konsolidasi Fiskal dan Mempercekap Penyampaian Perkhidmatan Awam. Sesungguhnya, Kerajaan komited dalam memastikan defisit fiskal terus berkurangan dan negara berada pada landasan yang betul bagi mencapai bajet berimbang. Dalam hal ini, semua kementerian dan agensi perlu memastikan peruntukan mengurus dan pembangunan dibelanjakan bagi perkara yang benar-benar perlu dan penting dalam menyokong pelaksanaan dasar dan program negara.

79. Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada 3 peratus menjelang 2015. Antara langkah yang akan dan telah diambil termasuk memastikan kutipan hasil ditingkatkan dengan mengukuhkan sistem percukaian dan memastikan semua perolehan dan pembelian Kerajaan adalah berdasarkan prinsip value for money.

80. Selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi rumah. Peralihan daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akan pada analisa akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia.

81. Langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono tetapi setelah kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib. Ia tidak akan mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah serta sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi.

82. Pelaksanaan struktur baru cukai ini sudah menjadi sebagai satu imperatif nasional bagi memastikan kelestarian sistem kewangan negara terus utuh untuk generasi masa depan Malaysia. Kerajaan tidak akan mengelak dari mengambil tindakan yang betul walaupun ianya penuh liku.

83. Walau bagaimanapun, ruang masa yang mencukupi akan tetap disediakan oleh Kerajaan agar semua pihak dapat membuat persiapan yang sewajarnya. Penerimaan rakyat ke atas inisiatif baru ini akan diperoleh dengan program penerangan, pendidikan serta rundingan secara ekstensif.

Tuan Yang di-Pertua,

84. Dalam memberi perkhidmatan terbaik, penjawat awam mesti menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi. Amalan kerja pula mestilah cepat, tepat dan berintegriti. Langkah ini akan mencetuskan paradigma baru dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam lebih efisien dan efektif serta lebih responsif.

85. Kerajaan tidak lupa akan jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara. Sehubungan itu, Kerajaan akan menyelaras semula pencen pesara Kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan pencen minimum daripada720 ringgit kepada 820 ringgit. Pelarasan pencen ini akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2012. Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak 60 juta ringgit setahun.

86. Sebagai pengiktirafan kepada golongan warga emas, Kerajaan mencadangkan caj bayaran pemprosesan pasport dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 300 ringgit kepada 150 ringgit untuk tempoh sah laku 5 tahun. Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada 80 ringgit. Pengurangan caj bayaran pasport ini juga diperluaskan kepada kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah. Kadar bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada Januari 2013.

PENAMBAHBAIKAN SKIM PERKHIDMATAN ANGKATAN TENTERA

Tuan Yang di-Pertua,

87. Bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, serta merealisasikan visi dan hala tuju strategik ATM sesuai dengan keperluan semasa, Kerajaan bersetuju untuk menambah baik skim perkhidmatan ATM. Sehubungan itu, syarat lantikan bagi skim perkhidmatan ATM telah ditambah baik dengan kelayakan masuk bagi pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan bagi askar laskar kelayakan masuk minimum ditingkatkan ke peringkat SPM dan Diploma berdasarkan skop tugas.

88. Mengambil kira keunikan perkhidmatan ATM, Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan peluang kenaikan pangkat anggota ATM melalui kaedah kenaikan secara time-based anggota berpangkat prebet ke Lans Koperal dan Lans Koperal ke Koperal dalam tempoh 8 tahun dengan memenuhi syarat-syarat serta prestasi yang memuaskan. Ini adalah bagi meningkatkan peluang kemajuan kerjaya serta motivasi anggota ATM. Usaha ini akan memberi faedah kepada seramai 78,123 anggota dan melibatkan peruntukan sebanyak 107 juta ringgit.

89. Di samping itu, Kerajaan juga bersetuju memberikan bayaran insentif khas dengan kadar 200 ringgit sebulan kepada semua pegawai dan anggota ATM seramai 125,708 orang berkuat kuasa 1 Januari 2013. Langkah ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak 301 juta ringgit.

90. Kerajaan menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera sebagai pelengkap dan sokongan kepada angkatan tetap ATM. Bagi menghargai sumbangan mereka, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras elaun khidmat bertugas daripada 4 ringgit sejam bagi anggota biasa kepada 6 ringgit sejam dan RM5.80 sejam kepada RM7.80 sejam melibatkan 65 ribu anggota simpanan angkatan tentera yang merangkumi Askar Wataniah serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara di seluruh negara. Kadar baru ini telah pun dikuatkuasakan untuk RELA, JPAM dan PVR sebelum ini.

91. Kerajaan juga tidak lupa jasa bakti pahlawan negara. Untuk membantu bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun serta tidak berpencen, Kerajaan bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak 1 ribu ringgit secara one-off kepada mereka. Peruntukan sebanyak 224 juta ringgit yang melibatkan 224 ribu bekas tentera ini akan dikongsi bersama oleh Kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

92. Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat dengan peruntukan 12 juta ringgit. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga 15 ribu ringgit kepada hampir 242 ribu anggota tentera dan polis.

93. Pada masa ini, Kerajaan meminjam sebanyak 6 bilion ringgit setahun untuk membiayai keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang diuruskan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan. Sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi fiskal dan mengurangkan beban tanggungan kewangan Kerajaan, BPP akan disusun semula di mana Kerajaan akan melantik panel bank komersial untuk menguruskan pinjaman perumahan Kerajaan yang baru berkuat kuasa Januari 2013. Segala manfaat dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap dikekalkan malah ditambah baik. Penjawat awam masih tetap membayar 4 peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan.

94. Selain itu, pada masa ini, wang proses yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak 1 ringgit bagi setiap 1,000 ringgit pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali pertama dan 2 ringgit bagi pinjaman kali kedua. Bagi mengurangkan beban kewangan dan memudahkan proses kelulusan pinjaman, Kerajaan bersetuju untuk menetapkan wang proses ini pada kadar 100 ringgit bagi setiap permohonan tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon.

95. Kerajaan turut memberi perhatian untuk meringankan beban kos sara hidup bagi pelatih-pelatih yang mengikuti kursus pra perkhidmatan di peringkat ijazah, diploma dan sijil. Dengan ini, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun pra perkhidmatan yang melibatkan 31,135 pelatih. Skim perkhidmatan yang terlibat adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Farmasi, Juru X-Ray, Jururawat, Jururawat Pergigian, Jurupulih Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian, Jururawat Masyarakat, Pembantu Kesihatan Awam dan Pembantu Pembedahan Pergigian. Untuk ini, sebanyak 84.2 juta ringgit akan disediakan.

FOKUS KELIMA: MENSEJAHTERAKAN RAKYAT

Tuan Yang di-Pertua,

96. Fokus Kelima: Mensejahterakan rakyat. Kerajaan juga akan menyediakan 6 bilion ringgit pada tahun 2013 di bawah Pakej Rangsangan Khas yakni PFI 2 untuk melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara. Antara projek yang telah dikenal pasti termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah serta klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan sukan.

MEWUJUD KEJIRANAN YANG SELAMAT & HARMONI

Tuan Yang di-Pertua,

97. Kerajaan telah memperkenalkan langkah mengurangkan kadar jenayah sebagai salah satu inisiatif di bawah NKRA. Usaha mengurangkan kadar jenayah akan terus dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, peruntukan sejumlah 591juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2013 untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:

Pertama : Menambah bilangan perjawatan baru Polis DiRaja Malaysia pada 2013 untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan pencegahan jenayah serta menaik taraf infrastruktur dan menyediakan peralatan moden;

Kedua: Menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal memantau kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan 1,000 buah motosikal dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit;

Ketiga: Menambah bilangan ahli Pasukan Sukarelawan Polis seramai 10,000 orang dengan peruntukan 70 juta ringgit bagi membantu polis membanteras jenayah; dan

Keempat : Menambah pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup atau CCTV sebanyak 496 unit di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Tuan Yang di-Pertua,

98. Kerajaan sedar akan tugas dan tanggungjawab berat pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia. Kepada warga PDRM saya mendengar rintahan saudari dan saudari sekelian tentang beberapa anomali yang wujud terutamanya dalam perjawatan untuk para pegawai. Kerajaan mendengar dan mengambil maklum kita tidak sekali-kali mengambil mudah tentang soal ini. Kerajaan telahpun mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam agar kajian komprehensif dilakukan untuk menambahbaik laluan kerjaya warga PDRM. kajian dan segala cadangan yang dibuat hendaklah merundingi semua "stakeholder" dan hendaklah diselesaikan dalam masa secepat mungkin.

99. Kerajaan komited memastikan setiap rakyat yang dituduh di mahkamah mempunyai pembelaan sesuai dengan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan dan telah memberi geran pelancaran sebanyak 14 juta ringgit kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Kerajaan dengan ini menambah 20 juta ringgit lagi peruntukan untuk tahun 2013.

Tuan Yang di-Pertua,

100. Penglibatan swasta dan komuniti setempat secara menyeluruh bersama Kerajaan adalah penting bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat. Sehubungan itu, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:

Pertama : Menyokong peranan persatuan penduduk bagi tujuan menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan. Untuk ini, Kerajaan bercadang memberi geran berjumlah 10,000 ringgit kepada 4,025 persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, dengan kos sebanyak 40 juta ringgit;

Kedua : Mempertingkatkan peranan rukun tetangga dalam membantu menjaga keselamatan kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan mensasarkan 6,500 penubuhan kawasan rukun tetangga menjelang tahun 2013. Kerajaan akan memperuntukkan 39 juta ringgit bagi membiayai aktiviti KRT;

Ketiga : Menyediakan sepasang pakaian seragam untuk 300,00 anggota RELA yang aktif dengan peruntukan sebanyak 90 juta ringgit; dan

Keempat: Tolakan sepenuhnya perbelanjaan pemasangan alat kawalan keselamatan bagi syarikat-syarikat dalam tahun yang sama ia dibelanjakan, berbanding dengan tolakan semasa iaitu 8 tahun, di bawah galakan Elaun Modal Dipercepatkan. Kerajaan juga bersetuju galakan yang menarik ini turut diberi kepada syarikat pemaju perumahan.

SPRM

Tuan Yang di-Pertua,

101. Pastinya, Kerajaan terus komited untuk membasmi gejala rasuah. Bagi tahun 2013, sebanyak 276 juta ringgit akan diperuntukkan kepada SPRM bagi membanteras rasuah. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambah sebanyak 150 perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai 5,000 anggota. Langkah ini diharap akan dapat menyokong usaha Kerajaan memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.

MEMACU TRANSFORMASI KOMUNITI

Tuan Yang di-Pertua,

102. Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar atau RTP bagi mengukuhkan pembangunan kawasan luar bandar. Untuk komuniti di bandar pula, sukacita saya mengumumkan Program Transformasi Bandar atau UTP. Sejumlah 200 juta ringgit akan disediakan bagi maksud ini. Bagi memastikan penyelarasan strategik di antara RTP dan UTP, National Strategic Coordination Unit akan diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan.

103. Urban Transformation Program adalah inisiatif Kerajaan dalam pembangunan komuniti bandar bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan Kerajaan dan swasta yang efisien, cepat dan mudah diakses. UTC dilaksanakan dengan mengubahsuai bangunan Kerajaan sedia ada yang kosong atau mengoptimumkan penggunaan bangunan dengan kos yang minimum. Sebagai contoh, di UTC, rakyat boleh membuat pasport dalam tempoh satu jam sahaja, membayar zakat, bil utiliti, cukai pintu, membeli kain dan buku serta menjalankan aktiviti riadah seperti futsal dan gim. Keunikan UTC ini, ia beroperasi bermula dari 8.30 pagi hingga 10 malam, 7 hari seminggu.

104. Di bawah UTP, Kerajaan telah melancarkan 2 Pusat Transformasi Bandar atau UTC iaitu di Melaka dan Kuala Lumpur. Terkini, UTC KL telah menerima purata seramai 4,000 orang sehari. Pelaksanaan UTC akan diperhebatkan dan dilaksanakan secara berperingkat di 6 bandar utama, iaitu Alor Setar, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

PROGRAM TRANSFORMASI LUAR BANDAR

105. Di luar bandar, Kerajaan telah membuka pula Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan bagi menyediakan sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, klinik serta ruang niaga. Berdasarkan manfaat yang diterima, Kerajaan akan terus memperluaskan RTC ke Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak. Selain itu, Kerajaan juga akan menaik taraf Medan Info Desa seluruh negara sebagai Mini-RTC.

PEMBANGUNAN LUAR BANDAR & MASYARAKAT ORANG ASLI

106. Kawasan luar bandar akan terus dibangunkan bagi mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar. 4.5 bilion ringgit akan disediakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan pada tahun 2013 termasuk:

Pertama : Sebanyak 1.2 bilion ringgit disediakan untuk melaksanakan 441 kilometer projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa yang memanfaatkan 220 ribu penduduk;

Kedua : Sebanyak 1.6 bilion ringgit diperuntukkan untuk projek infrastruktur utiliti luar bandar bagi projek bekalan air kepada 24 ribu buah rumah dan projek penyambungan bekalan elektrik kepada 19 ribu buah rumah;

Ketiga : Sebanyak 137 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai Program Desa Lestari melibatkan 29 buah kampung di seluruh negara dan memanfaatkan 38 ribu penduduk. Program utama termasuk menaik taraf kilang pemprosesan hasil laut dan makanan, pembinaan jeti baru, pembinaan pusat pemasaran serta menambah baik pakej dan aktiviti homestay serta rekreasi;

Keempat : Sebanyak 88 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan program pembangunan ekonomi dan projek bekalan air bagi masyarakat Orang Asli; dan

Kelima : Sebanyak100 juta ringgit bagi membekal 40 ribu tangki air menggunakan kaedah tadahan air hujan khususnya di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

KESIHATAN ASAS KESEJAHTERAAN

Tuan Yang di-Pertua,

107. Kerajaan akan terus memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang memuaskan. Bagi tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 19.3 bilion ringgit untuk perkhidmatan mengurus dan pembangunan.

108. Pembukaan Klinik 1Malaysia telah mendapat sambutan baik dan memberi manfaat dalam meringankan kos rawatan selain memudahkan akses bagi mendapatkan rawatan. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 20 juta ringgit bagi membuka tambahan 70 klinik pada tahun 2013. Klinik 1Malaysia juga akan mula menyediakan perkhidmatan ujian kolesterol dan glukosa serta ujian urin kepada mereka yang memerlukan. Selain itu, sebanyak 100 juta ringgit akan diperuntukkan untuk membaik pulih 350 klinik di seluruh negara,di samping menambah 150 buah mesin dialisis di pusat hemodialisis Kerajaan seluruh negara.

Tuan Yang di-Pertua,

109. Memang benar, wanita bukan sahaja penting dalam pembentukan keluarga bahagia malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Untuk itu, Kerajaan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi menyokong dwi peranan wanita ini dengan melaksanakan langkah-langkah berikut:

Pertama : Seramai 500 wanita akan dilatih di bawah Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat;

Kedua : Program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT) akan dipertingkatkan untuk memberi khidmat nasihat dan latihan kepada ibu tunggal dalam bidang keusahawanan; dan

Ketiga : Program Get Malaysian Business Online (GMBO) bagi membantu 50 ribu usahawan kecil, terutamanya wanita melonjakkan perniagaan dengan meningkatkan jualan secara atas talian dengan geran seribu ringgit melalui peruntukan 50 juta ringgitoleh SKMM.

Keempat : Peruntukan sebanyak 25 juta ringgit untuk kemudahan pemeriksaan percuma ujian Mamogram. Langkah ini dijangka dapat memanfaatkan seramai 100 ribu wanita berumur 40 tahun dan ke atas.

PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

Tuan Yang di-Pertua,

110. Sesungguhnya Kerajaan amat menitikberatkan golongan yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah dalam memastikan mereka ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Justeru, program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak 1.2 bilion ringgit meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja orang kurang upaya serta bantuan penyakit kronik.

111. Kerajaan telah melancarkan program 1AZAM atau Akhiri Zaman Miskin yang bertujuan menyediakan peluang menjana pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah. Antara program di bawah inisiatif ini adalah Azam Kerja,Azam Tani, Azam Niaga dan Azam Khidmat. Untuk ini, Kerajaan memperuntukkan sejumlah 400 juta ringgit yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 58,330 peserta.

112. Selain itu, Kerajaan telah menyediakan 2 pusat Anjung Singgah bertujuan untuk menempatkan warga emas, kanak-kanak jalanan dan mereka yang memerlukan tempat tinggal sementara sebelum mereka mendapat pekerjaan atau kemudahan tempat tinggal yang tetap. Seterusnya, Kerajaan menambah lagi 6 pusat Anjung Singgah. Kerajaan juga akan mewujudkan 5 Anjung Kasih di Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi menyediakan tempat penginapan sementara dan selesa kepada pesakit miskin atau ahli keluarga yang mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital Kerajaan.

BELIA & SUKAN

Tuan Yang di-Pertua,

113. Sukan adalah pemangkin perpaduan nasional yang terbaik kerana melibatkan semua golongan masyarakat. Nama-nama seperti Lee Chong Wei, Nicol Anne David, Pandelela Rinong, Azizulhasni Awang dan Muhamad Ziyad adalah antara hero dan heroin sukan yang dikagumi.Kejayaan dan pencapaian mereka di peringkat antarabangsa cukup membanggakan.Kerajaan sentiasa memberi penekanan dalam memastikan pembangunan sukan dilaksanakan secara berterusan. Untuk itu, bagi tahun 2013 sebanyak 738 juta ringgit diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan.

114. Kerajaan akan memperuntukkan 15 juta ringgit bagi mempersiapkan para atlet ke kejohanan sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2013, Sukan Para ASEAN 2013, Sukan Komanwel serta Sukan Asia tahun 2014. Sebagai tambahan juga, 50 juta ringgit lagi diperuntukkan untuk tempoh 4 tahun khusus bagi persiapan Sukan Olimpik Rio 2016 di bawah program Road to Rio.

115. Bagi menggalakkan perkembangan sukan lumba basikal dan badminton, Kerajaan akan membina sebuah velodrom tertutup di Seremban dan Akademi Badminton di Bukit Kiara dengan peruntukan sebanyak 80 juta ringgit.

Tuan Yang di-Pertua,

116. Dalam usaha melahirkan generasi belia yang berpersonaliti tinggi, berintegriti, kreatif dan berinovasi serta berdaya saing, Kerajaan melancarkan program Y-Creative yang melibatkan persatuan belia di seluruh negara.Kerajaan juga akan menganjurkan Festival Belia Putrajaya yang merupakan perhimpunan belia terbesar negara bersempena dengan perisytiharan tahun 2013 sebagai tahun kesukarelaan nasional.

117. Bagi membantu usahawan muda dalam bidang ICT, sebuah yayasan dengan nama New Enterpreneur Foundation akan ditubuhkan dengan peruntukan permulaan sebanyak 50 juta ringgit. NEF akan menjadi platform bagi program latihan dan bimbingan.

118. Selain itu, Young Entrepreneur Fund juga diwujudkan dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana pinjaman mudah ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan subsidi kadar faedah pinjaman sebanyak 2 peratus dan had maksimum pinjaman sebanyak 100 ribu ringgit serta tempoh bayaran balik selama 7 tahun.

119. Kerajaan mengiktiraf peranan belia dalam mengaspirasikan pembangunan negara.Untuk itu, Kerajaan akan melancarkan Pertandingan Lautan Biru 1Malaysia For Youth atau 1M4U untuk mereka mempersembahkan idea-idea kreatif dan inovatif menerusi pertandingan di peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan. 3 idea terbaik akan diberikan peruntukan daripada Dana Sukarelawan 1Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

120. Sebahagian besar daripada 22 peratus rakyat Malaysia yang menggunakan telefon pintar untuk melayari internet adalah golongan belia. Oleh itu, bagi membuka akses golongan muda kepada lebuhraya maklumat, satu pakej khas akan diperkenalkan oleh kerajaan melalui kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi. Melalui Pakej Komunikasi Belia, rebat 200 ringgit akan diberi secara one-off bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G melalui pengedar-pengedar rasmi. Ia terbuka kepada belia yang berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah. Sebanyak 300 juta ringgit telah disediakan danakan memanfaatkan 1.5 juta belia.

121. Menjengah peranan karyawan, budayawan dan seniman dalam proses pembangunan negara, kita maklum bahawa kemajuan Malaysia tidak diukur semata-mata pada pendapatan perkapita dan pertumbuhan ekonomi. Ia turut diukur menggunakan pelbagai dimensi. Para karyawan memainkan peranan penting dalam meningkatkan peradaban nasional. Sebagai menghargai peranan mereka ini, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah 6 juta ringgit sebagai bantuan pentadbiran dan kegiatan kepada semua persatuan yang berdaftar.

MEMPERLUAS JARINGAN PENGANGKUTAN AWAM BANDAR

Tuan Yang di-Pertua,

122. Bercakap pula ehwal perkhidmatan pengangkutan awam yang baik,ia adalah nadi kepada pembangunan sesebuah komuniti. Lanjutan daripada kejayaan pengenalan RapidKL dan RapidPenang, Kerajaan akan melancarkan Rapid Kuantan mulai 1 Disember 2012 bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas berkualiti di Kuantan yang dapat memanfaatkan rakyat teramai. Syarikat Prasarana juga dalam proses untuk memperluaskan perkhidmatan ini di bandar lain seperti Ipoh, Seremban, Kuching dan Kota Kinabalu.

123. Kerajaan memandang serius kepentingan pengangkutan bagi orang ramai terutamanya mereka yang tinggal dan bekerja di bandar besar. Pada masa ini, golongan OKU, pesara dan pelajar telah menikmati diskaun 50 peratus kadar tambang apabila menggunakan perkhidmatan komuter KTMB. Sebagai lanjutan, suka saya mengumumkan, bahawa Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan diskaun 50 peratus kadar tambang ini, kepada semua warganegara Malaysia yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah.

Tuan Yang di-Pertua,

124. Kerajaan sedar, perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan asas paling utama kepada rakyat. Kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat Malaysia berpeluang untuk memiliki rumah mereka sendiri. Ini bukan sahaja satu imperatif yang bersifat ekonomi, malahan ia adalah imperatif moral bagi sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab. Oleh itu, Kerajaan akan menjadikan hasrat ini sebagai prioriti berterusan. Bagi tahun 2013 sahaja, suka saya umumkan, Kerajaan akan memperuntukkan 1.9 bilion ringgit bagi membina 123 ribu unit rumah dengan harga berpatutan di kawasan-kawasan strategik. Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad dan Jabatan Perumahan Negara.

125. Sebanyak 500 juta ringgit akan dibelanjakan oleh PR1MA untuk membina 50 ribu unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan harga jualan antara 100 hingga 400 ribu ringgit seunit. Antara bandar-bandar utama tersebut adalah Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bharu, Seremban dan Kuantan.

126. Di samping itu, PR1MA juga akan menyediakan Dana Pemudah Cara Perumahan berjumlah 500 juta ringgit untuk membina 30 ribu unit rumah secara usaha sama dengan pemaju perumahan swasta. Harga rumah yang ditawarkan di bawah program ini adalah 20 peratus lebih rendah berbanding dengan harga di pasaran dan proses pengagihan rumah akan dilaksanakan secara sistem pengundian terbuka.

127. Manakala sebanyak 320 juta ringgit diperuntukkan melalui SPNB untuk membina sebanyak 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah dan sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik. Projek perumahan SPNB yang akan dilaksanakan segera termasuk membina sebanyak 1,855 unit apartmen kos sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan Sungai Buloh. Unit kediaman ini akan dijual pada harga sekitar 120 ribu hingga 220 ribu ringgit seunit.

128. Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, SPNB akan membina sebanyak 21,000 unit rumah untuk tahun 2013. Di bawah program ini, SPNB akan membina rumah berharga 65 ribu ringgit dengan subsidi sebanyak 20 ribu ringgit serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak 2 peratus.

129. Selain itu, peruntukan sejumlah 543 juta ringgit akan disediakan bagi Jabatan Perumahan Negara melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina menggunakan kaedah Industrialised Building System. Kesemua unit kediaman ini akan dijual antara 30 hingga 40 ribu ringgit seunit berbanding harga pasaran sekitar 120 ribu ringgit seunit. 20 peratus daripada keseluruhan unit rumah PPR kepada penjawat awam dan sebahagian kepada golongan OKU.

130. Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah yang pertama, Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancarkan melalui bajet yang lalu, akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam perseorangan daripada 3,000 ringgit kepada 5,000 ringgit sebulan atau 10,000 ringgit sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri. Di samping itu, syarat keperluan simpanan 3 bulan deposit serta tempoh minimum bekerja 6 bulan juga akan dimansuhkan.

Tuan Yang di-Pertua,

131. Dalam Bajet 2009, Kerajaan telah pun memberi pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara perjanjian pindah milik dan pinjaman sebuah rumah kediaman pertama yang berharga sehingga 350 ribu ringgit. Kerajaan bercadang melanjutkan pengecualian duti setem sedia ada sehingga 31 Disember 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan sehingga 400 ribu ringgit.

KAJIAN SEMULA CUKAI KEUNTUNGAN HARTANAH

132. Menyangkut hal penawaran hartanah yang terhad terutamanya di kawasan bandar, ia membuka ruang kepada aktiviti spekulasi. Dengan itu, Kerajaan mencadangkan cukai keuntungan harta tanah ke atas keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh perolehan hartanah berkenaan, dikenakan pada kadar 15 peratus dan 10 peratus bagi pelupusan hartanah dalam tempoh 2 hingga 5 tahun. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas tempoh 5 tahun daripada tarikh perolehannya, RPGT tidak dikenakan. Sementelahan itu, keuntungan daripada pelupusan sebuah rumah kediaman sekali dalam seumur hidup dan pelupusan hartanah atas dasar kasih sayang antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak, datuk atau nenek dan cucu dikecualikan daripada RPGT.

GALAKAN CUKAI UNTUK MEMULIH PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI

133. Selanjutnya, bagi tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan 100 juta ringgit kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai. Sebagai tambahan untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta, Kerajaan akan menyediakan insentif cukai seperti berikut:

Pertama: Institusi perbankan diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan faedah yang diterima daripada kontraktor penyelamat;

Kedua : Kontraktor penyelamat diberi potongan cukai 2 kali ke atas bayaran faedah dan semua kos langsung dalam mendapatkan pinjaman;

Ketiga : Kontraktor penyelamat diberi pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan pindah milik tanah atau rumah dan surat cara pinjaman bagi membiayai kos pemulihan; dan

Keempat : Pembeli asal rumah terbengkalai diberi pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan mendapat pembiayaan tambahan dan pindah milik rumah.

BANTUAN & INSENTIF RAKYAT

Tuan Yang di-Pertua,

BR1M

134. Sesungguhnya, Kerajaan ini adalah Kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat. Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif tertinggi.Kerajaan ini tidak akan sekali-kali melakukan sebarang tindakan yang akan membahayakan masa depan orang ramai. Bukan seperti sesetengah pihak, yang sanggup mengatakan apa sahaja, ini percuma, itupun percuma, hutang tak perlu bayar, hatta menjanjikan syurga semata-mata untuk berkuasa. Namun, saya selaku Menteri Kewangan, tidak akan menyembunyikan kebenaran, sekalipun ia pahit. Pendek kata, Kerajaan ini tidak akan mengaburi mata rakyat.

135. Menyedari hakikat inilah, Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif rasionalisasi subsidi dan mengalih secara berperingkat kaedah pemberian subsidi daripada subsidi pukalyang membawa kepada banyak ketirisan dan sehingga orang yang berada pun memperoleh, kepada subsidi yang bersasar. Di bawah prinsip ini, subsidi akan diteruskan tetapi akan diberi hanya kepada kelompok yang betul-betul memerlukannya. Hakikatnya, jika Kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia akan menghancurkan kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya rakyat menanggung akibat, seperti mana yang berlaku di sesetengah negara di dunia. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak rela perkara tersebut berlaku.

136. Bersesuaian dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar, Kerajaan komited bagi memastikan setiap segmenrakyat Malaysia dapat mengongsi kemakmuran negara. Ini hanya akan berlaku, sekiranya ekonomi nasional terus tumbuh secara mapan dan kekayaan negara dapat terus dijana. Sukacita saya mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 2.0. Kriteria penerima tetap sama iaitu ketua isi rumah yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah. Sebagai tambahan, sukacita juga saya mengumumkan pemberian BR1M 2.0 ini diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini adalah sebanyak 250 ringgit.

137. Hakikatnya, bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah populis malah manifestasi sebuah Kerajaan bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah. Ia memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan 3 bilion ringgit. Ia akan dibayar mulai awal tahun 2013. Bagi memudahkan pelaksanaan, penerima BR1M sedia ada tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua manakala pemohon baru boleh mula mendaftar mulai November 2012 secara atas talian atau melalui kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara.

Tuan Yang di-Pertua,

138. Gula yang diambil secara berpatutan adalah baik, namun sekiranya diambil secara berlebihan ia mampu menjadi racun. Setakat ini, sekitar 2.6 juta rakyat Malaysia mengidap diabetes. Oleh itu, Kerajaan bercadang mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai 29 September 2012. Kerajaan menyeru kepada para peniaga bahawa janganlah membebankan saudara se-Malaysia dengan kenaikan harga. Sebaliknya kurangkanlah kandungan gula.

139. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kg yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 278 juta ringgit. Malah pengurangan subsidi ini disokong oleh persatuan-persatuan pengguna dan pengamal kesihatan.

140. Selanjutnya, untuk menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan minyak masak yang semakin meningkat, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 1.5 bilion ringgit bagi menstabilkan harga minyak masak di pasaran.

141. Secara umumnya, harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak adalah lebih mahal berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi. Bagi memastikan kos dan harga barangan dapat dikurangkan, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program Penyeragaman Harga, pemberian subsidi pengangkutan serta pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia. Untuk ini, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 386 juta ringgit bagi memastikan harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak serta Labuan dijual pada harga yang lebih rendah dan lebih seragam dengan membuka sebanyak 57 buah KR1M dan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman. Sebagai contoh di Ba’kalalan, Sarawak, harga gas memasak 14 kg setong dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak tersebut boleh dibeli hanya dengan RM26.60 setong.

142. Sebagai tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50 peratus. Di samping itu, diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke atas tambang feri untuk kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dan binaan ke Labuan.

MEMPERMUDAH IBADAH HAJI

Tuan Yang di-Pertua,

143. Sekali lagi kita memasuki musim panggilan Haji menuju Baitullah. Dalam Bajet 2012, saya telah mengumumkan pencarum KWSP boleh membuat pendaftaran awal menunaikan rukun ke-5 ini melalui penghadangan Akaun 2 sebanyak 1,300 ringgit. Alhamdulillah, setakat ini, seramai 51,528 pencarum telah menggunakan inisiatif ini. Sebagai langkah tambahan untuk membantu bakal-bakal haji, saya ingin mengumumkan bahawa bakal-bakal haji yang mencarum di KWSP, kini dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang. Inisiatif ini terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga 3 ribu ringgit.

KAJIAN SEMULA CUKAI PENDAPATAN INDIVIDU & KOOP

Tuan Yang di-Pertua,

144. Kerajaan prihatin ke atas peningkatan kos sara hidup rakyat serta tanggungan cukai pendapatan mereka. Kerajaan telah pun menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan 2 rebat cukai. Berikutan pelepasan dan rebat cukai ini, hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.

145. Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi 2,500 ringgit sehingga 50 ribu ringgit. Langkah ini akan mengeluarkan seramai 170 ribu pembayar cukai daripada membayar cukai serta pembayar cukai pendapatan sedia ada juga menikmati penjimatan bayaran cukai mereka. Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan 5 ribu ringgit, akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga 425 ringgit seorang.

146. Pada masa yang sama, bagi terus memacu transformasi gerakan koperasi, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan antara 1 hingga 7 mata peratusan di semua kumpulan pendapatan bercukai. Dengan ini, seramai 7 juta ahli koperasi akan menikmati manfaat sebagai galakan untuk meningkatkan keupayaan keusahawanan dalam bidang perniagaan.

MERINGANKAN BEBAN PENGUSAHA BAS SEKOLAH

Tuan Yang di-Pertua,

147. Kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki bas ke sekolah dan pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas sekolah yang kurang memuaskan. Keadaan ini disebabkan pengusaha bas sekolah tidak dapat menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat sedangkan sebahagian besar bas yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Untuk itu, Kerajaan mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi pertamanya, pemberian rebat tunai 10 ribu ringgit dan subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman penuh untuk menggantikan bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan oleh BSN ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013.

148. Keduanya, penyediaan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah berpermit. Usaha ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pelajar dengan perlindungan maksimum sebanyak 100 ribu ringgit dan kos premium sebanyak 40 juta ringgit untuk tempoh 2 tahun yang akan diselia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat.

MENGURANGKAN KOS PEMBELAJARAN PELAJAR

Tuan Yang di-Pertua,

149. Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan bayaran tambahan persekolahan. Untuk ini, sebanyak 2.6 bilion ringgit diperuntukkan pada tahun 2013.

150. Pada pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan persekolahan 100 ringgit kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah. Bagi meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, Kerajaan sekali lagi akan meneruskan pemberian bantuan persekolahan 100 ringgit kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini akan dibayar mulai Januari 2013 dan bermanfaat kepada 5.4 juta pelajarmelibatkan peruntukan sebanyak 540 juta ringgit.

151. Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan pra-universiti. Suka saya mengumumkan, bahawa nilai baucar akan ditingkatkan daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit. Langkah ini melibatkan peruntukan 325 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajardi seluruh negara.

Tuan Yang di-Pertua,

152. Kerajaan juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak. Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan ibu bapa, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak sebanyak 4,000 ringgit seorang sekarang ini, dinaikkan kepada 6,000 ringgit mulai tahun taksiran 2013. Langkah ini menunjukkan komitmen dan tumpuan Kerajaan ke atas pelaburan bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan.

153. Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, sukacita juga saya mengumumkan di sini bahawa pelepasan cukai yang telah pun diberi sehingga 3,000 ringgit bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan kepada 6,000 ringgit. 

Tuan Yang di-Pertua,

154. Menurut hukum, hutang wajib dibayar. Pinjaman PTPTN satu amanah. Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan. Oleh itu, bagi memudahkan proses pembayaran balik, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa insentif. Pertama, bagi peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun selepas pengumuman ini, bermula 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013, diskaun 20 peratus akan diberikan ke atas jumlah pinjaman mereka.

155. Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Oktober 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan.Kita tahu Tuan Yang di-Pertua, ada pihak yang mencadangkan supaya hutang keseluruhan hutang PTPTN dimansuhkan. Ini adalah satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, siapa yang akan menanggung lebih 30 bilion ringgit hutang PTPTN. Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah jika kita yang berhutang masyarakat yang menanggung. Itulah persoalannya.

PROGRAM JALUR LEBAR UNTUK RAKYAT TERMISKIN DI BANDAR

156. Kerajaan akan menubuhkan 100 Pusat Internet 1Malaysia bagi Tahun 2013 hingga 2015 di dalam bandar seperti di kawasan perumahan rakyat. Pusat ini dilengkapi dengan kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur lebar bagi kegunaan harian dan meningkatkan kegiatan sosioekonomi mereka. Untuk itu, SKMM akan menyediakan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit.

MENGGALAKKAN AKTIVITI TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT

Tuan Yang di-Pertua,

157. Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan Kerajaan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR). Bagi menyokong usaha Kerajaan untuk merancakkan aktiviti CSR, program yang akan dilaksanakan oleh GLC dan agensi termasuklah:

Pertama: Felda akan melaksana dan menyiapkan projek perumahan generasi baru sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas 5,000 ekar tanah dalam kawasan Felda. Projek ini akan menelan belanja sebanyak 1.5 bilion ringgit dalam tempoh tersebut. Di samping itu, Felda telah memperuntukkan sebanyak 60 juta ringgit bagi membaiki rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan. Felda juga akan berbelanja sebanyak 100 juta ringgit setahun untuk program pendidikan dan latihan kemahiran serta biasiswa kepada 5000 anak generasi baru, 30 peratus atau 2,000 orang dari jumlah ini adalah terdiri dari anak-anak dari luar Felda;

Kedua: Yayasan 1MDB akan menyediakan 300 juta ringgit bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah arau untuk pelajar pra-sekolah di pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif;

Ketiga: Syarikat-syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan hampir 500 juta ringgit untuk menjalankan CSR dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam persekitaran.

Tuan Yang di-Pertua,

158. Sebaik manapun dasar yang telah digubal pihak Kerajaan tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap serta berkesan. Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam negara yang merupakan jentera pelaksanaan dasar negara sama ada yang berada di peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat.

159. Kerajaan juga ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf peranan yang dimainkan Kementerian Kewangan sebagai pelaksana dasar fiskal negara, Bank Negara Malaysia yang bertanggungjawab terhadap dasar monetari negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang mengawal keutuhan pasaran modal kebangsaan.

160. Makanya, sebagai Kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Seperti kita tahu, dari jumlah ini, setengah bulan telahpun diberikan menjelang perayaan Aidilfitri yang lepas, sejumlah setengah bulan gaji lagi akan diberikan pada bulan Disember kelak manakala setengah bulan lagi akan diberikan pada bulan Januari nanti. Diharapkan pemberian bonus ini akan mengurangkan beban para penjawat awam terutamanya yang berkeluarga sempena musim awal persekolahan.

PENUTUP

Tuan Yang di-Pertua,

161. Bajet yang baru saya bentangkan untuk tahun 2013 ini adalah bajet terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13. Ia merupakan antara siri-siri bajet yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional.

162. Dengan izin Allah SWT dan dengan sokongan serta dukungan rakyat Malaysia, Insya-Allah kita akan menyaksikan enam lagi bajet yang akan dibentangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum Malaysia berubah status daripada sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

163. Sebagai parti yang telah dimandatkan, kami menyeru agar rakyat menilai secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki oleh Barisan Nasional. Kerajaan BN dan sebelum itu perikatan telah selama 55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.